Kembara Dan Fotografi | Merakam Gambar Pada Waktu Yang Berbeza
“To awaken quite alone in a strange town is one of the pleasantest sensations in the world. You are surrounded by adventure. You have no idea of what is in store for you, but you will, if you are wise and know the art of travel, let yourself go on the stream of the unknown and accept whatever comes in the spirit in which the Gods may offer it.”
– Freya Stark –
Gambar yang menarik atau cantik itu adalah sesuatu yang subjektif bagi saya. Menarik bagi saya mungkin tidak menarik bagi orang lain. Ada orang sukakan melihat pemandangan yang kosong tanpa ada seorang manusia atau haiwan di dalam gambar tersebut. Ada pula orang suka melihat pemandangan dengan kehidupan yang ada disekitarnya. Ada pula gambar yang menarik itu terhasil daripada kemahiran jurufoto merakam pemandangan yang biasa daripada sudut yang berbeza daripada apa yang sering kita lihat. Ada juga gambar yang menarik itu terhasil kerana sememangnya apa yang ada di hadapan lensa itu sudah cukup menarik dengan sendirinya. Untuk artikel kali ini saya ingin menulis ala-ala iklan Trivago, Lokasi yang sama, Pemandangan yang sama, tetapi memberikan mood atau suasana yang berbeza.
Saya ingin menulis tentang hasil gambar yang kita rakam sangat bergantung kepada waktu bila kita merakam gambar, sama ada di waktu awal pagi, tengahari, petang senja atau malam. Gambar di atas saya rakam diawal pagi sebelum jam 7 pagi. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Subuh, cepat-cepat saya bergegas ke Stesen Kereta Api Darjeeling yang letaknya lebih kurang 200 meter dari hotel saya menginap. Memang saya sengaja memilih lokasi hotel yang dekat dengan stesen kereta api ini, untuk memudahkan pergerakan saya.
Sebelum ke Darjeeling saya dah lihat gambar-gambar Darjeeling melalui internet, baik melalui blog-blog yang saya baca, Instagram, flickr, 500 Pix, Pinterest dan juga sosial media lainnya. Kadang-kadang ada juga rasa macam tak percaya, “eh betul ke, banjaran Gunung Himalaya tu ada dekat belakang rumah-rumah atas bukit tu?” “Macam Photoshop jer” getus hati saya. Dan percayalah gambar yang saya rakam ini bukan diPhotoshopkan, memang begitulah keadaan pemandangan di Darjeeling yang saya rakam dari Stesen Kereta Api Darjeeling.
Perlu juga diingatkan pemandangan sebegini bukan satu jaminan, maksud saya bukan saru jaminan sekiranya anda ke Darjeeling anda akan dapat pemandangan yang jelas seperti di atas. Sama juga seperti pelancong yang ke Kundasang, bukan satu jaminan kita akan dapat melihat Gunung Kinabalu tanpa ditutup oleh kabus. Pernah suatu ketika dahulu saya dan rakan sepejabat menginap di Pine Resort Hotel berhadapan dengan Gunung Kinabalu, mengharapkan awal pagi bangun nampak Gunung Kinabalu dengan jelas dan mengharapkan agar dapat merakam cahaya awal mentari menyimpah puncak Kinabalu, tetapi hampa, sampai tengahari kami menunggu, namun Gunung Kinabalu masih lagi terlindung di balik kabus dan awan.
Jadi apa yang ingin saya sampaikan di sini terutama kepada sesiaa yang ingin melancong dengan niat untuk ambil gambar yang menarik kena peka dengan bilakah waktu terbaik untuk datang ke satu-satu tempat. Waktu terbaik pun bukanlah satu jaminan untuk cuaca baik, tetapi setidak-tidaknya itu adalah ramalankaji cuaca yang dah berpuluh-puluh tahun membuat ramalan. Jadi kita tengok bilakah bulan terbaik untuk datang.
Waktu terbaik untuk datang ke Darjeeling di mana cuacanya baik, langit cerah tidak berawan, kurang kabus ialah bemula dari Bulan Oktober hingga penghujung Disember atau Januari. Kebasaanya langit cerah, tidak berwan dan peluang untuk melihat Banjaran Gunung Himalaya adalah sangat tinggi di waktu ini. Elakkan datang pada musim hujan atau monsoon antara penghujung bulan Mei hingga bulan Ogos. Waktu ini kebarangkalian untuk Banjaran Himalaya ditutup kabus atau awan tebal adalah sangat tinggi. Begitu juga di tempat-tempat lain seluruh dunia, kita kena peka dengan perubahan cuaca, terutama sekali sekiranya kita ingin berkunjung ke negara-negara yang mempunyai empat musim, four season country.
Gambar berikutnya pula saya rakam sekitar jam 10 pagi, bagi saya kurang menarik, tetapi saya akam begitu-begitu sahaja. Kenapa saya kata begitu-begitu, asal ada sahaja maksudnya. Berbeza dengan gambar pertama di atas tu, saya rakam menggunakan tripod, kerana penggunaan Aperture yang kecil memerlukan dedahan yang agak lama dan tak sesuai untuk handheld.
Gambar yang di atas ini iaitu gambar sudah terang, hampir tengahari ini adalah gambar yang biasa kita akan jumpa kalau kita search Darjeeling dan Kanchenjunga iaitu gunung tertinggi di India yang juga gunung ketiga tertinggi di dunia. Sebab apa gambar di atas ni banyak dikongsikan di internet. Sebabnya mudah, pada waktu ini dah ramai orang sudah bangun, pelancong pun dah mula keluar bersiar-siar. Berbanding dengan waktu awal pagi sekitar jam 6:30AM atau 7AM waktu matahari terbit. Tak ramai orang sanggup bangun awal pagi sekitar jam 5AM bersiap-siap untuk mengambil gambar, KECUALI, kecuali di Tiger Hill, di mana di sini pelancong akan tiba awal sekitar jam 5AM atau 6AM untuk mengambil gambar. Saya tidak ke Tiger Hill kerana saya memang ingin merakam pemandangan Banjaran Himalaya dengan latar rumah-rumah di atas bukit tersebut berbanding pemandangan dari Tiger Hill yang hanya menampakkan Banjaran Himalaya sahaja. Lagipun dari apa yang saya baca, agak sesak di sana.
Gambar terakhir ini pula saya rakam sekitar jam 3PM, lewat petang. Di Darjeeling sekitar jam 5:30PM dah sunset dah. Sunrise 6:30 AM dan Sunset sekitar 5:30PM (Untuk bulan Disember). Merakam gambar pemandangan yang sama, di lokasi yang sama tetapi pada waktu yang berbeza, ternyata memberikan hasil yang berbeza. Mood atau perasaanya berbeza. Gambar yang mana satu yang kita suka, terpulang kepada individu yang melihatnya.
Tetapi perasaan sewaktu melihat Banjaran Himalaya daripada suasana kelam, gelap, perlahan-lahan disimbah cahaya sang mentari, perlahan-lahan bertukar kepada warna kemerahan, kemudian kuning keemasan. Sangat mengasyikkan, tak mungkin dapat saya tuliskan dengan kata-kata dan juga tak mungkin sampai perasaan tersebut untuk digambarkan, hatta dengan sekeping gambar sekalipun. Hanya ucapan SubhanAllah, Maha Suci Tuhan sahaja yang mampu saya ucapkan waktu itu.
Kesimpulannya, sekiranya kita ada masa, cuba datang semula ke lokasi yang sama pada waktu yang berbeza, dan cuba lihat perubahan landskap kawasan tersebut. Dan kepada peminat Time-Lapse Photography, di kawasan Setsen Kereta Api ini adalah lokasi yang perfect untuk dapatkan footage sunrise dan sunset.
NOTA KAKI :
Kepada yang ingin ke Darjeeling dari Malaysia. Kita boleh turun di KOLKATA, kemudian ambil domestik flight ke BAGDOGRA. Penerbangan antara 1 jam 30 minit. Dari Airport BAGDOGRA boleh ambil teksi (prepaid taxi) untuk ke Darjeeling. Perjalanan mengambil masa antara 3 hingga 4 jam bergantung keadaan traffic. Jarak perjalanan cuma lebih kurang 80KM sahaja, cuma jadi lambat ketika memasuki kawasn Kem Tentera Sukna, terlalu banyak bonggol-bonggol di jalanan untuk memperlahankan kenderaan yang lalu di kawasan kem tentera ini. Selain dari itu, kawasan bukit tingi, lereng gunung, memang tak boleh nak laju-laju, jalan pun sempit, tetapi pemandangan sepanjang jalan cukup menarik.
Artikel Berkaitan : Pemilihan Lensa Untuk Fotografi Kembara