Life,  Photojournalism

Suka Duka Menjadi Seorang Photojournalist


© 2015 Wazari Wazir | Pete Souza in Action at TUDM Subang

Pete Souza, namanya tidak asing lagi dikalangan Photojournalist baik di Malaysia mahupun di dunia, masakan tidak beliau ialah Ketua Jurufoto White House, di Amerika Syarikat, boleh dikatakan jurufoto peribadi kepada President Amerika Syarikat, iaitu yang terkini Barack Obama. Sebelum ini beliau juga pernah berkhidmat sebagai Jurufoto White House kepada President Ronald Reagen. Beliau juga pernah berkidmat secara Freelance untuk National Geographic dan juga Life Magazine serta pernah terlibat merakam peperangan di Afghanistan.

Diringkaskan cerita, beliau telah ke serata dunia. Itu yang orang nampak, apa yang orang tak nampak dan mungkin tidak pernah hendak ambil tahu, bagimana dengan keluarganya, Kalau hendak ikutkan kehidupan peribadi Pete Souza agak misteri, kalau tak silap saya beliau baru sahaja berkahwin pada tahun 2013 ketika usianya 59 tahun. Sebelum itu tidak diketahui sama ada beliau berkahwin atau tidak.

Sama juga dengan kehidupan War Photographer James Nachtwey, kalau tidak silap saya sehingga kini beliau tidak pernah berkahwin kerana kalau kita pernah baca tentang artikel yang pernah ditulis tentang beliau, dia telah mendedikasikan seluruh hidupnya untuk kerja dan beliau tidak berhasrat untuk memiliki keluarga kerana menyedari akan tugas bahayanya yang sering dihadapi hampir setiap hari.

Walaupun usianya kini mencecah 67 tahun (Beliau lahir pada tahun 1948), beliau masih lagi travel sana sini mengambil gambar dan yang terbaru beliau mengambil gambar di sempadan Malaysia Perlis-Thailand berikutan penemuan rangka manusia di sana.

Ramai lagi dikalangan photojournalist di dunia ini, siapa kenal dengan Steve McCurry? Ada yang Steve McCurry bukan photojournalist tetapi “Visual Storyteller.” Mungkin ramai yang mengenali beliau tetapi tak ramai yang mengetahui tentang kehidupan peribadi beliau, kerja-kerja Steve McCurry lebih kepada photo documentary berbanding photojournalism tetapi documentary juga salah satu cabang Photojournalism, dan tidak ada bezanya beliau dengan James Nachtwey dan Pete Souza yang mana sebahagian besar dari masanya dihabiskan travel sana sini, dalam setahun mungkin lebih dari enam bulan keluar negara.

Gambar Pete Souza di atas saya rakam semasa menunggu ketibaan President Barack Obama keluar dari pintu pesawat Air Force One, beliau turun dahulu bersama media lain dari pintu kapal terbang bahagian belakang. Sebelum ini Pete Souza telah mengikuti Barack Obama ke Turkey untuk menghadiri Persidangan G20, kemudian terus ke Manila Philippine untuk menghadiri Persidangan APEC dan selepas itu baru ke Malaysia untuk menghadiri Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur. “Around The World Journey” tulis beliau di dalam blognya.

Ini kali kedua Pete Souza datang ke Malaysia bersama Barack Obama, sebelum ini pada bulan April Tahun 2014 beliau mengikuti President Barack Obama untuk Lawatan Rasmi ke Malsysia. Kalau orang tengok pergerakan photojournalist baik di Malaysia mahupun yang bertugas di luar negara, mesti ada yang rasa cemburu, masakan tidak, sekejap pergi sana, sana, sekejap pergi sini, sekejap ambil gambar Sukan Olimpik di China, sekejap ambil gambar persidangan APEC di Hawaii. Sekejap ikut Perdana Menteri ke New York mengikuti Persidangan PBB, sekejap ke Afghanistan, Palestine dan banyak negara lagi.

Seperti kata Pete Souza dalam blognya lagi, kebanyakan tempat yang beliau pergi ialah “From One Convention Centre to Another Convention Centre” dari satu tempat persidangan ke satu tempat persidangan, terkurung dalam dewan persidangan selama berjam-jam sebelum meneruskan lagi lawatan ke negara lain, ini bukan kerja makan angin. Dan kebiasaanya beliau hanya berada di sebuah negara lebih kurang satu atau dua malam sahaja dan mempunyai jadual kerja yang sangat padat.

Saya sendiri pernah ditugaskan ke Mindanao Philippine untuk tugasan satu malam sahaja, terbang dari TUDM Subang ke Mindanao, terus buat kerja, tidur di Davao dan esoknya pulang ke Malaysia, memang sangat meletihkan. Jarak Mindanao dengan Kuala Lumpur bukan macam KL –  Melaka.

Senang cerita sebelum kita bercadang untuk jadi Photojournalist sehebat mereka kita perlu tanya diri kita dan kenali diri kita sendiri, apakah kita ini jenis “Family Man” ataupun jenis Lone Ranger, saya akui kerjaya saya sebagai Photojournalist di Jabatan Kerajaan adalah biasa-biasa sahaja, bukannya Hard Core sangat berbanding dengan Photojournalist yang bertugas di BERNAMA dan juga di agensi berita arus perdana yang lain yang mana pada kebanyakan masa mereka mempunyai lebih dari satu assignment setiap hari dan bertugas mengikut “Shif.” Sebabnya, berita ataupun apa-apa peristiwa penting boleh berlaku tak kira masa.

Bayangkan sedang kita sibuk melayan anak isteri di rumah makan malam tiba-tiba dapat pangggilan dari opis kata kita kena cover liputan kejadian tanah runtuh di Karak Highway dan kena pergi dengan segera, benda macam ni bukan boleh tunggu esok, kalau tunggu esok, jalan dah dibersihkan, apa gambar yang hendak kita rakam, dah kurang eklusifnya.

Waktu dengan keluarga seringkali jadi pertaruhan, tak guna kita berbangga dengan kawan-kawan yang kita hebat dapat ambil gambar itu ini, di hari minggu sedangkan isteri dan anak-anak kita kesepian di rumah ataupun terpaksa berjalan-jalan do Zoo Negara tanpa kehadiran kita, lepas tu kita janji dengan mereka hendak pergi mingggu depan, minggu depan pulak ada pemimpin luar negara datang melawat ke negara kita pada hujung minggu, last minit baru dapat tahu, sekali lagi kita tidak dapat luangkan masa dengan family, lepas tu post gambar “Selfie” dengan Air Force One manakala isteri serta anak-anak kita post gambar di depan KLCC tanpa kelibat wajah ayahnya.

Bekerja di hari-hari kelepasan am adalah lumrah dalam kerjaya seorang photojournalist, bertugas di satu Syawal, bertugas semasa Sambutan Hari Kebangsaan, Bertugas semasa cuti Maal Hijrah dan di hari minggu kerana kebiasaanya banyak acara-acara pemimpin bersama rakyat diadakan di hari minggu Sabtu dan Ahad kerana di hujung minggu tersebut kebanyakan orang bercuti dan bila bercuti mudah sedikit jemput orang ramai menghadiri majlis yang dianjurkan dan jurufoto pulak memang tidak dapatlah hendak bercuti sebab kalau bercuti, tak keluar gambarlah di kaca TV atau di dada akhbar wajah pemimpin bersama rakyat, bila tiada gambar pemimpin bersama rakyat, kata pemimpin tidak perihatin, tidak mahu turun ke bawah dan sebagainya.

Saya bersyukur kerana dapat berkhidmat dengan kerajaan berbanding kawan-kawan saya di agensi lain, walaupun saya tahu pendapatan mereka jauh lebih tinggi dari saya, namun saya puas hati, sebabnya saya ada lebih sedikit masa bersama keluarga berbanding photojournalist yang lain, pendapatan kurang sedikit, bebanan kerja pun sedikit lah jugak tapi saya bersyukur pasal ada masa dengan keluarga, masa dengan keluarga terutama semasa anak-anak masih kecil bukan boleh dibeli dengan wang ringgit.

Ada juga saya jumpa photojournalist yang dah agak berusia semasa persidangan ASEAN baru-baru ini, dia kata dia menyesal kerana pada masa mudanya dia amat kurang luangkan masa dengan keluarga kerana sibuk dengan kerja, sekarang ini anak-anaknya dah besar panjang, dah sekolah menengah, ada yang dah masuk Universiti tetapi kalau diajak berjalan sekali, sudah tidak mahu, mereka lebih suka keluar berjalan bersama kawan-kawan, walaupun pendapatan semakin bertambah, wang di bank semakin banyak, takkan boleh membeli masa lalu semasa anak-anak kita masih kecil.

Ramai juga di kalangan photojournalist, termasuk Videographer yang bercerai berai akibat tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga, cuma kes mereka tak ramai orang tahu kerana mereka bukannya selebriti seperti artis dan kes mereka tidak keluar di Buletin Utama. Hakikatnya memang agak ramai yang memiliki masalah rumahtangga, terutamanya kalau berjodoh dengan pasangan yang terlebih manja dan ingin bersama sepanjang masa, hatta ke pasar membeli ikan sekalipun.

Untuk menjadi hebat ataupun berjaya dalam bidang ini walaupun tidak menjanjikan kita menjadi seorang Jutawan, tidak semestinya kita perlu mebujang sepanjang hayat, tetapi kalau ingin memilih pasangan, pilihlah yang memahami tugas kita, yang tahu bahawa mereka akan sentiasa ditinggalkan pada bila-bila masa “On Short Notice.”

Tak boleh nak rancang percutian ke luar negara 5,6 bulan awal sebabnya kita tak tahu apa peristiwa penting bakal berlaku, seperti tahun lepas di mana tragedi yang menimpa Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), hampir setiap hari termasuk hujung minggu ulang alik cover Press Conferece dan sehingga kini masih tergantung apa yang sebenarnya terjadi.

Kini kita menghampiri hujung tahun, kebanyakan agensi media telah bersedia pada bila-bila masa untuk bertugas membuat liputan kejadian banjir yang diramalkan bakal berlaku, walaupun kita amat-amat berharap agar kejadian banjir besar tidak berlaku pada tahun ini. Bulan December kepada yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak, inilah masa cuti persekolahan yang dinantikan oleh mereka dengan harapan ibu dan ayahnya boleh membawa mereka berjalan ke sana sini.

Bayangkan kalau mereka terpaksa bersendirian dengan ibu mereka tanpa kehadiran kita berjalan sana sini. Itu kalau ibunya pandai berdikari dan boleh bawa anak-anak ke sana sini, kalau dapat pasangan yang tak pandai berdikari, maka bercutilah di rumah sahaja dengan menonton TV sementara menanti musim persekolahan di buka semula tahun hadapan.

Saya bukan hendak menyekolahkan sesiapa, apapun terpulang pada diri masing-masing, apa keutamaan kita dalam hidup, apakah keluarga kita di tangga teratas ataupun kerjaya kita lebih berharga, bagi saya tiada gunanya wang yang banyak yang kita miliki tetapi tidak mampu untuk bersama keluarga walaupun apa sahaja yang dihajati oleh anak-anak kita mampu kita penuhi dengan wang ringgit.

Di hari tua nanti, insyaAllah kalau dipanjangkan usia, mungkin kita boleh berbangga dengan Hadiah, Sijil serta Piala yang kita menangi hasil kejayaan gambar-gambar kita, tetapi apa kenangan kita bersama keluarga kita?

Artikel Berkaitan :

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.