Satu Hari Di Hari Raya | Dahulu Dan Sekarang | Kuala Penyu Sabah
© 2015 Wazari Wazir | HaiQal Di Hari Raya | (Kiri) Nikon D200 With 50 mm Lens | (Kanan) Fujifilm X100T With 23 mm Lens
“A photograph never grows old. You and I change, people change all through the months and years but a photograph always remains the same. How nice to look at a photograph of mother or father taken many years ago. You see them as you remember them. But as people live on, they change completely. That is why I think a photograph can be kind.”
– Albert Einstein –
Gambar di atas tersebut di rakam di tempat yang sama, di tangga rumah mertua saya di kampung di Kuala Penyu Sabah. Gambar di sebelah kiri tu di rakam pada tahun 2008, masa tu usia HaiQal 2 tahun lebih, menggunakan kamera Nikon D200 dengan menggunakan lensa 50 mm dan gambar sebelah kanan pula dirakam pada Hari Raya baru-baru ini dengan menggunakan kamera Fujifilm X100T dengan lensa 23 mm.
Nampak macam dah lama sangat kami tak pulang ke kampung, macam dah tujuh tahun kami tidak pulang beraya di Sabah. Actually hampir setiap tahun kami pulang ke Sabah, kalau bukan pada Hari Raya, kami pulang pada hari biasa, tahun lepas pun kami sekeluarga pulang ke Sabah walaupun bukan pada Hari Raya.
Cuma kadang-kadang kesempatan untuk bergambar tu agak terhad terutamanya di Hari Raya, di mana banyak masa digunakan untuk bersama ahli keluarga, bertanya khabar itu dan ini. Kalau nak ikutkan di kampung ini cukup banyak tempat-tempat menarik yang sesuai untuk photo shoot, kalau ada masa free.
Semasa pulang beraya di Sabah, baru-baru ini saya teringat untuk mengambil gambar HaiQal di tempat yang sama di mana saya pernah merakam gambarnya dahulu sewaktu usianya 2 tahun. Mulanya HaiQal agak malu untuk bergambar tanpa baju, maklumlah dia dah besar, tetapi setelah dipujuk berkali-kali dia setuju jugak selepas saya tunjukkan gambar lamanya dia di tangga ini, usia 2 tahun masa tu memang hampir mustahil untuk dia ingat.
Dalam tempoh tujuh tahun dah banyak perubahan yang berlaku, dalam gambar pada tahun 2008 tu, rumah di belakang tu masih lagi rumah kayu, tetapi kini rumah kayu tersebut telah dirobohkan dan diganti dengan rumah baharu, rumah batu. Di bawah rumah mertua saya pun dah banyak barang ada tak macam dahulu. Nampak agak berserabut tetapi itulah realiti sebuah kehidupan, nothing stay the same forever.
Gambar rakaman lensa 50 mm dan 23 mm (equivalent to 35 mm) juga memberikan perspective yang sedikit berbeza, 50 mm ternyata mampu menimbulkan subjek dengan bukaan lensa agak besar iaitu f/1.8 manakala hasil rakaman gambar terbaru dengan kamera Fujifilm X100T tersebut saya menggunakan aperture f/4.
Untuk pertama kalinya Hari Raya kali ini saya hanya membawa pulang kamera compact iaitu Fujifilm X100T, dan saya tinggalkan kamera DSLR di rumah. Lagipun semenjak dua menjak ini tumpuan saya lebih kepada merakam gambar yang sarat dengan cerita, lebih kepada environmental portraiture dan “bokeh” yang cantik dan menarik bukan lagi keutamaan.
Gambar HaiQal pada tahun 2008 tersebut saya godek semula hard disk lama saya yang berusia lebih lapan tahun, Alhamdulillah, kesemua file tersebut masih boleh lagi dibuka walaupun pada mulanya semasa saya sambungkan ke komputer saya dapat “warning” yang hard disk saya itu beyond repair, masih boleh dibuka tetapi tak boleh nak save atau buat apa-apa perubahan padanya.
Di sini juga ingin saya kongsikan betapa pentingnya kita menjaga gambar-gambar kita terutamanya dari segi “cataloging.” Cara penyimpanan gambar-gambar saya bukanlah sempurna sangat cuma untuk setiap file gambar saya tulis macam ni “Hari Raya 20081022” yang membawa maksud gambar Hari Raya pada Tahun 2008. Saya mulakan dengan Tahun 2008, Bulan 10 dan Haribulan.
Saya percaya setiap photographer ada cara masing-masing dalam menyimpan gambar, yang penting senang diakses semula. Lagi satu ingin saya kongsikan di sini juga, kepada anda yang telah memiliki Had Disk yang berusia lebih lima tahun ke atas, ada baiknya anda beli sebuah Hard Disk yang baharu dan transferkan kesemua gambar-gambar lama tersebut ke dalam hard disk yang baharu kerana kita tidak tahu entah berapa lama lagi hard disk tersebut boleh bertahan, jangan bertangguh kerana kesannya ialah penyesalan yang tidak berkesudahan terutamanya yang melibatkan gambar-gambar ahli keluarga kita.
Kalau kita benar-benar sayangkan hasil gambar-gambar kita, kita kena buat backup, paling tidak pun kita kena ada dua hard disk yang menyimpan file yang sama. Kebanyakan professional photographer biasanya ada 3 backup yang menyimpan gambar yang sama, “gambar cari makan” pasal gambar itu adakah sumber rezeki bagi mereka, selain memiliki backup yang banyak, mereka juga menyimpan di lokasi yang berbeza. So kalau apa-apa terjadi pada kediaman atau pejabat mereka, masih ada lagi backup yang disimpan di tempat lain ataupun di bangunan lain.
*Artikel Berkaitan : Mengapa Anda Harus Hasilkan Photo Book Peribadi