Photojournalism | Kesibukan Yang Melanda Seorang Photographer
© 2015 Wazari Wazir | Kemahkotaan Sultan Johor | Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Semenjak dua menjak pulang dari berkelanan ke Siberia ni, semakin sibuk pula dengan tugasan seharian, tugasan hakiki to be exact. Ada juga yang bertanya bila nak update story pasal Trans-Siberian Railway, memang niat dihati ingin dikongsi segala macam pengalaman semasa di Russia agar ada manfaat bersama namun apakan daya, saya juga memiliki jumah waktu yang sama dengan anda semua, tidak lebih dan tidak kurang, hanya 24 jam sehari sahaja.
Gambar di atas ni saya kongsikan semasa membuat liputan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor baru-baru ini, lebih sepuluh hari berkampung di Johor Baharu, walaupun Istiadat kemuncak hanya satu hari tetapi banyak acara sampingan yang perlu juga dirakamkan dan itu tidak termasuk raptai istiadat yang memakan masa berhari-hari agar tiada sebarang kepincangan semasa istiadat kemuncak tiba.
Selepas istiadat kemahkotaan tersebut, saya dan rakan-rakan di Jabatan Penerangan sekali lagi terlibat dalam acara penting negara iaitu 26th ASEAN Summit 2015, Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun ini dan sekali lagi hampir seminggu terlibat dalam merakam sejarah penting negara, datang ke KLCC awal pagi dan lewat petang atau malam baru pulang dan ada masa-masanya saya terlibat pula merakam majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam sebelah malamnya pula. Siang cover ASEAN, malam pula cover Tilawah Al-Quran.
Bila pulang ke rumah dah penat dan jumlah masa yang tersisa digunakan untuk bersama anak-anak dan isteri, nak update blog memang dah tak larat dah, actually kekadang nak curi masa makan pun tak sempat, that’s why badan saya maintain “sekeping.” Sedang sibuk bertugas di KLCC sempena ASEAN Summit 2015, dikejutkan pula dengan kejadian gempa bumi yang melanda Nepal, antara yang paling teruk selepas gempa bumi 80 tahun dahulu iaitu pada tahun 1934.
Tak sempat nak bernafas rasanya, gambar-gambar trip pertama saya ke Nepal pada tahun 2012 pun belum sempat saya kongsikan dan ceritakan pengalamannya, inikan pula trip terbaru saya ke Nepal awal tahun 2014 yang lepas. Sedar-sedar sudah banyak mercu tanda di Nepal terutamanya kawasan UNESCO World Heritage yang terdapat di sekitar Kathmandu telah ranap dan ada diantaranya yang hancur sama sekali menyembah bumi.
Nepal bukanlah sebuah negara yang maju seperti sesetengah negara di benua Eropah dan melihat kejadian yang berlaku tersebut, sukar untuk dibayangkan bagaimana mereka akan bangun untuk membina kehidupan yang baru. Terbayang seketika wajah-wajah Nepali yang sempat saya rakam semasa trip saya ke sana, bagaimanakah keadaan nasib mereka, harapan saya agar semuanya baik-baik sahaja, insyaAllah.
© 2012 Wazari Wazir | Old School Kitchen at Guest House in Thangsyap Langtang Valley | Nepal
© 2012 Wazari Wazir | Langtang Valley | Syabru Besi Old Village
Gambar di atas tersebut saya rakam semasa dalam perjalanan pulang ke Syabru Besi setelah menghabiskan 3,4 hari trekking di Langtang National Park. Sebelum sampai ke pekan kecil Syabru Besi, kami melalui kawasan ini yang juga dikenal dengan Old Syabru Besi, ataupun perkampungan kecil yang terletak di atas bukit berjiran dengan sebuah sungai yang mengalir deras airnya di bahagian bawah sana.
Menurut satu artikel terbaru National Geographic, kawasan Langtang ini merupakan antara kawasan yang paling teruk menerima kesan gempa, cuma kalau kita lihat di dada dada akhbar atupun news portal online, kebanyakan gambar kesan gempa dipaparkan di sekitar Kathmandu, sebabnya kebanyakan wartawan berkumpul di situ dan walaupun Kathmandu teruk dilanda gempa, masih banyak kemudahan asas boleh digunakan lagi tambahan pula lapangan terbang berdekatan dengan Kathmandu.
Berbeza pula dengan Langtang, sebuah kawasan yang agak terpencil, walaupun jaraknya dari Kathmandu hanya sekitar 120 KM tetapi mengambil masa hampir 9 jam menggunakan jalan darat untuk ke sini, 9 jam itu waktu sebelum gempa, sekarang ini kalau ada kawasan tanah runtuh dan kemungkinnan juga ada jalan yang tidak boleh dilalui, mungkin jumlah masa yang diambil akan jadi berganda.
Selepas ini, InsyaAllah saya akan terlibat pula dengan isitiadat Pertabalan Sultan Perak, dan mungkin akan habiskan masa di Perak hampir dua minggu lamanya dan sudah tentu saya tidak sempat untuk update blog. Gambar-gambar serta cerita tentang liputan Kemahkotaan Sultan Johor tak sempat saya kongsikan sudah sibuk pula dengan acara di Perak dan kisah Trans-Siberian Railway nampak ganyanya mungkin tergantung seperti juga kisah saya semasa mengunjungi sebuah masjid di Kiev Ukraine tahun lalu, sampai sekarang belum berupdate.
Apapun insyaAllah saya akan cuba update sikit-sikit mana yang sempat. Agak rugi juga sekiranya pengalaman yang dimiliki tidak dikongsi bersama kerana setiap orang memiliki pengalaman hidup yang berbeza-beza, mungkin dengan kita bertukar-tukar pengalaman kita akan dapat sedikit pengetahuan ataupun sedikit manfaat yang boleh kita guna pakai dalam kehidupan seharian kita, insyaAllah…