Tips Kembara Secara Solo | Pengurusan Kewangan
Awak kena ikut media lain ke Amsterdam, dan buat liputan foto Perdana Menteri di sana. Masih segar lagi dalam ingatan saya, jawapan daripada Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah JAPEN. Dalam hati berkata “macam mana nak ke Amsterdam ni, duit tak cukup ni. Entah berapa lama pulak saya akan bertugas di Amsterdam nanti.” Kemudian saya beritahu Pegawai Khas tersebut akan masalah yang saya hadapi. Bukan apa, kalau hendak diikutkan, tugas saya hanya di Ukraine di mana tragedi MH17 berlaku, team lain akan berangkat pulang ke Malaysia pada hari tersebut. Jadi saya bertanya kepada Pegawai Khas tersebut sama ada saya perlu ikut pulang atau ke Amsterdam. Tak pernah terlintas pula di fikiran saya, yang saya akan ke Amsterdam pula selepas Kiev Ukraine.
Hampir seminggu di KIEV Ukraine untuk liputan MH17, kini saya perlu ke Amsterdam pula. Selepas perbincangan ringkas, akhirnya pihak Jabatan bersetuju untuk memberi bantuan kewangan tambahan dengan kadar segera. Wang tambahan akan dimasukkan ke dalam akaun bank saya, untuk perbelanjaan di Amsterdam nanti. Syukur Alhamdulillah akhirnya masalah selesai. Dan lebih kurang sejam selepas itu, saya ke lobi hotel, (ada mesin ATM di lobi) dan saya berjaya mengeluarkan sejumlah wang untuk urusan ke Amsterdam.
Jadi, apa kena mengena dengan tajuk Kembara dan Pengurusan Kewangan yang hendak saya sampaikan di sini. Orang bukan nak dengar pasal kerja-kerja saya. Tunggu, ada point dia. Teruskan membaca.
AKTIFKAN KAD ATM UNTUK PENGELUARAN ANTARABANGSA
Saya tak nak cerita secara detail bagaimana cara atau step by step untuk aktifkan kad ATM anda supaya boleh mengeluarkan wang di luar negara. Ada banyak blog yang menulis tentangnya. Anda boleh Menelefon pihak bank, boleh lakukan secara online atau atas talian mengikut bank masing-masing dan cara saya, yang biasa saya buat ialah melaui Mesin ATM sahaja, lebih mudah. Yang penting tarikh untuk diaktifkan dan tarikh akhir untuk kad kita boleh guna di luar negara.
Saya nak sambung balik tentang kes di Kiev Ukraine tersebut. memandangkan saya mendapat arahan ke Ukraine pada awal pagi dan hari yang sama juga saya terpaksa bergegas ke KLIA dan terus ke Ukraine, saya tak sempat nak aktifkan kad ATM saya. Jadi apa yang saya buat? Saya call pihak bank di Malaysia, saya guna Maybank.
Kalau kita lihat di belakang kat ATM kita, ada tertera No Tel untuk “Outside Malaysia” maksudnya kalau di luar Malaysia, hubungi No tersebut. Saya call no tersebut dan mohon pihak Maybank untuk aktifkan kad ATM saya untuk tempoh tertentu, dan tak sampai 15 minit, kad saya dah diaktifkan. Kalau saya ada masa lebih banyak mungkin saya akan aktifkan sebelum ke luar negara.
Kepada seasoned traveler, mereka dah sedia maklum perkara ini. Kepada yang baru hendak mencuba kembara secara solo mungkin kurang peka dengan perkara ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana orang travel atau kembara berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya di sesebuah negara, banyak betul mereka bawa wang ringgit. Tak bahaya ke?
Sebenarnya tidak, mereka tidak membawa wang tunai yang banyak tetapi rahsianya ialah kad ATM. Ada saya terdengar dari seorang rakan, ada pengembara dari Malaysia yang mengembara lebih setahun keliling dunia membawa beberapa keping kad ATM dari berlainan bank semasa mereka kembara.
Mungkin ada yang bertanya sebab apa nak aktifkan kad ATM? Bawak duit cukup-cukup sudahlah. Sebab apa inilah, yang akan saya tuliskan di sini. Banyak sebab sebenarnya.
Salah satu sebab ialah supaya kita tidak perlu membawa jumlah wang yang banyak semasa kembara. Contoh kembara sebulan di Europe, takkan nak bawa USD1/2/3K menyamai RM4K/8/12K ke hulu ke hilir berseorangan. Agak bahaya. Kalau untuk tempoh yang singkat dalam USD500 mungkin tidak masalah.
Antara sebab lain ialah waktu KECEMASAN, bila kita travel bersendirian ini, talian hayat kita tidak banyak, selain berserah kepada Tuhan, tiada kawan-kawan yang dekat dengan kita yang boleh membantu kita. Perkara hendak jadi kadang-kadang kita tidak tahu.
Mungkin flight kita delay disebabkan cuaca teruk, ada mogok daripada Pilot syarikat penerbangan yang menyebabkan kita terkandas berhari-hari dan kita tiada wang tambahan sebab kita bawa wang cukup-cukup sahaja untuk perbelanjaan kita. Mungkin ada syarikat penerbangan yang menyediakan hotel. Kalau tiada, maka terpaksalah kita mencari hotel sendiri dan bayar sendiri. Mana nak cari duit. Belanja makan minum lagi.
Itulah pentingnya kita aktifkan kad ATM kita. Walaupun mungkin simpanan kita di dalam bank tidak banyak, mungkin kita boleh meminta bantuan ahli keluarga kita atau teman rapat kita untuk bank-in kan sejumlah wang ke akaun bank kita untuk kegunaan kita dan kita akan bayar bila pulang nanti.
Mungkin juga kita Under-Budget, maksudnya kita ingatkan wang yang kita bawa cuku-cukup atau memadai, rupa-rupanya tak cukup atau pelbagai faktor lain. Mungkin ada kawan-kawan yang memesan barang-barang yang agak mahal, contoh ada beberapa rakan kita ingin beli T-Shirt Hard Rock Cafe yang harganya lebih RM100, kalau sepuluh atau dua puluh orang dah berapa? Salah kita juga, yang gatal tangan upload gambar kita di depan Hard Rock Cafe di facebook, nak hampakan kawan-kawan tak sampai hati.
Nak beli semua duit tak cukup. Kalau kita dah aktifkan kad ATM kita, mudah sahaja, kalau kawan-kawan nak pesan apa-apa, minta mereka bank-in kan duit dahulu, bukan di Malaysia nanti baru nak bayar.
Sebelum itu, kena ingat juga wang yang dikeluarkan oleh mesin ATM di luar negara adalah mengikut kadar yang ditetapkan oleh bank tersebut, bank mesin ATM tersebut, dan kita akan dikenakan bayaran tambahan setiap kali keluaran, antara RM12-RM15, ikut rate yang dikenakan oleh bank kita di Malaysia, kira macam service charge. Kalau 10 kali keluar guna mesin ATM, terbanglah RM120 atau RM150 (rate ni anggaran sahaja). Jadi kena plan berapa banyak nak guna. Jangan kerap sangat keluar guna mesin ATM.
Banyak lagi contoh-contoh lain mengapa kita perlu aktifkan kad ATM kita, terutama kalau kita kembara secara solo. Kalau berkumpulan dan mengikuti rombongan, mungkin tak perlu, kalau ada kecemasan mungkin boleh pinjam dahulu duit daripada anggota rombongan lain, lagi pun kembara secara ramai-ramai ini kurang sikit terdedah dengan penipuan atupun kejadian yang tak diingini. Lebih selamat, senang cerita.
SEDIAKAN DUMMY DOMPET
Dummy dompet ni kira macam dompet palsu, tetapi bukanlah nampak macam palsu sangat. Kita guna dompet kecil yang murah, letaklah beberapa keping note kecil di dalam tu, letaklah apa jenis kad yang ada, expired bonus link ke, expired touch and go ke, expired credit card ke. Tujuan dia bukan apa, in case ada penjenayah yang meminta kita menyerahkan dompet kita (semoga dijauhkan dari berlaku), kita bagi sahaja dompet dummy tersebut, biasanya penjenayah ini tiada masa lama nak belek-belek dompet kita, dapat dia terus blah sahaja.
Tetapi, cara saya pula, saya jarang letak dompet di poket seluar masa kembara. Biasanya saya letak dompet kecil saya di dalam backpack yang kecil (daypack) sebelum keluar berjalan. Backpack yang besar saya tinggalkan di hotel/hostel. Saya hanya bawa sejumlah wang kecil yang saya hendak digunakan sahaja dan diletakkan di dalam poket seluar. Sebelum keluar saya dah bajet hendak beli apa. Contoh kalau akan ke pasaraya, saya dah tahu apa barang yang saya hendak beli dan bawa sejumlah wang untuk tujuan itu sahaja.
Sekiranya kita menginap di hotel yang mana kita ada bilik sendiri, kalau kita keluar berjalan, pastikan kita ada menyimpan sejumlah wang sedikit di dalam backpack yang kita tinggalkan di hotel tersebut. Sejumlah lagi kita sembunyikan di bahagian-bahgain tertentu di dalam bag kita, selitkan di celah-celah buku ke atau ada ruang tersembunyi ke. Ada juga yang simpan dalam plastik dan selitkan di dalam stokin supaya tak berbau dan hancur bila pakai kasut. Letak dalam topi pun boleh, yang mana boleh selit, kita selit.
Cara lain beli “Money Belt” kira macam beg pinggang yang nipis yang cukup untuk mengisi wang kertas dan masukkan dalam baju kita. Point dia, jangan simpan semua wang kita di satu tempat, asing-asingkan. Kad ATM juga simpan di tempat yang selamat, itu talian hayat terakhir kita kalau keputusan wang ringgit.
Setakat ini yang dapat saya kongsikan tentang kewangan masa travel, tentang berjimat cermat ke, itu ini, lain kalilah, sekiranya sahabat semua ada idea lain macam mana nak uruskan kewangan masa travel, semasa di luar negara, boleh kongsikan tips tersebut di ruangan komen dan insyaAllah saya boleh masukkan di dalam artikel ini. Lain orang lain caranya, mungkin ada yang lebih baik dari saya. Apa salahnya kita kongsi bersama, untuk manfaat bersama, insyaAllah…
Artikel Berkaitan : Tips dan Persediaan Sebelum Mengembara Secara Solo
Artikel Berkaitan : TRANS-SIBERIAN RAILWAY | Berapa Lamakah Jumlah Masa Diperlukan Untuk Trip Ini
Artikel Berkaitan : Memburu Impian | Kembara Trans-Siberian Railway