Tips Dan Persediaan Untuk Mengembara Secara Solo Keliling Dunia
“The Only Impossible Journey Is The One You Never Begin.”
-Tony Robbins-
Hujan turun agak lebat lebat pada waktu itu, dengan kilat sabung menyabung, seolah-olah menduga-duga perasaan saya ketika itu. Seolah-olah menguji kecekalan hati saya waktu itu untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil dan isteri untuk tempoh yang agak lama. Bertarikh 8 Disember 2014 dan bermulalah pengembaraan solo saya yang pertama ke Rusia, sebuah negara yang saya belum pernah saya jejaki.
Saya bukan mengada-adakan cerita tetapi memang begitulah keadaanya sewaktu saya melangkahkan kaki ke Stesen ERL Bandar Tasik Selatan untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA di Sepang. Sebaik selesai sahaja menunaikan solat Maghrib saya meminta isteri saya menghantar saya ke Stesen ERL Bandar Tasik Selatan.
Rasanya cukuplah introduction atau pengenalan setakat itu, saya bukan hendak menulis cerpen di sini tetapi ingin berkongsi sedikit tips tentang mengembara secara solo dari pengalaman saya sendiri. Kalau hendak diikutkan result atau keputusan carian “Solo Travel” di Google sudah melebihi 900 juta, maksudnya sudah terlalu banyak topik ditulis dan juga kalau hashtag #solotravel di Instagram pula sudah mencecah 4 juta.
Memandangkan mengembara secara Solo atau bersendirian sudah semakin popular, di bawah ini saya kongsikan sedikit persediaan ataupun tips sebelum anda memulakan pengembaraan solo anda. Kepada yang benar-benar serius, teruskan membaca, kepada yang sekadar baca untuk suka-suka, mungkin anda boleh berhenti di sini, dan buat kerja lain yang lebih berfaedah.
KEBERANIAN :
Bagi saya keberanian adalah faktor paling penting sekali, sebab apa? Lihat sahaja disekeliling kita, berapa ramai di antara kawan-kawan kita yang agak berada, yang agak baik dari segi ekonominya, kesihatannya tetapi takut untuk mengembara secara solo dan lebih selesa untuk mengambil pakej-pakej pelancongan dari agensi pelancongan.
Salah ke, ikut travel agency? Dah tentu tak salah, siapa kata salah, saya tak kata salah. Cuma tujuan artikel ini ditulis ialah untuk memberi tips kepada sesiapa sahaja yang mungkin sudah biasa ikut travel agency dan ingin cuba travel secara solo pula.
Keberanian ini lebih kepada mental berbanding fizikal, kalau kita lihat sekarang ini dah ramai anak-anak muda baik lelaki ataupun wanita yang keluar mengambara secara solo dan kebanyakan dari mereka bukanlah pemegang tali pinggang hitam ilmu silat, Taekwondo, karate dan sebagainya tetapi orang biasa seperti kita yang size badan biasa-biasa, bukan berbadan sado seperti Arnold Schwarzenegger, Vin Diesel ataupun wanita fit seperti Angelina Jolie ataupun Jessica Biel.
Yang penting keberanian, kita kena berani memecah tembok ketakutan untuk berjalan seorang diri. Tipulah kalau saya kata, saya tidak merasa takut untuk ke Russia seorang diri, ke sebuah negara yang belum pernah saya jejaki.
Sekiranya saya ke Kashmir ataupun ke Istanbul berseorangan, mungkin tidak jadi hal sangat sebab saya telah ke sana bersama teman-teman, mungkin kurang kekok tetapi untuk ke sebuah negara yang kita belum pernah sampai dan apatah lagi macam-macam cerita yang kurang baik tentang Rusia buat hati ini berdebar-debar juga, tetapi kalau saya tidak runtuhkan tembok ketakutan di dalam diri saya ini, entah bila agaknya saya akan ke Russia.
Jadi kita kena bulatkan tekad dan yakinkan diri. Untuk permulaan kita mungkin boleh mengembara seorang diri di dalam Malaysia sahaja. Sekiranya kita tinggal di di Kuala Lumpur, mungkin kita boleh cuba kembara seorang diri dengan menaiki perkhidmatan awam, bas, teksi, kereta api ke utara atau selatan tanah air ataupun ke pantai timur. Kalau ada modal lebih sedikit mungkin kita boleh terbang ke Sabah atau Sarawak.
Tetapi, tetapi jangan menipu diri sendiri, kalau kita hendak berlatih mengambara secara solo, kita kena berdikari. Walaupun kita ada kenalan di seluruh Malaysia, cuba kembara secara solo dahulu. Contoh kita mungkin ada kenalan di Pantai Timur atau di Sabah/Sarawak. Untuk 2,3 hari pertama tak perlu hubungi kawan-kawan anda di sana, rahsiakan pemergian anda. Buat pergerakan sendiri.
Sebaik tiba di lapangan terbang, ikhtiar cari pengangkutan awam untuk ke bandar atau mana-mana destinasi yang kita hendak tuju. Cari hotel sendiri yang kita telah siap booking dan kalau belum booking, mungkin kita boleh survey sendiri mana-mana hotel dalam bandar tersebut tanpa mengharapkan bantuan kawan-kawan.
Tujuannya untuk mengajar kita erti berdikari. Kalau awal-awal lagi dah beritahu kawan hendak ke sana, minta dia ambil di airport, minta tolong mereka booking hotel dan bawakan kita ke hotel, sampai bila-bila pun kita tidak mungkin akan pandai berdikari dan belum bersedia untuk kembara secara solo. Selepas 2,3 hari “bersendirian” mungkin kita boleh contact kawan kita untuk berjumpa, minum-minum dan bersembang. Kena biasakan dahulu dengan trip-trip solo seperti ini untuk membina keyakinana diri dan juga keberanian.
Banyakkan berfikir tentang perkara-perkara positif dan kurangkan berfikir tentang perkara-perkara negatif. Memang betul wujud scam ataupun penipuan di mana-mana hatta di malaysia sendiri pun, jadi ke mana sahaja kita travel kalau kita ambil langkah berhati-hati, insyaAllah perjalanan kita akan jadi selamat.
Keberanian itu akan datang sedikit demi sedikit melalui pelbagai pengalaman hidup, tetapi kalau hendak beli tiket kapal terbang pun kita rasa fobia, hendak menonton wayang ataupun makan bersendirian di warung kopi pun kita rasa kekok, mungkin agak payah saya nak membantu. Mungkin kena rujuk Pakar Psikiatri terleih dahulu.
TENTUKAN DESTINASI YANG INGIN DI TUJUI.
Ini penting terutamanya untuk menjimatkan perbelanjaan kita. Sebab apa? Contoh ialah tiket penerbangan, sekiranya kita ingin ke satu-satu destinasi di luar negara dengan menggunakan Kapal Terbang, kebiasaanya harga tiket lebih murah sekiranya kita beli lima enam bulan lebih awal ataupun ketika ada promosi. Tetapi sebelum itu kita kena tentukan dahulu destinasi mana kita hendak pergi. Kalau tidak, rambang mata bila ada promosi, tak tahu nak ke mana dan akhirnya satu tiket pun kita tak beli.
Jadi tentukan matlamat kita, kadang-kadang kita boleh jimat ribuan ringgit atau ratusan ringgit sekiranya kita membeli tiket dengan lebih awal dan penjimatan itu kita boleh guna untuk buat bayaran lain seperti membeli makanan ataupun untuk bayaran hotel.
Saya biasa gunakan Apps SKYSCANNER untuk melihat harga tiket kapal terbang. Tetapi saya tidak membeli melalui Apps tersebut, cuma melihat perbandingan harga untuk har-hari atau bulan-bulan tertentu. Sekiranya saya jumpa harga tiket yang agak murah ataupun lebih murah dari kebiasaan maka saya akan membeli terus melalui website ataupun Apps syarikat penerbangan terbabit.
Di sini saya cadangkan kita install beberapa Apps syarikat penerbangan di Smartphone kita untuk memudahkan urusan pembelian. Mungkin ada yang belum tahu, selain MAS dan AirASIA, ada banyak lagi syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia yang boleh membawa kita terbang ke merata dunia, jadi kita boleh install Apps beberapa syarikat penerbangan lain di Smartphone kita.
Kepada yang belum biasa kembara bersendirian ini, sebaiknya, maksud saya selepas training di Malaysia, pilihlah negara yang berdekatan Malaysia dahulu, seperti Singapura, Thailand, Brunei, Kemboja, Myanmar. Senang cerita ke negara-negara di Rantau ASEAN, kerana harga tiket penerbangan tidaklah terlalu membebankan.
TIPS, bagi saya sebelum kita membeli tiket penerbangan, ada baiknya kita buat homework dulu tentang sesebuah negara yang kita ingin pergi dan bukannya beli tiket dahulu dan kemudian baru mengelabah buat homework. Tetapi kalau kita ada masa lebih enam bulan atau setahun sebelum terbang mungkin tiada masalah untuk kita buat homework setelah beli tiket.
Untuk trips ke Rusia saya ambil masa lebih dari setahun buat homework baru saya beli tiket penerbangan. Sebab? Agak komplikated untuk ke Rusia, perlu apply visa, perlu dapatkan LOI ataupun Letter of Invitation sebelum memohon Visa, perlu beli tiket kereta api secara online dan macam-macam lagi. Sekiranya saya tak cukup maklumat dan terus beli tiket penerbangan ke Moscow, ada kemungkinan trip saya tak jadi dan wang habis begitu sahaja.
Ada tempat ambil masa yang agak lama untuk buat research, ada tempat mungkin seminggu atau sebulan cukup untuk buat research seperti untuk ke Krabi, Bangkok, Singapore atau ke Bali.
Bila dah bulatkan tekad, dah pasti itu harga termurah yang kita boleh dapat, beli terus, jangan tangguh-tangguh lagi. Saya banyak kali buat kesilapan bertangguh, dah nampak harga tiket yang agak murah dari kebiasaan, tetapi bertangguh, bila dah dekat tempoh atau masa yang saya rasa rancang nak travel baru nak beli, harga tiket menjadi mahal, jadi saya tak beli,last-last trip tak jadi.
Macam mana nak tahu harga tiket tu murah ke tak? Senang sahaja, kena selalu tengoklah, kena selalu tengok di SKYSCANNER ataupun kalau ada promosi oleh mana-mana syarikat penerbangan tengok harga tiket dia. Tetapi seperti yang saya tulis tadi, kita hanya akan tahu harga tiket itu lebih murah dari biasa kalau kita selalu tengok harga yang “biasa” kena selalau tengok, setiap hari atau setiap minggu ke destinasi impian kita.
Kira macam harga barang-barang di pasar ataupun di supermarket, maksud saya barang-barang yang biasa kita tengok atau beli kita dah tahu harga dia macam mana, kalau naik turun kita akan alert. Sama juga macam tiket flight.
Contoh, kebiasaanya harga tiket Flight RETURN untuk ke Istanbul dari Kuala Lumpur ialah antara RM2500-RM3000, tetapi tiba-tiba kita nampak harga tiket ke Istanbul untuk bulan-bulan tertentu cuma RM1900 sahaja untuk penerbangan pergi balik dengan pesawat QATAR atau EMIRATES (Tetapi Perlu Transit di Doha/Dubai). Apa tunggu lagi, terus beli, jangan harap harga akan turun hingga RM1500 return, sangat-sangat jarang berlaku. Kalau kita dapat harga tiket RM2K pun dah banyak yang kita jimat dan boleh gunakan untuk perbelanjaan lain.
Point dia, tentukan destinasi mana yang ingin kita kembara, selalulah melihat harga-harga tiket dari masa ke semasa, hanya dengan ini kita akan alert akan perubahan harga tiket. Bila jumpa harga tiket yang jauh lebih murah dari kebiasaan, terus beli. Jangan tunggu lagi ataupun trip anda tak menjadi.
Sebelum terlupa, pastikan negara mana yang kita ingin pergi itu, sebelum membeli tiket, sama ada memerlukan VISA atau tidak. Ini memudahkan kita membuat persediaan selanjutnya.
BOOKING HOTEL / HOSTEL.
Langkah seterusnya setelah kita membeli tiket adalah untuk kita memilih tempat penginapan. Ini petnting terutama sekiranya kita ingin mengembara ke negara yang memerlukan VISA. Kerana ada sesetengah negara memerlukan kita memberikan mereka bukti penempahan tiket kapal terbang balik dan juga penginapan, di negara mereka sebelum VISA dikeluarkan.
Kita tidak perlu booking penginapan untuk tempoh selama mana kita berada di negara tersebut, cukup kita booking untuk satu atau dua malam sahaja. Selebihnya kita mungkin boleh walk-in sahaja di sana nanti sekiranya kita terjumpa lokasi hotel/hostel yang lebih baik dan menepati citarasa kita di sana nanti.
Tentang booking hotel/hotel awal ini sebaiknya kita lakukan selepas sahaja kita membeli tiket, terutamanya sekiranya kita ingin kembara di musim-musim cuti perayaan ataupun ke destinasi-destinasi yang popular ataupun memilih untuk tinggal di kawasan tumpuan backpackers.
Dengan membuat tempahan awal, kita mungkin dapat jimat banyak wang, sebab kebiasaannya sekiranya tempahan dibuat agak lewat, mungkin harga akan jadi lebih mahal ataupun paling teruk lagi, bilik yang kita mahupun telahpun habis dibooking orang.
Kembara secara backpackers biasanya kita akan memilih hostel atau hotel yang kecil sahaja yang hanya mempunyai bilik yang terhad, tidak seperti hotel-hotel besar yang mahal yang mana mempunyai ratusan bilik-bilik untuk ditempah. Jadi buat tempahan seawal mungkin.
Pilihan terpulang kita, saya ada menempah menggunakan booking.com, Hostelbookers.com, Agoda dan ada juga yang saya email sendiri ataupun direct booking dengan pihak hostel atau hotel terbabit.
Tentang pemilihan hostel ini yang paling utama bagi saya ialah lokasi, kalau boleh dapatkan hotel/hostel yang berhampiran dengan tempat yang ingin kita kunjungi. Kalau boleh lokasi tempat menarik yang ingin kita kunjungi itu hanya perlu berjalan kaki sahaja. Paling tidak pun carilah hotel/hostel yang hampir dengan pengangkutan awam, sama ada stesen bas, Stesen Metro/Tram, Stesen kereta Api dan sebagainya untuk memudahkan pergerakan kita.
Contoh semasa di istanbul saya memilih untuk menginap di Hostel kawasan Sultanahmet yang mana di kawaan ini banyak lokasi tumpuan yang menarik yang boleh dikunjungi hanya dengan berjalan kaki sahaja. Contohnya, Masjid Biru, Muzium Topkapi, Aya Sofya, Grand Bazaar dan sebagainya. Dengan memilih lokasi penginapan yang hampir dengan tempat-tempat yang ingin kita kunjungi akan memudahkan pergerakan kita serta menjimatkan wang ringgit. Penat berjalan kita boleh pulang ke hotel semula, rehat sekejap dan keluar lagi.
Gunakan kemudahan Google Map untuk melihat jarak antara lokasi-lokasi yang ingin kita kunjungi dengan penginapan yang kita pilih. Ada sesetengah orang main booking sahaja hotel dahulu, nampak harga murah terus booking, lepas tu dah sampai tempat dituju baru tahu yang lokasi hotel mereka agak jauh dari tempat yang ingin dikunjungi. Dan kos pengangkutan pula agak tinggi untuk ke destinasi pilihan mereka, hendak berjimat tetapi sebaliknya yang berlaku.
Contoh kesilapan yang biasa dilakukan, kita ingin kembara ke Istanbul, kita search hotel/hostel, nampak harga murah kita book, rupanya hotel yang kita pilih ialah di Taksim. Tanpa melihat peta di Google Map, kita terus beli, bila dah sampai baru tahu yang lokasi Taksim agak jauh dari Blue Mosque, yang berjarak lebih kurang 7-8KM, jauh sangat tidaklah, tetapi sanggup ke nak jalan kaki untuk 7-8KM. cara lain ialah dengan menggunakan perkhidmatan TRAM.
Tetapi sekiranya memang Taksim menjadi piliah kita itu tak jadi masalah. Problem dia ialah kalau kita tersalah pilih, maksud saya. Kita harapkan hotel tersebut dekat dengan Blue Mosque, rupanya jauh. Tetapi kalau dah memang berhajat untuk menjadikan Taksim sebagai tapak kita bersiar-siar di Istanbul, itu perkara lain.
Di Istanbul saya memilih Cordial House Hotel CORDIAL HOUSE HOTEL yang hanya berjarak lebih kurang 400 meter sahaja ke Blue Mosque, manakala di India, saya memilih Hotel di sekitar Taj Ganj, yang lokasinya ke Taj Mahal, lebih kurang lima minit berjalan kaki sahaja.
SISTEM PENGANGKUTAN.
Sistem pengangkutan juga merupakan antara perkara uatama yang perlu kita berikan tumpuan, terutamanya sewaktu kita mula tiba di sesebuah negara. Darai Lapangan Terbang kita hendak ke pusat bandar bagaimana. Apa alternatif yang ada selain menggunakan perkhidmatan Teksi. Kebiasaannya saya cuba untuk mengelak untuk menaiki teksi terutamanya dari airport kerana, kebiasaanya kos menaiki Teksi dari airport adalah agak tinggi berbanding pengangkutan lain. Sekiranya anda pengembara berpoket tebal, mungkin ianya tiada masalah bagi anda.
Cuba lihat alternatif lain, sebagai contoh, sekiranya kita tiba di lapangan Terbang Heathrow London untuk ke Paddington atau ke Pusat bandar, selain teksi, kita boleh menaiki bas, Heathrow Express yang agak mahal ataupun London Underground (Tube) yang lebih murah. Setelah tahu alternatif yang ada, kita kena ambil maklum juga di mana lokasi sistem pengangkutan tersebut dan kena ambil maklum juga tentang jadual perjalanannya terutama waktu paling awal beroperasi dan waktu terakhir beroperasi.
Sekiranya kita telah membuat persediaan awal, maka kita tiadalah tercangak-cangak seorang diri di airport nanti tanpa tahu hala mana hendak dituju. Jangan tunjuk sangat yang kita ni seorang pelancong. Itu pentingnya kita study dahulu, setidaknya bila kita keluar sahaja dari airport atau dalam terminal lagi kita dengan yakin atau confident tahu nak keluar pintu mana, nak naik lift mana dan nak tunggu bas atau ambil tram di mana. Semuanya akan memudahkan pergerakan kita.
Biasanya amat jarang sistem pengankutan yang kita pilih akan terus membawa kita ke hadapan pintu hotel pilihan kita. Jadi kita kena tahu pula pengangkutan seterusnya ataupun jaluran Metro/Tram yang perlu kita ambil untuk menuju ke hotel kita. Kebanyakan sistem pengangkutan utama di dunia ada menyediakan Apps untuk memudahkan pergerakan kita.
Cuma bagi saya, saya akan cetak peta laluan kereta api, tram atau metro di sesebuah bandar untuk memudahkan pergerakan saya. Kalau selalu sangat tengok smartphone, bateri pun akan habis, kita pula belum lagi masuk ke hotel, macam mana nak charge bateri. Jadi ada baiknya kita ada hard copy untuk memudahkan urusan kita, kalau kita tak pasti boleh tanya orang sekitar dan tunjukkan map kita tu.
Selain dari mengetahui tentang sistem pengangkutan, kita juga perlu ambil maklum tentang kos sesuatu pengangkutan tersebut agar kita boleh merancang perjalanan kita sesuai dengan bajet yang kita ada.
Jangan takut menggunakan perkhidmatan awam berseorangan seperti bas, tram, metro dan sebagainya. Jangan takut mereka manusia biasa sperti kita juga, tak makan orang. Jangan mudah sangat terpengaruh dengan Filem Train To Busan, yang mana ada Zombie di dalam tu dan juga jangan terpengaruh denga filem Murder on the Orient Express yang mana ada pembunuh di dalam tu.
Itu hanya cerita sahaja, kebarangkalian untuk perkara tersebut berlaku sangatlah tipis. Saya pernah bersesak-sesak menaiki bas dan tram di waktu puncak di negara orang, insyaAllah semuanya ok, cuma pastikan kita menyimpan passport, wang atau dompet kita di tempat yang selamat. Di dalam backpack kecil yang kita galas di hadapan kita sebagai contoh.
Panjang lagi saya hendak tulis, tetapi cukuplah dahulu buat masa ini. Ada berpuluh-puluh lagi tips yang ingin saya kongsikan, tetapi saya lebih suka menulis secara detail berbanding secara ringkas, supaya kita mudah faham kenapa dan mengapa sesetengah keputusan itu diambil oleh seseorang pengembara solo.
Nampak macam agak rumit, boleh dikatakan rumit juga, sebab itu ramai yang memilih untuk travel bersama agansi pelancongan. Bayar sahaja dut dan tak payah pening kepala tetapi bila ditipu agensi pelancongan, pening kepala juga kita. Moral of the story, sedikit sebanyak kita perlu juga ambil tahu tentang perjalanan kita. Jangan serahkan 100% pada agensi sekiranya kita memilih agensi pelancongan.
Sedikit tentang gambar di atas, gambar tersebut saya rakam sewaktu dalam perjalanan kereta api dari Moscow ke Kazan yang mengambil masa selama 12 jam. Sebab saya rakam gambar ini ialah kerana, saya rasa tenang melihatnya tidur bersendirian di sana. Dari segi usia mungkin lewat 50an. Dia bersendirian, mungkin untuk pulang ke kampung halamannya atau ada urusan di Moscow dan ingin kembali ke Kazan. Beg yang dibawa pun kecil sahaja tanpa membawa bekalan makanan yang banyak.
Saya seolah-olah melihat diri saya sendiri tatkala sedang lena tidur dari sudut pandangan mata orang lain. Nyenyak sekali tidur di dalam kereta api yang sedang bergerak laju, seakan dibuai-buai, bukan sahaja tubuh badan dibuai-buai, perasaan juga turut dibuai-buai teringatkan keluarga yang jauh ditinggalkan di Malaysia.
Cukuplah dahulu, insyaAllah nanti saya sambung lagi dengan tips-tips seterusnya…
Artikel Berkaitan : Kembara Trans_Siberian Railway | Berapa lama Masa Diperlukan?