Pengalaman Menaiki Kereta Api Darjeeling Himalaya | Darjeeling Himalayan Railway
DARJEELING? Di mana Darjeeling? Darjeeling terletak di sebelah West Bengal atau Barat Bengal. Apa yang ada di Darjeeling, tentang ini susah saya hendak jawab, sebab agak subjektif. Semuanya bergantung kepada minat masing-masing. Bagi saya, salah satu sebab utama saya ke Darjeeling ialah untuk merasa menaiki Kereta Api Wap (Steam Locomotive) Darjeeling yang telah berusia lebih 100 Tahun.
Kepada Yang berminat tentang kereta Api, boleh teruskan pembacaan anda, tetapi sekiranya anda kurang berminat dengan kereta api, mungkin anda boleh berhenti di sini sahaja, tetapi kalau anda curious hendak tahu apa bestnya Kereta Api Darjeeling Himalaya ini, teruskan membaca. Apa yang saya tulis di sini tidak sama seperti apa yang telah disiarkan di METRO AHAD
Bagaimana Darjeeling Mendapat Nama?
Ada dua tiga versi, tetapi yang paling popular adalah ianya diambil dari perkataan Tibet (Tibetan Word) iaitu “Dorje” yang membawa maksud Thunderbolt atau Halilintar dan juga “Ling” yang membawa maksud Place or Land, Tempat, atau Tanah, jadi Darjeeling membawa maksud Tanah Halilintar “The Land of The Thunderbolt“
Selain dari itu ada kisah lain pula, iaitu ada sebuah biara yang dibina oleh Sami Buddha di sebuah bukit pemerhati (Observatory Hill) pada tahun 1763, di mana ketua Sami biara di sana bernama Rinzing Dorji Legden La. Dan Orang Tibet menamakan tempat ini dengan namanya “Dorji-Ling” (Place of Ling) atau tempat Dorji.
‘The railway journey up the mountain is forty miles, and it takes eight hours to make it. It is so wild and interesting and exciting and enchanting that it ought to take a week.’– Mark Twain –
Sekiranya kita faham kata-kata penulis terkenal Amerika ini, maka kita mungkin boleh sedikit sebanyak mengagak kenapa Darjeeling ini adalah salah sebuah destinasi yang boleh dikatakan menarik, bergantung kepada individu.
Untuk pengetahuan, di India terdapat tiga laluan kereta api tanah tinggi, iaitu kereta api yang melalui kawasan berbukit ataupun lereng gunung, selain Darjeeling Railway, ada dua lagi iaitu Nilgiri Mountain Railways yang terletak di Tamil Nadu Selatan India dan juga Kalka Shimla Railway yang terletak di kaki Banjaran Himalaya di Himachal Pradesh sebelah Barat Utara India.
Jadi apa yang menariknya? Pertama, tentang kereta api itu sendiri iaitu Lokomotifnya yang telah berusia lebih 100 tahun dan yang lebih utama ialah tentang pemandangan sepanjang laluan kereta api ini.
Saya belum pernah mencuba kereta api laluan Nilgiri dan juga Kalka Shimla, tetapi apa yang boleh saya katakan setelah melalui pengalaman menaiki kereta api Toy Train Darjeeling ataupun “kereta api mainan” ini ialah, sama seperti kata-kata penulis Mark Twain di atas, iaitu sepatutnya perjalanan kereta api ini mengambil masa seminggu atau lebih.
Walaupun ada masa dan ketikanya rasa kecut perut disebabkan laluan kereta api yang betul-betul berada di tepi lereng bukit yang curam. Hendak ambil gambar di luar tingkap pun kadang-kadang rasa takut, takut kalau-kalau bila kita menyandar rapat di tepi tingkap, kita risau gerabak kereta api itu akan senget dan terbalik ke laluan yang curam tersebut.
Pernah beberapa kali Kereta Api Darjeeling ini tergelincir dari landasan dan ada ketikanya terjejas akibat kejadian tanah runtuh. Nak cerita lebih-lebih tentang kejadian itu di sini, nanti takut pulak orang hendak naik kereta api ini, tapi memang pernah berlaku. Kalau tergelincir di kawasan tanah rata, mungkin kurang menakutkan, tetapi kalau tergelincir di tebing bukit yang curam, ianya adalah sesutu yang menakutkan.
Toy Train atau Darjeeling Himalayan Railway DHR ini ada dua jenis iaitu Lokomotif berenjin wap dan berenjin diesel. Kedua-duanya mengikut laluan landasan yang sama, cuma ditarik oleh lokomotif yang berbeza. Sama ada kita memilih untuk menaiki gerabak yang ditarik oleh lokomotif berenjin wap ataupun berenjin diesel, pemandangan yang akan kita lihat adalah sama sahaja.
Tetapi bagi saya pengalamannya berbeza, dan oleh sebab itu saya memilih untuk menaiki kereta api yang ditarik oleh lokomotif berenjin wap. Satu ketika dahulu kereta api wap Darjeeling ini bermula dari Darjeeling ke Stesen New Jalpaiguri tetapi kini laluan untuk kereta api wap ini hanya dari Darjeeling ke Ghum sahaja iaitu stesen keretapi tertinggi di India, pada ketinggian 7,407 kaki dari aras laut.
Kereta api berenjin wap yang membawa pelancong ini dikenali dengan nama Joyride. Tambang pergi balik (Return Journey) untuk lokomotif berenjin wap ialah Rs1,310 (RM75.60), manakala enjin diesel pula sebanyak Rs805 (RM46.50).
Trip pergi balik Joyride ini memakan masa dua jam, termasuk berhenti selama 10 minit di Batasia Loop di mana di situ terdapat Tugu Peringatan Tentera Gurkha dan juga pemandangan menarik menghadap Banjaran Himalaya. Kemudia kereta api ini akan berhenti pula di Stesen Ghum selama 30 minit untuk memberi peluang penumpangnya singgah di Muzium Kereta Api Ghum yang terletak di sebelah stesen tersebut.
Sebahagian besar pengguna kereta api ini baik diesel atau wap adalah pelancong asing dan tempatan sahaja memandangkan tambangnya yang agak mahal untuk kegunaan harian. Sebahagian besar penduduk di sini menggunakan kenderaan sendiri, baik motosikal ataupun kereta kerana lebih mudah dan cepat berbanding kereta api yang hanya bergerak mengikut jadual yang ditetapkan.
Di Darjeeling ini saya banyak menghabiskan masa di Stesen Keretapi Darjeeling berbanding berjalan-jalan di kawasan sekitarnya. Bukan tidak berjalan langsung, ada, sempat juga melawat kawasan-kawasan pasar, deretan kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barangan dan cenderahati, cuma tidak berapa focus sangat.
Kalau kita lihat di dalam gambar di atas, boleh diperhatikan Banjaran Himalaya betul-betul berada di belakang bukit-bukit di mana terdapat kawasan perumahan diatasnya. Satu pemandangan yang boleh menghilangkan lelah setelah seharian bekerja.
Sebelum ini saya ada beritahu bahawa laluan keretapi berenjin wap ataupun diesel adalah sama tetapi pengalamannya berbeza. Antara yang paling ketara ialah bunyi hon keretapi wap yang seakan-akan bunyi siulan yang cukup mengasyikkan, berbanding bunyi hon daripada kereta api berenjin diesel yang hampir lebih kurang sama dengan bunyi hon kereta api lain di India.
Pemandangan dari luar tingkap memang cukup menarik, Alhamdulillah pada waktu saya menaiki keretapi ini, cuaca sangat baik, cukup jelas kelihatan Banjaran Himalaya dan juga puncak Gunung Kanchenjunga di luar tingkap kereta api, cuma saya tahankan diri supaya tidak mengambil gambar pemandangan tersebut, sebaliknya ingin enjoy sepuasnya pemandangan di hadapan mata tanpa ada apa-apa gangguan.
Cerita panjang pun tak guna sebenarnya, kepada yang bermimat untuk merasa pengalaman menaiki keretapi wap Darjeeling ini yang mana pernah juga dinaiki oleh pelakon popular Shah Rukh Khan dalam Filem Raju Ban Gaya Gentleman (1992), sewaktu beliau menyanyikan lagu ‘Dil Hai Mera Deewana’. Teruskan membaca.
BAGAIMANA KE DARJEELING :
Untuk pelancong atau pengembara dari Malaysia, pintu masuk ke India yang paling hampir ke Darjeeling ialah KOLKATA. Tetapi dari Kolkata ke Darjeeling masih jauh lagi. Kalau kita inginkan cabaran kita boleh memilih untuk menaiki kereta api dari Kolkata dari Stesen Kereta Api Howrah yang mana akan mengambil masa perjalanan antara sembilan hingga sebelas jam, bergantung kepada jenis kereta api yang kita pilih.
Satu cara lagi kalau hendak cepat ialah dengan menaiki kapal terbang domestik dan turun di Lapangan Terbang BAGDOGRA. Saya mengambil penerbangan awal pagi iaitu jam 6AM pagi dari Kolkata ke BAGDOGRA yang mengambil masa penerbangan selama lebih kurang 1 jam 20 minit. Dan selepas itu kita perlu meneruskan perjalanan darat selama 3 jam lagi untuk sampai ke Darjeeling.
Di Siliguri ada banyak 4X4 menunggu, kenderaan pacuan empat roda MAHENDRA atau TATA, di sini orang panggil SUMO atau shared taxi. Maknanya kita kongsi satu kenderaan tetapi murah.
Satu kepala cuma Rs150 sahaja, lebih kurang RM9 untuk 3 jam perjalanan cuma kita kena berhimpit-himpit di dalam 4×4 yang penuh dengan 10 orang penumpang dan seorang pemandu. Sebab berhimpit-himpit ini juga penyebab saya tak dapat hendak rakam pemandangan menarik sepanjang perjalanan ke Darjeeling, duduk ditengah-tengah kena himpit, nak bergerak pun payah apalagi hendak keluarkan kamera ke tingkap.
Saya cuma ada dua malam sahaja di Darjeeling, tak sempat nak explore banyak tempat. Hari pertama sampai hampir lewat petang. Hari kedua pulak separuh masa habis menaiki Joyride Darjeeling Himalayan Railway dan hari ketiga, awal pagi dah bergerak turun ke Bagdogra, untuk mengejar penerbangan ke GUWAHATI pula, iaitu destinasi seterusnya untuk ke NAGALAND. Nantikan sambungannya InsyaAllah…
Ikuti Pengalaman saya menaiki Kereta Api Joyride Ini di Pengalaman Menaiki Kereta Api Mainan Di Darjeeling
Artikel Berkaitan : The VOCKET : KEMBARA SOLO TRANS-SIBERIAN RAILWAY
One Comment
Shamilhaiqal
Assalamualaikum…. alhamdulillah pakcik punya job dah berkembang maju sehingga nama Pak cik ada di dalam buku teks form2
Saya berasa bangga kerana melihat pak cik berjaya…..semoga pak cik terus berjaya…jangan sia siakan peluang yang ada…. assalamualaikum 😊