Mengejar “Ghost Train” Di Kuala Krai Kelantan | Bahagian 1
GHOST TRAIN, mengapa saya menggunakan nama “Ghost Train?” Misi sebenar saya bukanlah mengejar Ghost Train, ataupun kereta api hantu, tetapi adalah personel assignment untuk merakam sendiri suasana pelajar-pelajar di Kelantan terutamanya di Daerah Kuala Krai yang menggunakan perkhidmatan kereta api untuk berulang alik ke sekolah. Bila saya dah sampai di Kuala Gris baru saya tahu mengapa mereka menaiki kereta api ke sekolah kerana di Kuala Gris tiada sekolah menengah, yang ada hanya di Dabong.
Saya tertarik dengan sebuah gambar yang saya terlihat di internet, saya pun tidak berapa ingat apa yang sebenarnya saya cari pada waktu itu tetapi imej beberapa pelajar sekolah sedang berjalan kaki di landasan kereta api dengan berlatarbelakangkan kereta api sangat menarik minat saya. lalu bermulalah research saya untuk mengetahui dimanakah lokasi gambar tersebut di rakam dan ke mana hala tuju pelajar-pelajar tersebut.
Melalui sekeping gambar tersebut membawa saya kepada beberapa keping gambar lagi dalam keadaan yang berbeza, cuma gambar yang saya cari itu tiada, atau mungkin pencarian saya tidak cukup “deep.” Apa yang saya cari ialah imej atau gambar pelajar-pelajar sekolah sedang menunggu kereta api di hentian kereta api awal pagi sebelum mereka tiba di Stesen Keretapi Dabong.
Gambar yang dimaksudkan itu dirakam di Stesen Keretapi Dabong, di mana pelajar-pelajar berjalan kaki di tepi landasan kereta api menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong yang terletak lebih kurang 100 meter dari stesen keretapi tersebut.
Saya berminat untuk mengetahui di mana pelajar-pelajar itu datang ataupun di mana mereka mula menaiki kereta api tersebut dan pukul berapa mereka keluar rumah. Gambar yang dirakam tersebut adalah beberapa tahun yang lalu (gambar yang saya lihat di internet), jadual perjalanan kereta api pun berubah dan kereta api yang digunakan juga turut dinaiktaraf.
Sebelum ini kereta api yang digunakan adalah dari jenis coach yang lama yang tiada aircond tetapi sejak tahun 2009, ianya telah diganti dengan yang agak baharu dan diberi nama “Shuttle Train” atau “Kelantan Shuttle” yang mana stesennya bermula di Stesen Keretapi Tumpat dan kereta api yang paling awal berlepas pada jam 4:20 AM. Sebelum ini, sebelum diganti dengan coach yang baharu kereta api ini bergerak lebih awal lagi dari Setsen Tumpat iaitu sekitar jam 3AM.
Perjalanan saya bermula di Johor Bahru Sentral, sengaja saya memilih untuk naik kereta api dari JB memandangkan ianya adalah Setsen Terakhir sekiranya kita datang dari Tumpat dan merupakan Setsen pertama sekiranya kita datang dari selatan semenanjung. Dari Kuala Lumpur saya mengambil bas TRANSNASIONAL dari TBS atau Terminal Bersepadu Selatan terus ke Stesen Bas di Larkin.
Sebenarnya saya boleh menaiki KTM ETS dan turun di Gemas dan kemudian saya boleh menunggu Keretapi Ekpress Rakyat Timuran di Stesen Gemas sahaja tanpa turun ke Johor Bahru, tetapi ianya adalah pilihan peribadi saya untuk memulakan pada destinasi paling selatan. Ini adalah Solo trip, trip persendirian, kalau trip dengan kawan-kawan, mungkin banyak pendapat itu ini dan sebagainya. Mungkin ada yang malas nak ke JB, tapi naik sahaja dari Gemas.
Mungkin ada yang kurang berminat untuk tahu apa yang saya buat untuk ke lokasi gambar tersebut dirakam, mungkin ada yang kata, “apa yang kau merepek ni labu,” “straight to the point sudah.” Bagi saya pengalaman ataupun pengorbanan yang dilakukan oleh seorang photographer untuk merakam gambar tersebut perlu juga diceritakan supaya kita lebih menghargai gambar yang dirakam.
Ramai orang menyangka proses mendapatkan sekeping gambar itu sangat mudah, bila saya share sahaja gambar di atas, banyak pertanyaan yang saya dapat, semua direct nak tanya lokasi di mana, pukul berapa kereta api bergerak, kekerapan dia, itu ini dan macam-macam lagi, semua nak cepat. Tak salah tetapi cubalah hargai sedikit masa dan tenaga yang seseorang itu habiskan untuk merakam sesebuah gambar.
Bagi saya, perjalanan untuk mendapatkan gambar di atas adalah lebih menarik untuk diceritakan daripada hasil gambar itu sendiri. Di mana saya menumpang bermalam di sebuah masjid yang mana pada bulan Disember 2014, sebahagian daripada masjid tersebut ditenggelami air ketika banjir besar melanda Kelantan. Di mana saya ditumpangkan oleh seorang pemuda kampung untuk ke saya masjid setelah melihat saya membawa backpack yang agak berat.
Di mana saya berkenalan dengan penduduk kampung, termasuk dengan Tok Imam dan juga Ketua Kampung, sampai dibawa makan di sebuah warung di hujung kampung selepas Solat Isyak. Di mana saya makan mee goreng yang dibungkus oleh Ketua Kampung pada jam 12:30 Malam di beranda masjid seorang diri, kalau tak dijamah takut basi keesokan paginya, walaupun perut masih kenyang, saya jamah juga.
Sebelum Solat Isyak ada seorang penduduk kampung, seorang pakcik yang membawa saya menaiki motornya ke warung tersebut, yang jaraknya hampir 2KM dari masjid tersebut. Mungkin dia fikir saya sedang lapar maka dibawanya saya ke sana.
Sebaik azan Isyak berkumandang, dia datang kembali ke warung tersebut untuk menjemput saya ke masjid semula. Saya masih kenyang sebenarnya, nak dibuang tak sampai hati, macam tidak bersyukur pula, walaupun masih kenyang saya jamah juga mee goreng yang dibelikan oleh Ketua Kampung tersebut walaupun jam di masjid menunjukkan hampir 1AM pagi kerana mengenangkan jasa baik Tok Penghulu. Sebelum itu, hanya kami berdua sahaja (saya dan Ketua Kampung) di Masjid tersebut, bersembang hingga ke lewat malam, dari perkara biasa hinggalah ke isu politik semasa.
Panjang lagi kalau saya hendak cerita, bagaimana saya tiba di Stesen Kereta Api Tumpat dan kemudian setelah selesai minum Neskepe, saya berangkat pula ke Kota Bharu di mana saya bermalam di sana. Seawal jam 4:30AM saya dah bangun dari tidur dan terus mandi di tandas Masjid, sebelum orang kampung datang untuk solat Subuh berjemaah, suasana di kampung, bayangkanlah sejuknya air paip seawal jam 4:30AM.
Cukuplah sampai di sini dahulu, nanti saya sambung lagi, Mengapa saya namakan “Kelantan Shuttle” sebagai “Ghost Train?” Nantikan sambungannya…
*Artikel Berkaitan : Ghost Train | Bahagian II
2 Comments
kembar tiga
nice foto, good information from your site………….foto-foto yang berkualiti
kembar tiga
semua foto-foto menarik