Tips Fotografi Portrait | Memilih Titik Fokus Yang Betul
“Out of suffering have emerged the strongest souls; The most massive characters are seared with scars.”
– Khalil Gibran –
Bila kita melihat wajah seseorang, bahagian yang kita akan pandang atau lihat terlebih dahulu sudah tentu bahagian matanya. Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan “Dari Mata Turun Ke Hati.” Tetapi dalam keadaan tertentu, mungkin bukan bahagian mata yang menjadi perhatian kita terlebih dahulu, mungkin jenis topi atau head gear yang dipakai, jenis anting-anting yang dipakai ditelinga atau yang ditindik dihidung, sebab mungkin bahagian itu yang lebih menonjol berbanding yang lain.
Sebelum itu, kepada anda yang bertanya, mengapa anak saya sampai berjahit di dahinya? Rasanya tidak perlu saya ceritakan di sini, biarlah saya sembang pasal photography sahaja, nanti cerita meleret, tak sampai tajuk artikel.
Untuk gambar di atas yang pertama, focus saya ialah pada bahagian mata anak saya, sebab itu bahagian matanya sharp atau tajam. Ada tips yang saya hendak kongsikan di sini.
Sekiranya kita mengambil gambar potret dari tepi, side angle dengan menggunakan aperture yang besar seperti f2.8 atau f/4, maka kita kena pastikan yang titik fokus kita adalah pada bahagian mata yang paling hampir dengan lensa kamera.
Contoh dalam gambar di atas ialah mata yang paling hampir dengan lensa ialah bahagian kanan mata anak saya. Di situlah titik fokus yang sebaiknya.
Tetapi andaikata saya tersalah fokus pada mata sebelah kiri anak saya, iaitu yang jauh sedikit dari lensa kamera maka hasilnya akan nampak kurang menarik. Sebabnya bahagian mata yang dekat dengan kamera jadi blur atau kabur akibat aperture besar yang kita gunakan.
Kalau ada yang bertanya pada saya, salah ke mata yang dekat dengan lensa itu kabur dan yang jauh sikit dari lensa itu sharp?
Saya tak kata salah, tetapi cuba saudara saudari cuba dulu, ambil gambar potret dari angle atau sudut tepi, dan cuba fokus pada bahagian mata yang hampir pada lens, yang satu lagi blur dan cuba focus pula pada bahagian mata yang jauh sikit dari lens dan yang bahagian hampir dengan lensa itu blur, yang mana satu sedap dipandang?
Kalau kita mengambil gambar secara frontal iaitu “face to face” secara berdepan, itu tak menjadi masalah, bila mana kedudukan kedua-dua belah mata selari mengadap kamera, sama ada kita fokus sebelah kiri atau kanan mata, keduanya akan sharp atau tajam.
Berbalik kepada gambar kedua, kalau ada yang bertanya kenapa bahagian mata itu blur? Saya salah fokus ke? Tidak, tujuan saya sememangnya hendak fokus pada bahagian jahitan parut yang terdapat pada bahagian dahi anak saya ini. Saya tiada lensa macro, kalau ada sudah tentu lebih rapat lagi saya boleh fokus dan sudah tentu saya boleh penuhkan frame kamera saya dengan parut tersebut.
Apa yang ingin saya sampaikan ialah, basically atau secara asasnya untuk potret atau portrait photography, titik fokus perlulah pada bahagian mata, maksudnya bahagian mata mesti sharp atau tajam, kecuali dalam keadaan tertentu yang mana kita ingin highlight-kan feature tertentu yang ada pada bahagian muka atau wajah seseorang, contoh seperti parut di wajah, anting-anting yang unik, telinga yang panjang, ataupun tindik di bahagian hidung yang unik.
Kita boleh gunakan aperture yang kecil seperti f/8 atau f/22 supaya semuanya kelihatan tajam atau sharp, tetapi sekiranya kita menggunakan aperture besar, seperti f/2.8 atau f/4 atau f/1.4, dan kita fokus pada bahagian tertentu pada wajah seseorang, maka bahagian yang tajam tersebut akan terus menarik perhatian orang yang melihat dan mereka tahu, apa yang ingin kita tonjolkan pada gambar tersebut, berbanding dengan semua bahagian wajah yang kelihatan tajam menikam. Selamat mencuba.
*Artikel Berkaitan : Tips Merakam Potret Supaya Gambar Lebih Tajam (Sharp) | Portrait Photography, How To Get a Nice Catchlight