Life,  Photojournalism,  Portrait,  Travel,  Uncategorized

Megapakah Jurufoto Menggunakan Lensa Telephoto Yang Besar, Berat Dan Panjang?

© 2014 Wazari Wazir | Photographer With Telephoto Lens During MH17 Coverage
© 2014 Wazari Wazir | US President Barack Obama Inspecting The Guard of Honour From The First Battalion of the Royal Malay Regiment, During His Official State Welcoming Ceremony at Parliament House in Kuala Lumpur on April 26, 2014.
© 2015 Wazari Wazir | Pete Souza, White House Photographer For US President Barack Obama
© 2017 Wazari Wazir | Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V
© 2015 Wazari Wazir | President Barack Obama Arrival at TUDM Subang | Malaysia
© 2017 Wazari Wazir | My Children Having Fun Among Themselves
© 2010 Wazari Wazir | The Photographers Camera Equipment | Behind The Scene at The Parliement
© 2015 Wazari Wazir | US President Barack Obama and Najib Razak Press Conference

Artikel ini saya tujukan kepada adik kakak yang masih lagi dibangku sekolah, yang masih belum mengenali bidang photography ini secara mendalam, terutamanya kepada adik kakak di bangku sekolah menengah yang kemungkinan terlihat subjek ataupun topik tentang kerjaya jurufoto dalam buku teks mereka, dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 2 (KSSM) Secara tepatnya.

Kepada Abang Kakak yang dah berstatus otai dalam bidang fotografi ni, abaikan saja artikel ini, jangan buang masa berharga anda, lebih baik melepak di kedai kopi sambil layan facebook atau whatsapp.

Untuk tidak membuang masa lagi, mari kita teruskan dengan pembelajaran. Pernahkah adik-adik terlihat jurufoto membawa lensa yang besar gedabak, panjang dan kelihatan macam berat sangat sampai terpaksa dipikul dibahu? Mungkin pernah, mungkin juga tak pernah dan mungkin tertanya-tanya, brother bawak lens besar panjang ni nak show off ke, nak menunjuk dia hebat ke?

Jawapannya dah tentu tidak, bukan nak show off tetapi lebih kepada keperluan kepada tugasan tertentu, kena pandai bezakan antara keperluan, kehendak dan show off.

Ada banyak sebab mengapa seseorang jurufoto perlu menggunakan lensa telephoto ini. Pada kebiasaanya lensa telephoto ini digunakan untuk mengambil gambar hidupan liar di Safari Afrika sebagai contoh dan juga untuk liputan fotografi sukan, seperti sukan lumba kereta dan juga sukan bola sepak. Antara sebabnya ialah :

UNTUK MERAKAM SUBJEK YANG JAUH :

Tujuan utama lensa telephoto ialah untuk merakam subjek yang jauh kedudukannya dari jurufoto, contoh subjek berada 10 meter atau 100 meter dari kedudukan jurufoto dan sekiranya jurufoto atau photographer merakam subjek dengan lens yang kecil atau standard lens seperti Prime lens 35mm atau 50mm, subjek itu akan kelihatan kecil dalam gambar, banyak ruang kosong di sekeliling gambar yang tidak diperlukan.

Contoh di Safari Afrika, sekiranya kita hendak merakam gambar seekor singa yang kedudukannya lebih kurang 100 meter dari kita dan kita cuba merakam dengan kamera telefon pintar kita ataupun kamera kompak dengan lensa bina dalam yang kecil, hasilnya singa tersebut akan kelihatan sangat kecil dalam gambar, kalaupun kita boleh zoomkan secara digital imej tersebut dalam kamera telefon pintar atau kompak kamera kita, gambar akan jadi kurang jelas, kurang berkualiti.

Selain itu, mengambil contoh suasana di Safari, lensa telephoto juga membantu jurufoto untuk mengambil gambar haiwan liar pada kedudukan yang selamat. Mungkin ada yang berkata, kita boleh bawa kenderaan kita menghampiri haiwan liar, dan ambil gambar dari jarak dekat guna kompak kamera. Masalahnya di Safari yang terbuka luas, kita tidak tahu  bahaya yang menanti, sedang leka mengambil gambar sekawan singa sedang bermain, tiba-tiba kenderaan kita dihampiri oleh seekor gajah yang besar dan kemungkinan naik minyak, kan susah.

UNTUK MERAKAM ACARA SUKAN :

Kepada adik kakak yang pernah menyaksikan acara sukan seperti bola sepak, sukan lumba kereta seperti F1, sukan renang dan seumpamanya mungkin pernah lihat kelibat jurufoto menggunakan lensa yang besar ini. Salah satu sebab utama mereka menggunakan lensa ini ialah kerana pergerakan jurufoto terbatas. Jurufoto tidak dibenarkan untuk berada di atas padang bola ataupun berada ditengah-tengah litar lumba kereta/motor.

Ini adalah bertujuan supaya tiada gangguan terhadap acara sukan tersebut dan juga untuk mengelakkan dari jurufoto terlibat dalam kemalangan atau kejadian yang tidak diingini. Seperti dalam sukan bola sepak, jurufoto kebiasaanya  ditempatkan di hujung padang bola, dibahagian belakang tiang gol, iaitu di bahagian kiri atau kanan. Lensa Telephoto sangat penting untuk merakam aksi pantas pemain bola dari kedudukan yang agak jauh kerana kalau dirakam dengan lensa yang kecil, dah tentu gambar pemain akan kelihatan kecil dalam gambar, kecuali kita ingin merakam gambar pemain dengan stadium sekali.

BILA JURUFOTO DIBERIKAN KEDUDUKAN YANG STATIK :

Kedudukan statik bermaksud, pergerakan jurufoto terhad ataupun tidak bebas bergerak selain di kedudukan atau kawasan yang telah dikhaskan sahaja. Sebagai contoh sekiranya seseorang jurufoto itu ditugaskan untuk merakam gambar di dalam Istana Negara ataupun untuk merakam Istiadat Sambutan Negara Di Parlimen, di mana jurufoto ditempatkan di tempat khas yang mana kita tidak bebas bergerak, manakala kedudukan subjek pula sangat jauh. Di sini Telephoto Lens adalah keperluan sangat penting selain lensa wide angle yang sedia ada.

Salah satu sebab mengapa wujudnya kedudukan statik untuk jurufoto ialah supaya perjalanan majlis berlangsung dengan lancar, pihak penganjur atau tuan rumah tidak mahu jurufoto berlari atau bergerak ke sana sini yang mungkin akan mencacatkan perjalanan sesuatu majlis.

Selain daripada itu juga, kedudukan statik biasa juga terjadi semasa merakam acara Press Conference pembesar asing, seperti President, Perdana Menteri atau tetamu di-Raja. Kebiasaannya memang kita akan ditempatkan agak jauh dari mereka, seperti mana dalam gambar di atas sewaktu Press Conference antara US President Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana.

UNTUK TUJUAN “AESTHETIC” ATAU KESENIAN, KREATIF :

Selain daripada keperluan tersebut ada juga kegunaan lain yang bukannya satu keperluan tetapi lebih kepada aspek estetika atau aspek kesenian. Mungkin adik kakak susah nak faham apa yang saya nak sampaikan di sini, tetapi apa yang ingin saya terangkan ialah, jenis-jenis lensa yang kita gunakan ada kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Ini bukan pula bermaksud kalau hendak rakam gambar secara kreatif kita perlukan lensa macam Bazooka. Tidak sama sekali, untuk hasilkan gambar secara artistic ataupun secara berseni guna kamera dari telefon pintar atau smartphone kita pun dah ok.

Cuma ada sesetengah orang suka hasil output lensa Telephoto Lens 85mm dan ke atas, terutamanya untuk potret fotografi. Pernah saya terbaca di akhbar satu ketika dahulu, seorang jurufoto dari Jepun merakam gambar penyanyi Sheila Majid (Zaman Sebelum Facebook) dengan menggunakan Lensa 300mm, mengapa tidak guna lensa kecil seperti 24mm, 35mm atau 50mm, mengapa 300mm? Sebab dia suka hasilnya, hasil “Bokeh” atau background kabur yang terhasil dari penggunaan lensa tersebut.

Lagi satu, mungkin jurufoto Jepun tersebut tidak mahu mengganggu intimate moment antara Sheila Majid dan anaknya yang masih kecil pada waktu itu, dengan jarak atau kedudukan jurufoto yang jauh dari  Sheila Majid dan anaknya, mungkin itu lebih memberi keselesaan buat Sheila dan anaknya.

Kalau ada yang bertanya, lens apa yang boleh kita katakan Lensa telephoto, agak sukar untuk saya jawab, tetapi berdasarkan maklumat pembacaan saya, apa sahaja lensa yang memberi gambaran lebih besar daripada sudut pandang normal mata manusia, itu dah boleh masuk kategori lensa telephoto. Kebiasaanya lensa yang lebih daripada 50mm boleh dianggap lensa telephoto.

Ini adalah kerana, lensa 50mm (jika dipadankan dengan kamera FX atau full frame) hampir sama memberi gambaran seperti mana pandangan normal mata manusia, iaitu subjek tidak kelihatan besar atau kecil sebagaimana yang dilihat oleh mata kasar kita.

Kebiasaanya Lensa Telephoto yang biasa dibawa oleh Jurufoto Kewartawanan atau Photojournalist ketika bekerja ialah Lensa 70-200mm sepertimana yang sedang digunakan oleh Photographer White House Pete Souza dalam gambar di atas.

Lensa besar gedabak seperti bazooka dalam gambar paling atas hanya akan dibawa untuk tugasan tertentu sahaja dan kepada jurufoto yang berpengalaman, apabila mereka menerima sesuatu tugasan, mereka dah boleh merancang peralatan yang sesuai untuk tugas mereka dan bukan sepanjang masa mereka akan bawa lensa panjang-panjang ni. Kalau nak simpan dalam boot kereta pun mungkin kurang selamat, sebaiknya simpan sahaja di pejabat sekiranya tugasan tersebut tidak memerlukannya.

Diharapkan sedikit penerangan ringkas ini akan memberi gambaran secara kasar akan kegunaan lensa telephoto yang besar, berat dan panjang ini.

NOTA KAKI : Kepada adik kakak yang ingin menjadikan bidang ini sebagai kerjaya, tak perlu risau untuk membeli peralatan kamera serta lensa Telephoto yang harganya mencecah puluhan ribu ringgit ini.

Kebanyakan jurufoto yang melakukan tugasan untuk pihak akhbar atau majikan mereka yang mana bekerja sepenuh masa, kebiasaanya akan dibekalkan dengan peralatan kamera yang bersesuaian dengan tugasan yang diberi. Kita tidak perlu beli pun, yang penting kita kena ada ilmu serta kemahiran menggunakan peralatan tersebut serta minat yang mendalam.

Tetapi ada baiknya sekiranya kita ada peralatan kamera sendiri, untuk tujuan sebagai kamera sokongan ataupun “backup” kamera, bimbang kalau-kalau kamera yang disedikan gagal berfungsi dengan baik.

Tetapi kepada yang bekerja secara sambilan ataupun freelance, mereka ini perlu membeli peralatan sendiri tetapi untuk lensa telephoto yang besar dan berat ini, kebiasaanya akan disediakan atau akan dipinjamkan kepada anda dan untuk acara sukan yang besar seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA dan sebagainya, kebiasaanya pihak pengeluar kamera seperti Nikon dan Canon atau jenama lain ada menyediakan peralatan kamera untuk digunapakai sehingga acara selesai.

 

***Artikel Berkaitan : Tips Fotografi | Pemilihan Lensa Untuk Fotografi Kembara (Travel Photography)

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.