Mengapa Pergi Mengembara?
© 2012 Shukur Jahar | Kathmandu Tribhuvan International Airport | Kembara Langtang | Nepal
Bertanya seorang sahabat pada si pengembara. “Apa tujuan kamu mengembara?” Maka dengan rendah hati si pengembara menjawab. “Kerana aku terlalu naif, semakin aku mengembara menyelongkar ilmu alam semakin terasa diri ini serba kekurangan, terlalu banyak perkara yang belum aku ketahui dan aku perlukan seumur hidupku untuk mengembara. Mengembara mencari ilmu untuk dikongsi dan dirakam menjadi cerita. – Maznidamahadi –
Sebenarnya aku tak tahu nak bagi jawapan apa, so cuba la Google kejap, jumpa pulak blog Maznidamahadi tu dan aku tertarik dengan jawapan tersebut. Aku pun tak pasti sama ada itu tulisan beliau sendiri ataupun tulisan orang lain yang dikongsikan di blognya, tetapi memandangkan aku jumpa di blognya, so aku letak kredit kat situ.
Kadang-kita banyak membuang masa dengan memberikan pelbagai alasan itu ini, sebab mengapa kita melakukan itu ini, macam disoal siasat pulak, biarlah minat masing-masing, ada yang minat memancing ikan, ada yang minat berkebun, minat berbasikal, minat mengumpul barang-barang antik, minat menghias rumah, menghias kereta, main kereta kontrol dan seribu satu macam minat lagi yang hanya mereka sendiri yang tahu sebab mengapa dan kenapa.
Apa yang aku tahu, aku ni minat berjalan, minat melihat tempat orang, dan salah satu sebab mengapa aku memilih untuk menjadi jurufoto ialah dengan harapan agar aku boleh keluar melihat dunia, minat ini telah wujud sejak aku di bangku sekolah rendah lagi. Teringat lagi perbualan aku dengan sahabat aku yang duduk sebelah aku dalam kelas, Suhazi namanya, bila ditanya, “aku nak jadi apa?” Terus aku jawab, nak jadi photographer, nak belajar photo dari A-Z, ambil gambar, cuci gambar dan sebagainya.
Masa tu aku tak terfikir pulak yang nak travel ni sana sini memerlukan kos yang agak tinggi, pendek kata guna banyak duit jugak, silap aku, kalau aku memilih untuk bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya kan bagus, dah tentu duit berkepuk-kepuk dalam bank dan setiap bulan boleh ke luar negara. Setiap tahun boleh buat Umrah atau Haji. Masa tu aku tak nampak benda ni, namapun budak-budak, belum nak matang sangat.
Pernah memohon untuk masuk ITM jurusan Photography tetapi mungkin tiada rezeki so, tak dapat, salah satu kriteria yang perlu ada masa tu ialah kena lulus lukisan tetapi aku tak ambil pulak mata pelajaran lukisan, so mungkin kalah kat sana, lepas tu mohon IKBN Peretak, dapat surat tawaran untuk masuk kursus fotografi di IKBN Peretak tetapi masa tu dah kerja bahagian photography jugak di salah sebuah studio photography di Kuala Lumpur, so aku tak pergi Peretak.
Anyway aku bukan nak cerita pasal photography tetapi nak cerita pasal mengembara, zaman bujang dahulu, hampir 20 tahun yang lalu, aku selalu dengar radio, kira radio ni peneman di kala sepi, nak layan teman wanita pun tiada masa tu, kerja biasa-biasa jer, takde siapa nak pandang. So tengah-tengah malam bila dah balik kerja tu layanlah dengar radio bila ibu dan adik-adik telah tidur pasal mereka nak sekolah esok paginya.
Dalam dengar radio tu tiba-tiba terdengar rancangan ni, rancangan “PENGEMBARA,” kalau tak silap setiap hari Rabu di Radio 1 RTM, tengah malam keudara rancangan ni, seminggu sekali. Sekarang ni rasanya dah tiada rancangan tu, al-maklumlah DJ tu pun mungkin dah pencen, mana taknya masa aku dengar rancangan tu hampir 20 tahun dahulu, DJ tersebut rasanya sudah lebih 40 tahun umur dia pada waktu itu, aku agak sahaja berdasarkan rentak suaranya.
Dalam rancangan tu, si DJ akan menerima panggilan daripada beberapa pendengar radio dan mereka akan berkongsi kisah-kisah pengalaman mereka mengembara sana sini, rasa best sangat masa tu, kalau tak silap sampai jam 2 Pagi baru habis slot rancangan tu. Masa tu belum ada facebook lagi, di rumah saya komputer pun tiada lagi, apa lagi internet, so hanya radio jadi peneman dan cukup teruja dengar cerita-cerita kembara daripada pendengar radio tersebut.
Sekarang ni kembara, melancong atau jalan-jalan dah jadi macam trend ataupun sesuatu kegiatan masa lapang yang semakin popular, tetapi kalau hendak diikutkan mengembara ini bukannya trend yang datang dan pergi macam fashion yang berubah-ubah, orang mengembara sejak zaman Nabi Adam lagi, hidup berpindah randah.
Salah satu tujuannya ialah untuk mencari sumber rezeki. Kalau manusia zaman dahulu tidak berpindah randah maka tiadalah manusia yang hidup di lereng gunung-gunung di Banjaran Himalaya, di dalam hutan rimba Amazon ataupun di tepi Tasik Baikal nun jauh di Siberia tu. Tiadalah manusia membina rumah di Iceland dan di Papua New Guinea. Manusia ada di serata tempat di dunia ini ialah kerena mereka mengembara, tetapi pengembaraan mereka dahulu adalah untuk meneruskan kelangsungan hidup dan bukannya hendak melihat-lihat, berwisata, berliburan menyaksikan keindahan dunia ini.
So mengapa mengembara? Terpulanglah pada diri masing-masing, sama ada sekadar ingin keluar melihat tempat-tempat yang menarik, tempat-tempat bersejarah, sekadar untuk bercuti, untuk melupakan seketika bebanan tugas di pejabat.
Awalnya bila aku keluar melihat negara orang ialah untuk melihat tempat-tempat menarik juga tetapi lama kelamaan aku sedar, sebuah perjalanan juga boleh menjadi proses menambah ilmu, proses mengenali diri, proses mendidik hati. Keluar berjalan melihat kehidupan di negara orang mampu menjadikan kita lebih bersifat terbuka terhadap dunia, boleh menjadikan kita insan yang semakin penyabar atau sebaliknya, terpulang kita dan aku juga bersetuju dengan kata-kata seorang penulis dan juga seorang pengembara dari Indonesia, Agustinus Wibowo ;
“Hidup itu adalah sebilah cermin. Dunia di matamu sesungguhnya adalah cerminan dari hatimu sendiri. Caramu memandang dunia adalah caramu memandang diri. Jika dunia penuh kebencian dan musuh ada dimana-mana, sesungguhnya itu adalah produk dari hatimu yang dibalut kebencian. Jika kau kira dunia penuh dengan orang egois, itu tak lain adalah bayangan dari egoisme egomu sendiri.”
-Agustinus Wibowo-
Dan semakin banyak aku berkelana sana sini, aku dapat rasakan diri semakin dekat dengan Maha Pencipta, kebergantungan aku pada Yang Maha Kuasa jauh lebih kuat daripada aku berada dalam keadaan selesa di tanah air sendiri. Ini orang boleh pertikaikan, mungkin ada yang kata, nak dekat dengan Tuhan, tak perlu pergi jauh, atas sejadah di rumah sendiri pun boleh, solat di surau atau di masjid berdekatan rumah pun boleh dekat dengan Tuhan.
Dalam Surah Qaf; Ayat 16, Allah berfirman ; “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” Allah memang teramat dekat dengan kita cuma, apakah kita dekat dengan-Nya.
Terpulang masing-masing hendak buat tafsiran, senang cerita macam inilah, kita kadang-kadang kalau di rumah bersama anak-anak, kadang-kadang kita tak hirau sangat pun dengan mereka, kita sibuk dengan facebook, kita sibuk membaca suratkhabar dan membiarkan anak-anak leka bermain sendirian ataupun bersama adik beradik yang lain tetapi kalau kita berada di kejauhan sama ada atas urusan kerja ataupun kembara, perasaan rindu pada anak-anak itu tiba-tiba hadir, terbayang keletah mereka dan sedar tak sedar kekadang boleh mengalirkan air mata. Kita lebih menghargai mereka bila kita berjauhan dari mereka.
Berbalik kepada rasa dekat dengan Yang Maha Esa itu ialah kerana di tempat orang terutamanya bila kita kembara secara solo, di mana tiada seorang pun manusia kita kenal, dengan bahasa yang tidak kita faham, maka kita lebih perlu pada pertolongan Allah dari manusia setempat.
Kita lebih khusyuk dalam solat, takut hendak main-main atau lalai dalam bersolat, sebabnya kita amat perlu pada bantuan Tuhan agar mempermudahkan perjalanan kita, agar kita dijauhkan dari segala mara bahaya dan kita benar-benar berharap agar setiap apa yang kita doakan itu dikabulkan dan memang dalam Islam , doa orang yang bermusafir dengan niat yang baik pada jalan Allah adalah di antara doa yang mustajab, peluang untuk doa kita dikabulkan itu agak tinggi berbanding doa orang yang hanya menetap di satu tempat sahaja, insyaAllah.
Dah macam Khutbah Jumaat la pulak kan, okeylah, tambah sikit lagi, antara sebab kenapa aku minat sangat nak keluar melihat negara orang ialah, perasaan ingin tahu bagaimana kita sesama makhluk Allah ini menjalani kehidupan di tempat yang berbeza-beza.
Bagaimana kita yang asalnya dari Adam dan Hawa boleh mempunyai corak budaya, agama, kepercayaan, warna kulit serta bertutur bahasa yang berbeza-beza, aku cukup yakin semakin lama berkelana akan terjumpa titik persamaan yang mungkin akan menjadikan kehidupan di dunia ini lebih baik lagi.
Seringkali aku bertanya sendiri di mana silapnya kita yang asal usulnya dari Adam dan Hawa tetapi seringkali bersengketa, bunuh membunuh sesama sendiri. In fact, kejadian bunuh membunuh ini terjadi di zaman Nabi Adam lagi. Namun tidak semua manusia di dunia ini percaya bahawa asal usul manusia di dunia ini bermula dari Adam dan Hawa, ada segelintir yang mempertikaikannya tetapi bila kita kaji balik kesan-kesan sejarah peradaban manusia, kita sebenarnya semakin hampir kepada kebenaran.
Sebelum aku melalut dengan lebih jauh lagi tentang tamadun manusia, biarlah aku story sikit tentang gambar kat atas tu. Gambar tu dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu Nepal, sebelum berangkat terbang ke Malaysia setelah kami berkelana di bumi Nepal untuk tempoh beberapa hari. Trip bapak-bapak orang, kami semua bukan bujang lagi, masing-masing dah ada keluarga tetapi minat untuk keluar melihat dunia secara “backpackers” tak pernah kenal usia.
One Comment
asrill
Aku hanya seorang pengembara..sronok sangat masa tu kan melalui corong radio.