Kembara | Jadikan Impian Satu Kenyataan
Sisipan akhbar ekstra! KOSMO Ahad, April 2005 masih elok tersimpan dalam file kembara saya. Hampir sembilan tahun saya menyimpan impian, akhirnya Alhamdulillah Disember 2014 yang lalu, setahun yang lalu impian tersebut berjaya saya lakukan. Sejak zaman persekolahan lagi saya gemar menyimpan keratan-keratan akhbar tentang destinasi-destinasi menarik, biasanya saya simpan dalam file yang ada sisipan plastik warna jernih tu. Bila jumpa mana-mana artikel ataupun gabar-gambar menarik tentang sesuatu destinasi yang saya minat, saya akan ambil keratan tersebut dan masukkan dalam file tersebut.
Kira berkotak-kotak jugaklah file tu di rumah saya. Masa tu saya tak berapa cukup modal hendak beli buku panduan pengembaraan seperti Lonely Planet ataupun buku-buku lain, maklumlah masih sekolah, mana ada duit banyak sangat. (Tapi tahun 2005) tu saya dah kerja dah.
Dalam banyak-banyak keratan akhbar yang saya simpan, (actually saya bukan hanya simpan keratan akhbar tentang kisah-kisah pengembaraan sahaja), banyak lagi topik lain yang menarik yang saya simpan, topik tentang agama, kesihatan, tentang kamera, tentang fotografi, tentang sukan, tentang Dunia IT dan lain-lain lagi, cuma yang paling banyak saya simpan ialah keratan akhbar tentang kisah-kisah pengembaraan yang biasanya keluar setiap hujung minggu.
Dalam banyak-banyak keratan akhbar yang saya simpan tu, keratan akhbar KOSMO di atas merupakan yang paling saya sayang, sebabnya sebaik sahaja saya terpandang sisipan ekstra! tersebut, semacam ada satu magnet yang buat saya terus berangan-angan untuk melakukan trip yang sama, ataupun hampir sama.
Sebelum itu, saya tidak pernah tahu tentang jaringan keretapi TRANS-SIBERIA, saya tidak tahu bahawa laluan Trans-Siberia adalah laluan keretapi paling panjang di dunia yang mana mengambil masa lebih kurang enam atau tujuh hari untuk melengkapkan perjalanan dari Moscow ke Vladivostok ataupun terus ke Beijing China.
Bagi saya pengembaraan yang dilakukan oleh Anna Tang Hui Sim secara solo cukup mengagumkan saya, bukan satu perkara mudah untuk berkelana seorang diri ke Russia.
Pada tahun 2005, facebook masih baharu lagi, setelah dilancarkan pada Februari 2004, manakala Twitter bermula pada tahun 2006, jadi tidak banyak maklumat tentang kisah-kisah pengembaraan yang kita ketahui secara umum. Mungkin sudah ramai orang yang melakukan perjalanan hebat seperti Anna Tang Hui Sim waktu itu, tetapi tidak diketahui orang, hanya tersimpan di dalam catatan diari peribadi individu tertentu sahaja.
Apa yang ingin saya kongsikan melalui tulisan saya pada kali ini ialah, jangan sesekali menguburkan impian kita walaupun ianya mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan. Impian saya untuk ke Nepal bermula semenjak zaman bujang lagi , sejak saya mula membaca majalah-majalah photography seperti Outdoor Photographer Magazine yang hampir setiap bulan saya beli masa saya bujang dahulu. (Sekarang saya jarang beli Outdoor Photographer Magazine)
Masa tu, kos untuk penerbangan ke Nepal sahaja sudah mencecah hampir RM 4000, itu tidak termasuk kos penginapan serta makan minum di sana, masa tu AirAsia dan MAS pula belum lagi mengadakan penerbangan terus ke Nepal. Pilihan yang ada waktu itu hanya melaui Royal Nepal Airlines, Thai Airways dan juga Singapore Airlines, kebanyakannya memakan kos lebih kurang RM3K dan ke atas untuk return trip (15 Tahun yang lalu RM3K sangat mahal). So kalau hendak ke Nepal, minimum kena ada dalam RM4000 atau RM5000 untuk cover semua kos, agak tinggi kos tersebut untuk orang yang baru memulakan pekerjaan seperti saya.
Bagi saya kalau keluar melihat negara luar itu merupakan impian kita semasa zaman remaja ataupun impian kita dibangku sekolah, jangan biarkan impian hanya tinggal impian, kecuali kita sendiri telah menguburkan impian tersebut sedangkan kita masih lagi bernyawa. Bila dah berkeluarga, dah punya anak-anak, semakin terbeban dengan banyak perkara tetapi jangan kita mengalah dengan segalanya.
Priority ataupun Keutamaan setiap dari kita tidak akan pernah sama, pakai baju pun lain-lain, sama juga dengan minat. Travel ataupun keluar kembara melihat negara luar merupakan antara top priority dalam hidup saya dan bukannya mengumpul sebanyak-banyak harta yang akan saya tinggalkan bila sampai masa nanti.
Ada orang kata, kumpul dulu banyak duit, banyak harta, nanti baru travel. Saya tak berani untuk mengambil risiko tersebut, apa yang kita belajar dari Tragedi MH17, MH370. Tuhan tidak hanya menjemput kita pulang bila usia kita lewat senja, bila-bila masa pun kita boleh dijemput pulang. Dalam hidup kita kena ada “balance” kena ada keseimbangan, kena ambil risiko sekarang dan risiko menunggu hari tua, bila mana wang mungkin semakin banyak, anak-anak semua telah berjaya, insyaAllah dan saya ada banyak masa untuk travel adalah risiko yang saya tidak berani hendak ambil.
Jadi saya ambil risiko sekarang, ada masa sikit, ada wang sikit saya keluar. Dah ramai rakan-rakan sepejabat saya yang menunggu waktu pencen sakit sana sakit sini, ada yang telah pergi sebelum pencen lagi, ada yang banyak harta sana sini, rumah sewa sana sini, kereta 3,4 biji tapi malangnya tubuh badan mereka pula tidak sihat. Semua itu menakutkan saya.
Tetapi seperti yang saya tulis tadi, semuanya bergantung pada “priority” kita dalam hidup kita, ramai dikalangan pengembara tegar yang memang keutamaan mereka keluar mengembara sanggup berkorban apa yang ada. Ada yang mengumpul wang bertahun-tahun setelah bekerja dan akhirnya berhenti kerja dan gunakan wang simpanan tersebut untuk mengembara berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Ada yang menjual rumah, kereta, apa saja yang boleh di jual, ada yang memilih untuk tidak berkahwin, ada yang memilih untuk melakukan kerja-kerja kemanusian di seluruh dunia, asalkan mereka dapat keluar mengembara. Ada yang memilih untuk kembara dengan menaiki basikal, da juga yang memilih untuk “hitchhiking” dan macam-macam lagi asalkan tercapai hajat di hati.
Tidak ada salahnya kalau priority kita bukan keluar mengembara, yang penting kita bahagia dengan kehidupan kita, dan kalau anda membaca artikel ini, bagi saya anda juga minat mengembara, kalau tidak, buat apa luangkan masa membaca di sini, sedangkan boleh gunakan masa yang ada untuk melawat laman-laman “making money”, Investment, markerting, real estate, how to be a business person, how to start a business dan macam-macam lagi.
Cita-cita dan impian saya bukanlah hebat sangat, bukanlah ingin menjadi Menteri ataupun Perdana Menteri, semenjak kecil lagi cita-cita terbesar saya ialah untuk keluar mengembara melihat dunia, dan itu juga salah satu sebab saya memilih Photography sebagai kerjaya. Saya bosan bekerja di dalam pejabat berhawa dingin mengadap komputer berhari-hari sehingga pencen.
Kalau boleh, moga diizinkan Tuhan, insyaAllah, saya ingin jelajahi setiap inci ataupun setiap negara di dunia ini sebelum menutup mata. Tuhan jadikan kita manusia ini bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya saling kenal-mengenal sesama kita, sesama makhkuk ciptaan Allah walaupun berbeza agama, budaya, warna kulit dan bahasa yang berbeza. Rugi rasanya kita tidak cuba untuk merasai bagaimana berada di negara empat musim, bagimana musim panas di Eropah, bagaimana rasanya musim sejuk di Siberia dan bagaimana indahnya Autumn di Korea.
Artikel Berkaitan : Merancang Trip Trans-Siberian Railway
Jangan tinggalkan impian hanya impian, jadikan ia satu kenyataan selagi nyawa masih di badan, insyaAllah…