Dengan Buku Aku Mengembara
© 2015 Wazari Wazir | Jualan Buku-Buku Indonesia di Rumah Titi | Titiwangsa
“Seseorang Itu Akan Mengikuti Agama Temannya. Maka Hendaklah Masing-masing Kamu Memperhatikan Dengan Siapa ia Berteman.”
(HR. Tirmidzi)
Aku memang hantu buku, sejak zaman sekolah lagi memang minat membaca, tapi bukan membaca buku-buku akademik, kalau dari dulu lagi aku minat baca buku-buku ilmiah ni, rasanya sekarang ni aku bukanlah orang yang dibelakang kamera tetapi mungkin orang yang jadi buruan lensa kamera, kalaupun bukan buruan lensa kamera, paling tidak pun antara orang-orang berjaya yang seringkali menjadi subjek sang photographer, mungkin aku yang tersilap memilih buku untuk dibaca hingga menjadi sang photographer.
Anyway baru-baru ni dapat mesej facebook daripada sahabat saya yang dalam gambar atas tu Zulhabri namanya, saya tak berapa kenal rapat sangat dengan dia, cuma dia selalu berulang alik ke Indonesia dan sering membawa buku-buku dari Indonesia untuk dijual di Malaysia, dia menghubungi saya kerana Agustinus Wibowo ada berkata padanya, boleh hubungi saya kalau hendak pasarkan buku-bukunya, saya memang pernah berjumpa Agustinus semasa beliau berada di Malaysia pada awal tahun 2014.
Kali ini Zulhabri ada membawa agak banyak buku-buku terhebat dari Indonesia dan akan dijual di Rumah Titi, di Titiwangsa sehingga 27 Disember ini, jangan risau kalau dah tamat promosi, saudara dan saudari boleh sahaja berhubung dengan beliau melalui no tel yang ada di atas tu kalau ingin membeli buku-buku dari seberang. Zulhabri ni boleh dikatakan setiap bulan ulang alik Malaysia – Indonesia.
Masa saya jumpa beliau tempoh hari saya tak sempat nak berbual panjang pasal hari Jumaat, dan saya perlu segera pulang ke rumah sebelum masuk waktu solat Jumaat, so tak sempat nak berbual panjang, dari perbualan singkat, beliau dahulu adalah seorang penerbit buku dan juga penulis dan insyaAllah beliau juga akan menghasilkan sebuah buku nanti, sama ada bukunya yang pertama atau yang kesepuluh, tak sempat saya nak selidiki.
Kalau hendak diikutkan banyak lagi buku-buku di Kinokuniya yang saya beli yang belum sempat lagi saya baca, ada yang dah bertahun-tahun saya beli tapi tak baca-baca lagi, buku-buku yang saya pesan dari Amazon pun banyak yang masih tersimpan dalam kotak lagi, belum dibaca lagi. Tetapi oleh kerana ketagihan buku, saya datang juga ke Rumah Titi, di Titiwangsa ini untuk dapatkan buku-buku tulisan Tere Liye, sebabnya, agak susah nak cari buku-bukunya di Malaysia. Memusing-musing cari jalan baru jumpa Rumah Titi di Persiaran Titiwangsa 1.
Boleh dikatakan hampir kesemua buku-buku yang dibawa oleh beliau menepati selera saya, cumanya tidak menepati dengan jumlah wang yang ada dalam poket saya, so saya kena banyak bersabar. Buku-buku tulisan Pramoedya cukup menarik, buku-buku Andrea Hirata pun banyak, dan koleksi lengkap buku-buku Agustinus Wibowo semua ada, saya minat tulisan Agustinus kerana ianya mengisahkan pengembaraannya ke negara-negara “Seven STANS”, seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Turkmenista, Pakistan dan Afghanisan.
Selain daripada itu buku-buku The Naked Traveler pun best jugak, jangan salah tafsir pulak dengan”Naked” tu yer, kepada yang kaki travel dan biasa baca blog-blog berkaitan traveling, mesti minat dengan buku-buku “The Naked Traveler” cuma saya tak beli pasal tak cukup bajet. Saya cuma membeli buku Tere Liye bertajuk PULANG dan RINDU.
So apa kena mengena dengan tajuk blog saya ni, “Dengan Buku Aku Mengembara?” Bukan semua orang berkemampuan baik dari segi masa, tenaga serta wang ringgit untuk mengembara ke negara orang, maka dengan membaca buku-buku terutamanya tentang negara-negara luar, kita sebenarnya telahpun mengembara, walaupun tidak secara fizikal.
Dengan membaca kisah-kisah perjalanan seseorang, kita dapat juga tahu serba sedikit tentang adat budaya, agama serta corak kehidupan masyarakat di sana dan tak mustahil mungkin dengan keseronokan kita membaca kisah-kisah sang pengembara tersebut, kita juga menyimpan hasrat untuk jadi pengembara juga, membaca buku sahaja tidak lagi cukup untuk kita. Kita mahu keluar mengembara dengan kaki sendiri di dunia realiti bukan hanya menjadi “Armchair Traveler” sahaja.
Buku juga bagi saya ialah teman yang paling baik, agak payah untuk kita bersahabat dengan orang-orang hebat, orang-orang yang berfikiran hebat di seluruh dunia ini kerana kalau mereka berjaya dan hebat, susah kita hendak jumpa mereka. Mungkin mereka agak sibuk dan sebahagian besar lagi pemikir-pemikir hebat dunia telah lama meninggalkan kita. So hanya dengan membaca buku-buku tulisan orang-orang hebat tidak kira dalam apa bidang sekalipun adalah salah satu cara untuk kita “berkawan” dengannya.
Tidak semua orang boleh mendengar cerita kembara secara langsung dari mulut Agustinus Wibowo ataupun Andrea Hirata dan ramai lagi penulis lainnya, hanya dengan membaca buku-buku tulisan mereka kita dapat sama merasa sedikit sebanyak apa yang dilalui oleh mereka.
Banyak juga buku-buku yang djual di Rumah Titi ini telahpun difilemkan seperti 5cm, Ayat-Ayat Cinta dan juga yang terbaru iaitu filem Bulan Terbelah Di Langit Amerika yang baru sahaja ditayangkan di Indonesia pertengahan Disember lepas. Buku tersebut pun ada dijual di sini.
Memandangkan sebahagian besar pembaca blog saya kurang minat membaca tulisan yang panjang-panjang, saya singkatkan di sini. So kepada sesiapa yang ingin dapatkan buku-buku hebat tulisan penulis hebat Indonesia boleh hubungi saudara Zulhabri melalui no yang tertera pada poster di atas tu. Kalau dah habis tempoh promosi pun tidak mengapa, just contact dia sahaja.