Adventure,  Travel

Kembara | Jangan Takut Untuk Keluar Mengembara


© 2015 Wazari Wazir | Irkutsk Train Station | Russia

 “Lakukanlah perjalanan. Karena perjalanan tidak hanya mengenalkanmu pada dunia luar, tapi juga membuatmu lebih mengenal diri sendiri. Tanpa perjalanan, kamu bisa kehilangan kesempatan untuk mengenal diri sendiri.”

 – Agustinus Wibowo –

Rasa Takut adalah salah satu faktor utama yang menyebabkan orang tidak keluar mengembara, baik bersama rakan-rakan ataupun bersendirian. Selain faktor masa, kewangan, kesihatan, masalah keluarga dan lain-lagi, tidak dapat tidak faktor rasa “TAKUT” merupakan penghalang utama kita.

Ada orang yang punya wang ringgit, masa, pendek kata punya segalanya yang teringin untuk keluar mengembara tetapi terhalang oleh rasa takut mereka. Dengar berita tentang kehilangan pesawat MH370, dengan berita tentang pesawat Malasyia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, kita rasa gerun untuk menaiki kapal terbang, dengar berita tentang tergelincirnya keretapi di India, maka kita rasa takut untuk naik keretapi di India. Dengar cerita pemandu di India bawa kereta seolah-olah tiada undang-undang jalan raya di sana, maka kita pun rasa takut untuk ke sana.

Semua itu memang ada asasnya, memang ada kebenarannya tetapi setiap kejadian yang berlaku pasti akan berlaku, ajal dan maut kita Tuhan yang tentukan, sedari kecil kita telah un disedarkan bahawa, sekiranya kita hidup dikelilingi tembok batu dan dikawal oleh seribu pengawal peribadi pun, sekiranya ajal kita tiba, ia akan pasti datang juga. Tidak ada perkara yang boleh menghalang Malaikat Izrail menjalankan tugasnya kecuali Tuhan Yang Maha Esa.

Berbekalkan dengan dengan semangat itulah saya jadi berani untuk travel. Pada tahun lepas masa kejadian MH17 di tembak jatuh di Ukraine, esoknya selepas kejadian saya dan beberapa anggota media lain telah pun berlepas ke Kiev Ukraine, sedangkan pada masa itu, selepas kejadian tersebut, banyak syarikat penerbangan cuba untuk mengelak dari memasuki ruang udara Ukraine, kami pula dengan sengaja dan rea hati ibarat menyerah nyawa dengan terbang di ruang udara Ukraine dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Kalau diikutkan rasa takut, itu memang kerja gila, tetapi saya tetapkan dalam hati, andai sudah takdirku untuk tamat riwayat di sana, tidak ada siapa yang mampu menghalangnya dan seandainya nyawa masih panjang, insyaAllah, semoga diselamatkan dalam perjalanan. Dan selepas kejadian tersebut, mereka-mereka yang minat travel akan terus travel juga, tidak sedikitpun mematahkan semangat mereka kerana bagi mereka yang berfikiran terbuka, itu adalah kes terpencil.

Kalau hendak difikirkan dengan fikiran terbuka, kadar kematian manusia di jalan raya, maksud saya, kadar kemalangan di jalan raya, yang melibatkan kereta, lori, bas, motosikal dan sebagainya adalah jauh lebih banyak lagi dan kejadian kemalangan tersebut berlaku hampir setiap hari, cuma liputan tentang kemalangan jalan raya di Malaysia ini tidak mendapat siaran di media antarabangsa kerana ianya peristiwa biasa-biasa sahaja, kes kemalangan bas di sana sini, lori terbalik dan sebagainya, kebanyakannya disiarkan di media tempatan sahaja kerana ianya kes biasa yang sering berlaku.

Yang peliknya walaupun kejadian kemalangan di jalan raya yang melibatkan kecederaan ataupun kehilangan jiwa berlaku hampir setiap hari, jalan raya masih sesak dengan kenderaan, orang ramai masih lagi menggunakan kereta untuk ke tempat kerja atau untuk pulang ke kampung, mengapa tidak sedikitpun timbul rasa takut yang teramat sewaktu menaiki kereta atau bas.

Bukankah sesuatu yang pelik bila kita takut naik kapal terbang yang dalam setahun mungkin sekali dua ataupun kurang lima kali terdengar pesawat terhempas di serata dunia sedangkan kes kemalangan jiwa di jalan raya di Malaysia ini beratus atau mungkin beribu dalam masa setahun.

Saya pegang prinsip “Ajal Maut Tuhan Yang Tentukan” Jangan takut untuk keluar mengembara, tetapi itu bukan bermakna kita tidak perlu melakukan persiapan rapi, itu bukan bermakna kita perlu hanya berserah diri tanpa mengambil langkah-langkah keselamatan.

Berusaha dan bertawakkal, kalau kita ke masjid dengan menaiki kereta ataupun motosikal, dengan sengaja kita tinggalkan kunci motor kita tergantung di tempat kunci ataupun dengan sengaja tidak mengunci kereta kita dan hanya berserah pada Tuhan dan tiba-tiba kenderaan kita hilang atau dicuri orang, itu sengaja cari penyakit. Kalau kita tidak pandai berenang, jangan suka-suka mandi di sungai, begitulah kisahnya.

Sama juga macam kembara, perlu juga ambil tahu tentang keadaan semasa negara mana kita hendak pergi, risiko-risiko yang ada di sana, serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil, kita juga perlu ambil tahu tentang “Scam” yang ada di sesebuah negara supaya kita lebih bersedia dan tidak mudah ditipu, begitulah seterusnya.

Sekiranya kita mengalah pada perasaan takut kita yang tidak berasas maka sudah pasti kita tidak dapat menikmati sebahagian besar nikmat kehidupan di dunia ini, takut menaiki bas di Nepal kerana takut dengan jalanraya-nya di lereng-lereng gunung maka sampai bila pun kita tidak berpeluang untuk melihat keindahan Banjaran Himalaya walaupun pemandangan itu sangat kita dambakan.

Sekiranya peristiwa gempa bumi yang menggegarkan Gunung Kinabalu di Sabah hingga meragut banyak nyawa menjadikan kita rasa takut untuk mendakinya di masa akan datang, maka kita terlepas nikmat menyaksikan betapa indahnya panorama dari atas puncak Gunung Kinabalu. Sekiranya kita pernah menanam impian untuk ke puncak Gunung Kinabalu dan oleh sebab takut peristiwa gempa bumi berulang lagi, maka kita sebenarnya telahpun menguburkan impian kita itu sedangkan kita masih lagi bernafas.

Kadang-kadang kita ada wang, ada masa, ada tenaga tetapi takut untuk mengambil langkah sendiri, ternanti-nanti sekiranya ada rakan-rakan yang sudi mengajak kita untuk kembara sekali, tahun demi tahun menunggu, umur semakin meningkat, tenaga semakin berkurang, tidak ada kawan yang mengajak kita, maka impian tinggal impian.

Jadi kepada teman-teman yang punya impian untuk kembara ke destinasi pilihan anda tetapi belum ada lagi rakan-rakan yang ingin ke destinasi yang sama, sedangkan anda telah lengkap segalanya, maka apa tunggu lagi, just buy the ticket, pack your bag and just go. Percayalah dalam hidup ini, semakin kita meningkat usia, perkara yang sangat kita sesali ialah tentang perkara-perkara yang kita boleh lakukan tetapi kita tidak lakukannya tanpa sebab yang kukuh.

Sekiranya saya tidak berani menyambut tugasan ke Ukraine tempoh hari, rasanya saya akan menyesal seumur hidup. Sekiranya saya terus-terus menunggu rakan-rakan saya bersedia untuk melaukan trip Trans-Siberian Railway rasanya, entah bila dapat ke sana, ada yang kata tahun depan baru nak ready, bila dah sampai tahun depan, ada masalah lain pula, duit, ada, masa ada, masalah lain pulak datang, tangguh lagi, tunggu lagi tahun depan, nampak macam dah clear, ada lagi maslaah timbul.

So, saya ambil keputusan, tinggalkan “fear” jauh ke belakang, dan beri peluang pada “Joy” untuk mainkan peranan utama dalam mengawal “Emotion Console” Saya. Dalam masa yang sama, saya juga perlukan Sadness, Anger, Fear and Disgust dalam perjalanan saya tetapi saya akan pastikan “fear” duduk di bangku simpanan, macam Filem “Inside Out” La pulak …

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.