Kembara Trans-Siberian | Kehidupan ini Adalah Sebuah Pengembaraan
© 2014 Wazari Wazir | Trans-Siberian Railway Journey | Photograph Taken With Fujifilm X100T
“Kehidupan ini ibarat menaiki keretapi untuk satu perjalanan yang panjang.” Saya pernah terbaca kata-kata tersebut di laman sesawang, cuma tidak ingat di mana. Kita bebas melakukan metafora terhadap apa sahaja keadaan yang kita rasakan sesuai mengikut kesesuaian keadaan dan masa, sama ada tepat atau tidak, itu terpulang pada individu menilainya.
Cuma realitinya, tidak ada siapapun tahu sama ada kehidupan kita di dunia ini untuk tempoh masa yang panjang ataupun singkat berbanding perjalanan dengan keretapi yang kita sudah tahu tempoh masa bila untuk kita sampai ke destinasi yang ditujui.
Diawal kelahiran kita, kita menaiki keretapi bersama orang yang akan bersama kita hingga akhirnya, mereka itu ibarat ibu bapa kita ataupun adik beradik kita, mereka akan sentiasa bersama kita sepanjang masa, cuma ada masa dan ketikanya kita akan meninggalkan mereka buat seketika ataupun mereka akan meninggalkan kita buat seketika untuk meneruskan kehidupan masing-masing dan bertemu lagi di hentian seterusnya, pendek kata mereka akan tetap bersama kita.
Ada juga manusia lain yang kita jumpa untuk tempoh yang singkat, menjadi kawan dalam tempoh yang singkat dan mungkin juga kita akan bertemu insan yang kurang kita gemari duduk sama untuk tempoh tertentu bersama kita.
Di dalam keretapi kehidupan kita mungkin hanya menjadi pemerhati terhadap kehidupan orang lain ataupun boleh sahaja kita turut sama berkongsi cerita bersama mereka.
Lebih kurang begitu pengalaman saya menaiki keretapi di Russia selama berhari-hari merentasi Siberia yang cukup luas. Pelbagai gelagat manusia yang saya jumpa, ada masanya saya membantu mereka, ada masanya saya dibantu oleh mereka walaupun terhalang oleh faktor bahasa.
Sewaktu tiba di Novosibirsk, keretapi berhenti mengambil dan menurunkan penumpang, ruang tempat duduk di hadapan saya kosong kerana penumpang tersebut turun dan tak lama selepas itu datang seorang lelaki dan seorang wanita duduk bersama di hadapan kerusi saya. Dalam hati saya berkata mungkin mereka ini pasangan suami isteri, dari kedutan di wajah mereka saya mengagak usia mereka sekitar 50 dan ke atas. Walaupun mereka betul-betul duduk dihadapan saya, saya hanya memerhatikan gelagat mereka tanpa bertegur sapa.
Mereka agak sibuk pada waktu itu menguruskan barangan mereka, agak banyak bagasi yang mereka bawa. Kerusi ataupun katil di bahagian atas digunakan untuk meletakkan barangan mereka dan mereka berdua tidur bersama di atas katil ataupun tempat duduk yang agak sempit. Keadaan mereka berdua cukup mesra seolah-olah pasangan yang baru dilamun cinta.
Keesokan harinya baru saya beranikan diri bertanya padanya dari mana dia datang dan mahu ke mana, rupanya lelaki tersebut berasal dari Istanbul Turkey dan dalam perjalanan ke Krasnoyarsk menuju ke kampung isterinya warganegara Russia. Saya sempat membelek buku “Trans-Siberian Handbook” yang saya bawa untuk melihat di mana letaknya Krasnoyarsk. Jauh juga dari Novosibirsk, perjalanan berkeretapi mengambil masa lebih 12 jam untuk sampai ke sana.
Saya pula dalam perjalanan dari Kazan ke Irkutsk yang mengambil masa lebih kurang tiga hari perjalanan, sebab itulah saya berpeluang untuk berjumpa dan melihat pelbagai gelagat orang. Ada yang naik keretapi untuk perjalanan yang singkat, ada juga yang naik untuk perjalanan yang lebih lama dari saya. Setiap hari pasti ada “surprise” yang menanti kerana saya tidak tahu siapakah yang akan jadi teman bicara saya esok lusa nanti memenuhi kerusi di hadapan saya.
Memandangkan saya pernah ke Istanbul, saya pun menunjukkan gambar-gambar Istanbul yang pernah saya rakam di iPhone saya. Beliau dan isteri hanya senyum-senyum sahaja. Lelaki tersebut boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris tetapi saya rasa isterinya hanya mahir bertutur Bahasa Russia ataupun mungkin Bahasa Turkey.
Sempat lelaki tersebut menyuruh saya agar pergi atau singah di Krasnoyarsk kerana menurutnya tempat itu sangat cantik. “You should come to Krasnoyarsk” katanya, mungkin kerana melihat gambar-gambar di iPhone saya, dia beranggapan yang saya suka mengambil gambar dan merasakan saya perlu ke Krasnoyarsk.
Saya tak pernah terfikir untuk ke Krasnoyarsk, tambahan pula itulah kali pertama saya mendengarnya, terlalu banyak hentian sepanjang laluan Trans-Siberian dan dengan jumlah masa yang terhad, saya perlu memilih yang mana perlu sahaja. Bila dah sampai Malaysia baru saya google balik Krasnoyarsk, WOW!!!, memang cantik tempat tu, insyaAllah kalau ada trip lagi ke Russia, saya akan masukkan Krasnoyarsk. Krasnoyarsk berasal dari perkataan lama iaitu “Krasny Yar,” bermaksud “Beautiful Shore.”
Bagi sesetengah orang menaiki keretapi untuk tempoh perjalanan yang memakan tempoh masa yang panjang mungkin membosankan, sekiranya tujuan kita hanya untuk sampai ke destinasi dari Point A ke Point B, mungkin ianya membosankan. Sekiranya ada pilihan mungkin mereka akan memilih untuk menaiki kapal terbang sahaja.
Tetapi tujuan saya ialah untuk merasai pengalaman perjalanan itu sendiri. Perjalanan itulah sebenarnya destinasi saya, “The Journey is the Destination.” Pengalaman sepanjang perjalanan itulah yang saya cari, dan bagi yang mencari pengalaman, tiada istilah rasa bosan walau sesaat pun. Sekiranya tidak berbual atau bertegur sapa dengan penumpang di dalam keretapi, bola mata saya seakan melekat di jendela keretapi. Kalau boleh saya tidak mahu kedipkan mata saya untuk menyaksikan pemandangan di luar tingkap kerana saya tidak tahu entah bilakah lagi saya dapat menatap wajah Siberia lagi.
Pelbagai perasaan muncul di hati saya tatkala menyaksikan pemandangan di luar tingkap, gembira, hiba, tidak percaya pun ada. Gembira kerana impian bertahun-tahun untuk mekalukan trip Trans-Siberian Railway ini berjaya juga akhirnya, hiba kerana teringatkan ibu, anak-anak, isteri serta kaum keluarga yang lainnya yang saya tinggalkan nun jauh di Malaysia. Sesekali timbul juga rasa tidak percaya, apakah aku ini benar-benar berada di dalam keretapi merentasi Siberia ataupun hanya berada di dalam mimpi yang panjang.
Sewaktu keretapi semakin menghampiri Irkutsk, destinasi terakhir saya di Russia, timbul rasa hiba kerana hari-hari sebelumnya saya telah mendapat kawan baru iaitu sekumpulan pelajar University di Ekaterinburg, mereka menaiki keretapi dari Ekaterinburg menuju ke Ulan-Ude, destinasi selepas Irkutsk. Mereka dari bangsa Buryat atau “Buryatia.” Wajah mereka tak ubah seperti warga Mongolia dan kebanyakan Buryatia berasal dari keturunan di Mongolia.
Beberapa minit sebelum keretapi tiba di Stesen Keretapi Irkutsk, salah seorang daripada mereka menghampiri saya dan sempat memerikan sedikit nasihat agar saya berhati-hati di Irkutsk, bukan pasal bahaya ke apa tetapi menyuruh saya supanya mengenakan pakaian yang tebal kerana suhu di Irkutsk sangat sejuk, itu kata orang Russia, bayangkan orang Russia yang dah biasa dengan suhu sejuk melampau pun boleh cakap macam tu, dia beritahu lagi, kalau hendak ke Tasik Baikal, pastikan baju yang dipakai cukup tebal pasal terlalu sejuk di sana, dan kata-kata tersebut bukan datang dari seorang lelaki tetapi daripada seorang gadis Buryatia, tinggi lampai persis seorang model.
Kata-kata tersebut membuatkan saya rasa macam tidak mahu turun dari keretapi, kalau boleh mahu ikut bersama mereka hingga ke Ulan-Ude, bukan pasal takutkan kesejukan Siberia yang extreme tetapi, “you know what I mean.” Yes, perjalanan berhari-hari dengan menaiki keretapi dari Saint Petersburg di Utara Russia hingga ke Irkutsk di Selatan Russia terasa sangat singkat, pernah saya terfikir, next trip kalau boleh saya ingin naik keretapi dari Moscow hingga ke Vladivostok tanpa turun di mana-mana hentian. Saya ingin rasa, bagaimana agaknya pengalaman menaiki keretapi hampir 7 hari ataupun 163 jam 42 minit, terus menerus untuk perjalanan sejauh 9,298 kilometer di hentian terakhir Trans-Siberian railway iaitu di Vladivostok.
*Kalau Hendak Dengar Cerita Lagi, Mohon Vote For My DiGi WWWOW Award Here : A Wonderful World Through Photography