Adventure,  Travel

Kembara | Pengembaraan Bukanlah Satu Perlumbaan

© 2019 Wazari Wazir | Reading Book | Taj Mahal | Agra | India
© 2019 Wazari Wazir | Inside 3rd Class Indian Railway

© 2010 Wazari Wazir | Kembara India 2010 | Taj Mahal | Traveling By Train

“Aku Pengembara, Kau Pelancong, “I’m a Traveler and You are Tourist.” Perdebatan tentang topik ini hangat diperkatakan sama macam dalam bidang fotografi, perdebatan antara RAW format dan JPEG format, perdebatan antara Full Frame Camera dan Non Fulll Frame serta yang terbaru antara Mirror-Less dan Non Mirror-Less dan macam-macam lagi termasuklah kamera jenama apa yang paling bagus, gambar Edit Photoshop dan “SOOC” atau Straight Out of Camera, aku memang cemburu dengan mereka-mereka yang punya banyak masa untuk berdebat dengan isu-isu yang remeh temeh  tetapi mampu untuk menghangatkan suasana.

Sebenarnya saya nak tulis sedikit tentang artikel yang pernah saya baca di blog travel baru-baru ini yang menyatakan bahawa “Travel is Not a Contest.” Pengembaraan ataupun berjalan-jalan ke luar negara ataupun dalam negara bukanlah sebuah pertandingan sesama kita, bukanlah satu pertandingan siapa dapat travel paling banyak negara dalam tempoh waktu yang singkat, ataupun berbangga kerana dapat berbelanja dengan jumlah wang yang sangat sedikit berbanding orang lain, berbangga tidur di bawah jambatan ataupun berkhemah di tepi-tepi jalan berbanding dengan mereka-mereka yang menginap di hotel-hotel mewah, berbangga dapat travel berbulan-bulan sedangkan orang lain hanya mampu habiskan masa selama seminggu dua sahaja atas faktor pekerjaan atau lain-lain kekangan.

Manusia dijadikan Tuhan berbeza-beza, keadaan fizikal kita juga berbeza-beza, ekonomi ataupun kewangan kita juga berbeza-beza, tetapi menyimpan satu impian atau minat yang sama iaitu melihat negara luar. Minat melihat negara luar itupun luas jugak maksudnya kalau hendak dikupaskan, ada yang minat nak ambil gambar cantik-cantik untuk dijadikan stock photo, ada yang keluar pasal hendak membeli belah, ada yang minat hendak melawat tempat-tempat menarik serta bersejarah, ada juga yang ingin melawat kawasan-kawasan pedalaman yang tiada dalam brochure pelancongan, “road less traveled” orang kata.

“Traveling is a brutality. It forces you to trust strangers and to lose sight of all that familiar comforts of home and friends.

You are constantly off balance. Nothing is yours except the essential things. Air, Sleep, Dreams, The Sea, The Sky. All things tending towards the eternal or what we imagine of it.”

– Cesare Pavese –


Terpulang masing-masing, sama ada kita hendak bawa backpack yang disandang dibelakang badan kita atau hendak menggunakan trolley bag atau bag tarik, ikut keadaan dan keperluan.

Kalaupun hendak dibuat perbandingan siapa traveler atau tourist, buatlah dalam gaya santai, dalam suasana penuh kemesraan, tak perlu serius atau sentap sangat. Yang pasti minat kita lebih kurang sama iaitu ingin melihat dunia luar selain daripada kampung halaman tanah tumpah darah sendiri, yang dari Semenajung mungkin hendak tengok corak kehidupan di Sabah dan Sarawak, begitulah sebaliknya, ada yang hanya mampu travel sekitar 10 negara-negara ASEAN, ada yang mampu travel hingga ke Kutub Utara, ikut kemampuan masing-masing.

Cara orang yang berkeluarga travel tidak boleh disamakan dengan kembara orang bujang, tanggungjawab mereka hanya kepada ibu bapa mereka dan mungkin adik beradik mereka yang lain yang masih memerlukan sokongan, yang berkeluarga pula, tanggungjawab lebih berat, tanggungjawab pada ibu bapa, isteri, anak-anak dan macam-macam lagi, jadi agak sukar bagi yang telah berkeluarga ini untuk keluar kembara  lama-lama kecuali sekiranya anak-anak telah besar panjang dan pandai berdikari, mungkin boleh cuti lama sedikit untuk ke luar negara.

Kalau boleh, ramai kaki travel ingin travel berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun tetapi banyak faktor yang jadi penghalang, so untuk kita menilai seseorang yang hanya dapat travel seminggu dua dengan sebulan atau setahun dua tidak adil rasanya. Kita travel ikut kemampuan kita dari segi masa, komitmen dan kewangan kita. Tidak semua orang boleh ambil cuti tanpa gaji, tidak semua orang boleh tinggalkan keluarganya berbulan-bulan dan tidak semua orang boleh bawa anak isterinya travel sekali untuk tempoh waktu yang lama atas pelbagai sebab dan musabab.

Yang penting kita enjoy cara kita. Ada yang sesuai travel dengan travel agency, ada juga yang sesuai travel sendiri. Semasa saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, menunggu penerbangan pulang ke Malaysia pada pukul 1:30 AM pagi, saya duduk di sebuah kerusi panjang, sambil tunggu tu terdengar perbualan dua orang traveler dari Malaysia ini, kedua-duanya menggunakan travel agency tetapi berbeza.

Lebih kurang tiga empat jam jugaklah saya dengar perbualan dorang dengan jelas, dorang duduk sebelah saya, walaupun saya buat-buat tak dengar, dalam temph tiga jam tu, tak sekali pun saya tegur mereka dan mereka pun tak menegur saya, mungkin dorang ingat saya ini orang Nepal atau Bangla agaknya, keadaan saya masa tu kusut masai dengan backpack yang mungkin dah berbau, almaklumlah perjalanan saya jauh dari Saint Petersburg hingga ke Beijing naik keretapi menempuh perjalanan lebih 8000 KM, berbanding dengan mereka, pakaian kemas macam hendak pi mesyuarat korporat.

Apa yang menarik tentang perbualan mereka, antara lain ialah, yang seorang ni datang dengan ibunya, anggapan saya dia mesti masih bujang lagi pasal kerap sangat saya dengar dia cakap dia bawak ibu dia pi sana, pi sini, tak dengar pulak dia cakap dia pergi dengan suaminya ke sana sini. Dia bersembang dengan seorang wanita di sebelah kiri saya yang bertemankan adiknya sahaja, masih di bangku sekolah adiknya tetapi masa tu bulan December, cuti sekolah, so dia bawak adiknya untuk temankan dia.

Panjang kalau saya nak tulis apa yang mereka bualkan, maklumlam 3,4 jam punya story, dipendekkan cerita rupa-rupanya kedua-dua mereka ini bekerja di bawah syarikat perbankan yang sama, “Banker” cuma di lokasi atau cawangan yang berbeza. Dari apa yang saya dengar hampir setiap tahun mereka akan habiskan percutian di luar negara dan kebanyakan masa dengan agensi pelancongan.

Salah satu sebab ialah kerjaya mereka sangat sibuk, tiada masa hendak buat homework itu ini, biar semua agency ang uruskan dan dari pengamatan saya, mereka travel hendak enjoy, release tension ataupun tenangkan fikiran daripada bebanan kerja. Jadi untuk mereka ini travel dengan membawa bakpack yang berat-berat ke hulu hilir dan tidur di hotel-hotel murah yang agak kurang selesa dan berbau bukanlah pilihan mereka, lagi tension dibuatnya, lagipun nampak gayanya mereka ada duit, kenapa tidak gunakan untuk keselesaan, mengapa perlu susah-susah, mereka inginkan percutian bukannya penyeksaan.

Saya pernah baca buku “Bad Lands” tulisan Tony Wheelers salah seorang pengasas buku panduan pengembaraan Lonely Planet, di dalam buku tersebut dinyatakan bahawa corak pengembaraannya sekarang ini tidak sama dengan zaman beliau semasa  muda pada sekitar  tahun 70 an, pada waktu itu beliau tidak kisah tidur di mana pun, tetapi kini bila usia semakin meningkat tua, beliau inginkan sedikit keselesaan, lagipun kalau ada duit nak buat apa susah-susah sakitkan badan.

Salah satu sebab segelintir dari kita memlih untuk travel sendiri, baik secara solo ataupun dengan kawan-kawan tanpa travel agency ialah atas faktor kewangan, kita cuba cari pengembaraan yang tidak membebankan kita, kita nak travel banyak tempat dengan jumlah kewangan yang agak terhad, rasanya kalau kita dikalangan jutawan, pendapatan bulanan lebih RM100K bersih sebulan, nak buat apa kita susah-susah tidur di hotel bajet harga RM25 satu malam dengan tilam empuk yang berbau hapak.

Cuba kita tengok businessman yang muda-muda, anak muda  golongan bangsawan ataupun golongan kerabat diRaja yang kaya raya, pernah nampak dorang tidur di hotel bajet bawah RM50 satu malam. Bawak backpack 60 liter ke hulu hilir, naik tuk-tuk ataupun Auto Rickshaw di tengah-tengah bandar New Delhi, berapa kerap kita nampak mereka makan di gerai-gerai tepi jalan, kalau ada pun, mungkin hanya sekali sekala untuk tujuan “publisiti” dan lain-lain, dan gambar itulah yang sering dijaja ke sana sini berulangkali padahal, dalam setahun entah berapa kali makan di gerai tepi jalan berbanding di hotel-hotel mewah.

Point saya ialah, sekiranya kita ada duit, kebanyakan dari kita pasti memilih keselesaan berbanding kesusahan, tanya pada diri sendiri siapa yang rasa enjoy sangat duduk di bangku ekonomi yang sempit untuk tempoh penerbangan berbelas jam, tak jeles ke tengok mereka yang duduk di bangku 1st Class ataupun Business Class, setiap masa dijamu makanan enak, hendak tidur pun selesa, rasanya orang yang kurang waras pun kalau boleh ingin memilih bangku 1st Class berbanding ekonomi. Tetapi kita redha kerana hanya itu sahaja kemampuan kita untuk menyampaikan hajat kita ke destinasi idaman hati.

Point saya untuk artikel yang panjang merapu ini ialah, keluarlah melihat dunia dengan cara sendiri, tak perlu hendak dibanding-bandingkan dengan orang lain kerana setiap dari kita punya kelebihan serta kekurangan masing-masing, usaha masing-masing, rezeki kurniaan Tuhan masing-masing. Bagi saya yang penting bukanlah cara apa kita gunakan untuk kembara, bukan berapa banyak atau sedikit jumlah wang yang dibelanjakan jadi ukuran ataupun berapa banyak buah negara yang telah kita lawati, bagi saya yang paling penting ialah berapa banyak pengalaman terutamanya pengajaran serta ilmu yang kita dapat sepanjang perjalanan kita.

Apakah perjalanan atau pengembaraan kita itu menjadikan kita manusia yang lebih baik, berilmu, bertambah keimanan kita, ketakwaan kita, rasa rendah diri kita, itulah yang perlu jadi ukuran. Kalau boleh saya gunakan istilah biarlah kita mendapat “Kembara Mabrur”, ada banyak pihak berbeza pendapat tentang “Mabrur” ini, ada yang kata Diberkati, Baik Suci Bersih, ataupun boleh kita kata sebuah perjalanan yang diBerkati ataupun diRedhai oleh Allah  SWT.

Ada orang kata antara tanda-tanda mendapat Haji yang Mabrur ialah adanya perubahan pada orang yang mengerjaan Haji setelah mereka kembali ke negaranya, perubahan yang baik.

Sama juga dengan mengembara atau melancong, yang penting, setiap kali kita kembali dari pengembaraan kita, tidak kira ke manapun, apa carapun, biarlah kita pulang dengan menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya, bukan hanya kaya dari segi pengalaman tetapi kaya dari segi kerohanian, keimanan dan juga bertambah baik keperibadian, itu mungkin petanda bahawa perjalanan kita diBerkati, diRedhai dan diRahmati Allah SWT, insyaAllah…

Artikel Berkaitan : Tips Mengembara Secara Solo Keliling Dunia

I'm a Photographer and Travel Blogger...

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.