Kau Siapa? Ada Hati Nak Tulis Buku
© 2015 Wazari Wazir | Group Photograph of Me With Family and Relative At Chenderong Balai | Perak
“Everyone must leave something behind when he dies, my grandfather said. A child or a book or a painting or a house or a wall built or a pair of shoes made. Or a garden planted. Something your hand touched some way so your soul has somewhere to go when you die, and when people look at that tree or that flower you planted, you’re there.”
– Ray Bradbury –
“Wrestling,” Mengimbau kembali kenangan bersama Arwah Atuk saya, yang paling saya ingati ialah Arwah Atuk seorang peminat Wrestling, setiap kali ke udara, memang pasti melekat didepan kaca TV, kalau masa tu anak beranak serta cucu berkumpul di rumahnya sudah pasti penuh ruang tamu menonton wrestling, saya pun minat jugak masa tu, masa kecil, kini bila dah besar dan tahu bahawa Wrestling yang dipaparkan di kaca TV itu hanyalah “Hiburan Semata,” just an Entertainment, saya mula kurang minat. Tetapi setiap kali terlihat WWE di kaca TV, seringkali teringat Arwah Atuk.
Arwah Atuk juga satu ketika dahulu pernah disoal siasat oleh anggota polis gara-gara kematian rakan baiknya di hutan sewaktu keluar bersama mencari rotan. Antara mata pencarian Arwah Atuk saya dahulu adalah menjual ikan-ikan sungai dan juga menjual rotan, mungkin ada juga sumber pendapatan lain yang saya tidak ingat. Rumah Arwah Atuk pada waktu itu hanya lebih kurang seratus meter dari sungai sahaja. Bermain Ikan Belacak dan menangkap ikan Puyu adalah aktiviti masa lapang saya di kampung. Pernah saya memancing ikan puyu dari dalam bilik tidur sahaja kerana kawasan rumah Atuk banjir hingga paras leher orang dewasa.
Kisah kematian dan kehilangan sahabat Arwah Atuk saya itu dianggap macam misteri juga kerana berhari-hari orang dan polis mencari tetapi tidak ditemui dimana hilangnya, kalau mati di manakah mayatnya hingga khidmat Pawang diRaja diperlukan untuk mencarinya, rupanya mayat mangsa “disorok,”, kenapa macam tu, padahal lokasi mayat ditemui telah beberapa kali dilalui oleh orang yang mencari termasuk anggota polis tetapi tidak kelihatan, seolah-olah “terhijab,” itu antara cerita-cerita yang saya dengar dari mulut orang kampung, sedara mara dan Arwah Atuk sendiri, sejauh mana kebenarannya saya tidak tahu pasal masa tu saya kecil lagi.
Arwah Atuk saya meninggal dunia sehari sebelum Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat penggumuman mengejut untuk meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra 2002. Atuk saya meninggal pada 21 Jun 2002 manakala Tun Dr. Mahathir membuat penggumuman tersebut pada 22 Jun 2002, jadi saya tiada gambar Tun Dr. M, dipujuk oleh Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beberapa menteri lainnya supaya menarik balik kata-katanya kerana waktu itu saya telah pun pulang ke Chenderong Balai Perak pada sebelah malamnya, kalau saya tak silap.
So apa kena mengena dengan gambar atas tu dan apa kena mengena dengan menulis buku? Gambar atas tersebut dirakam setelah selesai upacara pengkebumian Isteri ataupun balu kepada Atuk saya, iaitu Opah saya yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 September 2015. Selepas selesai upacara pengkebumian, setelah selesai menjamu selera di warung belakang tu, kami pun bergambar, pasal bukan selalu dapat kumpul beramai-ramai begini, di hadapan warung ini pula ialah Tanah Perkuburan Islam Parit 1/7/L Chenderong Balai Perak.
Setiap dari kita ada cerita yang hendak diceritakan walaupun kita bukannya ahli kerabat diRaja, hanya orang biasa-biasa sahaja, mungkin moyang kita dahulu bukan orang senang, bukan siapa-siapa hendak memikirkan untuk menulis buku, mungkin lebih banyak masa digunakan untuk berfikir bagaimana untuk mencari juadah sarapan pagi, selepas itu fikir pula untuk mencari juadah untuk makan tengahari dan seterusnya.
Mungkin ada di antara kita yang moyangnya, neneknya atau atuknya menjawat jawatan penting di daerah beliau, di kampung beliau, seorang petani atau nelayan yang hebat, mungkin ada tips-tips ataupun pengalaman hidupnya yang boleh diguna-pakai oleh anak cucunya tetapi malang sekali terkubur bersama mereka, tidak sempat untuk diceritakan, apalagi dituliskan buku.
Kita mungkin hebat ataupun berilmu dalam bidang masing-masing tetapi tiada “Legacy” yang ditinggalkan untuk anak cucu kita, seperti buku sebagai contoh, seorang photographer mungkin boleh membukukan pengalamannya, seorang doktor mungkin juga boleh menulis tips-tips yang baik untuk kesihatan, seorang ahli sukan mungkin boleh menulis pengalaman-pengalaman yang menarik, cerita sebuah kejayaan, cerita sebuah kegagalan dan macam-macam lagi untuk panduan anak cucu akan datang.
Menulis buku ni bukan bermaksud menulis buku untuk dijual, tak perlu fikir pun pasal hendak cetak di mana, hendak pilih cover apa yang bagus, perlu belajar Photoshop, In Design dan sebagainya, kita boleh sahaja menulis pengalaman hidup kita di atas sekeping kertas ataupun buku-buku nota yang boleh dibeli di kedai-kedai buku.
Siapa pernah tengok iklan Hari Raya Petronas pada tahun 2007? Ingat lagi tak kisah seorang ayah yang bertanya kepada anak lelakinya tentang nama seekor burung, berkali-kali si ayah bertanya pada anaknya, anaknya yang mula menjawab dengan senyuman dan tutur kata yang lemah lembut, selepas itu mula meninggikan sedikit suaranya kerana mungkin berasa bosan dengan pertanyaan bertalu-talu dari ayahnya, mungkin sudah malas hendak melayan karenah ayahnya, namun si ayah tetap tersenyum sambil menghulurkan sebuah buku kecil berwarna hijau kepada anaknya dan berkata “Nah, Kau Baca Apa Yang Mak Kau Tulis.”
Selepas membaca buku catatan arwah ibunya, si anak mula merasa sebak, saya sebagai seorang ayah kepada anak-anak yang masih kecil turut merasa sebak juga melihat babak tersebut, pengaruh tulisan seorang ibu tersebut amat kuat buat si anak, kalau ianya diceritakan oleh ayahnya ataupun orang lain, mungkin ada tokok tambanhnya, mungkin ada yang terkurang dan terlebih tetapi kisah hidup pengalaman seseorang individu yang menulis kisah hidupnya sendiri lebh jujur, sekiranya beliau menulis dengan jujur. Agak sukar untuk kita mengingati peristiwa yang berlaku 20 hingga 30 tahun yang lalu secara terperinci terutamanya semasa kita dalam lingkungan usia di bawah lima tahun, tidak banyak yang mampu kita ingat di waktu itu.
Saya sekarang ini banyak menghasilkan Photobook untuk keluarga saya tetapi Photobook yang majoritinya hanya memaparkan gambar semata-mata tidak mampu untuk menceritakan kisah disebalik gambar tersebut dan oleh sebab itu Agustinus Wibowo seorang Photojournalist dari Lumajang Indonesia yang pernah berkhidmat selama lebih kurang dua tahun di Afghanistan mengambil keputusan untuk menulis buku, kerana baginya gambar sahaja tidak cukup untuk menceritakan pengalaman hidupnya di sana.
Kita tidak perlu menjadi manusia hebat hanya untuk menulis atau menghasilkan seuah buku, sekiranya ada sebaris ayat yang mampu memberi manfaat buat anak cucu kita akan datang, itu sudah cukup baik. Itulah peninggalan harta kita untuk mereka, seribu, ataupun puluhan ribu orang boleh berkongsi ilmu tersebut berbanding harta kerusi antik ataupun sebuah kamera antik yang hanya seorang sahaja boleh mewarisinya pada satu satu waktu.
Buat mereka yang telah pergi mengadap Maha Pencipa, kita sedekahkan Al-Fatihah, buat yang masih hidup, perjalanan perlu diteruskan tetapi kalau boleh biarlah kita “Die Empty,” Die Empty ini antara lain bermaksud, sekiranya kita ada apa sahaja ilmu yang bermanfaat untuk kesejahteraan manusia sejagat, kita kongsikan sebanyak-banyak yang termampu dalam apa cara ataupun medium. Die Empty ini tidak pula bermaksud kita pergi tanpa membawa apa-apa bekalan terutamaya amal kebajikan tetapi apa sahaja pengalaman hidup yang baik yang boleh memberi manfaat untuk manusia dan juga yang kurang baik yang boleh dijadikan panduan dan teladan, kita kongsikan selagi hayat masih ada, insyaAllah…
***Tarikh 11 September adalah tarikh yang paling senang untuk diingati oleh warga dunia. Tarikh tersebut Opah saya meninggal dunia, tarikh tersebut juga iaitu pada 11 September 2001 di mana bangunan Twin Tower World Trade Centre di New York City telah dilanggar oleh dua buah pesawat commercial dan menyebabkan kedua-dua bangunan tersebut ranap menyembah bumi.