Photojournalism

Fikir Dahulu Sebelum Bercita-Cita Untuk Menjadi Seorang Photojournalist | Bahagaian III


© 2012 Wazari Wazir | Liputan Lawatan Negara SPB YDP Agong Ke Tokyo Jepun

© 2012 Wazari Wazir | Liputan Lawatan Negara SPB YDP Agong Ke Tokyo Jepun

“Waaah…, Untunglah kat dapat pi oversea, pi sana pi sinun ikut pemimpin negara…” Sering kita dengar kawan-kawan cakap macam ni, dari segi keberuntungan itu, memang tak dapat kami nafikan. Kami memang  bersyukur dengan nikmat yang diberi tetapi ianya adalah satu tanggungjawab yang cukup berat. Selain terpaksa meninggalkan anak isteri serta ibu bapa selama mungkin seminggu dua ataupun berminggu-minggu mengikut tugasan. Mereka juga risaukan tentang kita, kita juga risaukan mereka sepeninggalan kita bertugas di luar negara.

Kawan-kawan mungkin nampak hebat, kita terbang sana terbang sini, tetapi bagaimana pula perasaan ahli keluarga terutama anak-anak kita yang masih kecil, baru seminggu dua pulang dari tugasan luar  liputan banjir dalam Malaysia, hendak terbang pula ke luar negara sampai dua minggu, dah tentu terlepas sambutan Hari Jadi, dah tentu mungkin terlepas mengikuti acara sukan yang mana anak kita mengambil bahagian, mungkin juga terlepas sambutan ulang tahun perkahwinan kita, mungkin juga terlepas menyaksikan hari pertama anak kita melangkah ke alam persekolahan. Pengorbanan itu yang mungkin tak ramai orang nampak.

Jarang sekali tugasan ke luar negara kita tahu setahun ataupun enam bulan lebih awal, biasanya dalam tempoh seminggu dua sebelum pergi ataupun dalam tempoh kurang 24 jam sebagaimana tugasan saya ke Ukraine tempoh hari. Kurang 12 jam sebenarnya saya dapat tahu yang saya akan ke Kiev Ukraine yang mana dalam tempoh 10 hari lagi orang akan menyambut Hari raya Aidilfitri.

Kami menjadi mata dan telinga kepada rakyat Malaysia, ianya satu amanah yang besar, kekdang terfikir jugak dalam hati, dalam berjuta manusia yang menghuni Malaysia, kami antara segolongan kecil rakyat Malaysia, baik wartawan, videographer, technician dan juga photographer/photojournalist adalah sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk membawa berita, baik secara visual atau bertulis tentang apa yang dilakukan oleh pemimpin negara di luar negara.

Mungkin ada segelintir dari kita beranggapan, tugas kami tak banyak mana, ambil gambar sana sikit, sini sikit lepas tu boleh jalan-jalan makan angin. Mana taknya klip berita yang kita tengok di kaca TV semasa siaran berita hanya beberapa minit sahaja, mungkin tidak sampai lima minit pun dan biasanya gambar pemimpin negara menghadiri persidangan di oversea mungkin hanya sekeping sahaja gambar yang dipakai untuk dicetak di dada-dada akhbar.

Di sini saya nak kongsi secara kasar tugas kami di luar negara, kalau kita lihat susun atur perjalanan pemimpin luar yang datang ke Malaysa, lebih kurang macam itulah juga susun atur untuk pemimpin Malaysia ketika ke luar negara, mungkin ada sedikit perbezaan bergantung urusan pemimpin tersebut, sama ada menghadiri persidangan antarabangsa ataupun kunjungan negara ataupun lawatan rasmi.

Kebiasaanya kami akan tiba awal sehari ke negara di mana pemimpin negara akan hadir, tujuannya bukanlah untuk memberi kami masa “makan angin” di sana. Tetapi untuk memberi kami peluang membuat pelbagai persiapan, kalau untuk menghadiri persidangan antarabangsa, biasanya hari tersebut digunakan untuk membuat pass ataupun mendapatkan pass untuk access ke persidangan tersebut.

Kemudian kebiasaanya kami akan ada perbincangan dengan pihak kedutaan ataupun pegawai protokol ataupun dari MOFA Ministry of Foreign Affair Malaysia tentang susun atur pergerakan pemimpin kita keesokan harinya supaya segala perjalanan lancar. Sekiranya ada masa lagi, kalau pesawat kami tiba ke negara tersebut awal pagi, mungkin kami akan di bawa melawat tenpat-tempat yang akan dikunjungi oleh pemimpin tersebut, ini untuk memberikan kami gambaran yang lebih jelas tentang kelengkapan yang sesuai dan merancang pergerakan kami, sudut mana yang menarik, access, itu ini dan banyak lagi.

Sebaik sahaja pemimpin negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa negara terbabit, di situlah tugas berat kami bermula, walaupun ianya hanya sekadar gambar ketibaan di Airport, ianya penting untuk dilaporkan kepada rakyat Malaysia, untuk memberitahu bahawa pemimpin kita telah selamat dalam perjalanannya menuju destinasi.

Bergantung kepada jadual dan masa penerbangan tiba, tak mustahil kami akan terus ke Parliament House ataupun Istana President untuk tujuan Sambutan Negara. Kita boleh lihat contoh pergerakan Presiden Obama semasa beliau melakukan lawatan rasmi ke Malaysia tahun lepas. Sebaik beliau tiba di Lapangan Terbang Subang sebelah petang, beliau terus ke Dataran Parlimen di mana beliau diberikan sambutan rasmi. Setelah itu beliau pulang ke hotel sekejap sebelum meneruskan lawatannya ke Istana Negara untuk santapan malam bersama SPB YDP Agong.

Sekiranya kejadian tersebut berlaku di Malaysia, senang untuk pihak media atur orang, seorang boleh tunggu di Airport, photographer lain pulak boleh tunggu di Parlimen dan juga sebelah malamnya boleh ditugaskan photographer lain pulak.

Tetapi untuk pihak media yang membuat liputan pemimpin negara ke luar negara, kami tiada pilihan, kalau dalam sehari ada lima enam tempat yang pemimpin negara pergi, kami perlu berada di kelima-lima tempat tersebut. Contoh kalau pemimpin negara kita tiba di sesebuah negeri pada sebelah petang dan kemudian mungkin terus ke hotel untuk berehat sebelum meneruskan aturcara lawatan untuk makan malam bersama pemimpin negara tuan rumah, kami pihak media tidak dapat berehat atau pulang ke hotel, sebaliknya kami akan terus ke lokasi seterusnya, dan bersedia di sana.

Contoh kalau makan malam diadakan di Istana Presiden ataupun di rumah penginapan presiden tersebut, kami kena terus ke sana. Untuk pengetahuan kami pihak media bukan berada dalam satu “Motorcade” pemimpin negara, sebaliknya kami pihak media bergerak berasingan dan kami perlu berada awal dua jam atau sejam sebelum pemimpin negara tiba.

Kalau pihak media diletakkan dalam “Motocade” yang sama, turutannya dah tentu kenderaan kami dibelakang sekali, mustahil untuk kenderaan media berada di hadapan kenderaan pemimpin negara. Kalau kami di belakang, gambar “arrival” dah tentu tak dapat kami nak kejar memandangkan panjangnya “motorcade” dan oleh sebab itu pergerakan media berasingan. Kami bukan sehebat Pete Souza jurufoto rasmi White House kepada Barack Obama yang mana boleh naik satu kereta dengan Obama.

Kalau sambutan rasmi diadakan esok harinya pulak, malam tu pun kami tak boleh nak keluar suka hati jalan-jalan, sebabnya, selagi pemimpin negara berada di hotel penginapannya, macam-macam boleh jadi, maksud saya, mungkin secara tiba-tiba ada press conference yang hendak di buat yang memerlukan liputan berita dan macam-macam lagi, maksudnya sebaik sahaja pemimpin negara tiba ke negara yang dilawatinya, kami sudah terikat, we have to make ourselves available 24 hours a day.

Ada masa-masanya kami tak sempat nak makan, sebab jadual yang bersusun-susun dan kami perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat seawal mungkin sebelum ketibaan VVIP. Bukan tak sempat nak makan langsung tapi makan ala kadar, mungkin makan snickers bar, roti ataupun buah yang kami bawa dalam beg untuk mengalas perut, sebelah malam sebelum tidur barulah ada sedikit ruang untuk makan dengan sempurna.

Sekiranya kita terlibat buat liputan persidangan antarabangsa di luar negara, pun lebih kurang macam tu juga, seperti kata Pete Souza dalam temubual dengan wartawan tentang kariernya, biasanya dia hanya akan berada di sesebuah negara dalam tempuh dua hari sahaja, “From One Convention Centre to Another.” Untuk persidangan antarabangsa, banyak masa dihabiskan untuk menunggu-dan menunggu, berjam-jam dan mungkin tujuh lapan jam menunggu dalam ruang yang sempit.

Maksudnya walaupun banyak negara yang beliau telah pergi, namun pergerakannya hampir sama, dari satu Convention Centre ke tempat lain, sebagai contoh Parlimen, Istana dan Pejabat Perdana Menteri, cuma mungkin ada beberapa kali sahaja Obama melawat mercu tanda sesebuah negara tetapi kita bukan boleh nak “makan angin” sebaliknya perlu concentrate ambil gambar pemimpin negara tersebut. Di Malaysia Barack Obama melawat Masjid Negara, begitu juga semasa di Indonesia Obama melawat Masjid Istiqlal di Jakarta.

Sebenarnya banyak lagi yang hendak diceritakan, tetapi takut nanti nampak macam satu “keluhan” pulak, bukan “keluhan” tetapi sekadar berkongsi serba sedikit kisah yang tak semua orang tahu. Bab tanggungkjawab itu yang teramat besar untuk dipikul, sebabnya kerajaan Malaysia membelanjakan bukan sejumlah wang yang kecil untuk membiayai pihak media rasmi membuat liputan ke luar negara dan kami pula perlu memberikan yang terbaik. Tiada istilah MC semasa berada diluar negara, kecuali kritikal sangat, kalau demam sikit-sikit, selsema sikit-sikit nak minta MC di oversea, memang tak boleh, sebabnya, siapa nak ganti kita ambil gambar nanti.

Itu tak masuk lagi kisah terpaksa berebut-rebut tempat dengan local media, kekadang bertegang urat pun ada, mereka media rasmi, kami pun media rasmi juga, mereka ingin dapatkan sudut yang baik, kami juga ingin dapatkan sudut yang baik dan oleh sebab itu juga kami perlu awal tiba ke lokasi sebelum dipintas oleh media tuan rumah untuk book angle yang cantik, tapi ini pun tengok negara juga, ada sesetengah negara tu memang terpaksa berebut-rebut, dan tugas Photojournalist ni memang tak sesuai untuk orang yang “Ada Taman Dalam Hati.” Jangan salah anggap, maksud saya ada masanya kita kena serius dan bertegas terutamanya bila melakukan tugasan, “be Firm.” Berdiri di satu-satu tempat untuk tempoh 2,3 jam adalah perkara biasa, walaupun penat, terpaksa dilakukan agar angle atau sudut pandang yang telah kita pilih tidak diusik orang.

Membuat tugasan diluar negara, kita tidak boleh buat secara sambil lewa (bukan pula bermakna tugasan dalam negara kami buat sambil lewa, TIDAK sama sekali), kena bagi 100% commitment, kami merakam sejarah negara untuk tatapan rakyat Malaysia dan kami dipertanggungjawabkan untuk merakam sebaik mungkin dalam apa juga keadaan, pihak atasan hanya ingin melihat hasilnya, they want to see the result dan bukannya alasan kenapa itu tak boleh, ini tak boleh. Kalau banyak sangat kita beri alasan, mungkin untuk tugasan akan datang, nama kita tidak akan terenarai lagi untuk liputan ke luar negara.

Salah satu sebab mengapa tanggungjawab kami jadi lebih berat bila berada di luar negara ialah, sekiranya terjadi apa-apa terhadap visual rakaman kami, kepada siapa kami hendak minta pertolongan, media tempatan? Itu kalau mereka hendak tolong, kalau tidak, menjawablah kita. Berbeza dengan tugasan di dalam negara, biasanya untuk satu-satu lipuan ada ramai lagi jurufoto dari pelbagai agensi dan akhbar yang mungkin kalau kita ada hubungan baik dengan mereka kita boleh minta tolong kongsi gambar sedikit, ataupun kalau PMO minta gambar yang mana kita termiss satu-satu moment, mungkin pihak terbabit boleh dapatkannya dari agensi lain tetapi diluar negara, hanya kami yang diharapkan. Kalau mereka hendak harapkan local media di sana, tiada gunanya habiskan ribuan ringgit membawa kami ke sana.

Tujuan penulisan ini bukanlah hendak menakut-nakutkan anda, tetapi sebagai persiapan kepada adik kakak yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang ini agar buat persediaan rapi. Persiapkan diri secukupnya, kena buat research serba sedikit sebelum ditugaskan ke luar negara. Selain mahir dalam bidang photography, skill PR ataupun public relation kita kena ada, kena pandai berkomunikasi dengan baik dengan media luar, kita tak boleh sentiasa mengharapkan wartawan atau reporter ataupun pegawai- pegawai tertentu menguruskan hal kita, mereka pun ada urusan, kekadang kita one man show yang kena buat pelbagai keputusan dari segi sudut gambar serta susun atur pergerakan kita.

Pendek akata, “Akal Kena Panjang” bila berada di luar negara, contoh kalau kita tertinggal kenderaan media, apa kita nak buat, bolehkah kita cari jalan pulang ke hotel, kalau kita tiba-tiba dihalang untuk membuat liputan oleh pihak keselamatan di sana, apa akal kita untuk mendapatkan access. Proses nak ambil gambar tak susah, hanya petik shutter sahaja tetapi proses untuk mendapatkan gambar tersebut yang agak sukar. Berdiri berjam-jam di tengah panas untuk group photo outdoor pemimpin dunia adalah proses untuk mendapatkan gambar yang agak payah, petik shutter  seminit pun tak sampai.

Nak cerita secara details, mungkin boleh terhasil sebuah buku, cukuplah sekadar gambaran ringkas yang saya beri, itu saya belum masuk cerita cari line internet untuk hantar gambar ataupun pump video ke Malaysia, cabaran jugak tu, sebab Time Zone yang berbeza. Terima kasih sekiranya anda sanggup baca hingga ke akhir tulisan saya ini, insyaaAllah ada masa saya cerita lagi.

*Saya travel ke luar negara untuk jalan-jalan seperti contoh ke Russia dan India kerana tidak puas dengan tugasan fotografi di luar negara kerana kekangan masa, rushing here and there, that’s why I travel, to have all the time for myself.

*Sambungan Seterusnya : Fikir Dahulu Sebelum Bercita-Cita Mahu Menjadi Photojournalist Bahagian IV

*Artikel Sebelumnya Di SINI

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.