Review Buku Travelog ET Kembara Afghanistan
© 2015 Wazari Wazir | (Atas) Buku Travelog ET Kembara Afghanistan | (Bawah) Bersama Penulis Buku Agustinus Wibowo
Kepada sesiapa yang sering mengikuti blog saya ini sudah tentu tahu yang saya ni minat membaca buku, selain mengambil gambar. Antara buku-buku yang menarik perhatian saya ialah buku-buku tentang pengembaraan, tentang kisah-kisah perjalanan seseorang ke bumi asing, buku-buku tersebut sememangnya menarik perhatian saya.
Tidak keterlaluan juga kalau saya katakan buku-buku berkaitan travel melebihi buku-buku berkaitan fotografi yang saya miliki. Cuma amat sedikit koleksi buku-buku kembara yang saya miliki yang ditulis dalam Bahasa Malaysia, bukan saya anti kepada penulis tempatan tetapi hakikatnya amat sukar untuk kita berjumpa dengan buku-buku travelog tulisan rakyat Malaysia. Kebanyakan koleksi buku-buku travel yang saya miliki adalah hasil tulisan tulisan penulis luar negara.
Ini bukan bermakna rakyat Malaysia kurang mengembara, cukup ramai yang keluar mengembara sebenrnya, baik untuk tempoh yang singkat ataupun yang panjang cuma tidak ramai di kalangan kaki kembara ini yang menulis buku ataupun menghasilkan sebuah buku tentang perjalanan mereka yang boleh kita beli di kedai-kedai buku.
Antara koleksi buku-buku yang masuk dalam genre kembara tulisan rakyat Malaysia yang saya miliki ialah buku Kembara Solo “Stans” Asia Tengah tulisan Anita Yusuf (Kembara Bermotosikal), Travelog Minda Tajdid oleh Dr. MAZA, Secangkir Teh Pengubat Letih oleh UST Hasrizal, Diari Musafir – Jangan Berhenti Berlari oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman dan Travelog Haji oleh Muhd Kamil Ibrahim, Kembara Sastera oleh Nisah Haron, dan juga beberapa lagi buah buku yang saya tak berapa nak ingat.
Antara koleksi buku travelog tulisan anak tempatan yang baru saya miliki ialah Travelog Mr. Traveller oleh Meor Farid Asyradi, ADVANTURA Pulang ke Malaya oleh Badrul Hisham dan juga Menjejak Cinta Di Bumi Tuhan oleh Wardah Abdullah.
Panjang pulak intronya, bila nak review buku Kembara Afghanistan ni, actually saya bukan hendak review sangat, cuma just nak promote sikit buku ini agar ianya akan jadi sumber inspirasi untuk lebih ramai lagi kaki kembara seperti saya cuba berusaha untuk menulis buku, agar ianya dapat dijadikan panduan dan teladan untuk ramai orang dan seterusnya merangsang orang untuk keluar mengembara melihat dunia.
Kisah yang dipaparkan dalam buku Traveog ET ini ialah tentang kisah kembaranya ke bumi Afghanistan yang sering bergolak secara bersendirian, banyak pengalaman pahit manis yang terpaksa ditempohinya berseorangan di bumi asing ini.
Afghanistan bukanlah destinasi pilihan kaki kembara, kerana seringkali kita terdengar berita tentang pengebom berani mati di sini, suicide bomber serta Taliban ada di mana-mana yang seringkali menggugat keamanan di sini. Di Malaysia ini pun rasanya tiada syarikat pelancongan yang sudi menganjurkan pakej lawatan ke negara tersebut.
Buku ini juga mungkin mampu mencabar kaki travel agar cuba untuk keluar dari kepompong “Keselesaan,” mungkin ada diantara kaki travel yang meminati sesetengah destinasi tetapi mungkin disebabkan berita-berita yang kurang enak kita dengar tentang negara tersebut di kaca TV, kita menjauhkan diri, betul juga kata Noridah dalam buku tersebut, tidak mungkin negara sebesar Afghanistan yang terkenal dengan keindahan mukabuminya itu secara keseluruhannya tidak aman ataupun tiada sesuatu yang menarik untuk dilihat atau dinikmati.
Ini bukanlah buku pertama tentang Afghanistan yang saya baca, sebelum ini saya ada membeli buku “Selimut Debu” tulisan Agustinus Wibowo dari Indonesia, buku tersebut mengisahkan tentang pengalamannya selama dua tahun tinggal dan bekerja di Afghanistan sebagai seorang Photojournalist.
Mungkin tidak adil untuk saya membandingkan kandungan kedua buku tersebut, mana mungkin pengalaman selama sebulan dua di negara orang sama dengan pengalaman 2 tahun di tempat orang. Sudah tentu buku tulisan Agustinus Wibowo lebih mendalam, more in depth, lebih detail berbanding tulisan Siti Noridah, apapun Travelog ET Kembara Afghanistan tetap sebuah buku yang menarik untuk di baca.
Rasanya tak perlu saya cerita secara detail tentang kandungan buku Travelog ET, ianya akan menghilangkan element of surprise nanti. Memang banyak juga pengalaman yang mendebarkan dalam buku tersebut, bagi saya pengalaman pahit yang kita lalui semasa kembara kita itulah yang akan menjadikan cerita kita lebih menarik untuk didengar dan dihayati, adanya konflik, susah payah serta cabaran yang dihadapi dalam menempuh pengembaraan, kesemuanya itu adalah ramuan sebuah cerita yang menarik.
“Hidup Tanpa Cabaran Bukan Hidup Namannya,,”
– ET –
Sehingga tulisan ini ditulis, buku Travelog ET ini belum lagi memasuki kedai-kedai buku utama di Malaysia. Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya boleh membeli buku tersebut secara langsung dari Siti Noridah sendiri melalui akaun facebook beliau. Selamat membaca…
*Travelog ET Kembara Afghanistan Bukannya Travel Photobook, So Jangan Expect Banyak Gambar Di Dalamnya, Buku Yang Saya Miliki Ini Hanya Memiliki 16 Halaman Bergambar Sahaja.