Memburu Impian | Kembara Trans-Siberian Railway
“Roy, Roy, Hati Kau Keras…” teringat kata-kata terebut dalam satu babak filem popular zaman remaja (actually saya belum remaja lagi time tu) iaitu Filem Gila-Gila Remaja tahun 1985 lakonan pelakon utamanya iaitu Faizal Hussein. Babak paling best masa tu bagi saya ialah ketika Faizal Hussein ataupun Azroy dalam filem itu membawa motosikal ataupun “membawa hati” ke mana? Saya pun tak berapa nak ingat tapi mungkin sekitar Seremban dan Melaka ataupun satu Malaysia. Anyway, tak kisahlah tu, yang menarik bagi saya ialah semangat “KEMBARA” yang ada dalam adegan tu. Lirik lagu Memburu Impian nyanyian Kaza tu pun kena dengan jiwa saya masa tu hingga kini.
Bercakap tentang mengejar impian ini, saya percaya setiap orang punya impian dan cita-cita yang pelbagai, sama ada impian jangka pendek dan panjang, impian di zaman persekolahan, impian zaman bercinta ataupun impian setelah berumahtangga, selagi kita masih bernafas, selagi itu manusia punya pelbagai impian dan cita-cita.
Impian seorang peminat motosikal, sudah tentu ingin membeli motosikal besar idaman hati, setelah berjaya memiliki si jantung hati sudah tentu mengidamkan untuk membawa si jantung ke sana sini, kalau boleh hingga ke hujung dunia (kalau dunia ini flat). Impian jurufoto ataupun mereka-mereka yang meminati bidang ini pun pelbagai juga, yang minat landscape, antara lain mungkin mengidam untuk mengambil gambar di New Zealand, Iceland, Amazon ataupun di Alaska.
Bagi photojournalist kental pula sudah tentu mengidam untuk mendapat tugasan membuat liputan di kawasan-kawasan konflik, negara-negara yang sedang bergolak atau berperang seperti di Afghanistan, Palestine, Yemen, Somalia, Iraq dan macam-macam lagi, memang agak bahaya dan telah banyak meragut nyawa tetapi itulah “Adrenaline” yang dikejar.
Saya sendiri tanpa berfikir panjang terus menyambut tugasan yang saya terima pada bulan Ramadan tahun 2014, di mana pada waktu sahur saya menerima panggilan dari ibu pejabat meminta saya bersiap sedia dengan passport dan beg pakaian kerana saya diarahkan untuk ke Kiev Ukraine untuk buat liputan kes tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17, yang dipercayai ditembak jatuh di sana. Malam sebelumnya dapat berita pesawat MH17 ditembak jatuh dan belum sempat nak hadam apa yang berlaku, waktu sahur menerima panggilan untuk ke Ukraine sedangkan beberapa jam selepas kejadian banyak syarikat penerbangan cuba mengelak untuk masuk ke ruang udara Ukraine, saya pulak sibuk nak masuk ke sana, memang kerja gila.
Bercakap pula tentang impian kaki kembara, orang yang suka kembara ini pun banyak jenis juga. Bukan semua kaki kembara yang suka jalan sana sini menyimpan hasrat serta impian yang sama. Ada yang kembara untuk membeli belah semata, mana-mana negara yang dikatakan syurga beli belah, itulah yang menarik perhatian mereka, ada juga kaki kembara yang hanya berminat untuk melawat negara-negara maju seperti di Europe, USA, Japan dan lain-lain lagi sampai pernah saya terbaca ada seorang kaki kembara yang kata, India tak masuk dalam list, mungkin India merupakan negara terakhir dia akan pergi kalau dah tiada pilihan lagi.
Sedangkan saya pula India, adalah negara pertama kembara saya, sebelum ini saya pernah ke luar negara tetapi semua itu adalah atas urusan kerja tetapi trip ke India tahun 2010 bersama kawan-kawan adalah trip persendirian, belanja sendiri, dengan jumlah bajet yang sama, boleh sahaja saya ke Seoul atau Tokyo tetapi saya memilih India.
Kebanyakan kaki kembara tegar seperti saya mungkin menanam impian atau cita-cita yang sama, setelah kita dah biasa melakukan kembara yang mudah-mudah kita cuba untuk mencari kelainan, cuba untuk mencari pengembaraan yang lebih mencabar, sebenarnya dari satu kembara ke satu kembara yang lain keyakinan kita untuk terus mengembara semakin tinggi, kita lebih bertambah yakin untuk melakukan kembara ke negara-negara yang kita anggap agak sukar pada mulanya.
Pada tahun 2012, saya bersama kawan-kawan telah melakukan trekking ke Langtang Nepal, actually minat untuk trekking ke Himalaya ini telah lama tersimpan dalam hati, sejak zaman bujang lagi cuma pada waktu itu belum lagi ada penerbangan tambang murah untuk ke Kathmandu Nepal, masa tu yang ada Thai Aiways dan Singapore Airlines, actually masa tu saya tak pandai sangat nak guna connecting flight sana sini, lagipun masa tu kos penerbangan sahaja dalam lingkungan RM3000 dan ke atas, agak tinggi modal tersebut hanya untuk tiket sahaja, kalau masuk belanja hotel, trekking permit dan lain-lain lagi mungkin cecah RM5K.
So pada tahun 2012, sedang layan Apps Skyscanner saya terlihat yang Malaysia Airlines MAS ada melakukan penerbangan terus ke Kathmandu dari Kuala Lumpur, masa tu pun harga tiket taklah murah sangat lebih kurang RM1700 untuk Return tiket tapi bagi saya cukup murah berbanding RM3K, AirAsia juga pada tahun yang sama menyediakan penerbangan terus ke Kathmandu dengan tambang yang jauh lebih murah lagi dalam RM700++ Return boleh dapat kalau beli masa promosi.
Bercakap tentang trip Trans-Siberian Railway pula, ini pun salah satu impian saya sejak zaman bujang lagi, yang buat saya tertarik masa tu ada satu artikel di sebuah akhbar tempatan KOSMO, tentang kejayaan seorang wanita Malaysia Anna Tang Hui Sim, yang telah berjaya melakukan trip Solo Trans-Siberian Railway dari Helsinki Finland Hingga Ke Beijing China. Masa tu rasa teruja sangat untuk mengikut jejak langkahnya. Sampai sekarang saya masih menyimpan sisipan akhbar KOSMO tersebut.
Actually trip Trans-Siberian Railway ini juga merupakan antara kegilaan kaki travel yang punya minat yang sama seperti saya, selain melakukan trip atau trekking di Himalaya, trip Trans-Siberian Railway ini menjadi salah satu impian kaki travel kerana ianya adalah trip perjalanan epik keretapi paling jauh di dunia merentasi Siberia, Mongolia hingga ke Beijing China.
Perjalanan lebih 8000 KM sekiranya kita memulakan perjalanan dari Saint Petersburg ke Beijing ataupun 9289 KM sekiranya kita melakukan perjalanan dari Moscow hingga ke Vladivostok, hentian terakhir Trans-Siberian di Russia. Sekiranya kita menaiki train secara berterusan tanpa keluar bermalam di mana-mana hentian, ianya akan memakan masa selama 7 hari dalam kereta api. Perjalanan keretapi KTM dari KL Sentral hingga ke Arau Perlis hanya ambil masa selama 10 jam dan dari KL Sentral ke Johor Woodlands Singapore hanya ambil masa sekitar 6 jam sahaja bukan 6 hari.
Antara impian lain kaki travel yang mungkin berkongsi minat yang sama seperti saya ialah untuk ke Iceland melihat Aurora, trekking di Patagonia Amerika Selatan, trekking the Inca Trail & Machu Picchu di Peru, melihat Penguin di Antartica, melihat haiwan liar di Afrika dan banyak lagi. Ada juga sesetengah kaki traveler yang suka mengembara ke negara-negara konflik, sama ada yang sedang berperang ataupun negara-negara yang masih lagi belum selamat dalam kalendar pelancongan, seperti ke Yemen, Iraq, Afghanistan, Somalia, Syria, Pakistan dan mungkin negara-negara di bawah pemerintahan Soviet Union satu ketika dahulu.
Namanya pun impian dan sudah tentu impian ini adalah sesuatu yang agak susah untuk di capai, kalau senang sangat, tiadalah dikatakan mengejar impian, namun demikian impian setiap manusia tidak sama, ada sesetengah dari kita yang mungkin kurang sedikit bernasib baik, atau belum ada rezeki lagi, kalau dapat ke Sabah atau Sarawak atau Sabah-Sarawak ke Semenanjung Malaysia pun sudah rasa cukup senang hati.
Tetapi bagi yang telah berjaya mencapai impian, cuba pula cipta impian yang baharu, barulah kita rasa bersemangat untuk terus hidup kerana kita ada impian harus dikejar. Pelajar yang mengimpikan untuk cemerlang dalam peperiksaan sudah tentu mengerah segala tenaga dan minda untuk belajar bersungguh-sungguh, manakala kaki travel seperti saya yang kerjanya bukan cop duit ni, pasti akan bekerja bersungguh-sungguh untuk mengumpul dana bagi melaksanakan impian di hati.
Impian sahaja tidak mungkin akan jadi kenyataan sekiranya kita hanya terus terusan melayan impian, kita kena ada perancangan, plan, apa yang kita buat untuk mencapai impian kita, sungguh ramai orang berkata, aku teringin nak buat itu, nak buat ini, aku teringin nak travel ke sana dan ke sini tetapi kalau hanya “teringin” sahaja tanpa berusaha, sampai bila-bila pun ianya hanya akan tinggal impian.
Yang penting kita jangan mudah mengalah selagi kita mampu menghirup oksigen, jangan mudah mengalah. Ekonomi negara ada pasang dan ada surutnya, mata wang kita pun bukan senantiasa berada pada tahap yang baik, tetapi kita jangan mengalah, cuba cari jalan untuk mengumpul duit, cuba cari jalan untuk dapatkan pendapatan tambahan, ataupun cuba kita belajar dari mereka-mereka yang pakar dalam bidang masing-masing bagaimana impian kita boleh tercapai, tak kira apa pun impian kita.
Ada sesetengah orang rasa hairan ataupun mungkin berfikir bahawa mereka yang selalu travel ni banyak duit padahal kalau mereka selidiki betul-betul, kebanyakan kaki travel terutamanya jenis “Backpacker” ni kebanyakannya berpoket nipis tapi ilmu kembara mereka tidak nipis, mereka sentiasa cari jalan bagaimana impian mereka mampu dilaksananakan, cuba belajar dari mereka, bagaimana mereka merancang itinerary, bagaimana mereka mendapatkan tiket murah dan bagaimana mereka meminimakan perbelanjaan mereka di negara-negara yang mereka pergi.
Satu ketika dahulupun saya merasakan yang trip Trans-Siberian Railway ini hanya mampu tercapai dalam mimpi saya sahaja, tetapi saya tidak putus asa, dan melalui pembacaan sana sini, baik melalui blog-blog tempatan dan antarabangsa, serta buku-buku yang saya beli, barulah saya nampak jalan, barulah saya tahu bahawa trip Tans-Siberian Railway ini bukanlah terlalu mahal, ianya mampu dilaksanakan oleh kebanyakan kaki travel.
Dulu saya fikir ada RM10K baru boleh buat trip ini, tetapi setelah mendapat banyak maklumat trips Trans-Siberian Railway ini boleh dilakukan serendah RM6 hingga RM7K, all in, termasuk flight ke Moscow dan Pulang dari Beijing ataupun sebaliknya.
Saya akhiri posting saya kali ini dengan petikan kata-kata penulis buku terkenal Indonesia iaitu Andrea Hirata ;
Aku ingin mendaki puncak tantangan, menerjang batu granit kesulitan, menggoda mara bahaya, dan memecahkan misteri dengan sains.
Aku ingin menghirup berupa-rupa pengalaman lalu terjun bebas menyelami labirin lika-liku hidup yang ujungnya tak dapat disangka.
Aku mendamba kehidupan dengan kemungkinan-kemungkinan yang bereaksi satu sama lain seperti benturan molekul uranium: meletup tak terduga-duga, menyerap, mengikat, mengganda, berkembang, terurai, dan berpencar ke arah yang mengejutkan.
Aku ingin ke tempat-tempat yang jauh, menjumpai beragam bahasa dan orang-orang asing.
Aku ingin berkelana, menemukan arahku dengan membaca bintang gemintang.
Aku ingin mengarungi padang dan gurun-gurun, ingin melepuh terbakar matahari, limbung dihantam angin, dan menciut dicengkeram dingin.
Aku ingin kehidupan yang menggetarkan, penuh dengan penaklukan. Aku ingin hidup! Ingin merasakan sari pati hidup!
– Andrea Hirata –
Artikel Berkaitan : Saint Petersburg Aku Datang | Pengalaman Travel Solo Trans-Siberian Railway