Catatan Kembara | Pengalaman Menyambut Hari Lahir Bersendirian Di Irkutsk Siberia
© 2014 Wazari Wazir | Paparan Waktu Ketibaan Keretapi Di Stesen Keretapi Irkutsk | 4 Mocba – Пекин | Moscow – Beijing
© 2014 Wazari Wazir | Ketibaan Keretapi Trans-Mongolian K4 di Platform No 1
Sebetulnya dalam hidup aku, belum pernah lagi aku “menyambut” hari lahir, tiada sambutan hari lahir dalam kamus hidup saya, tiada kek hari jadi serta pesta itu ini dan sebagainya, hatta tarikh hari lahir pun aku sembunyikan dari pengetahuan rakan-rakan facebook saya, dan sebab itu tiada ucapan selamat hari lahir tertera di kotak status facebook saya.
Apapun inilah buat pertama kalinya dalam sejarah hidup saya, bersendirian “menyambut” tarikh di mana aku genap berumur 39 tahun iaitu pada tanggal 27 Disember 2014. Pada tarikh tersebut aku bersendirian, cuma dikelilingi insan-insan yang tidak aku kenali di dalam stesen keretapi Irkutsk ini dan aku habiskan lebih daripada 12 jam di dalam stesen keretapi ini menunggu ketibaan train Trans-Mongolia K4 dari Moscow.
Mungkin ada yang bertanya kenapa sampai 12 jam menunggu keretapi, bukan nak naik kapal terbang pun ada urusan itu ini dan pelbagai, ya memang betul tetapi aku sebenarnya amat takut untuk ketinggalan keretapi memandangkan jadual waktu perjalanan mengikut waktu di Moscow, aku ingin bersedia dan tidak mahu ada sebarang kesulitan di kemudian hari.
Untuk pengetahuan semua jadual perjalanan keretapi adalah mengikut waktu di Moscow dan untuk maklumat kawan-kawan, Russia memiliki 11 Time Zone yang berbeza, jadi untuk memudahkan urusan, telah ditetapkan satu waktu untuk setiap stesen keretapi mengikut waktu di Moscow dan perbezaan waktu antara Irkutsk dan Moscow ialah selama 5 jam, maksudnya sekiranya di Moscow pukul 2 pagi, di Irkutsk pula jam 7 pagi dan waktu perjalanan yang dicetak di atas tiket keretapi ialah mengikut waktu di Moscow.
Saya keluar seawal mungkin dari Hostel penginapan yang terletak tidak sampai 2 KM dari stesen keretapi di Irkutsk ialah kerana tidak tahu bila tram terawal akan bergerak kerana keretapi yang saya akan naiki menuju ke Beijing adalah sekitar jam 7:30 AM waktu di Irkutsk, jadi selepas solat Maghrib sekitar jam 5:30 PM saya telah keluar dari hostel menaiki tram menuju ke stesen keretapi ini. Semasa musim sejuk iaitu winter, pada pukul 4 PM dah gelap sangat dah, dah masuk waktu Maghrib dah pun.
Saya tidak berani untuk keluar lewat lagi memandangkan tempat menunggu tram agak gelap dan suhu sejuk yang melampau tanpa tempat berteduh amatlah tidak selesa, tambahan pula sekiranya saya keluar lewat lagi, sudah agak sunyi di luar sana.
Di dalam stesen keretapi tersebut memang ada disedikan sebuah bilik seperti hostel juga yang boleh kita gunakan dengan sedikit bayaran mengikut jam, aku bertangguh-tangguh sama ada untuk menggunakannya ataupun tidak, tanguh punya tangguh hingga aku tidak jadi menggunakan perkhidmatan yang disediakan, cuma kelihatan agak ramai wajah-wajah mirip Mongolian yang turun naik ke tingkat satu di mana terletaknya hostel tersebut, jangkaanku mereka mungkin menggunakan perkhidmatan bilik yang disediakan.
Di dalam stesen keretapi ini juga terdapat beberapa kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barangan terutamanya makanan dan juga cenderahti, aku hanya membeli beberapa jenis biskut, coklat dan mee segera untuk aku gunakan di dalam keretapi nanti. Terdapat juga sebuah coffee shop bersaiz kecil di dalam stesen ini tetapi sentiasa sahaja kerusinya dipenuhi orang maka hajat untuk pekena kopi panas terpaksa aku lupakan.
Stesen keretapi yang mulanya riuh rendah dengan orang ramai, beransur-ansur sepi bila hari semakin menganjak ke tengah malam dan di dalam stesen ini terdapat dua orang anggota polis, mungkin anggota polis bantuan seperti di Malaysia yang mundar mandir dan sekali sekala secara rawak memeriksa tiket penumpang yang hadir.
Sesiapa sahaja yang tiada tiket, pasti akan dihalau keluar, ada waktu-waktunya kelihatan anggota polis tersebut terpaksa mengheret seorang lelaki yang agak berusia dan kelihatan agak mabuk ke luar stesen. Salah satu tujuan anggota polis tersebut memeriksa tiket adalah untuk memastikan hanya mereka-mereka yang ada urusan sahaja dibenarkan berada di dalam. Mereka tidak mahu ada orang luar yang mahu mengambil kesempatan menghangatkan diri di dalam stesen keretapi tersebut.
Suhu di luar memang tersangat sejuk dan ada sahaja orang-orang yang tidak berkenaan cuba-cuba untuk masuk memanaskan diri. Kalau dibenarkan ini terjadi sudah tentu penuh sesak dengan golongan gelandangan memenuhi segenap inci ruang stesen keretapi ini.
Ada sekali tu seorang anggota polis tersebut menghampiriku dan meminta aku menunjukkan tiket, tanya ak mahu ke mana, sebenarnya aku tak tahu pun apa yang beliau tanya, aku hanya menjawab “Beijing” dan mungkin beliau tak faham, selepas itu terdengar orang penumpang yang sedang menunggu tidak jauh dari kerusi yang aku duduk menyebut “Peking”, setelah beliau melihat tiketku barulah polis tersebut beredar, mungkin dia agak curiga dengan kehadiranku di situ, masakan tidak, setelah lebih 5,6 jam aku duduk dan mundar mandir di situ tanpa menaiki keretapi, mungkin sangkaanya aku juga ingin mengambil kesempatan.
Agak lama aku menunggu kemunculan train K4 di paparan screen di stesen keretapi tersebut hanya dalam tempoh satu jam sebelum keratapi tiba barulah aku nampak No 4 tertera di paparan screen yang menunjukkan train tersebut dari Moscow ke Peking (Mocba – Пекин / Moscow – Beijing).
Gambar paparan screen perjalanan keretapi tersebut saya rakam secara sembunyi-sembunyi sahaja, bimbang kalau-kalau timbul macam-macam soalan daripada pak polisi nanti kalau dia nampak saya beria-iya meakam gambar.
Setelah nampak No train dan No platform di mana keretapi tersebut akan tiba aku pun bergegas menuruni anak tangga untuk mencari platform No1, dan aku mula gelabah dan cuak bila tidak kelihatan platform No 1, yang ada hanya platform No 3,4 dan 5,6. Aku mula gelabah seketika, masakan tidak, train hanya akan berhenti selama 25 minit sahaja di sini dan sekiranya aku terlepas train, mungkin aku kena tunggu 3,4 hari lagi untuk keluar dari Russia dan sudah tentu aku kena beli tiket lagi.
Tanpa mebuang masa, aku berlari semula ke dalam terminal dan bertanya pada dua orang anggota polis yang ada di situ, aku hanya menyebut “Peking” “Peking” sambil menunjukkan tiket keretapi ditanganku dalam keadaan cahaya yang agak suram, dan kemudian salah seorang dari anggota polis tersebut menunjuk arah keluar dan kemudian belok ke sebelah kiri.
Tanpa menghiraukan cuaca yang teramat sejuk diluar aku berlari sekuat hati dan Syukur Alhamdulillah barulah aku nampak kelibat keretapi berwarna hijau iaitu train K4 Trans-Mongolia, yang sudah masuk hari keempat bergerak meninggalkan Moscow untuk tiba di Irkutsk. Platform No 1 ialah platform yang paling hampir dengan stesen keretapi ini, platform yang lainnya kita kena turun tangga sebelum boleh menaiki keretapi.
Tidak ramai orang yang menaiki keretapi ini kerana keretapi ini akan meneruskan perjalanan ke Beijing, ini adalah train Kupe dan bukannya Platskartny, Kupe adalah train 2nd class dan agak mahal sedikit berbanding Russian Train Platskartny 3rd Class. (Pilihan kaki travel untuk save budget ke Beijing ialah dengan menaiki train ke Ulaan-Bator Mongolia, tidur semalam dua atau lebih dan kemudian ambil train lain ke Beijing).
Memandangkan ini musim winter amat kurang pelancong atau traveler yang menggunakan perkhidmatan keretapi ini dan sewaktu aku menaiki gerabak train ini, hanya aku seorang sahaja, tidak kelihatan orang lain dalam gerabak ini, hanya keesokan paginya sahaja setelah terjaga dari tidur baru aku perasan ada seorang warga tua bersama anaknya menginap di Kupe bersebelahan.
© 2014 Wazari Wazir | Gambar di Dalam Kupe Empat tempat Duduk | Train Trans-Mongolia K4 Moscow – Peking
Tanggal 27 Disember aku menghabiskan sebahagian besar masaku ataupun sehari suntuk dalam keretapi seorang diri, Kupe empat tempat duduk hanya milik aku seorang, hanya selepas menempuh perjalanan selama hampir 22 jam barulah tiga ruangan kosong Kupe, dipenuhi oleh tiga orang rakyat dari Korea Utara.
© 2014 Wazari Wazir | Self Portrait | Gambar Refleksi Dari Cermin Keretapi di Dalam Kupe | Sunset di Siberia
Sudahlah menyambut tarikh hari lahir seorang diri, di dalam keretapi pula tu dan ini bukanlah keretapi biasa tetapi keretapi yang menempuh tiga buah negara iatu Russia, Mongolia dan China. Perjalanan keretapi dari Irkutsk ke Beijing memakan masa lebih 51 jam merentasi Mongolia.
Pengalaman menyambut hari lahir di Siberia jauh dari ahli keluarga akan ku kenang sepanjang hayat, dalam kerinduan terhadap keluarga ada kisah manis untuk dikongsi bersama, bukan semua orang ada pengalaman menyambut hari lahir menaiki train merentas Siberia ataupun Trans-Siberian Railway, ianya merupakan antara hadiah hari lahir paling bermakna setakat ini.
Artikel Berkaitan : Saint Petersburg Aku Datang | Pengalaman Travel Solo Trans-Siberian Railway