Kembara Trans-Siberian Railway | Checklist Barang-Barang Keperluan Semasa Di Dalam Keretapi
Sebelum saya tulis selanjutnya saya hendak beritahu di sini bahawa tiada train bernama Trans-Siberian, TRANS-SIBERIAN bukanlah nama sebuah kereta api, namun begitu ada kereta api khas untuk para pelancong, saya sebut untuk pelancong tidak bermakna penduduk tempatan Russia tidak boleh guna, tetapi kereta api ini khas untuk bersiar-siar sebab perlu ambil secara pakej, harganya juga tersangat mahal. Kereta api tersebut ialah Golden Eagle Trans-Siberian Express. Jika kita pilih kereta api mewah ni, tak perlu nak fikir soal makan dan minum, ianya ibarat menaiki sebuah hotel mewah yang bergerak.
Trans-Siberian Railway itu bermaksud jaringan ataupun perjalanan keretapi merentasi Siberia, walaupun kita tidak menaiki keretapi hingga ke Beijing dari Moscow atau hingga ke Moscow dari Beijing tetapi hanya mengambil sedikit sahaja jarak perjalanan di dalam Siberia, ianya masih lagi boleh dikategorikan sebagai merentas Siberia.
Gambar di atas saya rakam di dalam keretapi bernombor 082 И yang saya naiki dari Kazan menuju ke Irkutsk, pintu masuk ke Tasik Baikal, perjalanan dengan jarak 4250 KM mengambil masa selama 67 jam dan 43 minit tanpa henti (Kecuali berhenti sekejap-sekejap mengambil dan menurunkan penumpang di stesen-stesen tertentu).
Cuma nama keretapi ini bukanlah Trans-Siberian Railway, sama macam di Malaysia kita ada keretapi Express Senandung Langkawi, Express Sinaran Selatan, Expresss Senandung Wau dan sebagainya. Cuma jarang kita guna pakai train Trans-Malaya (Size Semenanjung yang agak kecil) kerana kebiasaanya “Trans” ni kita guna pakai untuk sesuatu yang besar seperti Trans-Borneo (Sabah-Sarawak) dan juga seperti watak dalam filem Transformers.
Rasanya cukuplan introduction yang tidak seberapa itu, berbalik kepada kelengkapan ketika di dalam train. Kebiasaannya kepada kaki travel tegar ataupun seasoned traveler mereka dah sedia ada satu senarai barang-barang keperluan yang akan dibawa untuk mana-mana trip, bergantung kepada tempoh masa dan tempat.
Ada juga sesetengah traveler yang cukup organised yang mana mereka ada satu beg khas ataupun ada menyimpan satu box khas yang menyimpan barang-barang keperluan untuk kembara. Mereka mungkin akan menambah atau mengurang barang-barang tersebut ikut keperluan.
Untuk tidak membuang masa lagi, saya share kan sedikit sebanyak keperluan-keperluan yang dirasakan sesuai dibawa untuk perjalanan dengan menggunakan keretapi ini yang mengambil masa berhari-hari, sekiranya kita mengambil train ini tanpa henti dari Moscow hingga ke Beijing ataupun dari Beijing hingga ke Moscow, kita akan habiskan masa kita selama enam hari berturut-turut di dalam keretapi, satu tempoh yang agak panjang untuk sebuah perjalanan keretapi.
MAKANAN :
-
- Di dalam setiap train yang melalui Trans-Siberia mempunyai “Dining Car” ataupun sebuah gerabak yang menempatkan restoran, kepada sesiapa yang tidak ingin membawa makanan ataupun keputusan bekalan makanan, maka tidak perlu risau, kita boleh sahaja ke dining car tersebut untuk membeli makanan di sana, cuma kebanyakan menu bukan dalam Bahasa Inggeris dan ianya juga agak mahal.
-
- Selain daripada itu, sebaiknya sebelum kita menaiki train ini, sama ada kita memulakan perjalanan dari Beijing ke Moscow atau sebaliknya, lebih baik kita pergi shopping dahulu dengan membeli pelbagai keperluan untuk kegunaan kita sepanjang di dalam train tersebut.
-
- Antara barang-barang makanan yang boleh kita beli ; Tea Uncang, Coffee, Nescafe, milo, jangan lupa juga sebaiknya kita ada bawa sebuah thermos size kecil untuk kita isi air panas. Sudu dan garpu jangan dilupa.
-
- Selain daripada itu ada baiknya kita beli atau bawa sebuah tupperware kecil size sederhana yang ada penutup tu untuk kita memasak mee segera ataupun untuk kita makan Nestum. Mee segera kita boleh bawa dari Malaysia ataupun kita beli di China atau Russia cuma kena pastikan kandungan perisanya, terdapat banyak perisa di sana yang mengandungi perisa yang tidak halal di makan bagi orang Islam.
-
- Pisang ataupun buah-buahan lain, walaupun tidak boleh bertahan lama, tetapi mungkin boleh kita makan untuk mengalas perut untuk sehari dua sewaktu dalam perjalanan. Kalau tidak mahu bawa pisang, banyak lagi buah-buahan lain yang boleh kita bawa. Oats juga boleh kita bawa.
-
Roti dan jem, biskut-biskut kering, terdapat ramai penumpang di dalam train yang membawa bersama mereka sebungkus roti beserta dengan jem, boleh dimakan untuk sehari atau dua hari perjalanan.
Selain daripada itu kita juga tidak perlu terlalu risau kerana kebiasaannya di mana sahaja keretapi akan berhenti mengambil dan menurunkan penumpang akan ada kedai-kedai kecil sepertii dalam gambar di atas yang mana kita boleh menambah stok bekalan makanan kita sekiranya kita keputusan bekalan makanan.
Cuma apa yang saya perhatikan kedai-kedai tersebut hanya dibuka sebelah siang, kalau waktu malam banyak yang dah tutup terutamanya sekiranya kita travel semasa winter. Namun demikian terdapat juga orang yang menjual pelbagai makanan serta minuman di dalam train ini yang bergerak dari satu gerabak ke satu gerabak membawa makanan dengan troli kecil. Kita cuma perlu sediakan wang sahaja.
Di dalam setiap gerabak keretapi pula terdapat sebuah “Samovar” yang membekalkan sumber air panas, sepanjang kita berada di dalam train. Air panas ini boleh digunakan untuk merebus telur (memang ada penumpang yang membawa bekalan telur ayam mentah untuk dimasak meggunakan air panas dari samovar tersebut), membancuh tea, memasak mee segera dan macam-macam lagi.
Sumber air panas di dalam Samovar ini percuma, kita cuma perlu bawa gelas atau bekas sahaja untuk mengambil sumber air panas ini. Samovar juga boleh dikatakan anatara “Best Friend” kita sepanjang berada di dalam gerabak keretapi ini, masakan tidak, dalam sehari entah berapa kali kita akan berulang-alik ke sini untuk mendapatkan bekalan air panas.
HIBURAN, ENTERTAINTMENT :
Untuk menghilangkan rasa bosan menghabiskan masa berhari-hari di dalam keretapi, kita mungkin boleh fikirkan untuk membawa barang-barang ini. iPad yang boleh kita gunakan untuk menonton video atau bermain game, smartphone pun sudah memadai.
Buku-buku terutamanya buku tentang Trip Trans-Siberian seperti dari Lonely Planet ataupun Trans-Siberian Handbook dari Trailblazer, kita boleh merancang ke mana kita hendak pergi sebelum kita tiba di hentian seterusnya. Buku-buku lain pun boleh juga terpulang cita rasa kita.
Mungkin juga kita boleh bawa postcard dari Malaysia untuk diberikan kepada penumpang-penumpang lain di dalam train sebagai tanda persahabatan atau anda mungkin boleh fikirkan tentang cenderamata lain dari Malaysia yang tidak terlalu besar dan mahal serta mudah alih. Ia juga salah satu cara kita untuk perkenalkan Malaysia kepada dunia luar. Matawang Malaysia, duit syiling atau wang kertas RM1 kalau ada.
Foto Keluarga, setiap kali keluar travel, saya sentiasa membawa foto-foto saya bersama keluarga yang bercetak, dan sering saya tunjukkan kepada traveler lain yang saya jumpa. Sewaktu dalam perjalanan dari Ulaanbatar ke Beijing, saya satu compartment bersama tiga lelaki dari Korea Utara.
Walaupun saya tidak faham Bahasa Mereka dan mereka pun kurang faham bahasa Inggeris, saya berbual dengan menggunakan bahasa badan serta tulisan dan lukisan di atas kertas, bila saya tunjukkan gambar keluarga saya kepada mereka, mereka juga turut mengeluarkan gambar keluarga mereka dan ditunjukkan kepada saya.
Selain dari itu jangan lupa bawa buku Nota, dan jangan lupa catit setiap kenangan yang berlaku sepanjang perjalanan tersebut. KAMERA, antara peralatan atau kepengkapan paling utama, semua orang tak akan lupa hopefully, cuma ada baiknya kita bawa banyak batteri extra, sebabnya tidak banyak terdapat socket untuk kita mengecas batteri kita yang dah lemah, di kebanyakan gerabak socket plug hanya terdapat di luar pintu tandas dan agak ramai orang yang ingin menggunakannya, mugkin cara terbaik kita bawa Expension Plug, jadi ramai orang boleh gunakan socket tersebut.
Jangan lupa bawa International Adapter. Tips dari saya kalau nak guna plug tersebut ialah dengan bangun awal pagi, setkan alarm di smartphone kita, kalau kita bangun awal sebelum orang lain bangun, kita boleh guna pakai dahulu plug point tersebut (atau bawa extra extension plug). Bawa juga extra “Power Bank” untuk keperluan smartphone kita.
Jangan lupa juga pastikan di dalam Smartphone kita ada Apps yang sesuai untuk kembara, antara apps yang mustahak ialah Google Translate (Memerlukan Internet) kita boleh gunakan apps ini untuk berkomunikasi dengan orang asing dalam bahasa mereka, walaupun agak lambat, ia merupakan cara yang baik untuk kita berinteraksi dengan mereka.
Kalau boleh masukkan juga Apps laluan Metro atau Subway tempat-tempat yang kita nak pergi, seperti Apps Metro di Moscow, Beijing, Saint Petersburg, Lebih baik lagi kalau applikasi tersebut kita telah download siap-siap di Malaysia.
PERALATAN LAIN-LAIN :
Antara peralatan lain yang tak kurang pentingnya yang boleh kita bawa ialah “Money Belt” kalau boleh cari yang size agak besar yang juga muat untuk kita simpan Passport, “Money Belt” ini kita pakai di dalam seluar kita, kira macam “pouch bag” cuma nipis dan dipakai didalam seluar, tidak kelihatan dari luar.
Saya sentiasa memakainya hatta semasa tidur sekalipun, rasa selamat bila Passport serta wang tunai ada pada kita dan setiap kali ke tandas, saya tak pernah tinggalkannya, kecuali kalau kita travel berdua atau berkumpulan, ada kawan yang boleh tengok-tengokkan barangan kita kalau kita ingin ke tandas.
Walaupun ada “Money Belt” itu tak bermakna kita perlu simpan semua wang atau dokumen penting kita di sana, asing-asingkan di pelbagai tempat termasuk di dalam stokin atau kasut tetapi sebelum tu, duit kita tu kita masukkan dalam plastik terlebih dahulu, kalau tidak berbau pulak duit itu.
“Baby Wipes” ataupun tisu basah, tidak kurang pentingnya, sekiranya kita travel semasa musim sejuk, badan kita jarang berbau dan orang-orang di negara sejuk jarang mandi tiga kaki sehari seperti kita di Malaysia, tujuan Baby Wipe ni boleh kita gunakan untuk cuci muka, ataupun cuci mangkuk penutup tandas sebelum kita menggunakannya, kita boleh mandi dalam tandas kalau mahu tetapi takut mengambil masa yang agak lama.
Toilet paper jangan lupa juga, serta tuala mandi size yang agak kecil. Janganlah bawa yang tebal-tebal seperti yang disediakan oleh hotel lima bintang. Minyak wangi dan juga sabun mandi serta berus gigi.
Untuk travel musim winter, pakaian yang tebal jangan kita lupa, walaupun suhu dalam train agak panas pasal ada heater sekitar 27 darjah celsius, mungkin juga kita ingin keluar membeli sedikit barangan di hentian-hentian tertentu, maka kita perlu sarungkan baju tebal tersebut sebelum keluar.
Jangan simpan downjacket atau pakaian tebal tersebut di dalam beg, ada baiknya digantung sahaja diruang penyangkut baju yang disediakan. Selain itu ada baiknya kita membawa selipar, boleh digunakan di dalam train dan juga bawa stoking yang baharu, boleh kita guna pakai semasa tidur.
Selain dari itu, elok asingkan sepasang pakaian bersih ataupun kain sarung untuk kita menunaikan solat, ruang solat memang tiada di dalam train tetapi sekiranya terdapat ruang compartment yang kosong, cepat-cepat kita gunakan untuk bersolat, sekiranya tiada ruang, kita boleh juga solat secara duduk. Kain sejadah yang tidak terlalu tebal juga elok kita bawa bersama, kalau boleh pastikan kain sejadah sentiasa ada dalam backpack kita agar kita tidak terlupa.
First Aid kit ataupun ubat-ubatan yang kita perlukan juga perlu kita asingkan awal-awal sebelum memulakan perjalanan kerana ianya sangat penting. Selain dari itu jangan kita lupa untuk membuat beberapa salinan Passport serta Visa kita dan juga ada baiknya kita simpan juga di dalam email atau cloud storage untuk kita dapatkan kembali sekiranya diperlukan.
Mungkin juga ada banyak lagi perkara atau kelengkapan yang tidak dinyatakan di sini yang mustahak bagi diri anda, apapun tidak perlu sangat kita terlalu perfect dalam menyusun atur semuanya, sebenarnya segala keperluan yang kita perlukan semasa travel akan kita ketahui sendiri melaui pengalaman-pengalaman kita yang telah lepas-lepas dan juga dengan mendengar pengalaman serta pandangan dari rakan-rakan traveler yang lain.
Sekiranya sahabat-sahabat saya ada ingin menokok tambah apa yang terkurang, boleh maklumkan kepada saya melaui ruangan komen di bawah dan kita sama-sama share untuk manfaat bersama, insyaAllah.
Pengalaman di dalam Train Trans-Siberian ini ibarat tinggal di dalam sebuah bilik hostel yang bergerak (Mobile Hostel), penghuni hostel tersebut silih bertukar ganti dan bergantung pada sesetengah individu, mungkin anda akan cepat berasa bosan ataupun teruja melihat pelbagai aktiviti yang terdapat di dalam train ini. Kalau kita rajin kita boleh berjalan-jalan dari hujung train ke hujung train untuk meregangkan kaki setelah duduk atau baring seharian.
Untuk peminat photography pula terutamanya yang meminati Human Interest, banyak aktiviti yang boleh dirakam cuma bagi saya, cukup untuk saya melihatnya sahaja, be in the moment, ada masa-masanya bila saya melihat sesutau pemandangan yang cantik sedang saya melihatnya dari dalam viewfinder kamera saya, saya letakkan kamera kerana biarlah saya tidak dapat merakamnya asalkan saya boleh lihat keindahan tersebut sepuasnya tanpa ada gangguan dari kamera saya.
Mungkin saya rugi kerana terlepas peluang merakam sesuatu yang indah tetapi saya berpuas hati kerana dapat melihatnya dengan mata kasar walaupun hanya menerusi cermin tingkap keretapi sahaja.
“If I like a moment, for me, personally, I don’t like to have the distraction of the camera. I just want to stay in it.”
– Sean O’Connell | The Secret Life of Walter Mitty-
Artikel Berkaitan : Trans-Siberian Railway, Berapa Lama Jangkamasa Diperlukan?
Pilihan Laluan Keretapi : Pilihan Laluan Untuk Memulakan Perjalanan Keretapi Trans-Siberian Railway
*Ikuti Kisah Pengalaman Kembara Trans-Siberian Saya Yang Tersiar di The Vocket
3 Comments
azman jumat
Info yang amat berguna… Terima kasih
Pingback:
jidin
Thanks so much sharing pengalaman dan tulis detail