Family

Jalan-Jalan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL2015) Di PWTC

Family Photography | Pesta Buku Kuala Lumpur

© 2015 Wazari Wazir | Bergambar Di Sofa Putih  Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)

Family Photography | Pesta Buku Kuala Lumpur

© 2015 Wazari Wazir | Memilih Buku Di Booth Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)

Pesta Buku Kuala Lumpur

© 2015 Wazari Wazir | Antara Buku-Buku Yang Sempat Di Beli Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Dalam masa seminggu, entah berapa kali saya datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 yang lalu di PWTC, saya pun tak ingat, nak kata banyak sangat tak jugak tapi rasanya lebih dari lima kali. Ada sekali tu saya datang agak lewat dengan family saya, sampai di PWTC dalam jam 8 malam, tengok banyak booth yang dah tutup, dalam hati kata, “eh awalnya tutup”, rupa-rupanya memang tutup awal, untuk hari biasa dari Isnin hingga Jumaat, waktu operasi hanya sampai jam 7 Malam (cuma Sabtu dan Ahad sahaja hingga jam 9 malam), patutlah banyak kedai yang tutup, macam mana boleh tak perasan, begitulah excited-nya saya nak membeli buku sampai terlupa nak tengok aturcaranya.

Saya sebenarnya jarang ke Pesta Buku Antarabangsa ni, salah satu sebab ialah buku-buku yang saya nak cari kebanyakannya tidak ditemui di sini. Cuma tahun ini ada sedikit berbeza kerana ada dua buah buku yang saya teruja untuk membelinya iaitu buku Travelog Mr. Traveller tulisan Meor Farid Asyradi yang mengisahkan perjalanan beliau mengembara ke negara-negara Eropah dengan menggunakan keretapi dan juga buku Advantura Pulang ke Malaya,  tulisan Badrul Hisham yang mengisahkan perjalanannya pulang ke Malaysia dari London hanya dengan berbasikal.

Salah satu sebab saya tertarik untuk memiliki buku-buku tersebut ialah saya ingin tahu atau belajar cara-cara menulis kisah-kisah kembara terutamanya dari kacamata atau pengalaman anak-anak tempatan, senang cerita pengalaman rakyat Malaysia. Sebelum ini kebanyakan buku-buku berkaitan kembara yang saya beli adalah hasil tulisan orang luar, hasil tulisan Mat Salleh dan Minah Salleh yang punya adat dan budaya yang berbeza dengan kita.

Dengan wujudnya syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia sudah ramai orang kita keluar mengembara melihat dunia, satu ketika dahulu untuk kita keluar dari Malaysia, melancong ke negara-negara yang jauh hanya menjadi mainan mimpi semata, untuk ke Sabah dan Sarawak pun memerlukan jumlah perbelanjaan yang banyak, satu ketika dahulu untuk ke Kota Kinabalu dengan penerbangan MAS memakan belanja hampir RM800 atau lebih untuk penerbangan pergi dan balik, kini ada orang boleh dapat tambang serendah RM100 atau kurang lagi untuk penerbangan pergi balik ke Tawau dari Kuala Lumpur, jangankan ke Kota Kinabalu, untuk ke Bali  Indonesia pun kita boleh dapat tambang serendah RM100 untuk pergi dan balik.

Dengan adanya buku-buku travel tulisan anak-anak tempatan, diharapkan akan merangsang kewujudan lebih banyak lagi buku-buku kisah kembara di pasaran, hasil tulisan rakyat Malaysia. Zaman sekarang ini dah ramai orang kita keluar mengembara cuma tidak ramai yang berusaha membukukan kisah-kisah pengalaman mereka, menulis buku memerlukan skill atapun kemahiran yang berbeza dari kemahiran mengambil gambar.

Ramai orang boleh menulis tetapi tidak semua orang boleh menulis dengan baik yang boleh menarik orang untuk membaca cerita kita, sama juga dengan bidang Photography, ramai orang boleh mengambil gambar baik dengan menggunakan smartphone ataupun kamera kompak atau DSLR, tetapi bukan semua orang mampu mengambil gambar dengan baik, bukan semua orang mampu mengambil gambar yang boleh memukau mata yang memandang ataupun dalam kes kembara, tidak semua orang mampu mengambil gambar yang hebat yang bila mana orang melihatnya, wujud rasa teruja untuk turut sama mengembara ke destinasi yang digambarkan.

Itulah salah satu sebab saya ingin sangat mendapatkan lebih banyak buku-buku kembara tulisan anak-anak tempatan, saya pun ingin berkongsi serba sedikit pengalaman hidup saya dan berhasrat untuk menjadikan kisah tersebut dalam bentuk sebuah buku, cuma saya perlu lebih banyak belajar menulis, satu kelemahan diri saya yang saya rasa ada ialah tulisan saya agak membosankan, tiada unsur humour, tiada unsur jenaka, tulisan saya agak mendatar, tidak pandai mewujudkan unsur suspense atau thriller walaupun dalam setiap kembara saya memang ada pengalaman yang menakutkan dan menggerunkan, mendebarkan , cuma saya tidak pandai untuk menzahirkan rasa ketakutan tersebut dalam bentuk patah-patah perkataan.

Kisah saya berjumpa dengan seorang warga Azerbaijan yang boleh berbahasa Malaysia dengan baik, semasa dalam keretapi bawah tanah di Kiez Ukraine pun hingga kini masih tergantung, agak suspense sebenarnya cerita tu, ketika mata saya bertentang dengan beliau saya ingatkan beiau ada niat yang tidak baik, jantung berdegup kencang masa tu, selebihnya nanti saya fikirkan.

Semasa di Kazan Russia, saya pernah ditahan oleh seorang anggota polis Russia yang lengkap dengan topi Ushanka-nya  ketika saya bermundar-mandir di dalam stesen metro di sana, waktu itu saya sebenarnya tercari-cari di mana kaunter tiket, mungkin melihatkan keadaan saya yang agak mencurigakan, maka dia pun menghampiri saya dan bercakap dalam bahasa Russia yang sepatah haram pun saya tak faham, yang saya tahu dia ada berkata “document” sambil menunjukkan dengan isyarat kedua belah tangannya dirapatkan dan dibukakan, iabarat mebuka sebuah buku, dalam hati berkata, mesti dia nak tengok passport saya.

Kalau nak kira bunyi degupan jantung saya waktu itu, lebih kuat daripada paluan gendang “Matsuri” – Kitaro, cuma bunyi paluan gendang lagu Matsuri tersebut sedap didengar, dan bila polis tersebut membawa saya masuk ke dalam sebuah bilik, yang mana tinggal saya dan dia di dalam bilik tersebut, terdapat sebuah penjara kecil berukuran lebih kurang 15 X 15 kaki di dalam bilik tersebut, yang terbayang waktu itu hanyalah wajah anak dan isteri, “Goodbye Malaysia, I’m Trapped in Siberia”, tak semena-mena terbayang Kem tahanan Gulag di Siberia.

Saya tidak pernah menceritakan kisah tersebut pada isteri saya, takut dia risau akan keselamatan diri saya di sana, seorang diri di bumi asing yang belum pernah saya jejaki sebelum ini, saya tinggalkan dahulu cerita itu dan insyaAllah kalau ada kesempatan, ada kekuatan, bertambah sedikit kemahiran menulis, akan saya bukukan kisah tersebut agar boleh dijadikan panduan yang berguna untuk kaki traveler.

*Semasa zaman persekolahan dahulu (awal 80-an), sewaktu di bangku sekolah rendah, saya meminati buku-buku tulisan Enid Blyton, terutama tentang kisah pengembaraan dan penyiasatan “The Famous Five” waktu itu saya tiada banyak wang,  buku-buku tersebut saya pinjam dari Perpustakaan Bergerak yang datang ke sekolah kami pada setiap hari Selasa, kalau tidak silap saya. 

*Senarai Buku-Buku Yang Saya Beli semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur:

  1. Travelog Mr. Traveller – Meor Farid Asyradi
  2. Advantura Pulang Ke Malaya – Badrul Hisham
  3. Kembara Sastera – Nisah Haron
  4. Terima Kasih Si Babi Hutan – Ismail Ariffin @ Lepat
  5. Kisah Orang Menang – Saiful Nang
  6. Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia Di Christiana – ZF Amir
  7. Keretapi Terbalik Langgar Kerbau di Rembau – Rohani Din
  8. Tora Datang Lagi – Amirul Bozu
  9. Kapur Kasut Vs Kapur Tulis “Koleksi 50 Kisah Alam Persekolahan” – (Hadiah) Dari Zalila Isa, ITBM
  10. Travelog Kehidupan Abadi “Perjalanan Menuju Dewasa” – Roza Roslan (Tolong Belikan Untuk Isteri)
  11. Travelog Impian Abadi – Roza Roslan (Tolong Belikan Untuk Isteri)

Selain dari buku-buku tersebut, banyak lagi buku-buku lain yang saya belikan untuk bacaan anak-anak saya…

I'm a Photographer and Travel Blogger...

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.