Kembara Bersama Trans-Siberian Railway | Berapa Lama Masa Yang DiPerlukan?
Salah satu soalan yang biasa saya terima sekembalinya melakukan trip Trans-Siberian Railway ialah berapa lama masa yang diperlukan untuk trip ini? Ianya terlalu subjektif untuk dijawab, berbanding soalan, berapa lamakah atau, cukup tak 3 hari melawat Pulau Langkawi atau Bali di Indonesia? Banyak faktor mempengaruhi jumlah masa yang diperlukan di dalam trip ini bergantung kepada apa yang kita cari dan harapkan dari perjalanan kita. Trans-Siberian adalah laluan kereta api merentasi Siberia yang luas. Kita boleh sahaja melakukan sebahagian sahaja perjalanan tersebut, kalau kesuntukan masa. Tidak semestinya dari Moscow ke Beijing atau ke stesen terakhir Trans-Siberian Railway iaitu di Vladivostok.
Untuk memberi anda sedikit idea, saya kongsikan di bawah ini perjalanan keretapi secara terus dari Moscow ke Beijing dan dari Moscow ke hujung laluan Trans-Siberian Railway di Russia. Perjalanan keretapi secara terus ini lebih kurang perjalanan keretapi KTM di Malaysia ni ke Woodland Singapore, di mana kita tak berhenti turun dan bermalam di mana-mana hentian tetapi hanya turun di Woodland, perjalanan terus keretapi dari KL Sentral ke Woodland mengambil masa selama lebih kurang 6 jam.
Dalam perjalanan tersebut kereta api akan menurunkan penumpang dan mengambil penumpang di beberapa bandar tertentu seperti di Kajang, Seremban, Kluang dan sebagainya, sama seperti keretapi Trans-Siberian ini.
- Trans-Siberian Railway : Moscow – Vladivostok (9,288 KM) – 7 Hari (163 Jam 42 Minit)
- Trans-Mongolian Railway : Moscow – Beijing (7,622 KM) – 6 Hari (126 Jam 55 Minit)
- Trans-Manchurian Railway : Moscow – Beijing (8,986 KM) – 7 Hari (145 Jam 01 Minit)
Kepada yang bertanya apa beza ketiga-tiga laluan train tersebut? Trans-Siberian Railway ialah laluan keretapi merentasi Siberia dan hanya di Rusia sahaja, iaitu bermula di Moscow dan tamat di penghujung laluan keretapi ini iaitu di Vladivostok Rusia.
Trans-Mongolian pula bermula di Moscow dan berakhir di Beijing China tetapi train ini akan melalui Mongolia (kita boleh turun dan bermalam di Mongolia kalau mahu), manakala train Trans-Manchurian Railway pula ialah laluan train dari Moscow menuju ke Beijing China tanpa melalui Mongolia (Dari Chita di Russia akan terus memasuki China tanpa melalui Mongolia).
Sekiranya kita lihat daripada trip tersebut, paling minimum pun kita perlu ada dalam 10 hari, mengambil kira penerbangan kita dari Kuala Lumpur ke Moscow ataupun penerbangan kita dari Kuala Lumpur ke Beijing sekiranya kita ingin melakukan perjalanan kita dari Beijing ke Moscow.
Sepuluh hari ialah jumlah minimum, tetapi biasanya agak berisiko untuk ambil tempoh sepuluh hari, kita kena ambil kira bahawa perkhidmatan train secara terus dari Moscow ke Beijing atau Beijing ke Moscow bukan ada setiap hari, sebagai contoh train Trans-Mongolian dari Moscow ke Beijing hanya ada pada hari Selasa sahaja manakala train Trans-Manchurian dari Moscow ke Beijing hanya ada pada setiap hari Sabtu sahaja, cuma train Trans-Siberian Railway dari Moscow ke Vladivostok sahaja yang ada setiap hari. (*Sila semak balik untuk maklumat terkini).
Kebanyakan pengembara jarang menaiki kereta api ini secara terus selama enam atau tujuh hari berada dalam train, kebanyakan mereka akan turun ke bandar-bandar pilihan mereka dan bermalam semalam dua untuk melawat tempat-tempat menarik di sesebuah kawasan, sebagai contoh Tasik Baikal di Siberia, kebanyakan pengembara akan bermalam semalam dua atau lebih untuk menikmati panorama indah di Tasik Baikal.
Di Moscow, Beijing, takkan kita tidak mahu melawat tempat-tempat menarik yang ada di sana, kecuali kita memang sudah kerap ke Beijing atau Moscow dan kini hanya berminat untuk duduk dalam keretapi sahaja.
Sekiranya kita ingin berhenti dan bermalam, semalam dua seperti di Beijing, Moscow, Irkutsk, Yekaterinburg, Novosibirsk, Kazan, Ulaan-Bator Mongolia, kesemua ini akan menambah lagi jumlah masa perjalanan kita. Sekiranya kita ingin berhenti dan bermalam di setiap hentian kita perlu beli banyak tiket bukan satu tiket sahaja, contoh tiket dari Moscow ke Kazan, satu tiket, dari Kazan ke Irkutsk, satu tiket lagi, begitulah seterusnya.
Untuk tidak terlalu rushing bagi kita yang kesuntukan masa, sebaiknya ada 2 minggu untuk trip ini tetapi secara idealnya untuk kita lebih enjoy tanpa tergesa-gesa dan mengambil kira sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku sepanjang perjalanan kita, sebaik-baiknya kita ada 3 minggu untuk trip ini. 3 minggu ini termasuk penerbangan kita ke dari Kuala Lumpur ke Moscow dan dari Beijing pulang terbang ke Kuala Lumpur atau sebaliknya.
Tentang kos yang perbelanjaan yang diperlukan, berapa RM, berapa ribu tu saya dah tulis dalam entry yang lepas-lepas dan tentang destinasi mana yang jadi pilihan untuk bermalam atau apa yang menarik di sepanjang laluan Trans-Siberian Railway ini, you all kena research sendiri bergantung kepada minat serta kecenderungan masing-masing.
Kepada yang meminati sejarah Russia, ada tempat-tempat bersejarah yang kita boleh kunjungi, kepada yang meminati landscape atau aktiviti lasak seperti mendaki gunung pula ada tempat-tempat yang sesuai untuk kita dan begitulah seterusnya.
Rusia ialah sebuah negara paling besar di dunia dan sudah tentu ada pelbagai destinasi menarik yang sesuai dengan selera kita, negara Singapore yang kecil pun banyak tempat-tempat menarik untuk kita kunjungi, inikan pula negara sebesar Russia. Sama ada berbaloi atau tidak kita menghabiskan sejumlah wang ringgit untuk trip ini, sukar untuk saya jawab, semuanya bergantung pada individu dan minat masing-masing.
*Saya ingin akhiri tulisan saya ini dengan quote dari Ernest Hemingway :
“It is good to have an end to journey toward; but it is the journey that matters, in the end.”
– Ernest Hemingway –
Artikel Berkaitan TRANS-SIBERIA :
- Trans-Siberia, Malu Bertanya, Sesat Jalan
- Trans-Siberia, Saint Petersburg, Aku Datang
- Kembara Trans-Siberia, Barang-Barang Keperluan Semasa Di Dalam Keretapi
- Pengalaman Merentasi Siberia Dengan Melalui Trans-Siberian Railway
- Kembara Trans-Siberia, Pengalaman Hari Pertama Di Saint Petersburg Russia
- Kembara Trans-Siberia, Berapa Lama Jumlah Hari DiPerlukan?
- Merancang Itinerary Untuk Trip Trans-Siberian Journey
- Kembara Trans-Siberian, Cara-Cara Membeli Tiket Keretapi Secara Online
- Kembara Trans-Siberia, Pilihan Untuk Laluan Keretapi Antara Russia, Mongolia dan China
- Memburu Impian Kembara Trans-Siberian Railway
- Pengalaman Kembara Trans-Siberia, DiSiarakan di THE VOCKET
*Kepada yang berminat hendak membaca secebis pengalaman saya semasa di Rusia, boleh dapatkan buku Travelog 7 Benua. Klik pada banner di bawah ini untuk maklumat lanjut…
3 Comments
Pingback:
Pingback:
Pingback: