Adventure,  Travel

Anda Tidak Perlu Kaya Untuk Mengembara | Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih

© 2010 Wazari Wazir | View From Hotel Rooftop | Agra | India
© 2010 Wazari Wazir | Once Upon a Time in Agra | India

Sebenarnya artikel ini saya tulis hanya sekadar mengisi ruang kekosongan, kalau nak ikutkan ayat “Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih” itupun sudah cukup untuk menjelaskan segalanya. Banyak dah artikel yang boleh kita dapati di internet berkaitan tajuk ini, apa yang pasti walaupun banyak namun orang tetap suka membaca dan yang menulis pun suka menulis, salah satu faktor ialah SEO, Search Engine Optimisation terutama kepada mereka-mereka yang menjadikan blog mereka sebagai sebahagian sumber pendapatan.

Dengan tips-tips yang diberikan, maka blog mereka dishare oleh orang ramai, ranking blog pun naik, pengiklan pun semakin minat untuk mengiklan produk atau perkhidmatan mereka di blog yang popular.

Tiadalah menetap bagi yang berakal dan punyai cita-cita
dengan santai, maka tinggalkanlah watan dan berkelanalah

Pergilah, kau kan ketemui ganti kepada apa yang kau tinggalkan
Lelah dahulu kerana kenikmatan hidup itu setelah kelelahan

Aku melihat air yang tenang pastikan keruh
Sekiranya mengalir eloklah ia, jika tidak pasti sebaliknya.

Sang singa kalaulah tidak meninggalkan sarang pasti tidak membaham
Anak panah kalau dibiarkan pasti tidak mengena sasarannya

Mentari kalau tidak berganjak kedudukannya
Bosanlah manusia sama ada Arab mahupun lainnya

Galian itu hanyalah tanah biasa jika tidak digali
Begitu juga setanggi, ia hanyalah sejenis kayu

Sekiranya ia diasingkan dari kelompoknya, bagaikan emas
Sekiranya dimanfaatkan, tinggi permintaannya


-Imam Syafie-

Jadi saya tidak berhasrat untuk memberikan tips-tips bagaimana untuk mengembara, apa point-point yang perlu anda lakukan untuk mengembara. Cuma yang ingin saya tekankan di sini ialah, anda tidak perlu menjadi orang kaya yang mempunyai ratusan ribu, atau jutaan wang ringgit di bank hanya untuk keluar dari bumi Malaysia melihat kehidupan di luar sana. Walaupun begitu untuk mengembara, kita sememangnya perlukan wang ringgit tetapi bukanlah dalam jumlah yang sangat banyak.

Satu ketika dahulu saya pun pernah terfikir, bahawa tidak mungkin seumur hidup saya dapat melihat dunia luar dengan pekerjaan yang saya lakukan ketika itu, yang saya terbayang mungkin peluang untuk menunaikan Ibadat Haji sahaja ruang yang saya ada untuk keluar melihat negara lain selain Malaysia, tetapi masa menunggu untuk mengerjakan ibadat haji sangat lama, masa tu nak berfikir untuk ke luar Malaysia jauh sekali. Jangankan ingin ke luar negara, untuk ke Sabah dan Sarawak pun satu perkara yang sukar bagi saya.

Namun segalanya berubah bila saya mula berkhidmat dengan Jabatan Penerangan Malaysia pada tahun 2001, untuk pertama kalinya saya menaiki kapal terbang ke Kota Kinabalu Sabah atas urusan kerja. Waktu itu saya berlepas di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Masa tu bertugas ke Sabah berdua bersama seorang lagi rakan sekerja. Nasib baik ada kawan, kalau tidak memang terkial-kial untuk saya check in. Pertama kali nak naik kapal terbang, pakaian pun kemas macam nak pergi kerja, bukan apa takut kalau pakai selekeh nanti orang tak bagi naik kapal terbang, masih kebudak-budakan masa tu, terlalu naif.

Keterujaan untuk masuk ke perut kapal terbang masa tu memang tak dapat untuk saya gambarkan, dalam pada itu rasa takut pun ada juga, mana tidaknya hampir tiga jam terapung di ruang udara, apa-apa pun boleh jadi tapi saya seronok melihat pemandangan di luar tingkap, seronok melihat kepulan-kepulan   awan putih bersih di luar tingkap pesawat, sesekali nampak Laut China Selatan, walaupun pesawat terbang pada kelajuan 800 hingga 900 Kilometer sejam namun, seolah-olah terapung di tempat yang sama.

Pengalaman di Sabah, melihat corak kehidupan serta persekitaran yang agak jauh berbeza dari Semenanjung membuatkan saya semakin teruja untuk melihat lebih banyak lagi tempat-tempat lain di dunia ini. Sebelum itu di zaman bujang lagi saya selalu menyimpan keratan-keratan akhbar yang memaparkan artikel tentang destinasi-destinasi pelancongan di seluruh dunia, asal jumpa sahaja artikel berkenaan pengembaraan, saya akan simpan dan filekan elok-elok dalam file khas untuk artikel tersebut.

Waktu itu maklumat bukan macam sekarang hanya di hujung jari sahaja, di rumah tiada internet, di pejabat pula waktu itu hanya ada sebuah komputer sahaja yang mempunyai akses kepada internet, itupun terpaksa berkongsi dengan abang-abang senior yang lain, jadi maklumat untuk travel memang tersangat terhad.

© 2010 Wazari Wazir | Waiting For The Train at Jodhpur Railway Station
© 2010 Wazari Wazir | Arriving at Jodhpur Railway Station From New Delhi
© 2010 Wazari Wazir | Jodhpur Railway Station | Getting Ready For The Next Destination
© 2010 Wazari Wazir | Jodhpur Railway Station | Last Minute Home Work For Next Destination
© 2010 Wazari Wazir | View Inside India 3rd Class Train Compartment

Destinasi pertama saya ke luar negara, bukan atas urusan kerja adalah India, iaitu trip bersama kawan-kawan pada bulan Jun 2010. Itulah trip pertama saya ke luar negara atas urusan peribadi.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah, pokok pangkalnya kita kena ada MINAT, minat yang mendalam untuk melihat dunia luar, bila ada minat dalam diri maka kita akan berusaha untuk mencapai impian kita, memang bukan mudah untuk mencapai impian, pelbagai halangan perlu ditempuh terutamanya untuk mengumpul modal, membeli tiket kapal terbang, membayar duit hotel dan macam-macam lagi.

Seperti mana yang telah saya tuliskan diawal artikel ini, terdapat banyak tips-tips tentang bagaimana kita boleh mengembara tanpa mengeluarkan wang yang banyak di internet ini, boleh sahaja kita Google dan cari. Salah satu cara yang biasa orang lakukan ialah berjimat cermat tetapi bagaimana hendak berjimat cermat kalau hujung bulan, baki gaji yang tinggal hanya cukup-cukup makan, jangankan membeli tiket keretapi membeli return tiket keretapi dari KL Sentral ke Woodland Singapura pun belum tentu cukup.

So berbalik kepada minat, kalau berjimat cermat pun masih belum mencukupi, apakah kita akan menguburkan minat dan impian kita begitu sahaja, sedangkan kita masih lagi bernyawa, masih lagi dikurniakan akal fikiran yang waras untuk berfikir, maka langkah seterusnya ialah mencari jalan bagaimana kita boleh menambah pendapatan kita, agar kita ada lebihan wang yang boleh digunakan untuk memuaskan nafsu travel kita.

Gunakan apa sahaja kepakaran yang kita ada untuk menjana pendapatan sampingan, guru-guru mungkin boleh buat kelas tuisyen, peminat Photography mungkin boleh buat part time photography, ambil gambar event, perkahwinan ataupun mencuba stock photography atau boleh juga lakukan perniagaan secara online.

Pendek kata peluang untuk menambah pendapatan terbuka luas, internet adalah lombong emas kepada yang tahu menggalinya dan kepada yang lain mungkin sekadar menghabiskan kuata internet dengan melayari laman sosial tanpa memberi keuntungan atau manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.

Minat yang mendalam akan memaksa kita melakukan apa sahaja untuk memenuhi impian kita, memang tak dinafikan bila sebut sahaja tentang kembara, tentang travel, ramai yang minat tetapi minat yang gitu-gitu sahaja, kalau diberikan tiket penerbangan percuma serta penginapan dan makan minum percuma, dah tentu berebut-rebut yang cuba mendapatkannya tetapi kalau kena bayar sendiri mungkin ramai yang fikir dua tiga kali kecuali yang betul-betul berminat.

Minat bukan sekadar minat, minat harus disusuli dengan usaha, buat homework, belajar bagaimana kita boleh dapatkan tiket tambang murah, mungkin ramai yang tak percaya kalau kita boleh ke Bali Indonesia dengan bayaran tidak kurang RM100 untuk tambang pergi balik dan saya pernah ke India dengan AirAsia dengan tiket berharga tidak sampai RM600 untuk tambang penerbangan pergi balik Kuala Lumpur New Delhi tetapi tidak lama selepas itu penerbangan secara terus ke New Delhi telah ditamatkan.

Apa yang ingin saya beritahu, sekiranya kita minat, kita cuba dapatkan tambang yang murah, dan kena rajin tengok promosi yang seringkali diadakan  oleh syarikat-syarikat penerbangan dan untuk tempahan hotel pula, cukup banyak website seperti Booking.com, Hostelbooker.com, Agoda, Trivago, Airbnb dan lain-lain lagi yang menawarkan diskaun untuk penginapan di seluruh dunia.

Kashmir 2012 | The Photographer at Vegetable Floating Market | Dal Lake Kashmir

© 2012 Wazari Wazir | Dal Lake | Kashmir | India

Kashmir 2012 | Sonamarg | This Road Will Also Lead You To Leh Ladakh

© 2012 Wazari Wazir | Sonamarg | Kashmir | India

Realitinya bukan semua orang minat travel atau kembara, boleh sahaja kita lihat sebahagian dari kawan-kawan kita yang kerap bertukar-tukar kereta, atau motosikal, yang kerap bertukar-tukar atau membeli Smartphone yang baharu, ramai kawan-kawan kita yang kerap membeli kamera yang baru walaupun kamera lama masih lagi elok, tetapi mereka ni tak minat nak travel, bukan pasal tiada wang, tetapi mungkin kerana kurang berminat. Bukan satu kesalahan pun untuk tidak meminati travel, manusia dengan karenah masing-masing, impian dan cita-cita setiap orang berbeza-beza.

Kepada yang minat travel, rasanya mereka tidak membaca sejauh ini, baca headline atau tajuk blogpost ini pun sudah memadai kerana mereka telah tahu apa yng perlu dilakukan. Yang minat “gitu-gitu” pun tahu apa yang perlu mereka lakukan tetapi tiada apa-apa tindakan di lakukan.

“No action taken” jadi mereka tidak ke mana-mana, mungkin mengharap agar ada tiket kapal terbang jatuh ke riba. Minat mengembara ini pun secara tidak langsung merangsang kita untuk lebih tekun bekerja, untuk menambah sumber pendapatan agar kita boleh terus dengan impian dan cita-cita kita, GST/SST bukanlah penghalang impian kita. Kita boleh terus mengeluh sampai hujung nyawa, atau lakukan sesuatu yang boleh mengubah masa depan kita.


“All great people had experienced dark times and moments of doubt but they find inner strength to overcome these difficulties.

Persistent determination and enthusiasm fuel the hope within their spirit to press forward for the ultimate aim of achieving the goals they have set for themselves.”

– Lailah Gifty Akita –

*Kepada yang berminat hendak membaca secebis pengalaman saya semasa di Rusia, boleh dapatkan buku Travelog 7  Benua. Klik pada banner di bawah ini untuk maklumat lanjut…

Travelog 7 Benua

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.