Merancang Itinerary Atau Rencana Perjalanan Untuk Trip Trans-Siberian Railway
Sekembalinya saya dari melakukan trip Trans-Siberia, agak banyak juga pertanyaan yang saya terima baik melaui email, dan juga pertanyaan secara santai di Fcebook serta juga yang private message menanyakan pada saya tentang itinerary saya ke Russia. Sebenarnya agak susah untuk menjawab pertanyaan tersebut kerana setiap orang melakukan perjalanan atas tujuan yang berbeza-beza berdasarkan minat ataupun kecenderungan masing-masing. Di sini saya cuma ingin kongsikan secara umum sahaja.
MINAT : Faktor pertama yang perlu kita tanya pada diri sendiri dalam merancang perjalanan ialah, kita perlau tahu minat kita, apakah kita lebih cenderung untuk menikmati keindahan alam semulajadi, meminati sejarah lampau sesebuah negara, iaitu trip ke Muzium sudah tentu akan menjadi salah satu agenda penting dalam itinerary anda. Apakah anda meminati budaya dan adat resam sesetangah penduduk, sudah tentu trip ke kawasan pedalaman yang masih utuh dengan adat budaya menjadi pilihan kita.
Apakah kita meminati senibina lama dan baru sesebuah kawasan atau bandar dalam negara tersebut, sudah tentu kita akan melakukan serba sedikit research untuk mengetahui lokasi-lokasi bangunan tersebut serta cara untuk kita ke sana. Kalau kita lebih meminati shopping atau membeli belah, sudah tentu kita akan masukkan beberapa lokasi pilihan terbaik untuk membeli belah, shopping complex yang terhebat ataupun pasar-pasar kraftangan yang menjual hasil-hasil kraftangan tempatan bakal jadi pilihan kita.
Photography, memandangkan sebahagian besar pengunjung blog saya ini meminati photography maka sudah tentu anda ingin mengunjungi beberapa lokasi menarik untuk rakaman photography anda. Photography ini pun banyak bidang juga, minat lain-lain, anda kena ketahui minat photography anda ke arah mana, Landscape, Architecture, Reportage atau Photojournalism, semua ini kena ambil kira.
KEWANGAN : Faktor kewangan merupakan antara faktor terpenting dalam merencana perjalanan kita, lagi lama kita tinggal di satu-satu kawasan maka lagi banyak wang yang perlu dibelanjakan terutamanya untuk penginapan di hotel, hostel, pengangkutan dan makan minum. Sekiranya lokasi pilihan kita itu agak jauh dari pusat bandar, kita kena ambil kira kos perjalanan serta kos penginapan di sesebuah tempat sekiranya kita memilih untuk bermalam di sana.
Semasa trip Trans-Siberia Railway, jenis Kelas keretapiyang saya gunakan berbeza-beza, sekadar ingin mencuba, semasa di Saint Petersburg untuk ke Moscow, saya telah memilih untuk menaiki train klasik Red Arrow atau nama Russianya Krasnaya Strelar, Train ini adalah train terakhir yang akan meninggalkan Saint Petersburg untuk ke Moscow yang memakan masa lebih kurang lapan jam perjalanan. Train ini bergerak pada jam 11:55 PM malam dan tiba di Moscow pada jam 7:55 AM awal pagi.
Tentang sejarah Red Arrow tu rasanya tak perlulah saya tuliskan di sini, sahabat handai sekalian boleh Google untuk maklumat lanjut, cuma apa yang saya ingin sampaikan ialah, selain minat saya untuk mencuba keretapi klasik Krasnaya Strelar ini, saya juga ingin menyesuaikan dengan jadual perjalanan saya kerana saya ingin sampai di Moscow pada awal pagi.
Kita ada banyak pilihan untuk bergerak dengan keretapi dari Saint Petersburg ke Moscow, cukup banyak pilihan train, kalau kita nak cepat tetapi dengan kos yang agak tinggi berbanding train biasa, kita boleh memilih untuk meniki keretapi SAPSAN, keretapi ini hanya mengambil masa lebih kurang empat jam sahaja untuk sampai ke Moscow dari Saint Petersburg. Tambangnya lebih mahal berbanding Red Arrow.
Ada juga train yang lebih murah berbanding Red Arrow yang memakan masa perjalanan hampir 12 jam untuk ke Moscow dari Saint Petersburg, semua ini atas pilihan serta minat kita dan juga faktor kewangan kita, saya pilih Krasnaya Strela (Red Arrow) kerana saya ingin tiba awal pagi di Moscow dan bila sampai sahaja saya ingin terus ke Red Square untuk mengambil gambar di sana sebelum Check In di Hostel, kebiasaanya cahaya awal pagi lebih baik untuk tujuan photography berbanding tengahari tetapi semasa musim sejuk atau winter, matahari naik sekitar jam 9 AM / 10 AM, jadi pada pukul 7:55 AM semasa saya tiba di Moscow, keadaan masih agak gelap seperti pukul 6:30 AM pagi di Malaysia.
Berbalik kepada faktor kewangan, kita boleh pilih train mana yang kita hendak naik berdasarkan faktor kewangan kita. Tetapi selain faktor kewangan kita juga perlu kira faktor masa untuk menyesuaikan itinerary kita pada perjalanan seterusnya.
MASA : Sebenarnya faktor Minat, Kewangan Dan Masa adalah faktor yang paling penting dalam merancang perjalanan kita, untuk perjalanan ke Russia sebuah negara yang paling besar di dunia, faktor masa perlu diambil kira dengan teliti, amat mustahil untuk kita melawat banyak daerah, negeri atau bandar-bandar di Russia dalam jangka masa yang singkat seperti trip kita ke Singapura atau ke Hong Kong. Berbalik kepada kecenderungan minat kita serta faktor kewangan kita.
Secara umum untuk perjalanan menaiki keretapi dari Moscow ke Beijing China dengan menaiki keretapi tanpa henti, maksud saya tanpa keluar bermalam di mana-mana bandar, ianya akan mengambil masa selama enam hari perjalanan, sekiranya kita ingin ke Irkutsk Siberia dari Moscow, ianya akan mengambil masa selama lima hari perjalanan dengan keretapi, semua faktor masa ini kita kena ambil kira dengan teliti dan kita perlu menyemak jadual perjalanan dengan hati-hati kerana ada laluan antara bandar-bandar tertentu yang perkhidmatan keretapi hanya beroperasi untuk hari-hari tertentu sahaja dan bukannya setiap hari.
Secara Kasar Trip Trans-Siberian Railway saya adalah seperti berikut :
- Saint Petersburg – 2 malam
- Moscow – 2 malam
- Kazan – 2 malam
- Irkutsk – 4 malam
- Beijing – 2 malam
SAINT PETERSBURG : Semasa di Saint Petersburg saya sempat melawat Masjid Besar Saint Petersburg (Alhamdulillah sempat solat Jumaat di masjid ini) dengan senibina menyerupai masjid di Uzbekistan dan juga sempat melawat Muzium terkenal di Saint Petersburg iaitu Muzium Hermitage. Selain daripada masjid dan juga muzium, saya juga melawat bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Saint Petersburg dan juga berjalan-jalan sekitar bandar. Kalau nak ikutkan dua malam memang tak cukup tapi masa saya agak terhad.
Bagi saya dari segi sebuah bandar, Saint Petersburg sangat cantik berbanding Moscow, cukup banyak Muzium dan bangunan-bangunan bersejarah di sini untuk saya senaraikan, cuma kalau kita berpeluang ke Moscow, adalah lebih baik untuk melanjutkan perjalanan ke Saint Petersburg ataupun terus mulakan perjalanan anda di Saint Pete sebagaimana yang saya lakukan.
Ada juga yang memulakan perjalan dari Helsinki Finland, tak kurang juga yang memulakan perjalanan dari London terus ke Moscow dengan menaiki keretapi (bertukar-tukar keretapi ikut negara yang di lalui), semua itu bergantung pada masa dan kewangan kita.
Mulanya saya memang plan untuk memulakan perjalanan dari London ke Saint Petersburg dengan menaiki keretapi tetapi kerana kekangan masa serta faktor kewangan, saya memilih untuk memulakan trip Trans-Siberian-Railway saya di Saint Petersburg.
MOSCOW : Untuk trip Trans-Siberia saya, mengunjungi masjid-masjid yang terdepat di sekitar laluan keretapi tersebut merupakan salah satu agenda saya, jadi sebelum saya memulakan perjalanan, saya dah research lokasi-lokasi masjid tersebut dan juga cara untuk ke sana dengan menggunakan pengangkutan awam, Alhamdulillah hampir kesemua masjid yang saya rancang untuk pergi berjaya saya kunjungi kecuali Masjid Niujie di Beijing, bukan pasal tak jumpa tetapi saya ingin segera pulang ke Malaysia, rindu sangat dah pada keluarga.
Di Moscow memang ada banyak masjid tetapi yang menjadi tarikan sudah tentu masjid yang besar serta unik, masjid dalam gambar tersebut yang sedang dalam pembinaan bakal menjadi masjid paling besar di Russia, kalau saya tak silap. Semasa saya sampai masjid ini sedang dalam pembinaan, disebelahnya ada sebuah masjid lama, sebahagiannya telah dirobohkan untuk membina masjid yang baru. Di bahagian belakang masjid lama tersebut ada sebuah Restoran Islam yang boleh tahan sedap jugak masakannya.
Orang ramai boleh bersembahyang di tepi masjid tersebut yang mana telah di bina sebuah khemah yang agak besar yang kalau ikut mata saya mampu memuatkan seribu jemaah atau lebih pada satu-satu masa. Untuk ke Masjid ini kita boleh menaiki Metro dan turun di Stesen Metro Prospek Mira, keluar dari stesen bila kita nampak stadium Olimpik tu, dah tak susah untuk meneruskan langkah ke masjid tersebut. Dalam peta nampak macam jauh jarak dari Metro tetapi tak jauh mana.
Selain daripada masjid di tengah bandaraya Moscow, saya juga mengunjungi Masjid Memorial ini. Kalau kita perasan semasa azan Asar atau Maghrib, masjid ini merupakan salah satu masjid yang dipaparkan dan ianya terletak di Moscow, saya tak pasti Azan di stesen RTM atau di Media Prima (TV3).
Lokasinya agak jauh sedikit dari stesen Metro terdekat iaitu Metro Park Pobedy. Dari Park Pobedy tu kita boleh terus menuju ke Museum of The Great Patriotic War, sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid ini yang terletak tidak jauh di belakang muzium perang tersebut.
Banyak peralatan perang yang dipamerkan di muzium tersebut termasuk kereta-kereta kebal yang lama, cuma masa saya sampi ke muzium tersebut ianya ditutup, saya pun tak ingt pasal apa tetapi dari luar pagar Muzium kelihatan juga perisai-perisai perang yang dipamerkan di muzium tersebut dan muzium perang tersebut juga merupakan salah satu tempat menarik di Moscow untuk dikunjungi
Kalau cakap tentang Moscow, biasanya orang lebih tertumpu pada Red Square Kremlin ataupun Gereja Saint Basil yang menjadi Icon bukan sahaja Moscow tetapi juga Russia secara keseluruhannya, sebenarnya di Moscow cukup banyak tempat-tempat menarik selain Red Square dan Kremlin, cuma orang kita jarang ke Moscow berbanding London, Amsterdam dan Paris, so bila cakap tentang Moscow, hanya gereja Saint Basil yang menerjah ke ruang fikiran.
Kalau Red Square sahaja yang menjadi minat kita, bagi saya, satu malam di Moscpw pun sudah cukup. Train sampai awal pagi, tengah malam atau awal pagi keesokan harinya dah boleh bertolak ke destinasi seterusnya. Nak maklumkan di sini jarak perjalanan berjalan kaki dari Metro Park Pobedy ke Masjid memorial tersebut makan masa lebih kurang 30 minit berjalan kaki secara santai, agak jauh juga sebenarnya.
KAZAN : Semasa di Kazan saya mengunjungi Masjid Ikon Kazan iaitu Qul Sharif Mosque ataupun Masjid Kul Sharif, Kawasan ini dihuni oleh bangsa Tartastan, ramai orang Islam di Kazan dan memang tak susah nak cari Masjid cuma masjid yang paling cantik serta unik di Kazan ialah Qul Sharif Mosque, banda Kazan ni tidaklah besar sangat, satu malam pun sudah mencukupi sebenarnya.
Tetapi sekiranya kita ingin merakam gambar masjid di waktu awal pagi dan di waktu lewat senja, mungkin kita perlu tambah jumlah hari dan sekiranya kita berniat melakukan solat Jumaat di sini, kita kena rancang perjalanan kita dari Moscow, jangka masa perjalanan berkeretapi dari Moscow ke Kazan hampir 12 jam, tak perlu risau tentang keretapi kerana terdapat banyak pilihan dan keretapi berlepas dari Moscow ke Kazan setiap hari.
IRKUTSK : Irkutsk pula merupakan pintu masuk ke Tasik Baikal, tasik yang paling popular di Russia cuma saya tak berkesempatan untuk bermalam di sekitar Lake Baikal atas sebab-sebab yang nanti saya akan tuliskan di lain post. Cuma sesiapa sahaja yang ingin melakukan perjalanan Trans-Siberia kebiasaannya akan bermalam di Irkutsk untuk beberapa hari, pengembara yang menghabiskan masa di Irkutsk akan bermalam di Olkhon Island yang terletak di Tasik Baikal untuk beberapa malam.
Kita boleh menaiki feri untuk ke Pulau Olkhon, sekiranya kita tidak mahu bermalam di Olkhon kita boleh memilih untuk bermalam di tepi tasik Baikal iaitu di Listvyanka, sebuah perkampungan kecil di tepi Tasik Baikal. Saya pula hanya menghabiskan masa di sekitar bandar Irkutsk, mengunjungi pasar-pasanya serta juga sempat singgah di Masjid yang terdapat di Irkutsk.
Untuk makluman, perjalanan berkeretapi dari Kazan ke Irkutsk mengambil masa hampir tiga hari ataupun 67 jam perjalanan berkeretapi dari Kazan ke Irkutsk. Jadi semasa merancang perjalanan anda, kita kena ambil kira tempoh perjalanan dari satu bandar ke satu bandar serta juga berapa hari kita bermalam di satu-satu bandar, semua ini penting agar kita tidak terlepas keretapi. Untuk makluman juga ada terdepat perbezaan selama lima jam antara Moscow dan Irkutsk. Gambar-gambar di Irkutsk nanti saya share kemudian.
MONGOLIA : Di Mongolia banyak juga tempat-tempat menarik cuma saya tidak singgah bermalam di Mongolia tetapi meneruskan perjalanan dari Irkutsk melalui Mongolia terus ke Beijing (Nak balik cepat punya hal). Kalau anda ada masa elok habiskan 2,3 malam di Mongolia dengan bermalam di dalam khemah Yurt, khemah yang bulat tu yang terletak di Terelj Natioanal Park. Selain faktor masa, faktor kewangan juga tak mengizinkan untuk saya bermalam di dalam Yurt. Agak banyak kos yang perlu saya keluarkan, memandangkan saya travel solo, kalau pergi berdua atau bertiga mungkin boleh share dan jimat dari segi kos pengangkutan dan penginapan di Mongolia.
BEIJING : Semasa train sampai di Beijing, kalau boleh saya nak terus ke airport dan terbang ke Malaysia, lebih dua puluh hari meninggalkan keluarga buat saya rasa rindu sangat pada mereka, mana taknya, bersendirian nun jauh di rantau orang buat perasaan rindu tu sangat tebal terutama bila mengingatkan anak-anak yang masih kecil, ada waktu-waktunya terasa mahu mengalir air mata bila terkenangkan mereka, dan juga risaukan akan keselamatan diri sendiri.
Di Beijing saya hanya sempat melawat Tiananmen Square dan Forbidden City sahaja, itupun pasal lokasinya hanya bersebelahan, memang saya ada merancang untuk ke Great Wall dengan menaiki keretapi tetapi saya batalkan hasrat saya walaupun persediaan telah dibuat, maksud saya, bagaimana caranya untuk ke sana dengan menaiki keretapi, station mana nak pergi, Train No berapa nak ambil serta kosnya juga, semua persedian telah saya buat tetapi saya tidak rasa terkilan kerana InsyaAllah, ada masa datang lagi ke Beijing, main trip saya ialah Trans-Siberian Railway.
Rasa macam bermimpi sewaktu tiba di Stesen Keretapi Beijing, manakan tidak, Overland Journey dari Saint Petersburg ke Beijing memakan jarak perjalanan lebih 8000 KM, cukup jauh dan pemandangan sekitar perjalanan memang tak mampu untuk saya gambarkan dengan kata-kata, anda perlu merasai sendiri.
Secara ringkasnya untuk trip ini anda perlu ada masa sekurang-kurangnya 2 minggu, 3 minggu lebih baik kalau banyak tempat yang anda ingin singgah dan bermalam.
Trans-Siberia/Trans-Mongolia | Saint Petersburg – Beijing :
- 1. Saint Petersburg – Moscow | (4 jam Sapsan USD 74) 8 Jam Normal Train RM110 (Yg Paling Murah)
- 2. Moscow – Kazan | 12 jam RM93.55
- 3. Kazan – Irkutsk | 67 jam RM262.49
- 4. Irkutsk – Beijing | 51 Jam 47 Minit | Train No K004 (Tahun 2014 – RM 995)
- 6. TOTAL Approximate : RM 1461.04
*Kos diatas semasa nilai Ringgit agak tinggi berbandng USD, sekarang ni mungkin jumlah tersebut boleh mencecah RM1700 atau RM1800 untuk kos tiket keretapi sahaja. Tentang kos penerbangan dari Malaysia ke Saint Petersburg dan dari Beijing ke Kuala Lumpur anda boleh calculate sendiri, sama ada anda ingin memulakan perjalanan anda dari Beijing dan menamatkannya di Saint Petersburg, itu terpulang pada individu.
Tentang penginapan pula, ada masanya saya menginap di Hostel dan ada masanya saya menginap di Hotel, di mana kawasan yang harga hotelnya tidak jauh beza dengan hostel maka saya tinggal di Hotel. Semasa di Kazan, Irkutsk dan Beijing saya menginap di Hotel Budget. Tentang makanan pula, you all boleh calculate sendiri tetapi kosnya secara keseluruhan agak murah berbanding di Amsterdam dan London, saya cuma makan untuk menambah tenaga sahaja bukannya memenuhi kehendak selera, kadang-kadang saya makan pisang, buah-buahan dan kalau saya jumpa restoran Muslim atau Restoran Islam barulah saya makan berat sedikit, seperti makan nasi ataupun kebab.
To be realistic, untuk kos keseluruhan Trips Trans-Siberia dalam jangkamasa selama tiga minggu kita perlu peruntukkan sebanyak RM7K, ini termasuk contingency plan, in case ada apa-apa perubahan ke, jadi kita ada sumber kewangan yang mencukupi. Saya tak bawa RM7K dalam poket saya tetapi selebihnya ada tersimpan dalam akaun bank saya, kalau sesak-sesak saya akan cari mesin ATM dan keluarkan sejumlah wang yang perlu.
RM7K tu nampak macam jumlah yang banyak yang perlu dibawa, tetapi itu jumlah kasar keseluruhan (Tambang Keretapi, Kapal Terbang, Hotel/Hostel) , wang tunai dalam USD yang saya bawa tidak banyak kerana tambang tiket keretapi, tiket kapal terbang dan sebahagian kos penginapan di hotel atau hostel saya dah bayar siap-siap secara online.
Jadi jumlah wang tunai yang saya bawa hanyalah untuk belanja makan-minum serta kos pengangkutan, selain keretapi, iaitu untuk teksi, bas, tram, subway Metro, bayaran untuk masuk ke Muzium dan sedikit untuk souvenir. Jumlah wang tunai di tangan memang tak banyak yang saya bawa.
*InsyaAllah ada masa nanti saya sambung lagi, saya mohon maaf kalau terdapat kesalahan ejaan atau tatabahasa, ada masa saya ejas balik, kalau nak tunggu sempurna tatabahasa dan ejaan, rasanya lima kali trip Trans-Siberian Railway pun tak siap tulis apa lagi. Have Fun, Life is a Journey…
Pos Berkaitan Trans-Siberian Railway : Cara-Cara Membeli Tiket Keretapi di Russia Secara Online
One Comment
Rizal Damanik
Ass. Wr.W.b. saya sangat senang sekali bisa ketemu blog ini. Apakah saya bisa tahu. Bagaimana. Kalau. Saya trips nya dari beijing ke moscow.. terima kasih