Adventure,  Art,  Travel

Tips Menjadi Seorang Photographer

© 2009 Wazari Wazir | HaiQal | The Photographer
© 2014 Wazari Wazir | Semasa Liputan President Obama ke Malaysia Di Seri Perdana | Putrajaya
© 2011 Wazari Wazir | Bunga Raya | Kuala Lumpur International Airport
© 2012 Wazari Wazir | Imperial Palace | Tokyo | Japan
© 2012 Wazari Wazir | Dal lake | Srinagar Kashmir
© 2012 Wazari Wazir | Dal Lake | Srinagar | Kashmir

Bukan susah ataupun menjadi satu rahsia sekarang ini untuk menjadi seorang photographer. Tips mudah dari saya, cuba layari laman sesawang  sekejap, tengok kamera apa nak beli sesuai dengan bajet yang ada, kemudian pergi ke kedai yang menjual peralatan photography. Setelah anda membeli kamera, gantungkan kamera yang masih berkilat tersebut di leher anda dan cuba ambil gambar, opps jangan lupa bukan lens cap tu dulu dan ambillah gambar apapun, Tahniah, anda kini telah bergelar seorang photographer. Mudah bukan. Tak perlu saya tulis panjang lebar lagi.

Sebenarnya agak banyak soalan yang saya dapat tentang persoalan ini, masalahnya saya agak sibuk untuk membalas satu-satu dan juga tidak punya banyak masa untuk menulis di blog, cerita tentang kisah kembara saya pun banyak yang tergantung, inikan pula untuk melayan kehendak orang lain. Kalau nak diikutkan zaman maklumat di hujung jari ini, soalan ini tak perlu diajukan kepada individu, sebabnya Mr Google boleh membantu.

Kecuali macam zaman saya dahulu, internet bukan macam sekarang, komputer pun saya tak milik, jadi untuk mendapatkan maklumat saya perlu bertanya secara langsung kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang ini. Teringat lagi masa saya kecil dahulu, di bulan Ramadhan kalau tak silap, waktu tu ada majlis di surau  kawasan rumah saya, tak silap saya  masa tu Tan Sri Megat Junid bin Megat Ayub hadir, jawatan beliau pada waktu itu saya tak berapa ingat, yang masih saya ingat ialah kelihatan beberapa jurufoto sedang bertugas mengambil gambar, rasa seronok tengok cara mereka bekerja berbanding VVIP tersebut. Yang paling best sekali bila melihat salah seorang jurufoto menukar lens, dari lens yang bersaiz kecil kepada lens Telephoto, mungkin lens 80-200 mm kalau saya tak silap, baru saya tahu kamera tu boleh tukar-tukar lens rupanya.

Lagi satu masa kecil-kecil dahulu saya minat menonton rancangan National Geographic, yang saya minat bukanlah subjek yang dipaparkan tetapi lebih kepada tugas seorang jurufoto baik kamera filem ataupun kamera statik SLR.

Rasa teruja bila melihat photographer memikul tripod dengan kamera mengharung anak sungai untuk mengambil gambar, rasa teruja tatkala melihat photographer yang berlindung di balik khemah kecil (Tempat Persembunyian) dengan hanya muncung lens yang keluar dari lubang kecil di khemah tersebut untuk merakam gambar haiwan, burung-burung dan binatang liar. Imej tersebut membuatkan saya memasang angan-angan untuk menjadi seorang photographer.

 Kalaulah pada waktu itu saya teruja melihat Doktor yang sedang melakukan pembedahan ataupun seorang jurutera yang sedang mencipta roket untuk menerjah ruang angkasa dah tentu saya tidak menjadi seorang photographer hari ini. Namun minat serta kecenderungan manusia ini pelbagai ragam dan itu adalah petanda Maha Hebatnya Kuasa Allah.

Memandangkan maklumat pada waktu itu tidak banyak, yang ada hanyalah melalui majalah photography yang kebanyakannya adalah dalam Bahasa Inggeris dan agak mahal untuk saya yang masih bersekolah. Setelah saya bekerja, barulah saya ada sedikit sumber kewangan untuk membeli majalah photography, antara majalah yang saya beli hampir setiap bulan pada waktu itu ialah Majalah Practical Photography, Outdoor Photographer, Amateur Photographer Magazine dan juga kekadang majalah National Geographic (Waktu tu National Geographic Magazine Lagi Mahal Dari Majalah Photography).

Waktu itu tidak ada individu terdekat yang mempengaruhi saya untuk meminati bidang ini, rasanya semasa di bangku sekolah, baik di sekolah rendah dan menengah tiada seorang pun rakan sekelas saya yang mempunyai minat yang sama.

Apa yang saya ingin sampaikan ini ialah, sebelum anda bertanya bagaimana untuk menjadi seorang photographer, anda perlu bertanya semula kepada diri anda kenapa? WHY? Kenapa anda ingin menjadi seorang photographer. Anda juga harus punya minat yang mendalam, bidang ini pada zaman ini nampak macam glamour tetapi hakikatnya tidak sedemikian, bidang ini nampak gayanya macam mampu memberikan pulangan yang lumayan, gaji yang lumayan, hakikatnya bukan semua jurufoto menerima pendapatan yang tinggi, hanya sebahagian kecil sahaja di antara ribuan jurufoto yang ada di Malaysia ini yang bekerja dengan Media Massa yang menerima imbuhan yang tinggi.

Lagi satu hanya sebahagian sahaja yang memperoleh pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan dari perniagaan photography yang dilakukan. Harus juga kita ingat, bilamana seorang itu menceburkan diri dalam bidang perniagaan photography maka beliau adalah seorang ahli perniagaan, bukan lagi seorang photographer, mengambil gambar mungkin tinggal kurang 10% daripada apa yang beliau lakukan, selebihnya ialah paperwork, meeting dengan client, menguruskan perniagaan dan ada juga photographer yang berjaya dengan perniagaanya, kini amat kurang mengambil gambar, mungkin sekali dua dalam sebulan, selebihnya dia serahkan kepada pekerjanya untuk mengambil gambar. Cuba anda ke kedai gambar, empat lima kedai gambar dan cuba tanya Boss kedai gambar tu, berapa kali dalam sebulan beliau keluar mengambil gambar.

Berbalik kepada tips di atas, antara lain, untuk tidak mengecewakan mereka yaang bertanya. Mula-mula sekali kena ada minat, dan minat ini perlu datang sendiri tanpa dipaksa, cuma minat ini boleh kita pupuk agar minat tersebut semakin subur  dengan kita kerana bukan sedikit mereka-mereka yang mulanya kelihatan minat dalam bidang ini tetapi setelah dua tiga tahun, mula menjual peralatan kameranya dan beralih ke bidang lain, rupanya minat mereka ialah kerana bidang ini kelihatan pada awalnya  boleh memberikan pendapatan sampingan kepadanya, tetapi setelah semakin ramai yang memiliki kamera, saingan semakin sengit dan keuntugan semakin sedikit, mereka beralih ke bidang lain yang lebih menguntungkan, minat untuk ambil gambar secara suka-suka pun telah tiada, kerana kamera pun sudah dijual.

Setelah ada minat, apa yang perlu anda buat? Anda boleh mengikuti kursus-kursus photography yang dianjurkan oleh kelab-kelab atau persatuan photography, anda juga boleh ikuti kursus yang dianjurkan secara individu oleh photographer ternama yang anda kenali dalam bidang yang anda minati. Kalau anda cenderung ke arah Fashion Photography, cuba cari siapa jurufoto fashion terkenal di Malaysia ni dan cuba hubungi mereka, tanya mereka sama ada mereka ada menganjurkan kursus photography, kalau tiada, tanya pada mereka sama ada anda boleh menjadi assistant pada mereka setiap kali ada tugasan.

Anda kena proactive, anak-anak muda zaman ini sangat beruntung kerana dengan adanya facebook dan dengan adanya laman web atau blog photographer, kita dengan mudah boleh menghubungi photographer – photographer yang kita minati dan meminta nasihat secara langsung dengan mereka. Harus juga kita ingat, kebanyakan jurufoto yang bekerja ini agak sibuk jadi kalau photographer yang kita hubungi tersebut sibuk, tidak membalas email kita, cuba beralih kepada jurufoto lain pula, jangan putus asa, bidang ini bukan untuk mereka yang cepat putus asa.

Kalau kita tiada masa untuk mengikuti kursus secara formal baik di peringkat kelab ataupun di peringkat University (mungkin kerana faktor usia / bukan muda lagi), kita boleh membeli buku-buku berkaitan bidang ini yang cukup banyak di kedai-kedai buku. Keluarkanlah duit sedikit untuk mencari ilmu, kamera yang mahal pun kita mampu beli, takkanlah sebuah dua buku tak dapat kita beli.

Kalau ada photography outing, cubalah join sekali dua, ada outing photography yang berbayar, ada juga yang free, tujuannya kita boleh menambah kenalan, boleh bertanya secara langsunhg dengan mereka yang lebih berpengalaman, lebih senang kalau kita tanya secara bersemuka daripada melalui email yang kadang-kadang tak terbaca oleh mereka yang sibuk.

Kepada yang meminati bidang photojournalist, rain-rajinlah melihat gambar NEWS, baik di surat khabar ataupun laman web yang berkaitan dengan News, TIMES, Washington Post, BERNAMA dan banyak lagi laman sesawang agensi berita tempatan dan juga antarabangsa, cuba tengok jenis-jenis gambar yang digunakan, banyak yang kita boleh belajar dari sana.

Kepada yang meminati  National Geographic mungkin ada boleh cuba menghantar karya anda ke Your Shot National Geographic di mana kita menghantar gambar mengikut tajuk assignment yang diberikan, kita juga boleh belajar dengan melihat karya-karya photographer lain di sana.

© 2019 Wazari Wazir | Artikel Kereta Api Mainan | Metro Ahad 20 Januari 2019

(Update) Artikel saya mengenai Kerata Api Mainan atau lebih dikenali sebagai Darjeeling Toy Train pernah keluar dalam ruangan XPRESI Metro Ahad pada 20 Januari 2019. Boleh baca di sini Metro Ahad | Kereta Api Mainan Darjeeling

Bagi yang meminati bidang Photojournalism juga, rajin-rajinlah mengikuti perkembangan semasa, kena selalu peka dengan event yang berlaku di kawasan kita, photojournalist bukan hanya bertugas merakam demontrasi itu ini sahaja tetapi lebih kepada itu. Perusahaan-perusahaan kecil di kawasan kita juga boleh dijadikan subjek photography kita, perusahaan kecil seperti keropok lekor pun boleh jadi bahan, dari mula-mula ikan ditangkap di lautan hinggalah menjadi juadah makanan di meja makan. Perusahaan membuat atau memperbaiki bot, kisah hidup sehari nelayan di lautan ataupun pekerja kontrak yang membina bangunan pencakar langit. Cukup banyak subjek untuk photojournalism ni.

Berbalik kepada yang meminati fashion, cuba dulu ambil gambar adik beradik atau rakan-rakan terdekat, ambil portrait mereka, mahirkan diri dengan lighting, posing dan sebagainya, so bila you dah ada portfolio bolehlah tunjukkan kepada photographer fashion yang anda minat, dengar pendapat mereka dan cuba tanya kalau-kalau mereka perlukan assistant pada waktu-waktu tertentu. Banyak yang kita boleh belajar hanya dengan melihat cara mereka bekerja, pada satu ketika dahulu ramai photographer fashion atau portrait photographer yang berjaya asalnya bertugas sebagai assistant kepada jurufoto terkenal.

Selain daripada itu, memandangkan saingan dalam bidang ini cukup banyak kerana harga kamera yang agak baik pun sudah tidak terlalu mahal, maka anda perlu berlumba-lumba menonjolkan karya anda, salah satu cara ialah dengan menyertai pertandingan photography, sekiranya anda memang ataupun tersenarai sebagai top ten, mungkin gambar anda akan tersiar dalam majalah-majalah photography dan walaupun anda tidak menang, siapa tahu ada mata-mata di luar sana yang memintai style anda dan akan menghubungi anda untuk dapatkan khidmat anda. Promote hasil kerja anda dengan pelbagai cara, facebook, twitter, gunakan Flickr, 500PX.

BLOG adalah  antara medium yang agak penting, saya banyak dapat undangan berkaitan photography, baik untuk mendapatkan khidmat saya untuk memberi talk, buat kursus dan tak kurang juga yang meminta saya untuk mengambil gambar untuk acara-acara tertentu.

Mungkin ada yang kurang percaya atau yakin dengan blog tapi percayalah, banyak manfaatnya, cuma blogging ini akan ambil masa yang lama sedikit, janganlah kita harapkan sehari dua berblogging, esok dua dah ada client call kita untuk hire kita rakam event-event tertentu. Ianya bukanlah semudah itu, ia akan ambil masa dan kita kena konsisitent dengan apa yang kita blogkan.

Salah satu kekuatan BLOG ialah SEO ataupun Search Engine Optimisation, maksudnya sekiranya kita buat carian di Google, search engine akan mencari keyword tertentu yang kita tulis, sebagai contoh keyword tentang Photography, tentang Landscpe, Portarit dan sebagainya. BLOG yang saya maksudkan ini bukanlah hanya sekadar Photo Blog, yang mana kita letak gambar dan sedikit caption tentang What, Who, Why, When and Where tetapi buat seperti photo essay yang ringkas.

Mungkin dalam satu gambar yang kita upload di blog, biarpun gambar  pemandangan, kita ceritakan tentang bagaimana kita merakam pemandangan tersebut, lokasinya di mana, masa yang sesuai bila, apa lensa yang sesuai dan mungkin juga boleh ceritakan sedikit keadaan di kawasan tersebut, kedai-kedai makan yang ada, hotel yang berdekatan bagi mereka yang jauh dari lokasi tempat menarik tersebut dan banyak lagi.

Percayalah blog yang mempunyai cerita akan lebih menarik ramai orang untuk singgah melihat gambar kita serta membaca cerita kita dan tak mustahil ada Boss-Boss di luar sana yang minat dengan hasil kerja kita dan cuba untuk hubungi kita untuk diberikan tugasan photography untuk projek-projek tertentu.

Contoh mudah macam ni, walaupun saya tidak pernah mengiklankan bahawa saya ada menyediakan pakej Wedding Photography tetapi sering juga saya menerima email yang bertanyakan tentang pakej wedding yang saya sediakan, walaupun mereka tahu bahawa tiada satu pun gambar wedding di blog saya tetapi mereka menyatakan bahawa mereka minat cara saya, “approach” saya yang mungkin lebih kepada Photojournalism tetapi biasanya permintaan seperi itu saya tolak dengan baik.

© 2013 Wazari Wazir | Confrontation Book | HaiQal on The Cover

Gambar anak saya HaiQal pernah digunakan senbagai cover muka depan untuk sebuah novel dari Singapura bertajuk CONFRONTATION, tulisan Mohamed Latiff Mohamed. agaimana mereka menjumpai karya saya? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan melalui Blog saya dan bukannya melalui Flickr dan juga Facebook.

“It is part of the photographer’s job to see more intensely than most people do. He must have and keep in him something of the receptiveness of the child who looks at the world for the first time or of the traveler who enters a strange country.”

– Bill Brandt – 

Apa yang saya ingin sampaikan ialah betapa kuatnya pengaruh Blog dalam mengetengahkan hasil karya kita ke dunia luar, cuma anda kena konsistent dengan apa yang anda lakukan. Jangan segan-segan untuk kongsikan gambar-gambar kita di medium social, insyaAllah satu hari nanti anda mungkin akan dihubungi oleh orang-orang tertentu yang mungkin tertarik dengan pendekatan anda dalam merakam gambar.

Selain daripada itu anda juga harus rajin memohon kerja di akhbar tempatan ataupun menghantar surat kepada editor majalah-majalah tertentu yang mungkin memerlukan photographer. Photographer sekarang ni dah ramai, kena proactive, jangan tunggu iklan keluar di akhbar baru nak memohon, mulakan langkah awal.

© 2012 Wazari Wazir | Photographer at Langtang National Park | Nepal

Cuba anda perhatikan gambar di atas tu (Langtang), walaupun gambar tersebut kelihatan seperti posing tetapi memang ada subjek yang hendak di rakam di puncak sana iaitu puncak gunung yang diselaputi salji. Gambar tersebut saya rakam semasa trekking di Langtang Nepal pada tahun 2012.

Sebelum saya mengakhiri tulisan saya ini, kepada yang meminati bidang ini, anda perlu bertanya kepada diri anda kenapa? WHY? Kenapa anda memilih bidang ini, dan bila anda telah temui jawapannya, insyaAllah yang lain akan jadi mudah.

*Artikel Berkaitan : Fikir Dahulu Sebelum Bercita-Cita Untuk Menjadi Seorang Photojournalist

*Artikel Berkaitan : How To Get Your Photography Noticed

I'm a Photographer and Travel Blogger...

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.