Tips Melancong Ke Bali Indonesia Bersama Keluarga
© 2014 Wazari Wazir | Foto DiRakam di Sawah Padi Penestanan, Ubud Bali
© 2014 Wazari Wazir | Foto DiRakam di Pura Ulun Danau Beratan | Bedugul | Bali
Kalau nak diikutkan rasa macam malas untuk menulis tentang tips ke Bali ni, maklumlah, Bali ni bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang baru. Sebelum saya tulis ni, sempat saya Google “Tips Melancong ke Bali” dan apa yang saya dapat ialah “About 155,000 results”, punyalah banyak orang menulis tentang Bali dan bila saya cuba Google dalam Bahasa Inggeris “Tips Traveling to Bali” saya dapat “3,400,000” result, lebih 3 JUTA link kalau kita rajin nak baca, so macam dah takde apa sangat yang baru, yang boleh saya kongsikan.
Apapun pengalaman masing-masing berbeza, ada yang suka Bali dan ada yang tak suka tapi kalau kita belum pernah menjejakkan kaki ke sini dan setakat buat perbandingan melalui blog blog yang orang tulis, rasanya, itu bukan satu perkara yang bijak, kalau kita dah pergi sendiri baru kita boleh kata, suka atau tidak, itupun terpulang kepada individu masing-masing, bak kata penulis buku Agustinus Wibowo, apa yang kita lontarkan adalah cerminan terhadap diri kita sendiri, siapa kita.
“Cermin, ya. Tak salah jika orang bilang hidup itu adalah sebilah cermin. Dunia di matamu sesungguhnya adalah cerminan dari hatimu sendiri. Caramu memandang dunia adalah caramu memandang diri. Jika dunia penuh kebencian dan musuh ada di mana-mana, sesungguhnya itu adalah produk dari hatimu yang dibalut kebencian.”
– Agustinus Wibowo –
Tiket Kapal Terbang:
Sebenarnya percutian kami ni bukanlah dirancang dengan teliti, maksudnya kami tak rancang sangat tapi memandangkan tiada pengisian untuk memenuhi cuti sekolah bulan 3, maka kami pun merancang untuk bawa anak jalan-jalan, mulanya kami ingin ke Langkawi tapi bila tengok harga tiket ke Langkawi dan Bali lebih kurang sama, maka kami ambil keputusan ke Bali. Kalau tak silap saya November 2013 kami dah beli tiket.
Masa tu harga tiket MAS ke Langkawi dan Bali dari KLIA tak jauh beza, harga tiket AirAsia pun masa tu tak beza banyak dengan MAS, so kami pilih Malaysia Airlines pasal ada promosi masa tu, kalau AA, campur harga makan dan tambahan berat luggage, harga hampir sama, so baik naik MAS.
Tipsnya di sini, kalau nak dapatkan harga tiket kapal terbang yang murah walaupun masa cuti persekolahan, kita kena sentiasa peka dengan promosi syarikat penerbangan, baik dari Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo ataupun syarikat penerbangan Indonesia, Garuda contohnya. Kalau seminggu dua lagi nak cuti sekolah baru nak beli tiket, memang harganya boleh dikatakan dua atau tiga kali ganda dari harga promosi, masa promosi dalam RM300 dan ke bawah boleh dapat tiket ke Bali.
Tukar Duit :
Saya tukar duit dari Ringgit Malaysia ke Rupiah Indonesia di Money Changer di Mid Valley, yang sama level dengan KFC, terletak sebelah escalator, banyak tempat nak tukar duit Rupiah di Kuala Lumpur dan Malaysia ni jadi tak masalah sangat, cuma tips yang saya tahu tapi agak lewat tahu ialah, sebaiknya beberapa bulan sebelum kita nak cuti kita tukar duit dulu, terutamanya kalau kita nak bercuti di musim perayaan atau cuti sekolah.
Kita akan rugi kalau tukar duit pada saat-saat akhir, saya tukar duit sehari sebelum ke Bali, dapat dalam Rp10,000 sama dengan RM2.86, ada yang pernah dapat Rp10,000 RM3. Senang cerita Sejuta Rupiah/RP1,000,000 hampir RM287 hingga RM300 duit kita.
Bajet berapa banyak yang kita nak guna tukar Rupiah tapi ada jugak yang saya tukar ke USD, maksudnya bukan semua saya tukar Rupiah tapi dari pembacaan saya dan dari apa yang saya dengar melalui teman-teman yang dah pernah ke Indonesia, di sana tiada masalah kalau nak tukar Ringgit Malaysia RM ke Rupiah Indonesia di mana-mana pengurup wang di sana, mungkin kita akan rugi sedikit.
Lokasi Hotel :
Tiket dah ada, duit pun dah ada, cuma tunggu masa sahaja untuk terbang, tetapi sebelum tu, perkara yang sering jadi persoalan ialah di mana kita akan tinggal di Bali nanti? Bali terkenal dengan pantainya, terkenal dengan tempat orang meluncur ombak atau Surfing di pantai-pantai di Bali.
Tentang di mana anda hendak tinggal, anda kena tanya diri sendiri dahulu dan kalau bercuti bersama keluarga kena tahu minat anak-anak kita. Anak-anak saya ni takut air, beberapa kali dah kami bawa mereka ke pantai yang tak jauh dari rumah mertua saya di Kuala Penyu ke Pantai, nampak gayanya mereka belum lagi begitu mesra dengan pantai, takut nak mandi laut, saya pun sebenarnya kurang minat dengan suasana pantai yang sibuk dengan pelancong ni.
Jadi saya ambil keputusan untuk memilih hotel atau penginapan di Ubud yang terletak di kawasan agak jauh dari bandar, jauh dari pantai Kuta, jauh dari Denpasar, dikelilingi sawah padi luas terbentang. Saya menggunakan perkhidmatan Booking.com untuk book hotel.
Tips dari saya, gunakan kemudahan imej satellite yang ada pada website tu untuk tengok kedudukan hotel anda, apakah jaraknya dekat dengan pantai, dekat dengan sawah padi ataupun dekat dengan tempat-tempat menarik yang anda ingin lawati.
Sebelum ini saya ingat bercuti di Bali ni akan makan belanja yang besar, maklumlah Bali ni adalah sebuah pulau peranginan yang cukup terkenal bukan sahaja di Asia tapi juga di seluruh dunia, “Exotic Location” Bali is “Island of a Thousand Temples”. Bila ramai pelancong dah tentu kebanyakan hotelnya mahal-mahal, sebenarnya tidak, ada juga yang dalam bajet sederhana, cuma kalau kita bercuti dengan keluarga ni kenalah pilih yang agak selesa dan luas, supaya anak-anak kita ada tempat untuk bermain.
Apa yang saya perhatikan, kos untuk hotel atau villa yang agak sesuai untuk keluarga yang ada anak kecil ialah dalam lingkungan RM150 hingga RM250 semalam. Kalau kita orang bujang, rasanya tak susah nak cari hotel bawah RM100 tapi kalau bawa anak-anak ni kenalah fikirkan juga keselesaan mereka tambahan pula macam kami yang ada anak kecil seperti Arianna yang belum lagi berusia setahun (HaiQal 7 tahun, Raphael 2 tahun), semua ni kena ambil kira juga.
Lagi satu kalau kita bercuti dengan anak kecil ni, bagi saya antara perkara yang patut dipertimbangkan ialah sama ada bilik penginapan anda ada menyediakan television, kekadang budak-budak ni cepat bosan, so bila balik dari berjalan sana sini, kita nak jugak berehat, kita pun penat nak layan anak-anak, so TV ni sedikit sebanyak boleh mencuri perhatian mereka tapi apapun terpulang pada anda, sekiranya anda boleh berikan tumpuan seratus peratus pada anak anda, ada sahaja aktiviti yang boleh anda lakukan bersama anak anda, maka tak perlulah anda beri perhatian sangat sama ada bilik anda ada TV atau tidak.
Saya kalau travel dengan kawan-kawan, TV ada atau tiada sama macam tiada sahaja pasal tiada masa tengok TV, awal pagi dah keluar hotel, petang atau hampir malam baru balik, nak tengok TV pun tak larat tetapi bila bercuti dengan keluarga ni, perkara macam ni saya kena ambil kira juga. Kita kena ingat bukan semua bilik hotel di Bali ni menyediakan TV walaupun hotelnya agak mahal.
Lokasi hotel atau Villa kami kurang lima minit berjalan kaki ke sawah padi seperti dalam gambar di atas tu.
Research Dan Buat Jadual Perjalanan :
Mulanya saya ingatkan Pulau Bali ni tak besar mana tetapi saya silap, boleh tahan jugak besarnya Bali ni. Kami bercuti tanpa menggunakan khidmat travel agency. Apa yang saya buat ialah beli tiket kapal terbang dan booking hotel serta minta pihak hotel uruskan “pick up” service untuk ambil kami sekeluarga dari Lapangan Terbang Ngurah Rai.
Seperti mana yang saya beritahu kami memilih untuk tinggal di Ubud dan lokasi ni agak jauh dari Lapangan Terbang Ngurah Rai, perjalanan kami dari Ngurah Rai ke Ubud ambil masa lebih satu jam, kenderaan yang di bawa oleh supir kami (Toyota Avanza) dalam keadaan sederhana laju. Jalan-jalan di Bali ni pun agak kecil, macam jalan-jalan kampung di Malaysia ni.
Kalau kita memilih untuk tinggal di Kuta, rasanya kurang dua puluh minit dah sampai pasal jarak Kuta dan Airport tak jauh sangat. Untuk pengetahuan tambang atau rate biasa yang dikenakan oleh Supir atau pemandu teksi di sini untuk ke Ubud dari Ngurah Rai ialah dalam Rp300,000 atau RM86 sehala. Kami ambil pick up service dan Airport Transfer, so kena bayar Rp600,000 atau dalam RM172 (kami bayar ni masa check out hotel).
Kepada anda yang tidak mengambil pakej dari travel agensi, apa yang boleh anda lakukan ialah buat sedikit research, mana lokasi yang anda hendak pergi, di Bali ni yang banyak ialah Pura atau temple, beribu-ribu temple ada, cuma yang mana satu menarik atau tidak terpulanglah pada anda, sebab tu kena buat research, tengok mana satu yang anda berkenan, kalau nak skip temple ni pun tidak mengapa, pilihlah pantai mana anda nak singgah, sawah padi mana anda nak pergi.
© 2014 Wazari Wazir | Map of Bali
Bercakap tentang pantai, kami tak berkesempatan nak main di pantai, cuma yang paling popular di Bali ialah pantai Kuta tapi kata Pak Supir yang membawa kami, Badung namanya, Kuta ni sesuai untuk surfing, budak-budak tak sesuai pasal ombak kuat, yang sesuai untuk budak-budak atau anak kecil ialah di Pantai Sanur.
Cuma kalau anda menginap di Ubud seperti saya untuk ke Kuta atau Sanur makan masa hampir sejam, so agak jauh perjalanan untuk anak-anak kecil. Kalau pantai yang jadi keutamaan, jangan tinggal di Ubud, tinggal di Kuta, Sanur, Jimbaran atau Legian.
© 2014 Wazari Wazir | My Family at Uluwatu Cliff | Overlooking Indian Ocean | Bali | Indonesia
Antara lokasi menarik yang biasa orang pergi ialah Uluwatu, rujuk peta di atas, biasanya orang ke Uluwatu ni pada waktu menjelang sunset atau matahari terbenam, terutamanya untuk melihat tarian Keack, di Uluwatu inilah tempat yang paling popular walaupun di Bali ni selain di Uluwatu ada lagi beberapa lokasi lain tarian Kecak dipersembahkan.
Kami hanya menonton tarian Kecak di Pura Dalem di Ubud, kurang lima minit naik kenderaan dari hotel kami, meriah tetap meriah cuma tiada background sunset sahaja pasal di Pura Dalem tu tu persembahan bermula pukul 7:30 malam, dah gelap, dah lepas Maghrib dan sunset. Di Ubud ada tiga lokasi Kecak Dance, setiap hari tukar tempat.
Lagipun tak berbaloi untuk kami ke Uluwatu melihat Kecak, perjalanan dari Ubud pun makan masa hampir 2 jam, so dari Uluwatu nak balik hotel di Ubud makan masa dua jam lagi, penat untuk budak, so kami tak ke Uluwatu melihat kecak tapi kami singgah jugak di Uluwatu tengok laut dari tebing dan pandangan peribadi saya kalau saja-saja nak ke Uluwatu waktu siang tengok temple atau pura atau pemandangan di Uluwatu, bukanlah sesuatu yang berbaloi atau “breathtaking” sangat, ini pandangan peribadi saya tapi kalau dah sampai Bali, rugi pulak kalau kita tak melawat salah satu tempat yang biasa orang pergi ni kan?
Tapi kalau saja-saja nak ke Uluwatu tanpa tujuan melihat Kecak Dance, tak datang pun bukanlah sesuatu yang merugikan cuma dapat tengok Indian Ocean yang jadi sebutan semenjak kehilangan pesawat MH370 ni.
Bercakap tentang Pura atau Temple pulak, yang paling happening tapi kami tak sempat nak pergi ialah Pura Besakih yang terletak di kaki Gunung Agung. Menurut supir kami, Pura Besakih ialah Pura yang paling lama di Bali dan yang paling besar, nama lain dia ialah “The Mother Temple of Besakih”.
Kalau anda tinggal di Kuta, untuk ke Besakih ni akan ambil masa lebih kurang 2 jam, kalau dari Ubud pun lebih kurang tu juga, memang agak jauh lokasinya, pergi balik dah empat jam, katakanlah anda luangkan masa dua atau tiga jam di sana , dan jumlah masa keseluruah dalam tujuh hingga lapan jam termasuk pergi balik, so kalau you nak ke Pura Besakih tu kena bajet masa betul-betul.
Mulanya saya teringin jugak nak ke Besakih ni, maklumlah Pura Paling Besar dan paling lama, mestilah nak tengok kan, tapi dari apa yang pak Supir kata, dia tak galakkan, mulanya saya ingat dia malas nak pergi pasal jauh, so macam-macam perkara lah dia cerita, saya pun tak paksa dia sangat, lagipun kami bayar, cuma memandangkan jarak yang jauh, risau jugak tentang keselesaan anak-anak.
Apa yang pak Supir Badung beritahu saya ialah sekarang ni dah jarang tour guide bawak pelancong ke Pura Besakih tu, sebabnya agak “mahal”, nak masuk kena bayar, lepas bayar entry fee ke pura tu, kena bayar lagi untuk “Tour Guide” atau “Temple Guardian”, tiada pilihan, memang kena bayar, lepas tu “temple of guardian” tu akan paksa kita bayar untuk beli “offering” atau sesaji yang biasa orang Bali persembahkan di pura tu. Maksudnya macam-macam bayaran yang akan dikenakan selain entry fee.
Mulanya saya tak percaya tapi bila dah balik Malaysia ni dan buat research balik tentang Besakih tu, memang betul macam yang Pak Badung Supir tu kata, ramai dah pelancong yang komplen, tapi kalau anda nak pergi jugak dan tak kisah sangat kalau nak keluar duit lebih dan tak kisah sangat ada sahaja orang di sana yang cuba nak dapatkan duit kita dengan macam-macam cara, terpulang pada anda, saya akan rasa rimas kalau ada sahaja orang mengekori saya ke sana sini.
© 2014 Wazari Wazir | Pura Ulun Danau Beratan | Bedugul | Bali
Tapi kalau boleh jangan lepaskan melawat Pura Ulun Danau Beratan yang terletak di Bedugul, bagi saya Pura ni antara yang tercantik di Bali, masakan tidak, Pura Ulun ni terpilih untuk menghiasi wang kertas Rp50,000 Indonesia. Kawasannya pun cantik, ada restoran makan Islam sebelum pintu masuk parking ke Pura ni. Kawasan Bedugul ni pun tanah tinggi, sejuk dan pemandangan sepanjang jalan untuk ke sini memang cantik.
© 2014 Wazari Wazir | Pura Ulun Danau Beratan | Bali
Dari Kuta atau Ubud lebih sejam jugak perjalanan cuma kena ingat kalau nak ke sini, elakkan di hujung minggu Sabtu atau Ahad, kerana ramai orang Bali suka habiskan hujung minggu di sini, jalan jem, so baik datang masa hari biasa bukan hujung minggu. Untuk anak-anak pun sesuai, ada taman dan tempat ni agak bersih, lapang untuk anak-anak berlari sana-sini.
Kalau kita tengok dalam gambar di atas, kita boleh nampak ada masjid berkubah biru di belakang sana, jadi tak susah nak cari makanan halal di sini. Kawasan lapang, sesuai untuk anak-anak bermain.
Di Pura Ulun ni sama jugak macam pura-pura (temple) lain, akan ada Photographer yang cuba untuk bagi servis pada anda, mereka akan ambil gambar anda guna kamera mereka dan mereka akan print gambar anda di situ juga dengan printer kecil yang mereka bawa, harga sekeping gambar 5R dalam Rp20,000 hingga Rp50,000 (Rp20,000 dalam RM6) tengok tempat, cuma Alhamdulillah di Pura Ulun ni, mereka tidak terlalu memaksa, kalau kita kata tak nak, mereka akan berlalu.
Nampak tak gambar kedua yang saya post di atas tu, tak jauh dari isteri dan anak-anak saya, sebelah kiri gambar ada orang bawak beg kamera bersilang, satu beg kamera dan satu lagi ada printer dalamnya. Kalau anda nak skip banyak pura, jangan skip Pura Ulun Danau Beratan ni, cukup “photogenic” bagi saya.
Selain dari tu untuk anak-anak mungkin anda boleh bawa mereka ke Elephant Safari dan Bird Safari di Ubud, cuma bayaran untuk menaiki gajah di safari tu agak mahal. Selain daripada itu ada sebuah lagi tarikan pelancongan yang agak masih baru di Bali iaitu TAMAN NUSA di Gianyar tak jauh dari Ubud, cuma kami tak berkesempatan untuk ke sana. Macam Mini Malaysia jugak lebih kurang.
Taman Nusa adalah sebuah Taman Budaya Indonesia yang bertujuan untuk menawarkan maklumat yang komprehensif mengenai budaya pelbagai kaum Indonesia dalam cara yang paling menarik dan interaktif, sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Bali. Misinya adalah untuk menyediakan satu pemuliharaan, dan menghibur bagi pelawat-pelawat dalam dan luar negeri untuk memahami dengan tepat gambaran Indonesia.
Bayaran masuk ke Taman Nusa ni agak mahal jugak, sebenarnya saya ternampak papan iklan besar tentang Taman Nusa ni semasa dalam perjalanan ke Bedugul, jadi saya tanyalah Pak Supir, dia pun tak pernah masuk tempat tu, katanya mahal bayaran masuk sana, dia hanya pernah lihat dari luar sahaja.
So kalau anda ada duit lebih, banyak duit lebih dan jarang-jarang ke Indonesia, rasanya boleh fikir-fikirkan untuk ke Taman Nusa Bali ni. Dalam website Taman Nusa tu, package paling murah ialah Explorer Package USD39 untuk orang dewasa dan USD29 untuk kanak-kanak (memang mahal).
Lagi satu untuk anak-anak kecil boleh ke Lovina Beach, Utara Bali, rujuk peta, untuk tengok ikan lumba-lumba, ada ke tidak saya tak pasti tapi dari apa yang saya research, di Lovina ni kita berpeluang tengok ikan lumba-lumba. Lovina Beach ni jaraknya tiga jam dari Kuta atau Ubud, kena naik bot untuk tengok ikan lumba-lumba ni.
Selain daripada itu, kalau tiada idea sangat mana nak bawa anak-anak kita, boleh bawa ke BALI ZOO ya, di Bali pun ada Zoo, walaupun di Malaysia pun ada Zoo, tak salah kalau nak cuba Bali Zoo pulak. Lokasinya di Gianyar, tak jauh dari Ubud. Lebih kurang 45 minit dari Kuta atau lebih kurang 15 minit dari Ubud.
© 2014 Wazari Wazir | My Family With Our Supir, Pak Badung at Tegalalang Rice Field | Bali | Indonesia
Kepada yang nak lihat sawah padi bertingkat, Ubud tempatnya tetapi kebiasaannya tour guide akan bawa ke Tegalalang, tepi jalan sahaja sawah padi, kawasannya tak luas, agak compact, kami tak ambil gambar banyak, cukup ambil sikit-sikit jer, kalau nak layan nafsu photography saya, dua tiga jam rasanya tak cukup, mau sahaja turun bawah sawah padi tu dan naik balik sampai atas rice terrace tu, baru cantik gambar, tapi bawak anak-anak kecil ni, macam-macam ragam nanti.
Selain Rice Terrace Tegalalang ni ada lagi rice terrace yang agar popular tapi agak jauh dari Ubud dan Kuta iaitu Jatiluwih, luas tempatnya, ni pun saya tak sempat. Biasalah bawak family, bila anak-anak kita keletihan dan mengantuk, saya skip, mintak pak supir tesrus hantar kami ke hotel, penat sangat, kalau nak berhenti sekadar tengok, tak enjoy, tak berbaloi juga, so kami skip Jatiluwih sekembalinya dari Bedugul, terus kembali ke hotel di Ubud.
© 2014 Wazari Wazir | My Family at Kintamani | Batur Volcano
Gambar di atas ni dirakam oleh Pak Supir Kami IW Badung, walaupun tercrop kaki, kira okeylah daripada takde langsung, nak salahkan dia tak boleh jugak, dia hanya tour guide dan bukannya photographer, kalau award winning photographer yang rakam gambar saya macam ni, memang kena bahanlah.
Apapun bolehlah daripada takde. Salah satu sebab kenapa saya tak banyak bergambar, ni lah sebabnya. Kawasan ni walaupun panas di siang hari tetapi sejuk dan berangin. Kurang 50 meter ke kiri gambar ni ada sebuah restoran Islam, boleh berhenti makan di sana.
© 2014 Wazari Wazir | Kintamani | Bali
Best ke tak Gunung Berapi Batur di Kintamani ni? Tengok gambar dan you boleh judge sendiri, tetapi kalau bawak anak kecil eloklah kita perkenalkan kepada mereka tentang gunung berapi, bagaimana bentuknya, dan macam mana kesan gunung berapi kalau dia meletus dan kepada sesiapa yang belum pernah tengok gunung berapi, boleh juga datang sini.
Dari segi photography, kalau tanya saya, tak datang sini pun tidak mengapa, mungkin pasal dah terlalu terpesona dengan keindahan Banjaran Himalaya. Tetapi biasanya photographer ni taste dia lain sikit.
Kalau you datang sebagai photographer dan mengharapkan sesuatu yang cukup indah, breathtaking, ini bukanlah tempatnya. Jarak Gunung ni dari Ubud agak jauh, hampir sejam perjalanan kalau tak silap saya.
Selain dari tu tempat yang kami sempat pergi ialah di Kintamani, tengok Gunung Berapi Batur yang dah tak hidup lagi, di sini ada restoran Islam, so tak risau nak jamu selera sambil nikmati pemandangn Gunung Berapi, nama restoran tu Sari Restaurant, Penelokan Kintamani, restoran Islam dan ada ruang untuk solat di sana. Restoran ni sediakan makanan ala buffet tapi boleh order lain kalau nak.
Sekali lagi nak ingatkan anda, kalau anda sukakan pantai, sukankan sesuatu yang happening, nak bersurfing, pilihlah kawasan pantai, kalau nak suasana kampung, senyap dan sunyi bila malam menjelma, pilihlah Ubud. Ubud ni daerah seni, seni lukis, seni ukir batu dan kayu, semua ada, pendek kata kawasan Ubud ni didiami oleh warga seni.
Nak beli lukisan, di Ubud ni lah, nak murah boleh ke Sukawati (Pasar Kraftangan) lebih kurang dua puluh minit dari Ubud. Pak Supir saya pun seorang pelukis, dahulunya sebelum bertukar kerjaya sebagai pemandu dan tour guide.
Airport Tax | PSC Passenger Service Charge :
PENTING: Sebelum balik anda kena sediakan duit dalam matawang Rupiah untuk Airport Tax ataupun PSC Passenger Service Charge, masa kami ke Bali dahulu (March 2014), PSC ialah Rp150,000 seorang tetapi bermula 1 April 2014, PSC untuk seorang dewasa ialah Rp200,000 lebih kurang RM57. Anak kecil (baby) tak perlu bayar PSC, bayaran ni hanya dikenakan masa kita nak balik.
Masa Check In flight tak kena bayar lagi, sebelum kita ke kaunter imigresen ada satu kaunter khas, buat bayaran di sana dalam wang Rupiah baru ke kaunter imigresen untuk cop passport dan terus ke tempat menunggu kapal terbang, boarding.
Ini hanyalah tips ringkas dari saya, untuk bahagian photography pulak, mana yang best, mana yang tak best di Bali ni nanti saya kongsikan di lain entry. Kalau nak tulis semua dalam satu entry panjang sangat la pulak. Kalau tanya saya, apakah saya akan ke Bali lagi? Jawapannya, InsyaAllah, saya akan datang lagi untuk berikan lebih tumpuan pada fotografi.
*Supir yang saya gunakan ialah IW. Badung emailnya badung_wayan@yahoo.com dan Nyoman nyomansuastika@yahoo.com saya guna Nyoman masa nak ke Sukawati pasar kraf, kenapa guna Nyoman bukan Badung? Nanti saya cerita sebab dan musababnya, bukan pasal Badung tak bagus, Badung tip top. I W. Badung dan Nyoman ni tingal di Ubud. InsyaAllah nanti saya sambung cerita…
* Artikel Berkaitan : Tips Memilih Lensa Untuk Travel Photography
*Ikuti Kisah Pengalaman Kembara Trans-Siberian Railway Saya Yang Tersiar di The Vocket
5 Comments
Augustine Jumat
Menarik dan amat membantu:)
julia
Nice…. cantik pemandangan
zila
Saya pernah ke bali bersama suami dulu. Tapi dh ada anak sekarang kna fikir tips melancong berkeluarga. Thanks for good info
farhan
Tips menarik dan bernas. Saya dan isteri bakal berbulan madu di Bali, tapi sampai sekarang tak tau nk pergi mana selain stay dekat hotel. Post ni banyak membantu dari segi merancang percutin kami nanti. Lagi satu, cantik gambar2 yang ditangkap. saya baru nak menceburi bidang fotografi dan mungkin saya boleh tiru sikit2 cara en Wazari Wazir. 🙂 Terima kasih.
min
Pernah sampai Bali tapi masa itu anak tak berderet lagi hehe, suka dengan gambar-gambar wazir, mengimbau kenangan masa saya di sana. Agak mencabar kalau travel dengan budak-budak ini tapi kena harung juga, kalau tak takan sampai. Saya gayat tempat-tempat tinggi ni especially kat Uluwatu Cliff.