Tips Fotografi | Bagaimana Merakam Gambar Potret Agar Lebih Tajam
Saya seringkali menerima pertanyaan yang bertanyakan tentang bagaimana seseorang itu boleh mendapatkan gambar yang “sharp” atau tajam terutamanya daripada mereka yang baru menceburi bidang fotografi ini. Saya juga pernah menulis tentangnya di blog ini tetapi mungkin perlu lagi ditulis semula untuk menambahkan sedikit apa yang kurang.
Cuma di sini saya hanya ingin lebih fokus pada bagaimana merakam gambar supaya tajam “sharp” dengan menggunakan lensa 50 mm. Kebanyakan peminat foto memiliki lensa ini, salah satu sebabanya ialah harganya yang agak berpatutan, lensa 50 mm dengan bukaan Aperture f/1.8 atau f/1.4 adalah dalam kategori lensa mampu milik, cuma lensa 50 mm f/1.2 yang agak mahal bagi kebanyakan dari kita.
Kebiasaannya orang membeli lensa 50 mm untuk merakam gambar portrait, jarang sekali mereka menggunakannya untuk merakam gambar pemandangan, tetapi saya seringkali juga menggunakan lensa 50 mm untuk mengambil gambar pemandangan. Sekiranya anda merakam gambar portrait menggunakan lensa ini sudah tentu Aperture yang jadi pilihan adalah bukaan yang besar antara f1.8 dan f/2.8.
Masalah yang sering terjadi ialah agak ramai di antara kita yang kabur atau “blur” gambarnya walaupun semasa memfokus, kelihatan “Sharp” atau tajam dalam pemidang kamera atau viewfinder. Ada banyak sebab, antara lain ialah cara kita memegang kamera yang tidak berapa betul, kurang stabil. Anda perlu memegang kamera dengan stabil, “firm” kalau boleh semasa merakam berdiri tegak ibarat tiang yang kukuh bukan dengan posisi yang longgar atau lemah gemalai.
Selain dari itu anda perlu menekan punat shutter kamera anda dengan perlahan, jangan tekan kuat-kuat, shutter kamera itu agak sensitif, tak perlu tekan dengan kuat “slow and steady”. Kebanyakan dari kita semasa memfokus menekan shutter separuh, dan kemudian bila dah puas hati dengan framing barulah shutter ditekan sepenuhnya, itu adalah antara teknik yang betul cuma pastikan yang anda menekan shutter dengan perlahan, bukan dengan kasar.
SHUTTER SPEED : Sebenarnya bagi saya, faktor yang paling penting sekali untuk mendapatkan gambar yang tajam terutamanya bila kita menggunakan lensa 50 mm dengan Aperture antara f/1.8 dan f/2.8 ialah pemilihan kelajuan shutter yang betul. Di dalam fotografi ada istilah “rule of thumb”, antara lain maksudnya sekiranya kita menggunakan lensa 50 mm, kelajuan shutter seharusnya lebih daripada 1/60. Sekiranya kita menggunakan lensa 70-200 mm, kelajuan shutter seharusnya dalam 1/250 dan ke atas.
Maksudnya kelajuan shutter perlu lebih laju daripada angka focal length lensa anda. Tetapi saya cadangkan agar anda gunakan kelajuan yang lebih dari itu. Sebagai contoh gambar di atas, walaupun saya menggunakan lensa 50 mm tetapi kelajuan shutter saya letak 1/250. Berkali ganda daripada yang disyorkan, seeloknya untuk permulaan anda letak dua kali ganda daripada “rule of thumb”.
Sekiranya anda gunakan lensa 50 mm, sebaiknya shutter yang paling rendah untuk permulaan ialah 1/100, sekiranya anda gunakan lensa 85 mm, shutter letak /1/170 atau 1/200. Lensa 70-200 mm, guna shutter 1/400.
Selain daripada menggunakan shutter yang laju, subjek yang dirakam juga akan menentukan pemilihan shutter yang lebih sesuai, sekiranya kita merakam objek “still life”, seperti bunga atau apa-apa sahaja subjek yang tidak bergerak, boleh guna kelajuan shutter yang disebutkan tadi tetapi sekiranya kita merakam subjek yang bergerak, seperti anak kecil yang tak reti nak duduk diam, maka kelajuan shutter perlu dilajukan, bergantung kepada kepantasan pergerakan subjek serta keadaan cahaya yang menerangi subjek.
Saya kebiasaannya akan menggunakan ISO yang rendah antara ISO 100 dan ISO 200 supaya gambar lebih detail, kerana kalau saya menggunakan ISO yang tingi seperti ISO 400 dan ke atas, akan terdapat kesan “grain/noise” semacam debu pasir yang halus pada permukaan gambar. Apapun itu terpulang pada cita rasa anda tetapi pada asasnya gambar yang baik dari segi imej digital, datangnya dengan menggunakan ISO yang rendah seperti ISO 200/100/50.
Kalau boleh gunalah ISO 200/100 sekiranya kita merakam gambar anak kita. Kalau keadaan persekitaran agak gelap, bawa subjek kita ke permukaan yang lebih terang supaya kita boleh kekalkan ISO yang rendah dan gunakan shutter yang laju. Saya jarang ambil gambar anak saya bila keadaan terlalu gelap, kerana saya tidak memiliki flash. Walaupun kebanyakan kemera sekarang memang boleh dinaikkan ISO-nya sehingga ISO6400 dan ke atas tetapi seperti yang saya beritahu tadi kesannya adalah “noise/grain”.
Tetapi ada masa-masanya saya gunakan jugak ISO yang tinggi terutamanya bila ada “moment” yang baik tetapi keadaan agak kelam tetapi moment yang berlaku depan mata kita terlalu indah untuk dilepaskan begitu sahaja, maka saya akan naikkan ISO dan rakam gambar tersebut, memang ada “noise/grain” tetapi harus juga kita ingat, antara faktor yang menyebabkan gambar itu hebat adalah rakaman moment yang baik, yang mungkin hanya berlaku sekali sahaja di depan mata kita.
Apapun, asas untuk dapatkan gambar yang sharp ialah pemilihan shutter yang laju terutamanya sekiraya anda merakam secara “handheld” bukannya menggunakan tripod. Tentang focusing pula saya sering menggunakan “Single Focus Point” maksudnya semasa dalam viewfinder saya pilih titik fokus yang satu. Kita boleh set titik fokus dalam kamera masing-masing dan untuk rakaman portrait, pastikan titik fokus kamera kita terarah kepada mata subjek.
Cuma harus diingat setting ini hanya sekadar panduan untuk merakam gambar yang keadaan cahaya persekitaran lebih kurang sama dengan gambar Arianna di atas. Sekiranya anda merakam gambar potret subjek anda ditengah padang yang panas di bawah terik mentari sudah tentu setting ini tidak boleh digunakan, kemungkinan anda perlu gunakan shutter yang lebih tinggi, mungkin 1/500 dan ke atas.
Sekiranya anda belum mahir menggunakan MANUAL Mode, anda boleh pilih setting “S” Nikon atau “Tv” (Time Value/Canon) pada kamera anda (Shutter Priority). Maksudnya anda pilih kelajuan Shutter, anda tentukan kelajuan shutter dan biarkan kamera anda memilih Aperture yang sesuai secara automatik bergantung kepada cahaya sekitar subjek anda.
Selamat mencuba…
*Bacaan Lanjutan Untuk Dapatkan Foto Tajam Guna Lensa 50 mm : How To Get Sharp Images With 50 mm Lens
One Comment
len
Ilmu yG sGt berGune…trutama pda sya yG masih O dlm bdg fOtOgrafi…