Adventure,  Travel

Istanbul Aku Datang | Pengangkutan Awam di Istanbul

Istanbul | Golden Horn

© 2012 Wazari Wazir | Istanbul Aku Datang | Golden Horn

Rasanya dah banyak tulisan saya tentang Istanbul dalam blog ini, cuma ianya tidak tersusun, salah satu sebab ialah, blog saya ni bukannya blog pengembaraan, dan saya tidak mahir untuk menulis tentang catatan perjalanan saya secara terperinci, blog ini lebih kepada apa sahaja yang bersangkut paut dengan photography, jadi saya harap tiada yang marah andaikata ada artikel saya yang “tergantung tidak bertali”, masa saya cukup terhad, belum sempat nak kumpul cebisan memori-memori perjalanan saya, saya dah terbang lagi, jadi maafkanlah saya andaikata cerita saya tidak pernah habis.

Apapun di sini saya nak tumpukan pada kemudahan pengangkutan awam di sekitar Istanbul secara umum, bukan secara detail. Kepada yang berminat untuk mengembara atau melancong ke Istanbul secara sendiri bersama rakan, tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan, ingin saya membawa khabar gembira untuk anda, Istanbul adalah sebuah bandaraya besar yang cukup mudah untuk di jelajahi dengan menggunakan perkhidmtan awam.

Istanbul | Jeton

© 2012 Wazari Wazir | Jeton Untuk Tram/Metro | 3 Lira (Februari 2013)

Dipendekkan cerita, sebaik sahaja kita tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, lepas ambil beg, sebaiknya kita tukar duit kita kepada LIRA, seandainya kita tidak memiliki LIRA, di Malaysia ni payah nak cari Money Changer yang ada stok LIRA, jadi sebaiknya kita tukar LIRA, sama ada tukar dari EURO atau USD, semasa saya ke Istanbul, saya mambawa wang EURO dan di airport saya tukar kepada LIRA, bukan tukar semua, hanya sedikit sahaja, kerana semua tahu nilai tukaran di Airport agak redah “kita rugi” berbanding dengan kalau kita tukar di tengah bandar. Tips dari saya, tukar LIRA tak perlu banyak, cukup sekadar lepas tambang ke tengah bandar, tetapi itupun bergantung pada money changer tersebut. Sampai di tengah bandar baru tukar lagi duit kita.

Jadi bila dah tukar kepada LIRA, masa keluar dari pintu utama airport, cari papan tanda yang tertulis Metro Subway, logo dia macam logo LRT, Stesen Metro ni terletak di bawah tanah, jadi ikut arah anak panah papan tanda tersebut. Sebaik tiba di stesen Metro tu, cari Mesin Jeton tu, kaunter tiket tidak menjual tiket, sebaliknya anda perlu “self service” untuk beli Jeton atau Token tersebut.

Cara nak guna mesin tu, pertama sekali anda perlu masukkan duit, masukkan duit dahulu, mesin Jeton tersebut menerima wang kertas 5,10,20 Lira dan juga wang syiling 1 LIRA, untuk pengetahuan, semenjak Februari 2013, bayaran untuk token tersebut ialah 3 LIRA. Anda tidak perlu memilih destinasi mana anda hendak pergi kerana ke mana sahaja anda hendak pergi, bayarannya adalah sama iaitu 3 LIRA.

Bila kita dah masukkan duit dalam tu, sebagai contoh, kita masukkan 5 LIRA dalam mesin tu, kita tekan butang “One Way” yang berwarna hijau tu. Dan lepas tekan butang tu, Token akan dikeluarkan, sama sahaja sizenya seperti token kita naik LRT, cuma ianya berwarna merah.

Buton biru sebelah kiri buton hijau tu “Quantity”, sebagai contoh, kita masukkan 20 LIRA dan nak beli untuk 3 orang, berjumlah 9 LIRA, kita masukkan duit 20 LIRA, lepas tu kita tekan buton biru tu, buton “Quantity” tu sebanyak 3 kali, tengok screen tu, duit bakinya akan dikeluarkan bersama jumlah token. Buton merah kat bawah tu untuk “language”, tak perlu guna buton ni pasal prosesnya mudah sangat, kita bukan nak pilih destinasi mana, pasal tiada disediakan destinasi mana untuk kita pilih kerana, ke mana sahaja kita nak pergi guna Metro ni hanya 3 LIRA.

Bila dah dapat token atau Joten tu, kita masukkan Token tu ke dalam lubang kecil di mesin yang lebih kurang sama macam kita naik LRT di Malaysia. Bezanya dengan di Kuala Lumpur, kalau kita guna token biru tu, nak masuk stesen kita kena sentuh token tu di mesin dan baru boleh masuk tetapi di Istanbul, berbeza, kita perlu masukkan token tu dalam lubang kecil yang disediakan oleh mesin tu, dan terus jalan, menuju ke masuk Metro, maknanya masa kita naik Metro tu, Jeton atau Token tersebut tidak bersama kita pasal kita dah tinggalkan di mesin tadi, jangan bimbang tentang hal itu, masa nak keluar nanti, kita tak perlukan token tu, just keluar sahaja dari stesen.

Jadi bila kita dah masuk stesen Metro bawah tanah tersebut, ada 2 arah Metro berasingan, nak pilih yang mana satu? Kita pilih yang sebelah kanan dari arah kita masuk tadi. Kalau keliru atau platform Metro bertukar haluan, jangan risau, kita tengok papan tanda aliran Metro tersebut dan tengok yang mana satu menghala ke stesen ZEYTINBURNU, ambil Metro tu. Lagi satu nak sedapkan hati, kalau kita nampak ramai orang bawak luggage atau backpack ikut mereka, tapi sebaiknya lihatlah pappan tanda aliran Metro tu, takut nanti, mereka sesat, anda pun turut sesat sama, ringankan mulut untuk bertanya.

Sampai di Setsen Metro ZEYTINBURNU, anda perlu keluar dari stesen dan bila dah keluar anda perlu beli satu lagi Jeton atau Token untuk ke destinasi seterusnya iaitu KABATAS (Bagi yang memilih untuk menginap di TAKSIM) ataupun stesen SULTAHAHMET bagi yang memilih untuk menginap di kawasan Sultanahmet yang berdekatan dengan tempat-tempat menarik seperti Hagia Sophia dan Blue Mosque.

Stesen seterusnya hanya bersebelahan sahaja, sebelah kanan anda, dari arah Airport, mesin Jeton tu sama sahaja dan caranya sama sahaja, harga Joten pun sama iaitu 3 LIRA (Feb 2013). Pilih Metro yang bertulis KABATAS dan kalau anda nak tinggal di Sultanahmet, turun di Stesen Sultanahmet, lebih kurang setengah jam atau lebih sedikit anda akan sampai ke Stesen Sultanahmet dari Zeytinburnu, bila sampai anda dah boleh nampak Blue Mosque ataupun Sultan Ahmet Mosque di sebelah kanan anda sekiranya anda menghadap ke depan.

Istanbul | Istanbulkart | Jeton | Token

© 2013 Wazari Wazir | Istanbulkart (Kiri)  | Jeton (Kanan)

Selain dari Joten anda boleh beli ISTANBULKART, tetapi semasa saya di Istanbul tempoh hari, Istanbulkart ni tiada dijual di Airport, anda kena beli di bandar, tetapi ada baiknya anda tanya orang di lapangan terbang tersebut, di mana anda boleh beli Istanbulkart ni, sebenarnya menggunakan Istanbulkart lebih jimat dari guna Joten, ada sedikit diskaun, Istanbulkart ni macam “Touch and Go”, kita boleh tambah nilai di tempat-tempat tertentu.

Kita boleh gunakan Istanbulkart ni untuk menggunakan hampir sebahagian pengangkutan awam di Istanbul kecuali teksi dan kapal terbang serta “Dolmus”  atau bas mini. Kalau kita nak naik feri pun kita boleh guna Istanbulkart ini.

Istanbulkart

© 2013 Wazari Wazir | Istanbulkart | Akbil | Eminonu

Sekiranya tiada di airport, anda boleh beli ISTANBULKART di Eminonu, tak jauh dari Yeni Camii, atau New Mosque, masjid sebelah kanan gambar atas ni. Untuk ke sini, anda boleh naik tram, 3 LIRA juga dari Sultanahmet dan turun di stesen Eminonu, lepas tu jalan terus menghala ke Jambatan Galata, jalan menyeberangi jambatan tu, ikut laluan bawah jambatan menghala ke tempat yang anda nampak banyak dereten bas, di sana anda akan jumpa booth atau pondok yang jual ISTANBULKART ni.

Sebenarnya ada juga kedai-kedai kecil tepi jalan yang menjual Istanbulkart ini, anda cuma perlu perhatikan sama ada kedai mereka ada memaparkan tanda AKBIL atau DOLUM , kalau ada, anda tanya mereka, kalau tak jumpa, pergi sahaja ke Eminonu, bukan jauh sangat tempat ni dari Sultanahmet, kurang 10 minit naik Metro atau Tram dah sampai tapi untuk hari pertama eloklah naik Metro dulu, dah mahir nanti, jalan kaki pun tidak mengapa kerana bukan jauh sangat.

Saya cuma cadangkan anda membeli Istanbulkart sekiranya anda bercadang nak tinggal lebih dari sehari di Istanbul, 3 hari atau lebih, kalau setakat sehari, lepas tu esoknya atau lusa nak pergi tempat lain seperti ke Ankara, Bursa ataupun Cappadocia, rasanya tak perlu nak beli Istanbulkart ni, cukuplah guna Joten sahaja.

Istanbul | Istiklal Caddesi

© 2012 Wazari Wazir | Tram Lama | Old Tram | Istiklal Caddesi | Taksim

Tram merah yang klasik dan unik ini hanya boleh didapati di TAKSIM, di mana laluannya adalah di sekitar Istiklal Caddesi. Anda perlu menggunakan ISTANBULKART atau AKBIL, Tram ni tidak menerima Jeton atau wang tunai, jadi sekiranya anda berhajat nak naik Tram Merah Klasik ni, maka anda perlu beli ISTANBULKART. Sebenarnya laluan Istaiklal Caddesi ni bukannya jauh sangat, kalau jalan kaki pun sepanjang laluan Tram ni rasanya dalam 15 hingga 20 minit sahaja, ikut kepantasan kita berjalan tetapi bak kata orang, alang-alang dah sampai Istanbul kenapa tidak kita cuba.

Pertama kali saya ke Istanbul, saya pernah cuba nak naik tapi tak tahu pulak yang Tram ni tidak terima wang tunai, jadi, keesokan harinya saya beli ISTANBULKART, dapatlah merasa naik Tram ni, memang klasik dan unik, rugi tak cuba. Boleh cuba naik waktu pagi dan malam, untuk pengalaman yang berbeza, yang pasti Istanbul Caddesi ni tak pernah sunyi dengan orang ramai, untuk yang kaki shopping, eloklah habiskan sebahagian duit ada di sini.

Istanbul Metro | Tram

© 2012 Wazari Wazir | Metro | Istanbul

Gambar atas ni ialah Metro yang agak moden di Istanbul, sama juga tambangnya iaitu 3 LIRA untuk ke mana-mana destinasi. Anda boleh lihat di belakang Metro tersebut ialah Ayasofya, jadi pergerakan di Istanbul sangat mudah menggunakan perkhidmatan Metro atau Tram ini, dan lokasi tempat-tempat menarik di Istanbul ni juga, berdekatan antara satu sama lain, sebagai contoh, di belakang Hagia Sophia ialah Muzium Topkapi dan berhadapan dengan Hagia Sophia ialah Masjid Biru dan di sebelah kiri gambar Metro ni di ambil ada satu lagi tempat bersejarah yang terletak di bawah tanah iaitu Basilica Cistern iaitu salah satu tempat penyimpanan air zaman dahulu kala.

Selain dari itu, perkhidmatan teksi juga agak cekap, dan dari pengalaman saya kebanyakan pemandu teksi di Istanbul menggunakan meter, tetapi mungkin agak mahal bagi sesetengah orang, pengalaman orang lain mungkin berbeza.

Feri juga cukup banyak di Istanbul, sekiranya kita ingin ke sebelah Asia iaitu Uskudar, Kadikoy, lebih baik guna Feri dari Teksi, murah, guna Feri baru 3 Lira untuk ke seberang Bosphorus, kalau naik teksi pusing agak jauh untuk ke sebelah Asia, ramai sedia maklum bahawa Istanbul ni agak unik kerana ianya merupakan pertemuan Asia dan Eropah.

Di harap sedikit panduan ringkas ini dapat membantu anda yang merancang untuk ke Istanbul secara sendiri atau bersama rakan-rakan, bagi saya elok kita habiskan masa sehari dua di Istanbul, sebelum bertolak ke destinasi lain, kalau tiada idea mahu ke mana, boleh bertanya pada pihak pengurusan hotel yang anda menginap dan biasanya mereka boleh aturkan satu pakej “sightseeing” untuk anda ataupun boleh berikan idea tentang destinasi mana yang bagus untuk di lawati berdasarkan minat anda.

Bagi saya pula, seminggu di Istanbul tidak cukup dan InsyaAllah, “ISTANBUL Aku AKan Kembali”…

*Artikel yang berkaitanTips Kembara di Istanbul

Master BW eBook

I'm a Photographer and Travel Blogger...

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.