Kembara Fotografi Ke India 2012 | New Delhi – Kashmir – Agra | Bahagian I
© 2012 Wazari Wazir | iPhoneography | Terminal 3 | Indera Gandhi International Airport | New Delhi | India | The Arrival
© 2012 Wazari Wazir | Ajay Guest House | Pahar Ganj Main Bazaar | New Delhi | India
© 2012 Wazari Wazir | Vivek Hotel | Pahar Ganj Main Bazaar | New Delhi | India
Agak lama juga blog ni terkandas, bukan sebab saya dah takde idea nak berblogging atau saya tiada perkara menarik untuk dikongsikan, tetapi terlau banyak perkara yang menarik untuk saya kongsikan, selain dari itu tugasan fotografi juga agak banyak, sebelah malam pula sibuk dengan keluarga, melayan karenah anak-anak, bila anak tidur dah agak lewat malam, mata saya pun dah mengantuk, hajat nak update blog pun turut tergendala.
Panjang sangat “alasannya” tidak memberi sebarang manfaat pada anda semua, cuma nak beritahu sahaja kenapa blog ni berhabuk. Terus kepada topik. Kalau nak diikutkan trip ke India kali ni bukanlah dirancang sangat, trip yang saya rancang adalah pada tahun lepas 2011 tapi oleh kerana pada waktu terdekat untuk kami terbang ke India, isteri saya melahirkan anak, awal sebulan dari tarikh sebenar, jadi trip tu cancel, tiket “burn” macam tu sahaja. Plan asal kami nak ke Leh Ladakh dari New Delhi melalui Manali ikut jalan darat, planning semua dah buat tapi kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya.
Trip 2011 yang tak jadi tu seramai 4 orang, saya tarik diri dan serahkan keputusan pada rakan saya yang tiga orang lagi tu untuk buat keputusan, sama ada nak teruskan ataupun tidak tanpa saya, mereka pun tak jadi pergi, 4 tiket ke India “burn” macam tu sahaja dan bagi saya itu bukanlah kali pertama tiket saya burn, saya tak kisah sangat kerana percaya mungkin ada hikmah yang di luar jangkauan akal pemikiran kita dan saya redha dengan ketentuanNya.
Sebab apa saya kata trip 2012 ni tidak dirancang adalah kerana, promosi tiket murah AirAsia. Saya ni memang jenis suka tengok harga tiket di masa lapang, guna Apps Skyscanner dan sedang asyik layan apps tu di iPhone saya, tengok harga tiket pergi balik ke New Delhi dari Kuala Lumpur amat murah, kurang RM500 pasal masa saya beli tiket tahun lepas, hampir RM2000 untuk tiket pergi balik. Cepat-cepat saya tengok kalendar dan terus buat keputusan untuk beli tiket. Ada jugak saya tanya member-member opis sama ada nak join saya atau tidak tapi mereka ada urusan masing-masing, saya call sahabat saya Azman Jumat, jurufoto di Sabah dan dia setuju untuk join saya walaupun diberitahu dalam keadaan tergesa-gesa, di pendekkan cerita hanya kami berdua sahaja yang beli tiket murah tersebut.
Jumlah keseluruhan harga tiket pergi balik Kuala Lumpur ke New Delhi adalah hanya RM323.62, oleh kerana saya membeli insurance, tambah luggage 20KG pergi dan balik, tambah lagi sikit untuk pilih tempat duduk dan kos processing fees, jumlah keseluruhan jadi RM578.62. Bagi saya sangatlah murah dan rasanya tiket pergi balik ke Kota Kinabalu pun lebih kurang macam itu juga tapi jarak perjalanan ke New Delhi lebih jauh iaitu memakan masa selama 5 jam 30 minit berbanding ke Kota Kinabalu yang mengambil masa 2 jam 30 minit sahaja. Untuk pengetahuan, saya beli tiket ke India ni bulan November 2011 dan terbang pada 1st February 2012. Biasanya kalau proper planning, saya akan beli tiket paling kurang pun lima bulan awal tapi tiket murah punya pasal, beli ajerlah, kalau tak jadi pun, rugi takdelah sampai beribu-ribu.
Dalam tempoh sebulan dua tu, sempat jugak saya buat research secara rawak, ke mana nak pergi memandangkan saya pernah ke India pada bulan June 2010, masa tu cuaca amat panas di sana, jadi kali ni nak cuba rasa bagaimana rasanya keadaan sejuk di sana. Dalam hati rasa teringin untuk ke Kashmir tapi macam-macam cerita yang kita dengar dan lihat dan berita tentang Kashmir ni selalu keluar di kaca TV, ada rusuhan lah, ada kejadian tembak menembak la, tak selamat dan macam-macam lagi, kalau cerita yang menarik pun mungkin dalam filem Hindustan, itupun cuma dijadikan latar belakang masa adegan tari menari atau adegan nyanyian hero dan heroin, selain daripada tu kalau ada cerita tentang Kashmir mesti tentang perebutan wilayah Kashmir antara India dan Pakistan.
Tapi dalam kepala saya ada Plan B, iaitu untuk kembara ke Rajasthan sekali lagi dan kali ni saya merancang untuk cuba Safari Padang Pasir atau “Desert Safari” di Jaisalmer dan kebetulan pada tarikh saya nak pergi tu bakal berlangsungnya Jaisalmer Desert Festival (5-7 February 2012), bila dah ada Festival di padang pasir tu, taklah susah sangat nak cari gambar, macam-macam persembahan ada, penuh dengan warna warni, tapi Rajasthan ialah Plan B, Plan A masih ke Kashmir pasal rasanya bukan susah sangat kalau nak ke Rajasthan di masa akan datang lagipun saya pernah ke Rajasthan pada tahun 2010 cuma belum berkesempatan untuk cuba kembara dengan menaiki unta di padang pasir Thar sahaja, insyaAllah mungkin di lain masa.
Dipendekkan lagi cerita saya ambil keputusan untuk ke Kashmir dan sahabat saya Azman pun bersetuju walaupun mengetahui risiko adalah atas tanggungan sendiri. Sebelum tu saya tertanya-tanya juga, apakah saya perlukan permit untuk ke Kashmir, memandangkan kawasan ini adalah rebutan antara dua negara dan kemasukan ke sana adalah agak ketat, puas jugak saya google sana dan google sini cari info, dalam buku Lonely Planet India pun tak banyak sangat info tentang Kashmir ni, ada maklumat tapi kurang terperinci, terpaksa juga menggunakan khidmat encik Google.
Masih tak puas hati juga, saya cuba hubungi salah sebuah hotel di Srinagar Kashmir iaitu Swiss Hotel Kashmir , saya email pada pengurus hotel tersebut dan bertanyakan tentang keadaan di sana, sama ada saya perlukan permit khas untuk memasuki Kashmir ataupun tidak, dan kalau perlu di mana saya perlu dapatkan permit tersebut, adakah di New Delhi atau boleh dapatkannya masa tiba di Srinagar Airport.
Maklumat ini penting kerana perancangan saya ialah untuk naik kapal terbang dari New Delhi ke Srinagar dan bukannya ikut jalan darat, lagipun bulan February masih lagi winter di India, dan jalan darat tutup pasal salji tebal di sesetengah tempat tertentu dan mungkin makan masa berhari-hari untuk sampai ke Srinagar ikut jalan darat. Sebelum saya beli tiket kapal terbang ke Srinagar dari New Delhi saya perlukan maklumat tepat, tak nak membazir duit ataupun terkandas di airport nanti pasal tak dapat masuk Kashmir kerana tiada permit. Bila dah jelas yang saya tidak perlukan permit untuk masuk ke Kashmir baru saya beli tiket, itupun saat akhir, masih ragu-ragu. Saya beli tiket ke Srinagar kurang seminggu sebelum saya berlepas ke India.
Ada dua tiga syarikat penerbangan ke Srinagar dari New Delhi dan setelah disenarai pendek saya buat keputusan untuk memilih IndiGo Airlines, dalam research ringkas yang saya buat, IndiGo Airlines ni antara syarikat penerbangan baru di India yang punya rekod penerbangan agak baik. Jumlah keseluruhan untuk tiket pergi balik ke Srinagar untuk dua orang adalah RM695 ataupun dalam RM348 (pergi balik, bayaran tu termasuk untuk luggage 20KG pergi dan balik, dah termasuk dalam harga tiket dan tak perlu buat bayaran tambahan seperti AirAsia untuk luggage) seorang. Rasanya kalau saya beli tiket ni, 2,3 bulan awal mungkin dapat lebih murah lagi, dalam RM250 seorang pun boleh dapat rasanya tapi memandangkan beli dalam tempoh seminggu sebelum nak terbang, dapatlah harga ni, kira ok lagilah dan penerbangan ambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit ke Srinagar dari New Delhi.
Visa ke India kali ni kena buat secara online, maksudnya borang tu kena isi secara online tapi masih kena hantar borang secara manual ke India Visa Centre di Kuala Lumpur, cuma kita kena printkan borang yang kita isi secara online itu beserta dengan dokumen yang dikehendaki, passport, 2 keping gambar serta salinan tiket penerbangan dan Visa akan siap dalam tempoh 3 hari termasuk hari kita hantar Passport tersebut. Contohnya kalau kita hantar Passport hari Isnin, insyaAllah hari Rabu dah boleh ambil balik Passport tu beserta Visa kalau tiada apa-apa masalah dan untuk pengetahuan semua masa isi borang Visa tu saya tak tulis yang saya akan ke Srinagar Kashmir, saya hanya tulis akan ke New Delhi, Agra dan Rajasthan sahaja. Bayaran untuk Tourist Visa ke India ialah sebanyak RM168 sahaja untuk seorang.
Untuk trip kali ni, saya tidak buat tempahan hotel di New Delhi kerana memandangkan penerbangan kami akan tiba di New Delhi pada waktu siang, ikut jadual dalam jam 2:00PM dah sampai ke New Delhi dengan penerbangan AirAsia, jam 9:50AM dari Malaysia. Sehari sebelum terbang iaitu 31 January sahabat saya Azman tiba di LCCT dan saya beserta rakan saya Waja atau Ahmad Shukri menjemput Azman di airport. Waja tak dapat join trip ni kerana waktu kami pergi tak kena dengan jadual cutinya tapi semangatnya tetap bersama kami. Lepas pick up Azman kami terus ke Sungai Besi dan lepak sekejap makan malam sebelum Azman ke rumah saya dan tidur semalam di rumah saya.
Esoknya awal pagi sebelum jam 6AM , Isteri saya hantar kami ke Stesen ERL Bandar Tasik Selatan, ambil ERL dan terus ke LCCT, tapi kena tukar naik bas di Salak Tingi Station. Sebelum kami berlepas, Waja sempat datang untuk ucapkan selamat jalan, kalau boleh dia pun nak join terbang sekali, namun apakan daya, waktu perjalanan tak kena dengan cutinya, mungkin akan datang, insyaAllah dan untuk pengetahun semua, ini adalah kali pertama saya menaiki pesawat AirAsia untuk ke luar negara.
Biasanya saya hanya gunakan AirAsia untuk destinasi dalam Malaysia dan guna MAS untuk ke luar negara. Ini adalah pengalaman pertama kami dan akan datang tiada lagi penerbangan terus AirAsia ke New Delhi dan Mumbai kerana dua detinasi ke India ini akan dihentikan dari senarai destinasi mereka buat masa ini, ada juga di kalangan sahabat saya yang dah book tiket ke India untuk bulan March ke atas yang terpaksa memilih destinasi lain kerana pertukaran jadual ini dan Syukur Alhamdulillah, penerbangan kami masih boleh diteruskan ikut jadual.
Sukur Alhamdulillah pewsawat kami tiba di Terminal 3 Indera Gandhi International Airport jam 12:30PM awal 30 minit dari jadual yang tertulis di tiket, ikut jadual asal kami akan tiba jam 1:00PM waktu India. Terminal 3 adalah Terminal baru, sebelum ini iaitu pada tahun 2010 kami tiba di Terminal 2, agak usang terminal tu tapi Terminal 3 ni memang world class, boleh dikatan setanding dengan KLIA atau mungkin lebih baik lagi, datang sendiri ke sini kalau nak tengok.
Gambar atas sekali itu ialah gambar terminal 3 yang mana saya rakam gunaiPhone, bukannya apa, takut-takut jugak nak guna DSLR kerana Airport adalah kawasan yang di kawal rapi atas sebab-sebab keselamatan, tapi bila tengok ramai orang ambil gambar guna handphone, saya oun ambil jugak sementara berbaris menunggu passport kami dicop. Rugi pihak airport hias cantik-cantik tapi tak bagi orang ambil gambar. Apa yang boleh saya katakan memang cantik tempat ni cuma kita kena berjalan agak jauh sikit daripada tempat kita turun pesawat untuk ke tempat ini.
Seperti mana yang saya beritahu, untuk trip ni saya tak book hotel, nak cari hotel bila tiba di Pahar Ganj nanti lagipun saya dah pernah stay kat sana dan tahu di sana memang banyak bajet hotel, jadi tak risau sangat untuk book hotel. Kali ni saya pun tidak ambil pick up service, sebaliknya saya nak cuba guna METRO, bukan teksi tapi METRO ni macam LRT kita.
Lepas keluar jer dari Terminal 3 Indera Gandhi International Airport ni, pandang sebelah kanan dan boleh nampak ada macam satu lorong menuju ke bawah tanah, disitulah lorong atau jalan untuk ke METRO. Tiket atau token (yang macam LRT guna sekarang ni) untuk ke New Delhi Metro dari Airport ni hanya Rs80 sahaja untuk seorang atau RM4.90 lebih kurang dan ambil masa kurang 20 minit untuk sampai ke New Delhi Metro Station. Metro ni memang bersih dan tidak sesak dengan orang, METRO ni bukan direct terus ke New Delhi Station tapi berhenti di beberapa tempat seperti Delhi Aero City, Dhaula Khan, Shivaji Stadium dan last sekali New Delhi Station.
So jangan risau kalau naik Metro ni dari airport, turun di destinasi terakhir tapi untuk pengetahuan semua, METRO ni bukan turun di Stesen Keretapi New Delhi, jangan silap, tapi Metro ni turun di New Delhi Metro station dan dari stesen ni ada banyak lagi jaringan perkhidmatan Metro untuk ke pelbagai destinasi di New Delhi ni, kira sama macam kita turun di KL Sentral, boleh naik komuter, Putra LRT dan Erl.
Kalau nak berjalan kaki ke Pahar Ganj tempat di mana kami memilih untuk bermalam agak jauh juga, jadi kami naik Auto Rickshaw, bayaran dalam Rs150 unuk 2 orang, kalau nak ikutkan boleh dapat murah lagi, kurang Rs100 pun boleh dapat, kami nak cepat dan malas nak buang masa cari Auto Rickshaw yang lain, bayar sahaja Rs150 atau RM9 untuk ke Pahar Ganj.
Rate untuk ke Pahar Ganj dari Indera Gandhi International Airport untuk satu teksi ialah Rs300 atau RM18, kalau 3, 4 orang rasanya lagi jimat naik teksi dari airport tapi kami nak cuba naik Metro ni tengok macam mana keadaanya dan bagi yang pertama kali ke India saya cadangkan you naik Teksi pasal dapat tengok view menarik sepanjang perjalanan ke Hotel.
Naik Metro ni dia bergerak sebelah atas dan ada masanya dia lalu di bawah tanah, so tak nampak pemandangan dan kurang meriah dengan hiruk pikuk serta bunyi-bunyian horn kenderaan sepanjang jalan. Tapi kalau nak selesa naik METRO lah cuma you kena tambah sikit duit lagi untuk naik Auto Rickshaw pasal Metro ni tak berhenti depan hotel anda. Kalau naik teksi dia akan hantar sampai depan hotel dengan bayaran Rs300 atau RM18 satu teksi.
Dalam borang yang kita kena tulis masa dalam pesawat tu saya tulis akan menginap di Vivek Hotel Pahar Ganj, hotel di mana saya pernah menginap sewaktu trip 2010 kami tapi bila sampi di sini saya cuba untuk dapatkan bilik di Ajay Guest House, gambar tengah tu pasal di Ajay ni nak makan pun senang, di bawahnya ada restoran makan dan ada internet cafe serta WiFi. Vivek Hotel pun ada juga restoran sebelah atas bangunan tapi bagi saya Ajay Guest House lebih selesa tapi mungkin bukan rezeki kami, semua bilik di Ajay Guest House dah penuh, ambil keputusan cuba pulak di Vivek dan Alhamdulillah masih ada kosong.
Ajay Guest House dan Vivek ni bukan jauh sangat jaraknya, hanya seberang jalan sahaja, kalau tengok gambar bawah sekali tu, nampak Vivek Hotel tu dan jalan ke depan sikit sebelah kiri ada satu lorong kecil untuk ke Ajay Guest House. Antara dua hotel ni, saya suggest Ajay Guest House berbanding Vivek. Kami akan tidur untuk satu malam sahaja di Pahar Ganj ni pasal keesokan harinya kami akan berlepas ke Srinagar Kashmir, so malas nak cari hotel lain lagi, just stay di Vivek untuk satu malam dengan bayaran Rs1000 atau RM60 untuk 2 orang, bahagi dua cuma RM30 seorang sahaja.
*Nantikan sambungannya, insyaAllah…
One Comment
Pingback: