Adventure,  Art,  Malaysia,  People,  Travel

Tips Pengembaraan ke India | Rajasthan, Delhi & Agra

Rajasthan | Jaipur | Jal Mahal | Me and "Tourist" :-)

© 2010 Wazari Wazir | Jal Mahal | Rajasthan | Bersama Pelancong Tempatan di Jal Mahal | Jaipur | Rajasthan India

Colors of Rajasthan | Jal Mahal | Jaipur

© 2011 Wazari Wazir | Jal Mahal | Jaipur |  Rajasthan India

INDIA bagi sesetangah orang bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang masuk dalam senarai mereka, ada yang meletakkan India sebagai destinasi terakhir untuk di kunjungi sekiranya tiada tempat lain ingin dikunjungi. Ada juga yang tak masuk langsung dalam kamus perjalanan hidup mereka. Masing-masing punya cita rasa yang berbeza-beza. Itu adalah lumrah kehidupan, jadi kepada sesiapa yang tidak berminat untuk ke India, ada baiknya anda berhenti membaca di sini kerana tiada sebarang faedah yang boleh anda dapati dengan membaca blog saya ini, hanya membuang masa anda sahaja tetapi kepada yang berhajat untuk ke India, boleh teruskan pembacaan, mudah-mudahan, apa yang saya tulis ini dapat dijadikan sedikit panduan untuk anda memulakan langkah pertama ke sana.

Masa terbaik untuk berkunjung ke India adalah dari bulan November hingga March (20-30 Celsius) di mana keadaan cuaca agak sejuk, selesa untuk berjalan, elakkan bulan Mei hingga Ogos kerana panas, sangat panas. Masa saya pergi dulu bulan Jun dan suhu mencecah lebih 47 darjah celsius, panas membara. Pada bulan Julai  hingga September pun kurang sesuai kerana musim monsoon bermula, kalau banjir nanti susah nak bergerak tapi kalau anda berminat nak shoot masa banjir, nak buat dokumentari bagaimana Monsoon di India boleh datang time ni, “Photo Opportunity” memang banyak tapi kalau nak berjalan memang kurang sesuai.

Sekiranya anda berminat untuk mengembara melaui jalan darat ke Utara India, di sekitar Himalaya, sebagai contoh ke Leh di Ladakh atau sekitar Himachal Pradesh, Zanskar, Sikkim dan Darjeeling maka musim panas amat sesuai, boleh datang ke New Delhi pada bulan Jun hingga Oktober dan teruskan perjalanan anda ke Utara India, cuaca di sini tidak panas seperti di New Delhi kerana terletak di pinggiran Himalaya dan jalan darat dari Manali ke Leh hanya di buka sekitar bulan Jun dan ke atas bila cuaca panas dan salji cair, pasal kalau awal tahun, salji tebal, jalan darat tak boleh dilalui kecuali jalan udara.

Untuk pengetahun semua, India adalah destinasi luara negara yang pertama saya kunjungi atas tujuan peribadi, atas tujuan pengembaraan, sebelum ni banyak juga negara yang pernah saya kunjungi tetapi semua itu adalah atas urusan kerja dan saya tidak perlu khuatir tentang hotel, pengangkutan Visa, dan segala pergerakan saya semasa bertugas kerana segalanya di uruskan oleh Wisma Putra ataupun Agensi yang terlibat dalam urusan tugas ke luar negara.

Trip ke India adalah atas urusan peribadi, pengembaraan bersama rakan-rakan atas perbelanjaan sendiri. Trip ke India ini juga bukan melalui mana-mana travel agensi, segala perjalanan adalah dirancang oleh kami bersama, atas persetujuan bersama. Oleh kerana kami tidak pergi ke India melaui Travel Agensi maka agak banyak persediaan yang perlu kami lakukan.

Perkara pertama yang saya lakukan ialah untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat berkaitan dengan India, baik melaui blog-blog pengembaraan mahupun dengan membeli buku yang berkaitan dengan India. Saya memilih untuk membeli buku Lonely Planet bertajuk Rajasthan, Delhi dan Agra kerana destinasi inilah yang akan kami kunjungi di India nanti. Kalau nak pusing seluruh pelusuk India, rasanya seumur hidup pun belum tentu habis, India amat luas.

Maklumat yang saya cari adalah tentang keadaan di sana, di mana hotel yang sesuai untuk saya menginap, di mana stesen keretapi atau stesen bas yang berdekatan dengan hotel, tempat makan dan berapa jauhnya jarak Hotel ke tempat-tempat yang ingin saya kunjungi.

Sebelum saya pergi lebih jauh lagi, perkara pertama yang anda perlu tahu sebagai rakyat Malaysia, kita memerlukan VISA atau Tourist Visa untuk melawat India, VISA ini kepada yang tinggal di Kuala Lumpur boleh buat di INDIA VISA CENTRE yang terletak di belakang bangunan Sultan Abdul Samad, bukan bahagian belakang tetapi menghadap laluan yang nak ke Central Market tu, kalau dari simpang empat trafik light di Dataran Merdeka tu menghala ke Central Market atau Bangkok Bank sebelah kiri jalan anda boleh nampak India Visa Centre tu. Anda di kenakan bayaran sebanyak RM168 (Tahun 2010) untuk Visa termasuk cukai perkhidmatan, siap dalam masa dua hari. Hantar hari ni, insyaAllah esok petang dah boleh ambil. Kepada yang baru pertama kali buat Visa, passport anda ditinggalkan di Visa Centre tu dan keesokan harinya bila anda ambil Passport anda balik, Visa India ada di tampal dalam passport anda.

Ada juga yang tanya, apa perlunya VISA kalau kita dah ada Passport? Visa adalah dokumen perjalanan yang di keluarkan oleh negara tertentu kepada kita yang memberi kebenaran untuk kita masuk ke negara mereka atas  tujuan tertentu dan untuk jangkamasa tertentu. Maksudnya, sebelum kita pergi ke negara yang hendak di tuju, yang mana memerlukan VISA, kita perlu mohon dan terpulang pada budi bicara pihak terbabit sama ada untuk membenarkan kita masuk ke negara mereka atau tidak dan perlu juga kita ketahui yang tidak semestinya permohonan kita itu akan di luluskan, dan antara salah satu keperluan untuk mendapatkan VISA ke India ialah kita perlu sertakan juga salinan tiket perjalanan pergi dan balik kita bersama-sama dengan borang VISA tersebut.

VISA ni macam surat kebenaran untuk kita masuk ke negara-negara tertentu, manakala Passport pula adalah dokumen pengenalan diri kita yang bertindak sebagai “Kad Pengenalan Antarabangsa”, jadi orang boleh tahu, siapa kita, dari mana kita datang serta kita warganegara negara mana. Dan perlu diketahui, dengan memiliki “Kad Pengenalan Antarabangsa” ini, tidak bermakna kita boleh masuk ke mana-mana negara di dunia ini sesuka hati, ada negara yang ingin tahu tujuan kita masuk ke sana, dan VISA dikenakan untuk tujuan tersebut. Senang atau susahnya nak dapatkan VISA ini bergantung kepada negara mana yang ingin kita kunjungi dan atas tujuan apa, melancung, perniagaan, belajar dan lain-lain lagi.

Ada juga sesetengah negara yang memerlukan “Invitation Letter” ataupun Surat Jemputan daripada negara terbabit untuk kita masuk ke sana, sama ada surat jemputan dari saudara mara, surat jemputan untuk menghadiri mesyuarat tertentu ataupun apa-apa agenda, jadi kalau nak travel, research amat penting dan untuk ke India, kita tidak perlukan “Invitation Letter”, boleh ambil borang dan mohon terus di India Visa Centre, dan ada juga negara yang nak tengok bajet kita, kalau bajet tak cukup atau sumber kewangan kita tak cukup untuk menampung kos kita di sana sepanjang berada di sana, maka VISA tidak akan diberikan.

Di pendekkan cerita, yang paling penting sekali ialah “Research”, terutama sekali kepada “Independent Traveler” atau mereka yang mengembara secara sendirian atau berkumpulan tanpa bantuan Agensi Pengembaraan atau “Travel Agency”. Ikut travel agency ni mudah, ada duit bayar dan selebihnya mereka uruskan, takde nak pening kepala tapi tak “Adventure-lah”.

Sebagai permulaan, penerbangan ke New Delhi India memakan masa selama lebih kurang lima  jam, penerbangan tanpa henti. Semasa saya ke India bulan June 2010, AirAsia belum lagi mengadakan penerbangan terus ke New Delhi, jadi trip kami ke New Dehi adalah dengan pesawat MAS.

Oleh kerana ini trip yang pertama ke India, dan untuk mengelakkan kami membuang masa mencari teksi atau pengangkutan ke hotel yang kami pilih, maka sebelum saya pergi saya telah berurusan dengan pihak hotel iaitu Vivek Hotel untuk “Pickup” kami dari Airport. Kami sampai malam waktu itu, lebih kurang jam 9PM lebih macam tu.

Kepada yang baru pertama kali hendak ke India, saya cadangkan untuk ambil “PickUp” servise supaya memudahkan perjalanan anda, dan tidak membuang masa, di Airport ini memang ada menyedakan perkhidmatan teksi, pre-paid teksi sebanyak Rs250 atau Rs350 ke Pahar Ganj kawasan di mana kami memilih untuk menginap tetapi mungkin saudara atau saudari akan ditawarkan untuk menginap di hotel pilihan mereka kerana mereka mendapat komisen sekiranya berjaya membawa anda ke tempat mereka. Boleh juga menggunakan perkhidmatan teksi ni tapi beritahu pada mereka bahawa anda telahpun memilih hotel dan suruh mereka bawa terus ke hotel yang anda pilih.

Cuma nak beritahu kos “PickUp” servis lebih mahal dari kos ambil teksi di airport kerana kita terpaksa bayar kos pengangkutan pergi dan balik dari hotel mereka untuk ambil kita tetapi ini akan melancarkan perjalanan anda. Sebaik sahaja kami keluar dari airpor, saya dah nampak nama saya tertulis pada kertas putih yang agak besar di pegang oleh wakil dari hotel terbabit. Mudah perjalanan. Masa saya ke sana dulu, kami menggunakan terminal yang lama, sekarang ni kalau saudara dan saudari pergi, akan tiba di terminal yang baru dan lebih moden  lagi dari yang sebelumnya.

Perjalanan dari airport ke Pahar Ganj, lokasi di mana kami pilih untuk menginap mengambil masa lebih dari 30 minit dan ini bergantung pada keadaan trafik di sana, New Delhi ni memang agak sesak, tak perlu nak terkejar-kejar pun, hayatilah apa yang ada sepanjang perjalanan dan perjalanan anda akan terasa amat singkat. Jangan terkejut dengar bunyi hon di sana sini, ini adalah perkara biasa dan anda perlu membiasakan telinga anda mendengar alunan hon kenderaan sepanjang berada di bumi India.

Kepada yang bertanya kenapa kami memilih Pahar Ganj sebagai lokasi kami menginap, ianya adalah kerana lokasinya terletak berdekatan dengan Stesen Keretapi New Delhi, dari Hotel kami untuk ke stesen keretapi tersebut hanya mengambil masa lebih kurang lima minit atau lebih sikit untuk ke sana. Tak perlu nak naik kenderaan awam atau Auto Rickshaw untuk ke sana, memudahkan pergerakan kami. Kawasan ini juga terdapat banyak bajet hotel dan menjadi pilihan pengembara dari seluruh pelusok dunia. Tak susah nak jumpa “backpackers” di sini. Hotel yang mengenakan caj RM100 dan ke bawah banyak terdapat di sini, dan sepanjang kami berada di sini, ianya agak selamat, cuma sebelah malam, saya tak galakkan anda keluar pasal memang agak gelap kawasan ini tak macam di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Untuk perjalanan secara berkeretapi di India ni, kita boleh beli tiket dari Malaysia secara online, biasanya sebulan awal pun kita dah boleh beli, dan ianya adalah pilihan yang bijak, takut nanti habis tiket keretapi payah pulak nak bergerak. Alternatif lain memang ada seperti bas dan kereta sewa tetapi tak lengkap perjalanan ke India  sebagai seorang pengembara sekiranya kita tidak merasai pengalaman berkeretapi di sana.

Proses nak beli tiket di Stesen Keretapi New Delhi ni memang agak mencabar, tapi oleh kerana telah membuat sedikit kerja rumah dan dengan tips yang saya dapat dari buku Lonely Planet memudahkan perjalanan saya. Sebaik sahaja kita sampai di perkarangan Stesen Keretapi New Delhi, kita akan di hampiri oleh orang yang ingin membantu kita, tanya kita nak pergi mana, nak beli tiket keretapi ke dan akan cuba untuk membawa anda mengikuti mereka untuk mendapatkan tiket keretapi. Mereka akan dapat komisen sekiranya berjaya membawa pelanggan membeli tiket melalui mereka. Untuk “Tourist” ada kuota tiket keretapi dan ada kaunter khas untuk “Tourist” membeli tiket, kita tak perlu beratur panjang seperti warga India yang lain untuk membeli tiket.

Kaunter tiket untuk “Tourist” terdapat di tingkat satu bangunan utama Stesen Keretapi New Delhi, terus cari tingkat satu dan anda akan jumpa papan tanda “International Tourist Bureau” naik tangga dan anda akan sampai ke kaunter tersebut dan sekiranya ada orang beritahu bahawa kaunter tersebut telahpun di tutup, sedang dinaik taraf atau berpindah ke tempat lain, jangan percaya, sebaliknya cari dulu kaunter tersebut sampai jumpa. Mereka ni semua agen jual tiket atau “ulat tiket” sebagaimana yang ada di Malaysia. Di kaunter ini kita boleh beli tiket untuk perjalanan ke seluruh India, sebagai contoh, kalau kita ingin ke Jaipur, kemudian bermalam selama sehari di sana dan esoknya bercadang meneruskan perjalanan ke Jodhpur atau Udaipur, boleh uruskan tiket anda di sini.

Untuk makluman pembaca semua, walaupun anda membeli tiket di stesen ini, tidak bermakna perjalanan anda bermula di sini, sebagai contoh, saya membeli tiket untuk ke Jodhpur di Rajasthan, saya perlu menaiki keretapi dari stesen keretapi yang terletak di Old Delhi, lebih kurang 20 hingga 30 minit dari Stesen Keretapi New Delhi ini. Sebelum anda meninggalkan kaunter tiket ini, tanya orang di kaunter tersebut ataupun periksa tiket anda dan pastikan di mana anda akan berlepas supaya tidak kelam kabut nanti.

Old Delhi Train Station | India

© 2010 Wazari Wazir | Northern Railway Station | Old Delhi | India

Di stesen keretapi ini ada terdapat kedai makan, di luar bangunan dan juga terdapat McDonald’s di dalam stesen ini pada waktu kami ke sana (2010). Kalau nak ambil gambar di perkarangan stesen ini pun boleh juga kerana terdapat banyak human interest di sekitar bangunan ini, sambil-sambil menunggu waktu keretapi bergerak. Makanan di luar bangunan ini (bangunanyang sama, hujung, sebelah kanan gambar di atas) boleh tahan juga menunya dan boleh dikategorikan agak bersih, cuma keadaan sekitar sibuk dengan orang ramai. Ruang dalam bangunan agak gelap dan mungkin ada yang rasa kurang selesa, ramai yang tidur di dalam bangunan ini tidak seperti di stesen keretapi KL Sentral di Kuala Lumpur.

Perjalanan kami ke Jodhpur, Rajasthan atau lebih di kenali dengan nama “Blue City” mengambil masa selama 12 jam, dan sepanjang perjalanan ini, keretapi ini akan berhenti di pelbagai stesen untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Kami memilih coach berhawa dingin, iaitu 2 Tier dan 3 Tier coach. 2 Tier ni dalam satu ruang ada empat katil, dan 2 katil pada satu ruang, berhadapan antara satu sama lain, manakala yang 3Tier ni adalah 6 katil dalam satu ruang, tiga katil sebelah mengadap 3 katil sebelah lagi. Kalau nak selesa pilih yang 2 Tier ni, ada Aircond dan memang selesa. Memandangkan perjalanan kami sebelah malam, tiada apa sangat yang dapat di lihat di luar jendela kerana keadaan agak gelap. Cuma awal pagi keesokan harinya kalau kita bangun awal pagi barulah kita boleh lihat pelbagai pemandangan menarik sepanjang perjalanan ke Jodhpur.

Untuk pengetahun pembaca semua, kebiasaanya pengembara ke India akan mengambil laluan “Golden Triangle” ataupun “Segitiga Emas” iaitu laluan New Delhi – Jaipur – Agra dan kembali semula ke New Delhi tetapi kami pergi agak jauh dari itu, iaitu laluan ke Jodhpur, melewati Jaipur atau lebih dikenali lagi dengan nama “Pink City” kerana terdapat banyak bangunan berwarna pink di sini. Kepada mereka yang kesuntukan masa dan ingin merasai pengalalam di boleh pilih laluan Segitiga Emas ini, iaitu Delhi – Jaipur dan Agra, lebih singkat berbanding ke Jodhpur.

Di Jodhpur ni, tak susah nak cari bajet hotel. Sebaik sahaja kita keluar sahaja stesen keretapi Jodhpur sebelah kanan pintu keluar dari arah Delhi, di seberang jalan sahaja kita dah boleh nampak hotel-hotel backpackers. Kalau nak walk in pun rasanya bukanah sesuatu perkara yang mustahil. Saya cadangkan untuk anda tinggal di hotel yang berdekatan dengan stesen keretapi ni untuk memudahkan pergerakan anda, lagipun di depan stesen keretapi Jodhpur ni ada terdapat banyak Auto Rickshaw ataupun yang kita panggil “Tuk-Tuk” sedia untuk menawarkan khidmat anda untuk ke mana sahaja.

Di sini kami menginap di Govind Hotel yang terletak berhadapan dengan Pejabat Pos Utama Jodhpur, kami pilih hotel ni berdasarkan recommendation dari buku Lonely Planet, kalau saudara nak cari sendiri pun boleh, banyak bajet hotel sepanjang laluan ini. Kosnya tak mahal, bawah RM100 dan kalau nak selesa lagi boleh dapatkan bilik yang lebih baik. Bilik yang saya pilih hanya ada kipas, agak murah. Kalau aircond mungkin mahal sikit dan bagi seorang backpackers, keselesaan bukanlah perkara utama tetapi semangat untuk merasai pengalaman di negara orang adalah lebih penting, pernah dengar orang kata “Going Out of Your Comfort Zone”. Kalau nak selesa duduk rumah sendiri atau cari hotel lima bintang pilihan pelancong berpoket tebal.

Jodhpur ni juga lebih dikenali dengan nama “Blue City” kerana di salah satu kawasan di Jodhpur ini iaitu tidak jauh dari salah satu tempat pelancongan iaituMehrangarh Fort, di mana terdapat sebuah bandar yang mana kebanyakan dari bangunannya di cat berwarna biru. Kepada sesiapa yang biasa dengan hasil kerja Steve McCurry, pasti nampak gambar-gambar dari Rajasthan yang berlatarbelakangkan bangunan biru dan kebanyakannya adalah di rakam di sini.

Kepada jurufoto yang berminat untuk merakam kehidupan ataupun “human interest” di Blue City ni eloklah kalau tinggal lebih lama di sini. Satu malam memang tak cukup, elaok stay paling kurang 2 malam atau lebih, barulah kita dapat jelajahi tiap pelusuk ruang dan lorong di Blue City ini. Kami cuma tinggal satu malam sahaja di sini dan tak sempat nak merakam kehidupan di Blue City ni, hanya sempat tengok sekali lalu sahaja sewaktu perjalanan kami menuju ke Mehrangarh Fort Mehrangarh Fort

Kepada yang berminat untuk merasai pengalaman “Desert Safari” boleh berurusan dengan pihak hotel, kebanyakan dari mereka ada menyediakan perkhidmatan ini dan biasanya pengembaraan bersama unta di padang pasir Thar mengambil masa selama 2 hingga 3 hari dan kebanyakannya bermula di Jaisalmer. Kami tak sempat untuk merasai pengalaman ini, mungkin di masa akan datang, insyaAllah.

Bercakap tentang makakanan pula, mungkin saudara boleh mencuba “Nasi Briyani Timbang”, kenapa saya namakan Nasi Briyani Timbang? Sebabnya penjual nasi tersebut akan timbang nasi tersebut, di dalam pinggan berserta lauknya sekali. Penjual tersebut menggunakan timbang jenis lama macam logo Barisan Nasional tu. Kedainya kecil sahaja, terletak berhadapan dengan hotel kami, seberang jalan, sebaris dengan kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis kain textile. Kalau berminat boleh cuba. Sebuah restoran juga ada di hadapan hotel kami menginap.

Oleh kerana ini adalah trip kami yang pertama di India, maka kami  tidak bercadang untuk tinggal lama di sini, cukup satu malam sahaja dan keesokan harinya kami meneruskan perjalanan ke Jaipur yang lebih dikenali dengan “Pink City” kerana terdapat banyak bangunan berwarna pink di sini. Tiket untuk ke Jaipur ni kami dah beli siap-siap semasa di New Delhi lagi dan dan kami hanya berjalan kaki dari hotel menuju ke stesen keretapi Jodhpur ni sebab jaraknya amat dekat, kurang 500 meter dari hotel untuk ke stesen keretapi.

Rajasthan | Mehrangarh Fort | Blue City

© 2010 Wazari Wazir | Blue City Terdapat di Bawah Sana | Pemandangan Dari Atas Mehrangarh Fort | Jodhpur Rajasthan

Rajasthan | Jodhpur Railway Station

© 2010 Wazari Wazir | Pemandangan Di Luar Stesen Keretapi Jodhpur | Rajasthan India

*Panjang lagi saya nak tulis ni, tentang kos, tentang hotel, tentang perjalanan berkeretapi, tentang Rajasthan, tentang Taj Mahal, keselamatan dan macam-macam lagi. Saya malas nak buat banyak post, so harap bersabar, just “bookmark” saya akan sambung lagi di ruangan ini, InsyaAllah…


I'm a Photographer and Travel Blogger...

8 Comments

  • Suhaimi

    perkongsian pengalaman backpack yg menarik bang! bercadang jgk backpack ke sana dgn kawan2 nt..InsyAllah..da survey2 tmpat, da bace skit2 da dri skrg..hehe..

  • khalim tasrip

    perkongsian yang menarik. tak sabar nak baca sambungan seterusnya. terima kasih atas perkongsian

  • khalim tasrip

    Perkongsian yang menarik. tak sabar untuk baca sambungan seterusnya. terima kasih atas perkongsian.

  • matjoe

    sambung lagi. nak tgk bagaimana rupa briyani timbang itu. terima kasih atas artikel ini. sy suka jugak adventure2 ni tapi tu la cuma mmpu tgk dan tak tau bila boleh nak backpack ke luar negara

  • yahuza

    minat sangat bos, kalu kawe mengembara ngan anak kawe umur 9 tahun ok tak bos ke india ni…. tima kasih atas perkongsian

  • Wazari Wazir

    @Yahuza, terima kasih singgah sini, rasanya takde problem, cuma kena pandai cari tempat makan yang agak bersih, dan jangan makan sebarangan di kedai tepi2 jalan, Orang di India sana dah biasa, tidak mengapa, untuk kita elok cari kedai yang tertutup, restoran yang agak baik, insyaAllah semua ok, ramai juga Mat Salleh yang saya jumpa bawa family mereka ke India dengan anak kecil…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.