Art,  Emotion,  Family,  Malaysia,  Melayu,  People,  Photojournalism,  Reportage Photography,  Travel

Nostalgia | Memori Di Chenderong Balai Perak

Grandfather House | Abandon Memory | Chenderong Balai | Perak

© 2010 Wazari Wazir | Abandon Memory | Chenderong Balai | Perak

Sukar untuk saya menulis tentang rumah ini, rumah arwah atuk saya yang telah hampir lebih 15 tahun ditinggalkan kosong sejak arwah Atuk meninggalkan kami semua. Semasa arwah Atuk masih ada, hanya arwah Atuk dan Opah saya berdua sahaja yang tinggal di rumah ini, bila arwar atuk meninggal, anak-anaknya bawa Opah tinggal bersama mereka lagipun kawasan ni sunyi, jarak antara satu rumah dengan rumah ang lain agak jauh, kalau ada apa-apa terjadi susah, dan oleh sebab itu, makcik dan pakcik saya berpakat untuk gilir-gilir menjaga Opah saya yang masih lagi sihat hingga ke hari ini (semasa blog ini ditulis) cuma ingatannya agak kurang.

Ini adalah rumah Arwah Atuk saya yang ketiga, berdasarkan cerita sedara mara la. Rumah yang pertama di dalam hutan, di mana saya dilahirkan, saya tak ingat tempat tu dan rumah kedua, keluar sikit dari hutan tak jauh dari sebatang sungai dan tidak jauh dari jalan besar, yang satu ketika dahulu dihubungkan dengan Feri sebelum ada jambatan, kalau orang lama Chenderong Balai yang biasa berulang ke Kampung Gajah atau Pasir Salak melaui Chenderong Balai pasti ingat akan Feri tersebut. Ingatan saya tentang Feri tersebut agak kabur, ingat-ingat lupa, banyak lupa dari ingat sebenarnya tapi seingat saya, saya pernah menaiki Feri tersebut. Feri kecil sahaja, hanya mampu untuk membawa orang dan kenderaan kecil ke seberang.

Untuk pengetahuan semua, saya bukan dilahirkan di rumah ini tetapi di sebuah kawasan yang agak terpencil di pedalaman, sebelum Arwah Atuk berpindah ke rumah baru berdekatan dengan sebatang sungai dan selepas itu barulah berpindah ke rumah ini yang kini hanya tinggal rumah tanpa penghuni.

Salah satu sebab kenapa mereka berpindah adalah faktor keselamatan, dirumah lama dulu tu, ramai yang dah berpindah, dah tiada jiran, kalau menjerit pun tiada siapa yang akan dengar suara kita, mungkin unggas di rimba yang boleh mendengar laungan kita tanpa boleh berbuat apa-apa. Alangkah bagusnya sekiranya saya memiliki kamera pada waktu itu, tak kisahlah kamera jenis apapun, biarlah kamera buatan cina yang paling murah sekalipun asalkan boleh merakam gambar, terlalu banyak kenangan indah di rumah kecil yang tiada bekalan elektrik ataupun air, hanya berbekalkan lampu pelita minyak tanah dan lampu “gasoline” untuk menerangi suasana. Boleh dikatakan agak daif pada waktu itu. Sumber bekalan air, hanyalah dari perigi di belakang rumah.

Di waktu kecil sempat juga saya merasa mandi di sungai, bukan kerana suka-suka tetapi kerana itulah kebiasaanya, sama ada mandi di sungai ataupun mandi di perigi. Kalau waktu banjir, kawasan rumah akan dinaiki air tetapi oleh kerana rumah kampung agak tinggi kedudukannya maka air hanya sampai ke paras lantai rumah sahaja, kira tinggi juga la air banjir tu pasal jarak antara lantai rumah dengan tanah ialah lebih kurang lima kaki tingginya. Masa banjir tu, di zaman kanak-kanak memang seronok pasal boleh memancing ikan dari dalam rumah, dari dalam bilik tidur, dari dapur, dari mana-mana sahaja di dalam rumah asalkan boleh dicampakkan mata kail keluar, mana taknya, rumah dikelilingi dengan air. Masa tu ikan yang senang untuk dipancing ialah ikan haruan, ikan puyu dan sekali sekala ikan lampam yang bersais sederhana. Tak payah susah-susah pergi ke pasar, lagipun memang susah nak ke pasar pasal jauh dari rumah.

Once Upon A Time...

© 1994/1995 Wazari Wazir | A Memory | At My Grandfather House

Dalam gambar di atas ni yang memegang adik kecil di depan tu, telahpun berkahwin, berdiri di bahagian depan sebelah kiri gambar adalah Opah saya manakala yang berdiri di sebelah kanan bahagian depan gambar ni, ialah Arwah Makcik Saya yang baru meninggal semasa kami singgah di rumah Arwah Atuk ini.. Anak Kecil di depan tu pun dah jadi orang bujang sekarang ni.

Saya bukanlah dibesarkan di Perak, bukan dibesarkan di rumah ini tetapi saya dibesarkan di Kuala Lumpur, mengenal A,B,C dari darjah satu di Kuala Lumpur, jadi tidak banyak sangat maklumat tentang Chenderong Balai yang saya tahu. Rumah Arwah Atuk yang terbaru ini, yang di dalam gambar ini terletak betul-betul di hujung kampung, memang tiada rumah lagi selepas rumah ini. Di hadapan rumah ini ada sebatang jalan dan berhadapan rumah ini ada lagi la rumah lain tetapi lokasi rumah ini memang di hujung kampung, jalan mati, kalau pergi ke depan lagi ada sungai, tapi bukan sungai seperti rumah Atuk sebelumnya. Orang tak mandi di sungai ini. Di belakang rumah ini pula terdapat sawah padi luas terbentang tetapi bukanlah sawah padi kepunyaan keluarga kami atau Arwah Atuk saya, entah milik siapa saya pun tak tahu dan saya sendiri pun tak pernah nak ambil tahu.

Biasanya setiap kali Hari Raya, menjadi kewajipan atau tradisi kami untuk bergambar di hadapn rumah ini, dulu yang dalam gambar ni masih budak-budak lagi, masih hingusan lagi orang kata, sekarang ni dah ada yang bakal bergelar ibu dan ayah dan bakal menjadi atuk dan nenek. Begitu pantas masa berlalu dan hanya melaui gambar sahaja, mampu kita mengingat kembali masa silam dengan agak jelas.

Kami tiba di sini bukan semata-mata kerana ingin bergambar di sini tetapi gambar ini dirakam sewaktu saya menghadiri pengkebumian Arwah makcik saya, kakak kepada ibu saya yang meninggal di Hospital Teluk Intan dan jenazahnya di semadikan di Taph peak di mana mereka tinggal. Tanah perkuburan Islam terletak tidak jauh dari pekan kecil Tapah dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami ambil keputusan untuk singgah sebentar di sini, ambil gambar kenagan, ada yang tidak pernah sampai ke sini seperti isteri saya dan HaiQal yang tak pernah sampai ke sini, begitu juga dengan menantu (Memegang Payung Bendera Malaysia) kepada pakcik saya yang berbaju kuning itu, juga tidak pernah sampai ke sini.

Abandon Memory | My Mother With Hidden Treasure

© 2010 Wazari Wazir | My Mother With Abandon Treasure

Sebelum kami meninggalkan rumah ini, sempat juga Ibu saya mengambil sedikit barang perkakasan dapur yang tinggal untuk di bawa ke rumah, ke Kuala Lumpur. Banyak kenangannya pada cawan dan pinggan mangkuk tersebut. Bukanlah tujuan untuk digunakan sangat pun tapi lebih kepada menyimpan secebis kenangan yang masih tersisa.

Abandon Memory | Leaving The Past Behind

© 2010 Wazari Wazir | Leaving The Past Behind

Memang rasa sedih dan sayu nak tinggalkan rumah ini, tetapi apakan daya, nak datang selalu, masing-masing sibuk, ramai yang duduk di Kuala Lumpur, ada yang di Pulau Pinang, ada juga yang tinggal di Ipoh tapi manalah larat nak menjaga rumah ini selalu dan biasanya kalau rumah tinggal, beginilah keadannya, uzur, hanya menanti masa untuk menyembah bumi.

Sebelum ini saya pernah singgah ke sini, semasa balik dari tugasan di Seri Iskandar, masa tu boleh lagi naik ke atas rumah ini tetapi sekarang ni dah tak boleh lagi, lantai rumah dah agak reput, tak berani saya nak naik, cukuplah ambil gambar dari luar rumah sahaja. Panjang lagi kalau saya nak tulis tapi cukuplah untuk masa ini, tentang gambar dalam rumah tu, you all boleh singgah di Flickr Set  saya bertajuk Abandon Memory

Get The Secret HERE

I'm a Photographer and Travel Blogger...

5 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.