India | Catatan Perjalanan VI
© 2010 Wazari Wazir | Old Delhi Train Station | India | Travel Photography
Kembali meneruskan kisah pengembaraan kami di India. Jangan marah yer kalau agak slow menulis kisah perjalanan kami ni, bukannya apa agak sibuk, kalau ada masa pun tak boleh nak tumpukan perhatian. Kepada yang telah mengikuti siri catatan perjalanan saya pasti ingin mengetahui kisah selanjutnya. Sebelum ini saya bercerita tentang pengalaman kami membeli tiket keretapi di International Travel Bureau di Stesen Keretapi New Delhi dan bagaimana kami hampir ditipu oleh agen penjual tiket di sana dan Syukur Alhamdulillah dengan bantuan buku Lonely Planet kami telahpun menjangkakan perkara sedemikain akan berlaku. Yang penting kini tiket sudah di tangan.
Kami membeli tiket keretapi di Stesen Keretapi New Delhi tetapi kami perlu mendapatkan keretapi tersebut di Stesen Keretapi Old Delhi, sepertimana dalam gambar yang saya kongsikan di atas. Lokasi Stesen Keretapi Old Delhi adalah lebih kurang setengah jam dengan menaiki Autorickshaw dari New Delhi atau Pahar Ganj tempat kami tinggal.
Kami berada di stesen ini lebih awal, lebih kurang jam 5:30 P.M kami telah sedia ada di sini walaupun keretapi kami hanya akan bergerak pada jam 8:30 P.M. Untuk mengelakkan dari ketinggalan keretapi, kami bersepakat untuk datang lebih awal, kerana keadaan trafik di India di luar jangka. Lebih baik kami menunggu lama daripada terlepas keretapi.
Nama keretapi kami ialah Mandore Express, seperti di Malaysia juga ada macam-macam nama keretapi seperti Express Wau dan Express Langkawi. Tempoh masa perjalanan adalah selama 12 jam. Ini bermakna kami akan sampai di Jodhpur atau Blue City pada jam 8:30 A.M keesokan harinya. Tak banyak aktiviti yang kami lakukan di sini selain mengisi peut kami yang kosong.
Ada sebuah restoran makanan di stesen ini. Kalau dilihat di dalam gambar di atas, di sebelah kanan tu adalah restoran makanan, banyak jugak jenis makanan di sini. Kami memilih jenis sayuran sahaja kerana was-was dengan makanan yang berdaging.
Stesen keretapi Old Delhi ini memang agak sibuk dengan pelbagai aktiviti, lebih kurang sama dengan di K.L Sentral cuma keadaan di sini lebih happening walaupun keadaan di K.L Sentral lebih bersih dan selesa.
Setelah bosan duduk di luar dan keadaan juga hampir gelap maka kami mengambil keputusan untuk masuk ke dalam stesen keretapi tersebut, rupanya di dalam stesen ini ada sebuah lagi restoran makanan segera, ada McDonalds, oleh kerana masih lagi lapar kami mengambil keputusan untuk makan sekali lagi di restoran McDonalds tersebut.
Kami hanya order French Fries dan air bergas sahaja, untuk mengalas perut sepanjang perjalanan kami nanti. Apa yang kami perhatikan tidak ramai orang dalam restoran McDonalds ini. Restorannya bersih dan selesa.
Bila boring, kami merayau-rayau di dalam stesen ini, tak banyak sangat yang boleh dilihat, nak ambil gambar pun tak berani sangat pasal ramai sangat orang dalam stesen ni, kerusi tak banyak disediakan, oleh itu ramai daripada mereka yang sedang menunggu keretapi mengambil keputusan untuk bersantai di lantai ataupun tidur di lantai. Ada juga kedai-kedai yang menjual pelbagai makanan ringan serta air minuman di sini cuma kita tidak mempunyai banyak pilihan sebab kedai tak banyak.
Kalau kita ada kamera yang boleh Push ISO tinggi seperti Nikon D700, D3 atau Canon 5D Mark II, memang layan ambil gambar kat sini pasal keadaan di sini happening, memang sebijik macam dalam filem Hindustan. Kepada mereka yang bercadang untuk travel, saya cadangkan untuk beli kamera yang boleh push ISO tinggi tapi still maintain Low Noise, banyak gambar kita boleh rakam tanpa menarik perhatian orang.
Bukan tak boleh guna Flash tapi ini akan menarik tumpuan orang pada kita. Kalau boleh kita nak travel secara senyap tanpa menarik perhatian sesiapa, ambil gambar tanpa disedari orang.
© 2010 Wazari Wazir | Train Travel India
© 2010 Wazari Wazir | Keadaan Dalam Coach AC 2-Tier
Oleh kerana perjalanan di waktu malam maka tak banyak yang hendak dirakamkan, lagipun kami risaukan tentang keselamatan kamera kami, oleh itu, kami tidak mengelaurkan kamera kami dari dalam beg. Setelah lebih kurang sejam lebih keretapi berjalan maka saya mengambil keputusan untuk tidur sahaja kerana tiada apa yang boleh dilihat diluar, gelap.
Coach atau gerabak yang kami naiki ialah AC-2 tier, AC tu bermakna gerabak kami ada Air Cond. 2 Tier tu bermakna ada 2 katil di bahagian “compartment” atau ruang di satu bahagian dan di bahagian yang lain juga ada 2 katil. Maknanya ada empat katil dalam satu “compartment” atau ruang. Saudara atau saudari boleh melihat gambar di atas untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Gambar di atas saya rakamkan semasa perjalanan dari Jodhpur ke Jaipur dan bukannya dari Old Delhi ke Jodhpur tetapi keadaanya adalah sama seperti di dalam gerabak keretapi Mandore Express yang membawa kami ke Jodhpur.
Di dalam ruangan atau “compartment” ini ada dua lagi katil di sebelah sisi, kalau merujuk kepada gambar di atas, di mana sahabat saya Fuad dan Waja sedang minum air, itulah maksud saya dua katil di bahagian sisi, dibahagian atas itu ada satu lagi katil, kedua ruangan ini hanya dipisahkan oleh kain atau tirai sahaja.
Kalau kita nak travel dalam satu group, AC 2-tier ini sangat sesuai untuk memudahkan perbincangan boleh travel dalam group empat atau enam orang, jadi kita tak bercampur dengan orang lain, tetapi ada juga bagusnya kita bercampur dengan orang lain, setidak-tidaknya kita boleh mengenali orang tempatan dan itulah dia sebenarnya keseronokan mengembara, bukan setakat melihat tempat menarik tetapi juga meramaikan kenalan.
Untuk pengetahuan semua, semasa perjalanan kami ke Jodhpur, bukan semua di antara kami dapat ruangan AC 2-Tier ini, sahabat saya Azman, Waja dan Fuad berada di ruangan yang agak sempit iaitu AC 3-Tier. Bermakna ada 3 katil atau “bunk” di satu ruang ( 6 Katil satu “Bilik” ) .
Kalau gambar di atas adalah 2-Tier, kalau yang jenis 3-Tier ni tambah satu lagi katil di bahagian tengah, jadi rakan-rakan semua boleh bayangkan keadaannya. Kalau tidur diruangan 3-Tier ni memang tak boleh duduk macam dalam gambar di atas tu pasal ruang kepala yang terhad. Kalau ingin melihat lebih jelas lagi bagaimana keadaan keretapi di India, sahabat semua boleh singgah di SEAT61
Terus terang saya katakan walaupun keadaan dalam gerabak ini nampak macam tak selesa tapi saya tidur dengan nyenyak sepanjang perjalanan dan hanya terjaga bila matahari mula menampakkan cahayanya. Saya tidur di katil bahagian atas sekali, Azmi di bawah saya dan beg saya serta Azmi diletak dibawah katil tersebut, kamera saya semua di dalam backpack saya dan ianya berkunci.
Kita selalu mendengar banyak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap keretapi di India ni. Selalu jugak kena bom dan seringkali juga terlibat dalam kemalangan yang amat ngeri. Segalanya kami serahkan pada Yang Maha Kuasa, kami hanya mampu bertawakkal sepanjang perjalanan.
© 2010 Wazari Wazir | Antara Pemandangan Yang Boleh Kita Lihat Sepanjang Perjalanan Ke Jodhpur dari Delhi
Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan yang cukup menarik, bentuk muka bumi di Rajasthan ni agak rata, tandus dan sekali sekala nampak macam padang pasir, mungkin kami ada melewati padang pasir pada sebelah malam tapi tidak kelihatan pasal gelap.
Banyak yang boleh dirakam tapi oleh kerana keretapi bergerak pantas maka tak banyak yang sempat saya rakamkan tambahan pula saya malas nak tukar lens, saya cuma membawa dua lensa sahaja iaitu 50mm dan 10-20mm, kebanyakan gambar sepanjang perjalanan dengan train ini elok dirakam menggunakan lensa 70-200mm kerana kebanyakan subjek yang menarik agak jauh kedudukannya dari landasan keretapi.
Sesekali terbayang kisah-kisah Zaman Nabi yang pernah kita baca satu ketika dahulu, bagaimana kehidupan para Badwi satu ketika dahulu, dengan hidup sebagai gembala kambing, memang kami nampak semua itu di sini.
Tak susah untuk melihat seorang tua atau anak muda yang masih kecil mengembala kambing di sepanjang perjalanan ini. Terasa seperti melihat siaran National Geographic secara live di depan mata. Tidak banyak bandar-bandar besar yang kami lalui, hanya pekan-pekan kecil sahaja di sepanjang perjalanan dan jarak dari satu rumah ke satu rumah agak jauh.
Catatan Perjalanan I | Catatan Perjalanan II | Catatan Perjalanan III | Catatan Perjalanan IV | Catatan Perjalanan V
Get The Secret HERE
2 Comments
Pingback:
Pingback: