India | Catatan Perjalanan IV
© 2010 Wazari Wazir | New Delhi | Pahar Ganj | Main Bazaar
© 2010 Wazari Wazir | New Delhi | Pahar Ganj | Vivek Hotel | We Stay In This Hotel
© 2010 Wazari Wazir | New Delhi | Pahar Ganj | In front of Vivek Hotel
© 2010 Wazari Wazir | New Delhi | Pahar Ganj | Main Bazaar | Road Leading To Our Hotel ( Vivek )
Saya teruskan lagi kisah catatan perjalanan saya ke India, kali ini saya ingin memendekkan sedikit cerita, kalau panjang sangat menulis, tahun depan pun rasanya tak habis. Untuk pengetahuan semua kami jarang mengadakan sesi TT, ataupun berbincang tentang perjalanan kami secara bersua muka, cuma saya Fuad dan Azmi sahaja yang selalu berjumpa kerana kami bekerja di bawah satu bumbung, manakala Azman berada di Kota Kinabau Sabah dan Waja pula bekerja di tempat lain, saya pulak jenis yang agak malas untuk keluar rumah, jadi kebanyakan sesi perbincangan kami hanyalah melaui online, Facebook terutamanya.
Waja seringkali juga menelifon saya, bertanya bila nak jumpa, bila nak TT, saya kata nanti-nantilah, memang saya jenis malas nak keluar sebenarnya dan ada satu ketika Waja rasa macam kita orang tak jadi nak pergi, tiket dah beli tapi tiada sebarang sesi perbincangan, tetapi sebenarnya saya sibuk membuat “kerja rumah”, booking hotel melalui online, merancang laluan perjalanan dan sebagainya.
Saya book VIVEK HOTEL secara online, mereka tidak mengenakan sebarang bayaran untuk booking, jadi berdasarkan panduan dari buku Lonely Planet dan setelah melihat laman Web Vivek Hotel maka kami bersetuju untuk menginap di Hotel tersebut, harganya pun boleh tahan, hanya dalam Rs600 hingga Rs800, kurang RM100 kalau dalam Ringgit Malaysia, kami menempah dua bilik dan kos dua bilik tu dicampurkan dan dibahagi lima orang. Tidaklah membebankan sangat.
Masa kami tempah Vivek hotel tu hanya gambaran dalaman sahaja yang kami nampak, luarannya tak nampak, kalau kami tahu, luarannya seperti yang saya rakamkan di atas, ada kemungkinan kami memilih hotel lain kerana nampak macam kurang selesa sahaja keadaanya, tetapi kerana terpesona dengan gambar di laman web Vivek maka kami book hotel tersebut dan kami minta pihak hotel menyediakan perkidmatan “Pick Up” untuk mengambil kami di Airport nanti.
Flight kami dari Malaysia adalah dengan menggunakan pesawat MAS, Malaysia Airlines System, kerana pada masa kami book tiket ke New Delhi, pihak Air Asia belum lagi memperkenalkan laluan secara langsung ke New Delhi. Hanya pada bulan Jun tahun ini, barulah Air Asia menyediakan perkhidmatan penerbangan secara terus ke New Delhi dari LCCT. Pesawat berlepas pada jam 6:50 P.M waktu tempatan di Kuala Lumpur dan mengambil masa selama lima jam untuk sampai ke New Delhi.
Penerbangan di waktu malam, jadi tida apa yang hendak dilihat sepanjang perjalanan melainkan bersembang bersama teman-teman, pesawat boleh dikatakan penuh “Full House”, dan yang lebih menarik lagi, susah untuk melihat orang Melayu yang lain di dalam kapal terbang melainkan kumpulan kami serta pramugari yang bertugas, selain daripada itu adalah orang India, samada India Malaysia ataupun orang yang memang berasal dari India, nampak. Mungkin juga ramai rakyat Malaysia yang berbangsa India ingin ke sana atas tujuan melancong dan sebagainya.
Dipendekkan cerita lagi, Alhamdulillah kami tiba di India setelah lima jam dalam penerbangan, beza waktu antara Malaysia dan India adalah dua jam setengah, mereka lewat dua jam setengah dari kita. Lebih kurang jam 10:00 P.M waktu tempatan di New Delhi kami selamat tiba di Indira Gandhi International Airport New Delhi, keadaan Airportnya tidaklah sehebat Airport di KLIA, rasanya cantik lagi LCCT. Tak banyak sangat kedai-kedai seperti di KLIA, proses kemasukan agak mudah, tiada masalah cuma kami ditahan seketika oleh seorang wanita berusia dalam tiga puluhan sewaktu hendak keluar dari Airport. Dia bertanya apa yang ada dalam beg kami maka, saya menjawab hanya ada pakaian dan bertanyakan apa tujuan kami dan ke mana arah kami hendak tuju.
Mugkin dia nampak bag pack kami agak pelik kerana kesemua bag kami dibaluti oleh plastik, kami menggunakan perkhidmatan “Bag Wrap” yang ada di KLIA tu untuk “seal” kan bag kami, bukannya apa, takut ada orang masukkan atau keluarkan sesuatu dari bag kami, jadi kami ambil keputusan untuk balut bag kami dengan plastik tersebut. Alhamdulillah setelah berpas hati dengan jawapan kami, maka kami pun dilepaskan dengan senyuman, “Have a Nice Day” oleh wanita berkenaan, mungkin dia salah seorang pegawai Imigreasan yang bertugas, rasa cuak sikit tu memang adalah, tapi itulah sedikit pengalaman yang terpaksa kita tempuhi bilamana ingin memasuki negara orang. Saya cuma bagitau yang kami akan ke New Delhi dan Agra sahaja dan tidak menyebut Rajasthan, Agra dan Taj Mahal itu adalah perkara biasa bagi mereka, dan jawapan itu adalah yang paling mudah untuk diberikan.
Setelah keluar dari pintu utama Airport tersebut, mata saya meliar mencari-cari orang dari Hotel Vivek yang menjemput kami, di luar Airport terdapat ramai orang yang memegang kad berwarna putih bersaiz lebih besar sikit dari A4 dengan tertera nama orang serta nama hotel, saya pun sibuklah mencari kad yang tertera nama saya dan nama hotel yang kami pilih. Sekiranya mereka tak datang pun tak jadi hal sangat, kami akan memilih teksi untuk ke Hotel tersebut tetapi kalau ada orang yang menjemput kami sebagaimana yang telah dipersetujui sewaktu tempahan dilakukan, alangkah bagusnya.
Cari punya cari, Alhamdulillah, akhirnya saya nampak seorang lelaki India memegang kad berwarna putih yang tertera nama saya serta nama hotel, maka saya pun melambaikan tangan kepadanya dan terus mengikutinya keluar dari Airport untuk mendapatkan keretanya. Walaupun waktu memghampiri jam 11:00 P.M di New Delhi, bahang kepanasan cukup terasa, macam duduk ditepi unggun api pun ada rasanya cuma yang saya kurang tahan sikit adalah “bau-bauan” yang kurang enak yang mencucuk lubang hidung. Rasa macam nak lemas, ternyata udara di Kuala Lumpur adalh lebih bersih dari di New Delhi.
Rasa sangsi jugak bila ikut lelaki tersebut melaui kawasan lorong seperti terowong untuk mendapatkan keretanya, maklumlah, tak biasa, dalam hati tertanya mana la, mamat ni nak bawak aku, untuk menyedapkan hati, bersembanglah sikit dengan dia, tanya berapa jauh jarak Airport ke Hotel dan juga bertanyakan tentang cuaca panas di India. Kurang lima minit berjalan kaki kami tiba di kawasan di mana terdapat banyak kereta dan teksi, sekitar kawasan ni agak gelap, yang terang cumalah “Airport Baru” ataupun Terminal Baru Airport di New Delhi, Terminal Baru mula beroperasi pada bulan Julai 2010, ini kerana mereka akan menjadi Negara tuan rumah Sukan Komanwel 2010 pada bulan Oktober nanti. Jadi kalau kami datang di lain kali, maka, di terminal barulah kami akan turun, nampak gaya Terminal baru lebih canggih dan moden berbanding dengan terminal yang lama.
Gambar di Rakam Oleh Pemandu Teksi di Luar Indira Gandhi International Airport New Delhi
Untuk gambaran yang lebih jelas boleh rujuk pada gambar di atas, gambar ni dirakamkan menggunakan kamera kompak oleh pemandu teksi, sementara menunggu ketibaan sebuah lagi teksi. Saya telah menempah dua buah kereta untuk pick up, tapi entah kenapa hanya sebuah yang di hantar, mungkin kerana pihak hotel menjangkakan teksi ataupun van yang disediakan tersebut cukup untuk kami berlima tapi saiz van tersebut agak kecil untuk kami berlima, bila kami masukkan semua bag pack kedalam teksi tersebut, maka ruangnya menjadi sempit, kami terpaksa menunggu hampir setengah jam untuk teksi yang lagi satu sampai. Kalau dilihat perbandingan gambar, saiz kereta di sebelah kiri tu lebih besar dari saiz van tersebut.
Kalau diperhatikan dalam gambar di belakang kami ada bangunan moden yang agak panjang, cantik bercahaya, itulah dia terminal baru yang akan beroperasi bulan Julai nanti, kami tiba di sini pada 10 Jun 2010, dan dapat diperhatikan dalam gambar keadaan persekitaran di ruang menunggu teksi tempat kami berdiri agak gelap dan panas berbahang. Perjalanan dari Airport ke Vivek Hotel di Pahar Ganj mengambil masa selama lebih kurang 45 minit.
Catatan Perjalanan I | Catatan Perjalanan II | Catatan Perjalanan III
English Version is HERE
Get The Secret HERE
3 Comments
Rismarizal Idris
Permandangan yang biasa saya lihat di Pakistan….tidak banyak sangat bezanya….
Pingback:
Pingback: