Mengejar “Ghost Train” Di Kuala Krai Kelantan | Bahagian 2
Mengapa “Ghost Train”? Ianya hanyalah sekadar gelaran yang saya rasa sesuai untuk keadaan semasa saya merakam gambar ini. Keretapi kelantan Shuttle yang berlepas dari Stesen Keretapi tumpat pada jam 4:20AM yang muncul di balik kabus tebal pagi di Kuala Gris ini seolah-olah seperti keretapi hantu, tiba-tiba muncul sahaja membelah kabus pagi yang tebal.
Kuala Krai boleh dikatakan antara kawasan paling sejuk di Semenanjung Malaysia selain di Cameron Highlands sewaktu Tiupan Angin Sejuk dari Tanah Besar China Februari lalu. Jadi suasana yang berkabus bukanlah asing di Daerah Kuala Krai ini.
Cuma satu ketika dahulu keretapi shuttle ini tiba di Kuala Gris lebih awal lagi daripada waktu sekarang. Dahulu kereta api shuttle bergerak seawal jam 3:00AM dari Tumpat dan tiba di Kuala Gris sekitar jam 6:00AM, masih gelap lagi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jadualnya sudah berubah dan keretapi ini tiba di Kuala Gris sekitar jam 7:10AM atau 7:15AM dari Tumpat Kelantan.
Saya ke Kuala Gris kerana ingin merasa pengalaman menaiki kereta api awal pagi ini bersama pelajar-pelajar sekolah ini. Saya boleh tunggu sahaja mereka tiba di Stesen Keretapi Dabong sekitar jam 7:30AM tetapi saya memilih untuk bersama mereka di Kuala Gris.
Selepas sahaja selesai solat Subuh di Masjid Mukim Kuala Gris, saya mengikuti adik Muhammad Redzuan yang solat sekali di masjid yang sama berjalan kaki ke Stesen Kuala Gris ini. Sewaktu tiba di Stesen Kuala Gris ini yang hanya mempunyai dua buah pondok menunggu, belum ada pelajar sekolah lain lagi.
Keadaan masih gelap dan sunyi, cuma selang beberapa minit selepas itu barulah kelihatan kelibat seorang demi seorang pelajar sekolah tiba yang mana boleh dikatakan rata-rata dari mereka tiba dengan berjalan kaki, hanya ada 2,3 orang sahaja pelajar yang dihantar oleh keluarga mereka sama ada ibu atau ayah mereka dengan menggunakan motosikal.
Kesemua pelajar yang menaiki kereta api ini adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, kerana di Kuala Geris hanya ada sekolah rendah sahaja, selain itu, kereta api ini juga membawa pelajar-pelajar dari Stesen Ulu Temiang, Slow Pak Long dan juga Bukit Abu.
Kebanyakan penduduk tempatan terutamanya pelajar-pelajar sekolah di kawasan ini sangat bergantung kepada perkhidmatan kereta api ini untuk ke sekolah. Kepada yang bertanya, apakah tiada jalan darat untuk ke Sekolah Menegah Kebangsaan Dabong? Jawapannya memang ada tetapi agak jauh dan gelap sunyi terutamanya awal pagi.
Lebih mudah lagi untuk pelajar-pelajar ini menaiki kereta api ini untuk ke sekolah yang mana ibu bapa tidak perlu berulang alik sejauh lebih 15 KM dari Kuala Gris ke Dabong semata-mata untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan menjemput pula mereka sebelah petangnya. Jarak antara Sekolah mereka dengan Stesen Kereta Api Dabong hanya sekitar 100 hingga 150 meter sahaja, dan sebelah petangnya pula ada kereta api shuttle yang menanti mereka sekitar jam 2:30PM untuk membawa mereka pulang semula.
Sekadar maklumat, untuk jarak perjalanan sekitar 15KM dengan masa perjalanan lebih kurang 20 minit, tambang yang dikenakan hanyalah RM1 sahaja sehala dari Kuala Gris ke Dabong. Untuk perjalanan dari Wakaf Bharu ke Kuala Gris yang memakan masa selama 3 jam, tambang yang dikenakan hanyalah RM5 sahaja.
Bagaimanakah keadaan suasana sewaktu pelajar-pelajar ini tiba di Stesen Keretapi Dabong, boleh klik di sini Mengejar GHOST TRAIN | Bahagian III
*Artikel Berkaitan : Mengejar GHOST TRAIN | Bahagian I
*Kepada yang berminat hendak dengar secebis pengalaman saya semasa di Russia, boleh dapatkan buku Travelog 7 Benua. Klik pada banner di bawah ini untuk maklumat lanjut…
2 Comments
syahirah
Nice photos. Ni kampung sy. Dulu ni la rutin tiap hari nak pergi sekolah❤
Rais
Gambar yang cantik, tapi sayang kelihatan tidak bersih dan sampah merata rata, masyarakat perlu di pupuk untuk menjaga kebersihan di kala masih remaja.