Art,  Family,  Travel

Bercuti Bersama Keluarga Ke Bali | Tegalalang Rice Terrace | Ubud

© 2014 Wazari Wazir | Tegalalang Terrace Rice Field | Bali | Indonesia
© 2014 Wazari Wazir | Bali Map | Indonesia
© 2014 Wazari Wazir | Tegalalang Terrace Rice Field | Bali | Indonesia
© 2014 Wazari Wazir | Tegalalang Terrace Rice Field | Bali | Indonesia
© 2014 Wazari Wazir | Tegalalang Terrace Rice Field | Bali | Indonesia

Pada kebiasaanya pengunjung ke Bali terutamanya dari Malaysia menghabiskan masa antara tiga hingga empat hari sahaja berkunjung ke sini, dengan anggapan bahawa dengan jumlah hari tersebut sudah cukup untuk melawat hampir kesemua tempat-tempat menarik di Bali, hakikatnya tidak begitu. Mungkin ada yang tahu ataupun tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, keluasan Pulau Bali adalah hampir tiga kali ganda keluasan Pulau Langkawi di Malaysia. Keluasan Pulau Bali ialah 2,232 sq miles (5,780 km²) dan Pulau Langkawi pula ialah 184.7 sq miles (478.5 km²).

Pada mulanya saya menyangkakan Pulau Bali ni lebih kurang Pulau Langkawi, ternyata saya silap, perjalanan dari Lapangan Terbang di Ngurah Rai ke penginapan kami di Ubud mengambil masa lebih satu jam setengah berbanding jarak antara Lapangan Terbang Langkawi ke Kuah yang mungkin ambil masa kurang satu jam. Ubud terletak bukan di utara Bali tetapi di pertengahan Pulau Bali, cuba bayangkan pula masa yang perlu diambil untuk ke utara pulau tersebut.

Maksudnya sekiranya kita hanya ada masa dalam tiga atau empat hari sahaja di Bali, kita perlu pastikan destinasi percutian atau tempat-tempat menarik manakah yang ingin kita kunjungi, memang amat mustahil untuk mengunjungi kesemua tempat-tempat menarik yang ada di Pulau Bali ini dengan lawatan yang singkat kerana keluasannya.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan di Bali ini ialah sawah padi bertingkat di Tegalalang (Tegalalang Rice Terrace) yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Ubud. Sekiranya kita tinggal di Kuta, perjalanan ke Tegalalang akan ambil masa hampir satu jam atau mungkin lebih tengok keadaan jalan raya manakala sekiranya kita tinggal di Ubud, ianya hanya akan mengambil masa kurang dua puluh minit sahaja.

Sebelum kami sampai ke Tegalalang ini, saya bayangkan bahawa sawah padi ini terletak di kawasan pedalaman Bali, maksud saya mungkin perlu masuk jauh ke dalam kampung-kampung barulah jumpa sawah padi ini tetapi sebenarnya ia terletak di pinggir jalan utama menuju ke Kintamani yang mana terletak Gunung Batur di sana.

Kawasan sawah padi ini bukanlah seluas yang saya bayangkan, “compact in size” kecil dan padat tetapi unik dan cantik cuma saya tidak dapat hendak meluangkan masa yang lama di sini kerana anak-anak cepat bosan, maklumlah bukannya ada permainan apa-apa di sini, lagipun ada lagi tempat-tempat lain yang ingin kami kunjungi selepas ini.

Saya bayangkan sekiranya ingin puaskan hati mengambil gambar di sini, saya harus luangkan masa, paling kurang pun dua jam untuk turun naik dan berjalan-jalan di lereng-lereng sawah padi tersebut. Itu tak termasuk lagi menunggu moment-moment yang menarik, dah tentu ambil masa yang lama lagi. Secara purata, kami hanya singgah di sini lebih kurang setengah jam sahaja.

Di sebelah tempat parking kenderaan, sebelum kita turun ke sawah padi ini, terdapat banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai cenderahati, tak ketinggalan juga warung-warung kopi sekiranya kita ingin berehat atau makan di sini sambil menikmati pemandangan sawah padi bertingkat ini.

Di Bali ini memang banyak sawah padi bertingkat, cuma bezanya ada yang agak tinggi dan rendah sahaja, cuma yang sering dipromosikan ialah Tegalalang ini, mungkin kerana mudah untuk dihubungi dengan jalan raya termasuk dengan menggunakan pengangkutan awam selain kenderaan persendirian yang kita sewa.

Selain Tegalalang, sawah padi bertingkat yang tidak kurang popular di Pulau Bali ialah Sawah Padi Bertingkat Jatiluwih yang terletak di Tabanan. Lokasinya agak jauh, sekiranya kita datang dari Ubud atau Kuta akan ambil masa lebih satu jam atau mungkin dua jam untuk sampai, nampak di dalam peta macam dekat dengan Ubud tetapi laluan untuk ke sana, lebih kurang sama jaraknya denga dari arah Kuta.

Semasa kami di Bedugul setelah melawat Pura Ulun Danau Beratan, ada kesempatan untuk kami singgah sekejap di Jatiluwih tetapi memandangkan anak-anak dah tidur lena dalam kenderaan maka kami lupakan hasrat tersebut dan terus pulang ke hotel. Untuk ke Jatiluwih ini kita perlu menggunakan kenderaan yang disewa atau kita boleh sewa motosikal kerana pengangkutan awam seperti bas, tidak sampai ke sini, itu maklumat yang saya baca dari blog-blog mereka yang pernah ke sini. Kalau anda ada masa boleh Google Jatiluwih dan tengok sama ada anda berkenan atau tidak dengan keadaan di sana. Sawah padi bertingkat di sana lebih luas dari apa yang ada di Tegalalang.

Hari kedua kami di Bali, kami hanya sempat singgah di Tegalalang, Pura Tirtha Empul dan juga di Kintamani melihat Gunung Berapi Batur dan juga makan tengahari di sana sebelum pulang semula ke hotel.

Perjalanan dari satu destinasi ke destinasi lain di Bali ni memang agak jauh dan memenatkan, dan kita perlu ingat juga, di Bali ini sentiasa ada sahaja upacara keagamaan dan seringkali jalan-jalan utama ditutup untuk perarakan keagamaan dan ini akan menambah lagi masa perjalanan kita kerana Pak Supir perlu menggunakan laluan lain untuk ke destinasi dituju.

Sekiranya anda ingin ke Bali, rancang dengn teliti ke mana destinasi yang anda ingin pergi. Mungkin lebih banyak tempat kita boleh pergi dalam satu hari kalau kita larat tetapi apa gunanya menyiksa badan, bukanlah tujuan kita datang ke Bali untuk berehat dan bercuti. Bagi saya cukuplah ke satu dua tempat dalam satu hari tetapi kita benar-benar puas menikmati keindahan sesebuah tempat sebelum ke destinasi lain. Kalau ada rezeki lagi, insyaAllah saya akan ke Bali lagi tetapi ingin melawat kawasan sawah padi yang terdapat di sekitar Gunung Agung yang terletak di pantai timur, juga merupakan gunung tertinggi di Bali.

HaiQal

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.